Tuesday, June 1, 2021

Siapa Halang Ebit Liew Masuk Gaza?

Kita perlu ketahui watak penting dalam konflik Palestin-Israel
BERDASARKAN maklumat daripada sahabat-sahabat saya di Malaysia dan di Palestin, sehingga tengah malam Isnin, 30 Mei 2021, pendakwah dikasihi ramai Ustaz Ebit Liew (UEL) dikatakan masih belum berjaya masuk ke Gaza.

UEL yang sudah membeli bertan-tan barangan untuk diagihkan kepada penduduk Gaza, dikatakan masih ‘tersangkut’ di Mesir. Ada yang mengatakan beliau masih d Kaherah dan ada juga mengatakan beliau kini di sempadan Mesir-Palestin.

Jika benar berita itu, ia pastinya sesuatu yang menyedihkan dan mengecewakan kita semua. Persoalannya, kenapa UEL tidak dibenarkan masuk ke Gaza?

Tujuannya untuk menolong orang Palestin di Gaza yang kini hidup susah selepas 11 hari wilayah itu dibedil Israel, baru-baru ini.

Orang Palestin di Gaza beragama Islam, UEL Islam, Mesir pun negara Islam. Jadi, apa masalahnya? UEL bukannya perlu memasuki wilayah Israel untuk sampai ke Gaza.
Dia sudah berada di Kaherah, Mesir. Jadi, dia hanya perlu melepasi pemeriksaan di pintu sempadan Mesir-Gaza iaitu di Rafah. Tapi, kenapa tak boleh? Apa yang susah sangat?

Jika sahabat masih tiada jawapan kepada soalan ini, maaf saya tidak akan menerangkannya dengan panjang lebar di sini. Hakikatnya, saya sengaja membangkitkan persoalan itu untuk anda sendiri mencari jawapannya.

Tidak sempurna pemahaman dan keprihatinan kita kepada Palestin jika kita masih tak tahu kenapa UEL dihalang masuk Gaza untuk menyempurnakan misi kemanusiaannya.

Untuk membantu saudara kita di Palestin, sebaik-baiknya kita perlu ada ilmu dan memahami sejarah serta situasi mereka.

Jangan kita hanya lantang mengutuk Israel tapi tak pernah nak tengok peta, di mana Gaza, di mana Israel dan di mana Baitulmaqdis yang pernah menjadi kiblat pertama umat Islam.

Kita perlu tahu siapa watak-watak penting dalam konflik Palestin-Israel ini, sama ada yang jelas beraksi di pentas utama, atau yang ligat main wayang di belakang tabir.

Kita kena faham apa itu Hamas, apa itu Fatah. Siapa Mahmud Abas, siapa Ismail Haniyeh dan siapa pula Allahyarham Assyahid Dr Morsyi serta bagaimana pula watak penggantinya untuk menerajui Mesir kini iaitu Fatah Alsisi.

Kalau anda jujur menyayangi dan prihatin kepada nasib rakyat Palestin, tanyalah ‘Profesor Google’ untuk mengenali dan memahami nama-nama yang saya sebutkan itu serta bagaimana mereka mempengaruhi landskap konflik Palestin-Israel, khususnya dalam tempoh kira-kira sedekad lalu.

Kita juga wajib tahu mengapa Gaza dilabelkan “penjara terbuka” terbesar di dunia. Dan kita juga perlu sedar, gencatan senjata yang dipersetujui bersama baru-baru ini, bukanlah bermakna Palestin kini aman damai.

Sedarilah, ketegangan masih memuncak di Tebing Barat. Tentera dan polis Zionis Israel kini sedang menggila menahan orang awam termasuk kanak-kanak, perempuan dan juga wartawan.

Sebab itu, daripada satu sudut pandang saya melihat peristiwa UEL belum tiba di Gaza, ada hikmah tersendiri. Mungkin begitu ketentuan Allah SWT supaya rakyat Malaysia mula mengkaji dan menggali maklumat penting mengenai Palestin dan Israel.

Akhir kalam, jangan berhenti berdoa supaya UEL akhirnya berjaya menjejakkan kaki di bumi Gaza dan menyampaikan bantuan kemanusiaan yang beliau bawa atas nama rakyat Malaysia.

Oleh: Tuan Mohd Asri Tuan Hussein
          Bekas Pengarang Kumpulan Harian Metro

No comments:

Post a Comment