Wednesday, June 16, 2021

Biarlah Demokrasi Datang Kemudian

DEMOKRASI tidak mengenyangkan anak-anak keluarga miskin yang menangis kelaparan. Mereka terus berlapar walaupun menghuni negara demokratik.

Demokrasi tidak mungkin menjawab di mana harus ibu dan bapanya mengadu tatkala ekonomi semakin menguncup dan lorong rezeki semakin menirus.

Bagi rakyat, apa lagi yang marhaen kais pagi makan pagi, demokrasi tidak mengubah kehidupan mereka yang penuh lelah. Teriakan demokrasi yang bergema di segenap penjuru tidak lebih mantera perlumbaan kuasa.

Demokrasi ‘kain pelekat’ hanya pelunak kata, bukan memanis kehidupan yang pahit. Anak-anak muda lepasan universiti yang tidak punya pekerjaan atau terpaksa menjadi penghantar makanan walaupun ada ijazah, tidak memerlukan demokrasi untuk mengubah nasib.

Mereka memerlukan pelan ekonomi dan bantuan pemula. Hanya ekonomi yang boleh menambah pasaran kerja dan seterusnya kehidupan turut teranjak pada tahap lebih baik.

Banyak negara mendahulukan pelan pembangunan ekonomi kepada rakyat berbanding menjanjikan demokrasi yang sangat abstrak untuk dipegang, difahami dan dipraktik. Apabila pelan pembangunan berjaya mengeluarkan rakyat daripada belenggu kemiskinan, demokrasi akan wujud dengan sendirinya.

Demokrasi secara asasnya berdiri dengan teras berikut – kebebasan bersuara, kebebasan media, pilihan raya adil, bebas berorganisasi, pemerintahan oleh majoriti dan sistem kehakiman yang bebas serta berkecuali. Semua teras ini memang baik tetapi ada kelompangan untuk dimanipulasi oleh oportunis.

Maknanya demokrasi ini suatu yang sangat lunak untuk dilontarkan kepada rakyat. Selain itu lebih menjurus sebuah pementasan teater absurd yang boleh ditafsirkan berbagai-bagai mengikut kefahaman dan kepentingan orang yang menonton. Selalunya pemain politik berkepentingan lebih nyaring laungan demokrasinya berbanding yang lain.

Bagaimanapun, bukanlah bermakna demokrasi itu langsung tidak penting bagi sesebuah negara. Cuma dalam keadaan tertentu ia tidak menjawab pada keresahan yang membelenggu rakyat. Demokrasi sahaja tidak mampu memajukan negara tanpa dasar-dasar pembangunan ekonomi yang boleh dicapai dalam jangka masa dekat, sederhana atau panjang.

Ahli sains politik, Lucian W. Pye dalam bukunya Aspects of Political Development: An Analytic Study (1966) menegaskan, demokrasi dengan sendirinya berdiri apabila berlaku pertumbuhan ekonomi yang pesat. Apabila berlaku pembangunan ekonomi, itulah isyarat kesejahteraan hidup yang akan dinikmati rakyat dan akan wujud demokrasi.

Diperkukuhkan lagi dengan hujah Samuel Huntington dalam buku The Third Wave: Democratization in the Late Twentieth Century (1965) bahawa proses demokrasi wujud apabila ekonomi negara berada pada tahap yang baik. Maknanya negara yang memiliki pendapatan menengah tinggi cenderung bergerak menuju pembangunan sistem politik yang demokratik.

Huntington percaya pendemokrasian hanya akan berlaku di negara yang berpendapatan tinggi. Hujahnya, pendapatan tinggi secara tidak langsung juga mengangkat taraf pendidikan, penambahan jumlah golongan menengah seterusnya meningkatkan tahap kesedaran politik.

Tun Ghazali Shafie dalam bukunya, Malaysia, Asean and the New World Order (2000) juga memperkatakan hal yang sama. Menurut beliau, Barat sendiri jauh lebih awal mendahulukan pembangunan ekonomi berbanding demokrasi.

Nilai-nilai berkaitan demokrasi seperti hak asasi manusia serta kebebasan hanya datang kemudian setelah teras ekonomi berdiri dengan kukuhnya.

PERJUANGAN
Maka jangan mudah terperangkap dengan ‘perjuangan’ demokrasi. Perkara ini sudah lama dipergunakan untuk meraih sokongan di mana matlamat akhirnya ke puncak kuasa.

Jangan mudah percaya kalau ada yang datang memberitahu demokrasi adalah kitab yang merungkai 1,001 masalah rakyat di alam nyata. Dalam keadaan rakyat bertarung dengan ekonomi tidak menentu, demokrasi tidak mampu berbuat apa-apa kecuali melenakan untuk sementara waktu. Realiti tetap bergerak pada garis masanya.

Di negara-negara mundur atau baru hendak maju, demokrasi selalu dijadikan eskapisme daripada realiti yang tenat. Janji-janji demokrasi yang indah-indah itu menjadi pil tahan sakit tetapi tidak selamanya boleh menepis kesakitan sebenar.

Masih ingat lagi dengan Ferdinand Marcos di Filipina? Dia diangkat melalui proses yang demokratik tetapi akhirnya menjadi diktator dan musuh rakyat. Demokrasi tidak berupaya untuk menurunkan Marcos yang tersasar jauh. Buktinya yang menendang dari takhta pada 1986 bukan demokrasi tetapi kebangkitan rakyat.

Malah demokrasi juga membiakkan bukan sedikit anasir-anasir yang tidak demokratik dalam membuat keputusan terhadap hidup dan mati rakyat. Banyak negara berdepan dengan pemimpin korup yang dilahirkan oleh sistem demokratik.

Bagi rakyat yang hidup kais pagi makan pagi, hampir semua teras demokrasi itu tidak mengubah apa-apa pada hidupnya. Tetapi bagi borjuis atau elit politik, hampir semua teras itu boleh digunakan atau dimanipulasikan terutama sistem kehakiman yang ‘adil dan tidak berkecuali.’

Rakyat sebenarnya dahagakan pembangunan ekonomi kerana hanya itu yang boleh mengubah keadaan hidup mereka. Oleh hal yang demikian, kalau ada dua orang yang datang berjumpa rakyat bawahan, seorang menawarkan demokrasi dan seorang lagi membentangkan pelan pembangunan, kita didiklah rakyat menerima yang kedua.

Tanpa demokrasi pun pembangunan boleh dilakukan dengan syarat ada keazaman yang tinggi. Selepas semua rakyat berjaya keluar daripada belenggu kemiskinan, demokrasi akan tumbuh dan subur secara semula jadi. Demokrasi menjadi keruh kalau dipaksa-paksa. Awas, dalam keadaan keruh itu akan banyaklah yang cuba menangguknya.

Semoga rakyat tidak mudah terpedaya dengan gema demokrasi seolah-olah cara itu sahaja boleh memberi kehidupan yang diimpikan. Tambahan pula, demokrasi ini membawa janji-janji indah – kebebasan bersuara, kebebasan media dan hak asasi yang menjadi modal Barat menjajah dunia.

Hakikatnya, tidak ada kehidupan yang lepas dan bebas. Semua kehidupan berada dalam bingkai dan dipimpin oleh undang-undang, peraturan serta sempadan-sempadan daripada garis agama, budaya dan moral.

Maka kalau ada yang menjanjikan demokrasi dan menjaja kebebasan-kebebasan ini, minta mereka beredar jauh-jauh. Kita tidak memerlukan semua itu.

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

No comments:

Post a Comment