Friday, May 31, 2019

Usaha Mansuh Akta Hasutan Kali Kedua

SETIAP kali saya merasa mungkin saya tidak perlu, malah tidak akan menulis lagi, tapi ada sahaja sesuatu berlaku yang menyebabkan saya menulis lagi. Kali ini, apabila saya menerima WhatsApp daripada Datuk Zaini Hassan yang menghantar surat terbuka Profesor Emeritus Datuk Dr. Hashim Yaacob (yang saya tidak kenali) kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, kepada saya.

Pada 2014, mungkin sayalah yang paling banyak menulis dan berucap menentang cadangan Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri pada masa itu untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948. Semua ucapan itu boleh didapati dalam laman web saya. (Untuk memudahkan rujukan, saya berikan tarikh-tarikhnya, iaitu 17 Julai 2014, 21 Julai 2014, 6 September 2014, 3 Oktober 2014, 23 November 2014 dan 10 Disember 2014 (dalam laman-laman web saya ia disusun terbalik, iaitu yang paling awal di akhir sekali).

Saya menentang pemansuhan Akta Hasutan atas alasan-alasan yang saya bahagikan kepada dua bahagian. Pertama, prosedur yang digunakan dan kedua, mengenai merit (baik tidaknya) pemansuhan itu.

Ringkasnya, mengenai prosedur, pertama, Akta Hasutan terletak di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri (pada masa itu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi).

Tetapi usaha memansuhkan dan menggantikannya dengan apa yang dikenali tiga Rang Undang-Undang Harmoni, diambil alih oleh Menteri di Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Perdana Menteri (JPM),Tan Sri Joseph Kurup (anak negeri Sabah).


SEBAHAGIAN orang ramai menunggu di luar bangunan Kebajikan Masyarakat
di Jalan Brickfields, Kuala Lumpur untuk mendapatkan bantuan makanan
ketika tragedi 13 Mei 1969. UTUSAN.

Kedua, biasanya, isu dasar seperti sama ada sesuatu akta itu hendak dipinda atau dimansuhkan dan digantikan atau tidak, ditentukan oleh kementerian yang bertanggungjawab melaksanakan akta berkenaan kerana ia mengetahui di mana terdapat kelemahan dan ia mempunyai segala maklumat, termasuk, dalam kes ini, maklumat rahsia, yang perlu ditimbang sebelum di bawa ke Kabinet.

Tetapi, dalam cadangan memansuhkan Akta Hasutan itu, pada 2014, soal dasar diserahkan kepada Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar (JUUD), sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan oleh Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) atau National Unity Consultative Council (NUCC). MPKN ditubuh oleh JPNIN.

Kandungan
Lebih menarik ialah Pengerusi JUUD itu ialah Datuk Dr. Mujahid Yusof, Ahli Parlimen Pas Parit Buntar (sekarang Menteri di JPM) dan Timbalan Pengerusi JUUD ialah Lim Chee Wee, bekas Presiden Majlis Peguam.

Ketiga, mengikut amalan biasa, penggubalan sesuatu rang undang-undang adalah tugas Peguam Negara. Mengapa dalam kes itu ia diambil alih Majlis Peguam?

Usaha itu ditentang kuat oleh pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam diketuai Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) (yang mengadakan Konvensyen Perpaduan Nasional pada 23 November 2014, iaitu empat hari sebelum Persidangan Agung Tahunan UMNO 2014).

Saya dijemput menyampaikan ucapan khas di konvensyen itu. Dalam ucapan itu, antara lain, saya menjawab alasan yang diberi oleh Mujahid bahawa akta itu adalah warisan penjajah (sebab ia dibuat pada 1948). Saya jelaskan:

“Akta Hasutan asalnya dibuat British dalam tahun 1948 apabila Persekutuan Tanah Melayu ditubuhkan untuk mengekang penentangan kepada pemerintahan British.

