Sunday, June 27, 2021

PKP: Rakyat Tiada Pilihan, Wajar Disambung

KUANTAN: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama wajar disambungkan lagi untuk memastikan angka jangkitan pandemik Covid-19 dalam komuniti turun di bawah 4,000 kes berbanding angka purata 5,000 sehari ketika ini.

Bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan perlu memastikan industri dan sektor pekerjaan yang dibenarkan beroperasi ketika ini dipantau lebih ketat atau menutup operasi industri yang menyebabkan penularan jangkitan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, mahu tidak mahu, PKP fasa pertama perlu dilanjutkan sehingga Hari Raya Aidiladha bulan depan.

Ini kerana, menurut beliau, statistik kes jangkitan positif ketika ini masih di atas garis bahaya dan langkah seterusnya memerlukan penguatkuasaan lebih ketat kerajaan dalam membendung penularan wabak.

“Rakyat kena berkorban kerana mereka terlibat secara langsung untuk memastikan penularan jangkitan positif wabak dikawal.

“Selain penguatkuasaan menyeluruh, usaha vaksinasi juga perlu agresif demi mencapai imuniti kelompok dengan segera,” kata beliau semalam.

Selain itu, Ahmad Shukri berkata, kerajaan juga perlu memastikan semua industri yang dibenarkan beroperasi menjaga prosedur operasi standard (SOP) termasuk membuat saringan ke atas pekerja mereka.

“Majikan kena bertanggungjawab melakukan saringan berkala ke atas pekerja dan menggalakkan mereka mengambil suntikan vaksin,” kata beliau.

Terdahulu, mengikut Pelan Pemulihan Negara, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba memberitahu, negara hanya boleh beralih ke fasa kedua jika purata kes Covid-19 berada di bawah 4,000 kes sehari selama tujuh hari berturut-turut.

Selain itu, penilaian bagi peralihan fasa juga akan dibuat mengikut kapasiti katil di unit rawatan rapi (ICU) yang perlu mencapai paras 75 peratus dan sebanyak 10 peratus populasi telah divaksin.

Semalam, negara merekodkan jumlah positif 5,803 kes berbanding 5,812 kes kelmarin. PKP fasa pertama dijadual tamat esok. Pelaksanaan fasa pertama ini bermula 1 Jun lalu sebelum dilanjutkan dua minggu bermula pada 15 Jun lalu hingga Isnin ini.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengurusan Industri Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr. Noraina Mazuin Sapuan pula berkata, keputusan melanjutkan PKP harus diteliti dengan lebih mendalam dari pelbagai aspek kerana kehidupan masyarakat semakin terhimpit apabila kerajaan hanya membenarkan sektor perlu beroperasi.

“Dengan penutupan pelbagai sektor bukan perlu, menyebabkan ramai pekerja dalam sektor tersebut terjejas kerana ada yang kena potong gaji dan ada yang hilang langsung pendapatan.

“Malah ada sektor memilih membuang pekerja kerana tidak mampu meneruskan operasi dan menampung kerugian kesan penutupan seperti diarahkan kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan patut mempertimbangkan semula pelaksanaan PKP 3.0 selepas 28 Jun ini bagi mengelakkan lebih ramai terkesan dan yang sudah terkesan menjadi bertambah parah.

“Antaranya kerajaan PKP 3.0 hanya perlu diteruskan di kawasan yang masih mempunyai kes yang tinggi seperti di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

“Namun jika PKP 3.0 fasa satu disambung lagi, kerajaan perlu segera memperkenalkan langkah-langkah tambahan pemulihan ekonomi untuk meminimumkan impak buruk ekonomi dan lebih penting rakyat boleh terus hidup,” kata beliau.

Jelasnya, antara langkah dicadangkan ialah kerajaan perlu menyediakan tambahan bantuan kewangan dan bukan kewangan bagi menyokong kesinambungan perniagaan, membantu majikan menampung pembayaran sewa bangunan, upah pekerja, subsidi bahan mentah dan memberi latihan kepada tenaga pekerja dan penganggur.

“Kerajaan juga perlu menghulurkan bantuan secara langsung kepada rakyat dalam bentuk kewangan dan barangan keperluan harian bagi memastikan tiada yang `teraniaya’ akibat PKP 3.0 yang mungkin disambung,” jelasnya.

Sementara itu, status pelaksanaan PKP 3.0 fasa pertama sama ada dilanjutkan atau tidak, akan diumumkan kerajaan hari ini.

Kenyataan yang tersebar di media sosial kononnya tempoh pelaksanaan PKP 3.0 fasa satu disambung lagi adalah palsu.

Tinjauan Mingguan Malaysia di laman sosial mendapati kebanyakan netizen seolah-olah sudah berputus asa untuk mendengar perkhabaran mengenai PKP 3.0 dan menyerahkan kepada kerajaan sama ada mahu melanjutkan PKP 3.0 atau sebaliknya. – MINGGUAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment