Tuesday, June 8, 2021

Kita Ketinggalan Di belakang India

BARU-BARU ini pelbagai isu timbul melibatkan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) termasuk insiden kemalangan tren dan penamatan perkhidmatan pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Prasarana ialah syarikat milik kerajaan yang ditubuhkan pada 11 September 1998. Dahulunya dikenali sebagai Syarikat Prasarana Negara Berhad sebelum bertukar kepada nama sekarang pada 2014.

Perniagaan utama Prasarana adalah menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia. Adalah penting Prasarana dan syarikat-syarikat lain yang menyediakan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), transit aliran massa (MRT), kereta api dan bas diterajui oleh mereka yang benar-benar memahami segala isu dan masalah berkaitan pengangkutan awam.

Ini bermakna individu terbabit memiliki kelayakan dari segi pengalaman kerja dan akademik yang berkaitan dengan bidang pengangkutan awam dan mereka memang menggunakan perkhidmatan itu dalam kehidupan seharian.

Mana-mana individu yang sering menggunakan pengangkutan awam akan lebih mudah faham segala isu dan masalah yang dihadapi oleh pengguna LRT, MRT, kereta api dan bas. Setiap jenis perkhidmatan mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing.

Sekiranya kerajaan melantik individu yang tidak memiliki kelayakan dalam bidang pengangkutan awam atau jarang menggunakan perkhidmatan itu, mereka akan menghadapi kesukaran untuk membuat perancangan dan menambah baik segala kekurangan yang ada.

Kalau ada pun penambaikan yang dibuat, ia dilihat bergerak perlahan dan tidak agresif sedangkan dunia kini telah berubah. Banyak negara kini memberi fokus bagi membangunkan pengangkutan awam dan bukan mengeluarkan lebih banyak kenderaan peribadi seperti kereta atau motosikal.

Dengan penambahan jumlah penduduk di setiap negara, pengangkutan awam pada masa depan akan menjadi salah satu perkhidmatan utama untuk menggerakkan manusia dari satu tempat ke tempat lain.

Pembangunan pengangkutan awam akan mengurangkan segala masalah yang dikaitkan penggunaan kenderaan peribadi seperti kesesakan lalu lintas dan pencemaran alam sekitar akibat pelepasan asap.

Penggunaan pengangkutan awam juga akan menjadi lebih penting pada masa akan datang apabila sumber petroleum yang menjadi nadi penggerak kenderaan peribadi berkurangan.

Dari aspek ekonomi pula, pengangkutan awam akan menawarkan kos perkhidmatan yang lebih berpatutan berbanding kenderaan peribadi yang memerlukan minyak, penyelenggaraan dan insurans.

Dengan kemunculan teknologi baharu dalam sektor pengangkutan awam yang sedang giat dibangunkan oleh negara-negara maju termasuk negara membangun, sudah pasti perkhidmatan itu akan menjadi lebih berkesan, cepat dan menjimatkan.

Agak sedih melihat pembangunan pengangkutan awam di negara kita yang masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara membangun lain seperti China, India dan Indonesia.

Sektor pengangkutan awam dalam negara kita sepatutnya dibangunkan secara agresif seawal 1980-an dan 1990-an lalu dan bukan sekarang.

Sepatutnya negara kita kini sudah memiliki sistem pengangkutan awam yang setanding atau lebih maju berbanding negara-negara membangun yang lain.

Oleh: Prof. MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
          Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

No comments:

Post a Comment