Secara ringkas, ia mengandungi kesalahan-kesalahan kerana menghasut untuk membangkitkan kebencian dan tidak taat setia kepada Raja atau kerajaan, menghasut rakyat untuk mendapat perubahan dengan cara tidak sah, menghasut orang supaya benci kepada pentadbiran keadilan, menimbulkan perasaan tidak puas hati atau setia dalam kalangan rakyat Malaysia, mengembangkan perasaan permusuhan antara kaum.

Bukan semua isi kandungan akta itu dibuat oleh penjajah British pada 1948. Itu kita mesti tahu. Peruntukan yang sangat penting, iaitu seksyen 3(1)(f) dibuat selepas peristiwa 13 Mei 1969 di era Tun Abdul Razak untuk mengelak berulangnya peristiwa serupa.

Seksyen itu dimasukkan melalui Emergency (Essential Powers) Ordinance No. 45, 1970 (P.U. (A) 282/1970) berkuat kuasa pada 10 Ogos 1970. Bagi saya, kewujudan Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan adalah kemuncak kejayaan politik orang Melayu dan Tun Abdul Razak Hussain.

Ringkasnya, Seksyen 3(1)(f) memperuntukkan adalah menjadi kesalahan bagi seseorang jika dia mempersoalkan hak kewarganegaraan, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak dan kedudukan Raja-raja Melayu.

Sehari selepas persidangan itu, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pergerakan Wanita UMNO, dalam ucapannya di Persidangan Agung UMNO 2014 menyatakan pendiriannya membantah pemansuhan Akta Hasutan. Pendiriannya itu bercanggah dengan pendirian Najib, Presiden UMNO.

Shahrizat memberitahu saya apabila kami bertembung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bahawa beliau membuat keputusan sedemikian kerana, ke mana sahaja beliau pergi, beliau diminta merujuk kepada rencana saya mengenainya.

Esoknya, Timbalan Presiden UMNO ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam ucapannya menyatakan pendirian sama. Malah beliau memetik ucapan saya. Ini akuannya sendiri sambil menambah, “Saya mendapat inspirasi daripada Tun Hamid.”

Esoknya, iaitu sehari sebelum ucapan rasminya di persidangan itu, Datuk Seri Najib membuat U-turn dan menyatakan dalam sidang akhbarnya bahawa Akta Hasutan tidak akan dimansuhkan, tetapi akan ditambah baik. Beliau mengulanginya dalam ucapan rasminya di persidangan itu.

Peranan Penting
Tidak syak lagi beliau membuat keputusan itu kerana tentangan dalam UMNO sendiri, NGO-NGO Melayu yang diketuai Perkasa, walaupun Datuk Seri Azman Ujang mengatakan ucapan saya itu memain peranan penting. Antara lain, katanya:

“Penentangan dalam UMNO terhadap janji Najib untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 itu adalah time bomb yang akan meletup di perhimpunan agung parti pada minggu lalu jika Perdana Menteri tidak memadamnya (diffuse) pada saat-saat akhir.

“Sesuatu telah berlaku pada 23 November hanya empat hari sebelum ucapan pembukaan Najib di perhimpunan ......”

Pada hari itu, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkata bahawa cadangan untuk memansuhkan Akta Hasutan adalah satu kesilapan.

Berucap di konvensyen mengenai perpaduan negara, Hamid mengingatkan negara bahawa walaupun akta itu diadakan oleh pihak British untuk menangani bangkangan terhadap pemerintahan kolonial, ia juga mengharamkan perbuatan mencetuskan kebencian antara kaum dan ketidaksetiaan kepada Raja-raja Melayu. ...

Dan beliau mengatakan bahawa tidak semuanya dalam akta itu dibuat oleh Inggeris.

Kemudian tibalah hujah yang menyebabkan ‘perubahan hati’ Najib atas pendirian tegasnya yang terdahulu untuk memansuhkan akta tersebut. Itulah tujuannya sehingga 5 September.

Hamid mendedahkan bahawa pindaan yang paling penting kepada akta itu dibuat selepas 13 Mei 1969 oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, bapa Najib.

Beliau berkata Seksyen 3(1)(f) ditambah untuk mengelakkan berulangnya tragedi 13 Mei. Pindaan itu menjadikan suatu kesalahan untuk mempersoalkan hak kewarganegaraan, kedudukan Raja-raja Melayu, status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan peruntukan kuota khas dan permit kepada orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.

“Bagi saya, kewujudan Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan adalah kemuncak kejayaan politik orang Melayu dan Tun Abdul Razak,” katanya.

Dalam ucapannya di perhimpunan itu, Najib mengumumkan bahawa akta itu akan dikekalkan disambut tepukan gemuruh perwakilan yang paling riuh (rapturous) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra.” (Terjemahan saya) (The Sun 4 Disember 2014).

Dalam kata-kata lain, Najib telah memungkiri janjinya kepada NGO-NGO bukan Melayu untuk memansuhkan Akta Hasutan. Sekarang Barisan Nasional (BN) telah ditumbangkan Pakatan Harapan. Mujahid menjadi menteri. Demikian juga dengan Datuk Saifuddin Abdullah, seorang ahli MKPN. Maka tidak hairanlah jika cadangan itu dihidupkan semula.

Tetapi, jika dahulu terdapat tiga highjacking, sekarang setakat yang diketahui, hanya satu. Sekarang, Menteri Dalam Negeri adalah Tan Sri Muhyiddin. Akta Hasutan terletak di bawah bidang kuasanya. Mengapa Menteri di JPM (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong mengambil alih untuk memansuhkannya?

Harus diingati bahawa Menteri di JPM (Undang-undang) bukan bertanggungjawab mengenai undang-undang yang terletak di bawah bidang kuasa semua kementerian. Beliau hanya bertanggungjawab mengenai undang-undang bagi perkara terletak di bawah jabatan-jabatan yang terletak di bawah JPM, termasuk mahkamah.

Dilindungi
Akta Hasutan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri. Mengapa beliau mengambil alih tugas itu? Mengapa Muhyiddin membiarkannya? Apa pendirian Kementerian Dalam Negeri? Apakah pendirian Muhyiddin sekarang?

Mengenai meritnya, memadai kita tumpukan kepada Seksyen3(1)(f) yang memperuntukkan:

“(f) bagi mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogative yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan.”

Bahagian III adalah mengenai kewarganegaraan. Perkara 152 ialah mengenai bahasa kebangsaan. Perkara 153 adalah mengenai ‘perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu atau anak negeri Sabah dan Sarawak.’ Mempersoalkan perkara-perkara yang tersebut itu menjadi kesalahan di bawah akta itu.

Soalnya, adakah rakyat Malaysia sekarang begitu menghormati peruntukan Perlembagaan Persekutuan sehingga mereka tidak lagi mempersoal perkara itu menyebabkan peruntukan itu tidak perlu lagi?

Didesak
Tanpa menyenaraikan satu persatu apa yang berlaku, saya katakan bahawa kebelakangan ini, keadaan telah menjadi lebih buruk.

Pihak-pihak tertentu bukan sahaja mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, kedudukan agama Islam, institusi Raja-raja Melayu, malah menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

Mereka berani berbuat demikian kerana mereka tahu tindakan tidak diambil terhadap mereka sebab pelaksanaan Akta Hasutan telah ‘digantung.’

Sebenarnya, dalam undang-undang tidak ada kuasa yang diberikan kepada Kabinet untuk ‘menggantung’ pelaksanaan sesuatu akta. Selagi sesuatu akta itu masih berkuat kuasa, adalah menjadi tanggungjawab eksekutif melaksanakannya.

Jika eksekutif tidak melaksanakannya, itu satu kegagalan eksekutif. Jika akta itu tidak diperlukan lagi, eksekutif bolehlah membawanya ke Parlimen untuk memansuhkannya.

Tujuan Tun Abdul Razak mengadakan peruntukan itu ialah untuk mengelak berulangnya peristiwa 13 Mei. Adakah hubungan antara kaum sekarang begitu baik hingga kemungkinan berulang peristiwa itu sudah tidak ada lagi?

Saya tidak berani berkata demikian. Saya percaya, pada masa ini ketenteraman masih terkawal kerana orang Melayu masih bersabar dan tidak bertindak balas.

Bagaimana, jika terlalu didesak, orang Melayu menyerang balas dan mempersoalkan kerakyatan yang diberikan kepada orang bukan Melayu? Tidakkah ketenteraman negara akan tergugat?

Semua itu perlu difikirkan. Mungkin menteri yang berasal dari Sabah yang berumur sembilan tahun dan tinggal di Sabah semasa peristiwa Mei 13 berlaku, tidak dapat menghayati keperluan Seksyen 3(1)(f).

Apakah pendirian yang patut diambil oleh orang Melayu? Pada 2014, penentangan terhadap pemansuhan akta itu hanya di peringkat NGO dan UMNO.

Ia tidak menyeluruh ke semua peringkat masyarakat Melayu dan Islam seperti yang berlaku semasa penentangan terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Sekarang, orang Melayu perlu berfikir sama ada mereka mahu hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, kedudukan agama Islam, institusi Raja-raja Melayu dipersoalkan dan Nabi Muhammad SAW dan agama Islam terus dihina?

Adakah mereka akan terus bersabar demi untuk memelihara ketenteraman negara? Adakah mereka mahu peristiwa 13 Mei berulang?

Bukankah lebih baik untuk mengekalkan akta berkenaan untuk menghalang peristiwa seperti itu berulang. Singapura pun masih mengekalkannya dan melaksanakannya dengan tegas.

Pokok pangkalnya ialah janganlah ia disalahgunakan. Apa yang berlaku sekarang dan saya khuatir akan menjadi lebih buruk jika Akta Hasutan dimansuhkan ialah penyalahgunaan kebebasan bersuara.

Semua penyalahgunaan adalah tidak baik. Tetapi, sebuah kerajaan yang bertanggungjawab tidak sepatutnya menyalahgunakan kuasa. Sebaliknya, penyalahgunaan kebebasan bersuara oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab boleh membawa bencana kepada seluruh negara. Fikirlah sendiri.

Oleh : Tun Abdul Hamid Mohamad 

Sunday, May 26, 2019

Hebatnya Ultra Kiasu.....

Buang menteri ultra kiasu, ingat kerajaan ‘bapa dia punya’
Nafsu serakah menteri ultra kiasu sejak mendapat kuasa terlalu membuak-buak sehingga merosakkan pembangunan pendidikan dan pembangunan negara bangsa, kata pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.

Ini kerana, belum reda isu matrikulasi, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran kini mengeluarkan kenyataan membenarkan pelajar Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) menjalani latihan dan mendapatkan sijil di 32 institusi latihan teknikal dan vokasional di bawah kementeriannya.

Lebih malang lagi, Ridhuan Tee berkata, Memorandum Persefahaman (MoU) telah pun ditandatangani antara kementerian itu dengan Persatuan Pengelola-Pengelola Sekolah Cina (Dong Zong) iaitu badan yang bertanggungjawab terhadap sekolah pendidikan dan sekolah persendirian Cina di Malaysia.

“Hebat ultra kiasu, kita bising di luar, mereka diam-diam buat kerja. Yang buat bising ini kerja tak berjalan juga. Ultra kiasu dapat sebanyak-banyaknya apa yang dituntut.’Tipah tertipu’.

“Persoalannya, sudahkah KPM dirujuk dalam perkara besar ini. Jika belum, wayang apakah yang sedang dimainkan? Hebat sungguh ultra kiasu merancang. Jika beginilah keadaannya, saya tidak tahu apakah nasib yang akan menimpa rakyat Malaysia khususnya Bumiputera sementara menunggu PRU15.

“Ternyata perancangan ultra kiasu mengatasi perancangan Yahudi lagaknya. Saya yakin mereka belajar daripada Yahudi,” kata Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu ketika dihubungi Ismaweb.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan menteri sumber manusia yang memberi peluang kepada pelajar aliran teknikal dan vokasional di SMPC mengikuti program latihan di 32 Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) dan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Semalam, Kulasegaran dilaporkan berkata, kementeriannya bakal menawarkan Kursus Sijil Pengajar Vokasional (VTO) kepada pengajar Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) daripada sekolah yang memenuhi syarat dan terma ditetapkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Katanya, kementerian juga akan mempertimbangkan permohonan pinjaman atau biasiswa kepada pelajar yang layak serta mematuhi syarat dan terma untuk melanjutkan pengajian dalam program TVET, VTO dan lain-lain.

Mengulas lanjut, Ridhuan Tee mempersoal tindakan menteri sumber manusia yang membuat keputusan mendahului kajian dan laporan Pasukan Petugas Dasar Sijil Peperiksaan Bersepadu (PPDUEC) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diketuai anak kepada Prof Khoo Kay Kim, Eddin Khoo Bu Eng yang dilantik oleh menteri pendidikan sendiri.

“Apa dah jadi? Kajian pengikhtirafan belum selesai, pihak kementerian ultra kiasu sudah buat kerja dan mendahului? Untuk makluman, PPDUEC sejak akhir tahun lalu sehingga Julai tahun dalam proses untuk menyiapkan kajian dan membentangkan kepada KPM dan seterusnya ke Kabinet.

“Saya adalah antara salah seorang panel yang ditemuduga bagi mendapatkan nasihat pakar. Malangnya, kajian ini belum selesai, menteri sumber manusia sudah mendahului. Pasti PPDUEC sangat kecewa. Tunggulah dulu. Hormatlah sikit menteri pendidikan. Takkan ultra kiasu tidak boleh bersabar,” katanya.

Susulan itu, Ridhuan Tee berharap, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyingkirkan menteri ultra kiasu ini jika berlaku rombakan dalam Kabinet.

“Kerajaan tidak patut biarkan gunting dalam lipatan berada dalam Kabinet. Terlalu bahaya. Dia bertindak seolah-olah kerajaan ini ‘bapa dia yang punya’.

“Apakah tiada ada koordinasi antara mereka sesama menteri dalam perkara ini. Saya mohon rakyat Malaysia, bangkit melihat semua kebobrokan ultra kiasu ini,” katanya. - www.ismaweb.net

Monday, May 20, 2019

Siapa Pula Jadi Polis Kepada Polis?

Umumnya di seluruh dunia pasukan polis di dianggap cukup penting dan berkuasa. Polis mempunyai bidang kuasa dan skop tugas yang luas. Sebagai pasukan penguatkuasaan, polis memainkan peranan penting memastikan kestabilan dan keamanan sesebuah masyarakat terjamin.

Namun polis sebagai sebuah pasukan yang dianggotai oleh individu-individu pelbagai latar belakang peribadi, perilaku dan pendidikan. Walaupun tugas polis adalah mengawal keamanan dan kedamaian masyarakat, siapa pula yang mengawal dan memantau anggota polis supaya mereka berlaku betul, adil dan mesra rakyat?

Justeru, pasukan polis walaupun dilatih berdisplin, ada­lah terbuka kepada kemung­kinan salah laku, terjebak dalam perilaku bersifat devian dan melampau adakalanya. Akibatnya, penyelewengan dalam pasukan polis juga telah banyak berlaku. Ada yang bersifat rasuah, bersekongkol dengan kongsi gelap, terlibat dalam jenayah, melindungi sarang pelacuran dan perjudian, dan pelbagai lagi salah laku. Ini semua menimbulkan keraguan.

