Tuesday, June 22, 2021

Bahasa Melayu Di TV Tiada Adab

Kebelakangan ini didapati penggunaan bahasa Melayu dalam beberapa rancangan televisyen termasuk dari stesen arus perdana tidak lagi memberi perhatian serius kepada kesopanan bahasa. Ini dapat dilihat pada skrip disediakan untuk berita formal sifatnya, apatah lagi tidak formal pada bicara hiburan, sukan dan lain-lain yang santai dan spontan sifatnya.

Kesopanan bahasa merujuk kepada penggunaan bentuk bahasa sesuai dengan keadaannya untuk berlaku sopan kepada pihak yang mendengar, selain memperlihat kehemahan pada pihak yang bercakap. Sehubungan itu, kesesuaian keadaan bukan sahaja amat penting, ia hendaklah dipastikan senantiasa wujud. Ini penting untuk memelihara hubungan baik antara pelbagai pihak, sama ada yang mendengar, bercakap serta dirujuk.

Kesesuaian keadaan ini melibatkan budaya, suasana dan hubungan antara pihak terlibat dalam sesuatu interaksi bahasa. Untuk budaya, ia merujuk kepada amalan sesebuah kelompok atau tempat. Bagi suasana, ia berkenaan perihal rasmi sesuatu interaksi bahasa itu, sama ada bersifat formal atau sebaliknya. Hubungan antara pihak mendengar dengan yang bercakap pula dilihat dari segi keakraban.

Sehubungan kesesuaian keadaan ini, ia hendaklah berlaku secara bergandingan. Dengan ini, walaupun interaksi bahasa itu berlaku di Kelantan dalam kalangan khalayak tempatan yang mengamalkan budaya sama, kata ‘jantan’ dan ‘betina’ masih dianggap tidak sesuai digunakan kerana ia merupakan majlis formal yang perlu berperaturan dari segenap segi.

Atas pertimbangan ini, penggunaan bahasa kita harus tidak sesekali mengandungi unsur yang boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada mereka yang akan mendengar atau membacanya. Ia untuk menjaga perasaan dan memastikan hasrat mereka tidak disinggung dalam segala yang diperkata. Ini penting supaya wujudnya suasana sopan dan mesra pula yang tidak sesekali melanggar resam budaya dan norma masyarakat terbabit.

Dengan ini, skrip yang disediakan untuk berita yang pasti ada masa untuk menyuntingnya hendaklah tidak mempunyai bentuk bahasa boleh dianggap kasar, bukan sahaja akan menyinggung pihak tertentu yang dikaitkan tetapi juga perasaan para pendengar. Oleh itu, sudah memadai kalau ungkapannya berbunyi ‘kurang munasabah’ dan bukannya ‘seolah-olah otak di lutut.’

Penggunaan ungkapan tidak sopan bukan sahaja memperlihat emosi tidak terkawal yakni mahu bersifat agresif, ia juga menunjukkan ketiadaan profesionalisme komunikasi formal. Untuk berita yang disiarkan selain peraturan kebahasaan yang harus diambil kira, sidang redaksi hendaklah peka kepada komunikasi yang akan membawa kesan positif, antaranya menjaga air muka pihak tertentu dikaitkan itu dan bukannya semata-mata berlandaskan kebebasan bersuara.

VIRUS

Sepatutnya sidang redaksi menggunakan strategi yang mencampurkan kritikan dengan pujian serta lain-lain seumpamanya dan tidak mengaibkan pihak tertentu dengan bentuk bahasa menghina. Selain sensitiviti dan pertimbangan wajar lagi waras, sidang redaksi juga perlu memperlihat kecerdasan dalam memahami ilmu untuk tidak memberi ciri tidak tepat seperti ‘jahat’ kepada virus tertentu yang sepatutnya berbentuk ‘virus berbahaya.’

Seperkara lain tentang persoalan kesopanan bahasa ialah penggunaan kata ganti orang pertama dan kedua ‘aku’ dan ‘kau’ secara sewenang-wenangnya dalam sebilangan rancangan yang sifatnya santai. Sehubungan itu, dalam rancangan bicara sukan secara tidak formal misalnya, walaupun sesama penyampai yang akrab, kata ganti ‘aku’ dan ‘kau’ langsung tidak patut digunakan apabila ia mahu disiarkan untuk tontonan umum. Ini kerana bukan sahaja ia tidak berupa resam budaya dan norma masyarakat kita semasa berbahasa Melayu, lebih-lebih lagi dalam situasi formal. Ia sebenarnya sangat tidak beradab apabila digunakan oleh etnik Melayu sendiri yang selalu mengaitkan budi bahasa dengan identiti mereka. Selain itu, ia akan membangkit perasaan tidak senang dalam kalangan penonton khususnya Melayu akibat rasa marah kerana kemurnian jati diri Melayu diperlaku tanpa adat dan adab.

Walaupun ‘aku’ dan ‘kau’ tidak kasar dalam wacana agama, khususnya doa dan perbualan antara mereka yang akrab, namun kesesuaian keadaan haruslah menjadi pertimbangan utamanya. Sebagai etnik Melayu yang ada jati diri dan pekerti, ia harus bersifat ‘saya’ untuk yang bercakap dan ‘anda’ bagi yang diajak bercakap. Meskipun ‘anda’ tidak begitu diterima sebagai bentuk sopan di Malaysia, ia lebih tertib daripada ‘kau’ dalam semua situasi formal.

Walaupun penggunaan ‘aku’ dan ‘kau’ dianggap sebagai prestij dari segi kekuasaan seperti pada rancangan realiti apabila penyanyi undangan menegur peserta, ia kelihatan sangat tidak tertib selain angkuh sekali. Ini sama sekali bukan pegangan etnik Melayu yang beragama Islam. Sehubungan itu, Islam menganjurkan agar umatnya mengawal tutur kata pada setiap masa. Ini bukan sahaja penting, ia nilai yang wajib ada untuk mengelakkan bencana dan bahaya akibat penggunaan bahasa secara sebarangan.

Peranan kesopanan bahasa adalah untuk melancarkan komunikasi agar dapat mengelak konflik. Dalam pada itu, kita sama sekali tidak boleh menggunakan kata negatif yang pasti akan mengguris perasaan pihak lain. Sebenarnya selaku orang sopan dan entiti yang reputasinya baik, kita akan dilihat sebagai mempunyai jati diri mulia kerana berpekerti dan sebagai jenama yang berwibawa kerana rasional.

Oleh: Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong

No comments:

Post a Comment