Akibat daripada ter­da­patnya pola perilaku negatif ini dalam kalangan anggota polis di England, Wales, Amerika Syarikat dan Australia, telah ditubuhkan Pejabat Bebas untuk memantau perilaku devian ini sebagai satu tindakan menghindari daripada ia berulang atau membaik pulih yang terjebak dalam perilaku ini. Usaha ini juga menambahbaik urus tadbir kepolisan.

Di Malaysia terdapat kejadian kematian dalam lokap melibatkan yang tertuduh atau direman. Ada juga yang didera dan dicederakan semasa penyiasatan dan diseksa sehingga separuh nyawa. Keluarga yang terlibat dalam kes-kes yang membabitkan polis telah mendapatkan bantuan peguam masing-masing dan disokong oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin telah membawa beberapa kes ini ke mahkamah untuk pengadilan.

Akibatnya persepsi orang awam terhadap polis terjejas, seolah-olah mereka telah hilang kepercayaan tentang kemampuan polis untuk melindungi mereka. Malah mereka merasakan polis menjadi kuasa yang boleh mengancam keselamatan mereka.

Oleh yang demikian pada 2004 kerajaan menubuhkan sebu­­ah suruhanjaya untuk penam­bahbaikan pengurusan dan prestasi Polis Diraja Malaysia (PDRM). Nama suruhanjaya ini adalah Suruhanjaya Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (SPPP-PDRM). Ia diketuai oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah, sebagai pengerusi dengan 14 orang anggotanya yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Tujuan penubuhan suruhanjaya ini adalah untuk menjadikan PDRM sebagai penjaga keamanan dan penguatkuasaan undang-undang yang berwibawa dan terus menerima kepercayaan rakyat. Setelah kira-kira setahun menjalankan penyiasatan suruhanjaya ini akhirnya menyerahkan suatu laporan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Laporan itu, setebal 433 muka surat, mengandungi 125 cadangan untuk dilaksanakan oleh kerajaan. Salah satu cadangan tersebut adalah penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC). Ini dibuat pada 2005, iaitu sebaik saja laporan itu dibuka untuk tatapan ramai.

Alasan IPCMC perlu ditubuhkan adalah untuk PDRM lebih terbuka kepada orang ramai dan kegiatan mereka, khususnya yang devian, dipantau melalui aduan yang diterima daripada anggota masyarakat. Tindakan terhadap yang bersalah dalam PDRM akan diambil, dan dijatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan.

Tarik tali antara polis, pertubuhan sivil dan penjawat awam mengenai kewajaran diwujudkan IPCMC telah berlanjutan agak panjang dari tahun 2005 ke awal 2019 ini.

Di satu pihak, polis mendapati IPCMC mengancam hak mereka bertindak sepenuhnya. Syak dan buruk sangka terhadap polis tidak baik untuk imej pasukan itu. Pihak polis merasakan seolah-olah kuasa mereka akan dirampas dengan tertubuhnya IPCMC.

Di satu pihak lain pula, khususnya dalam kalangan masyarakat sivil, mendapati oleh kerana wujudnya banyak aduan oleh orang awam mengenai salah laku dan salah guna kuasa di pihak polis maka badan pemantau seperti IPCMC sangat diperlukan untuk membendung perilaku negatif ini sekali gus melindungi rakyat jelata. Tadbir urus pasukan polis akan juga ditambah baik.

Ringkasnya, ada beberapa perkara yang kurang difahami oleh kedua-dua pihak yang mewujudkan kebimbangan dan syak wasangka termasuk soal kuasa, hak merayu, perkara berkaitan disiplin. Pihak polis merasakan mereka akan akan kehilangan kuasa. Pihak penyokong penubuhan IPCMC merasakan rakyat lebih selesa jika kegiatan PDRM dipantau secara terbuka.

Ternyata isu pokok dalam tarik tali antara kedua pihak ini adalah ‘siapa nak jadi polis kepada polis’?

Akhirnya Kerajaan PH dengan konsep Malaysia Baharunya, berjaya mene­mukan persetujuan anta­ra kedua pihak yang berte­lingkah mengenai patut tidak­nya ditubuhkan IPCMC. Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) di Jabatan Perdana Menteri telah menjadi orang tengah dalam perundingan antara pihak-pihak berkepentingan dalam merealisasikan inisiatif positif ini. Akhir katanya, persetujuan PDRM amat kritikal untuk menubuhkan IPCMC.

Oleh itu, diisytiharkan baru-baru ini oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa IPCMC akan dibentuk hujung tahun ini setelah Rang Undang-undang IPCMC dibentang dan diluluskan oleh Parlimen.

Selepas hampir 15 tahun setelah penubuhan IPCMC disarankan barulah ia bakal menjadi kenyataan. Semoga tidak tertangguh lagi demi keamanan, kestabilan dan memelihara perpaduan negara.

Saturday, May 18, 2019

Apabila Chauvanist Tunjuk Kuasa....

Jangan pasang bom jangka
KITA sering diperingatkan berhati-hati supaya jangan sampai apa yang kita lakukan menghumban negara dalam keadaan ‘menang jadi arang kalah jadi abu’. Justeru amat tepat apabila Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador mahu rakyat bersikap sederhana dalam memperjuangkan hak kaum dan agama bagi mengelakkan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan. Malaysia adalah negara majmuk. Majoriti penduduknya orang Melayu dan agama rasmi Persekutuan adalah Islam. Oleh itu mana-mana pihak yang mahu membuat tuntutan perlu pastikan tindakan tersebut tidak melampaui batas hingga menggores perasaan orang Melayu.

Tidak salah memperjuang hak kaum dan agama masing-masing, namun apa yang termaktub dalam Perlembagaan sudah cukup molek dan wajar dipertahan sampai bila-bila.

Tetapi malangnya keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah mengubah senario politik negara. Kita terima keputusan rakyat menumbangkan Barisan Nasional (BN) yang dipimpin UMNO dan kita menerima hakikat kuasa politik Melayu semakin lemah. Bagaimanapun ia bukanlah lesen pihak tertentu untuk terlalu banyak membuat tuntutan atau tindakan yang boleh disifatkan menangguk di air keruh. Perbuatan cuba menulis kembali peristiwa berdarah 13 Mei, menuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan Melayu, menggesa supaya matrikulasi dihapuskan, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) diiktiraf dan pelbagai tuntutan lain bukan tindakan bijak.

Pihak membuat tuntutan itu perlu faham bahawa apa yang dilakukan ibarat memasang bom jangka, apabila tiba masanya ia meledak sudah pasti tiada siapa untung. Oleh itu lebih baik berhati-hati dan tidak melampaui batas dalam membuat apa-apa tuntutan. Percayalah di mana-mana juga perasaan tidak puas hati orang Melayu semakin ketara.

Tetapi orang Melayu sudah diajar tidak bertindak keterlaluan kerana ia bukan ajaran Islam. Allah SWT berfirman dalam surah Al-Maidah ayat 8 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sesekali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam apa kamu lakukan.”

Tidak dinafikan ada dalam kalangan umat Islam terpengaruh dengan gerakan radikal dan militan tetapi jumlahnya terlalu kecil. Majoriti orang Melayu masih lagi rasional. Bantahan dilakukan secara berhemah seperti mengadakan perhimpunan aman. Tetapi janganlah apabila orang Melayu berbuat demikian, ada pihak menuduh ia perkauman, bermotif politik atau pelbagai gelaran buruk lain.

Dalam soal rasional dan sederhana ini, ahli-ahli politik juga janganlah membuat kenyataan yang boleh membuka ruang kepada pihak lain menangguk di air keruh, contohnya berhubung isu berkaitan raja-raja. Ketika ini ada keberanian luar biasa sesetengah individu memperlekeh dan menghina raja-raja, apabila pihak polis bertindak maka terpekik terlolonglah puak-puak yang kononnya memperjuang keadilan dan hak asasi manusia. Memperjuang hak asasi dan kebebasan bersuara ada hadnya. Jangan sampai ia membangkit kemarahan sesiapa hingga akhirnya ia menghancurkan segala yang kita bina sejak merdeka lagi.

Percayalah tiada rakyat yang mahukan kekacauan atau huru-hara berlaku di negara ini. Kita mahukan kedamaian. Sudah berpuluh-puluh tahun kita hidup aman damai. Apapun keputusan pilihan raya, ia diterima dengan hati terbuka kerana itu keputusan rakyat. Tetapi janganlah pula apabila melihat kuasa politik Melayu semakin lemah, ada pihak menganggap ini waktu terbaik untuk mencabul perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan.

Berpada-padalah, usah dilihat bagaikan sengaja menjolok sarang tebuan atau cuba bermain api kerana kesannya tidak menguntungkan sesiapa. Kepada orang Melayu, sampai bilakah mereka harus bertelagah? Sampai bilakah mahu menjadi ‘buih-buih di lautan, banyak tetapi tidak mendatangkan manfaat’? Sepatutnya dalam keadaan sekarang, mereka bersatu. Tidak salah untuk berbeza pandangan atau pendapat dalam sesuatu perkara tetapi jangan sampai mencetuskan perpecahan sehingga merugikan mereka sendiri.

Kalaulah pihak lain berbeza fahaman politik boleh sepakat dan senada memperjuang agenda yang menguntungkan mereka, kenapa orang Melayu susah nak bersatu? Firman Allah SWT dalam surah Al-Anfal ayat 73 bermaksud; “Dan orang-orang kafir, sesetengah menjadi penyokong dan pembela bagi sesetengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu membantu sesama sendiri yang diperintah oleh Allah) itu nescaya akan berlaku fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan besar.”

Monday, May 6, 2019

Apabila Gerombolan Chauvanist Yang Merencanakan.....

Malaysia baharu atau lain?
PADA pagi 10 Mei, 2018, sekelompok rakyat Malaysia dengan gembiranya mengisytiharkan yang negara ini sudah menjadi “Malaysia baharu,” meletakkan makna-makna yang ditentukan oleh naratif politik yang mereka bawa.

Bagi mereka, Malaysia baharu ialah slogan kemenangan ke atas apa yang didakwa sebagai Malaysia lama dikuasai “kleptokrat” dan segala dasar dan budaya lama merosakkan.

Tetapi kini, menjelang setahun selepas hari bersejarah itu, makna besar yang diletakkan pada slogan politik Malaysia baharu itu semakin kabur, malah terdedah kelemahannya.

Dari sudut politik, dapat diperhatikan gerakan populis meneruskan naratif anti elit yang ditujukan pada kerajaan sebelum ini, apabila cukai GST dan program-program pembangunan infrastruktur yang sedang dilaksanakan dirombak dan dibatalkan.

Pada masa sama, cerita lebih berbentuk sensasi dan mencetus emosi dibina dan disebar, melibat rampasan barangan mewah dan wang tunai dalam jumlah besar.

Walaupun kelihatan bersifat politik kepartian atau kelompok, permainan imej korupsi elit pemerintah lama ini menjadi satu asas membina naratif untuk menolak segala yang berkait dengan “Malaysia lama.”

Mesej ini mungkin belum jelas terutama bagi orang awam, tetapi menjelang setahun selepas PRU-14, ia sudah makin jelas.

Kedudukan agama Islam, Raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan keistimewaan Melayu dan Islam yang diinstitusikan semakin digugat, sama ada terang atau tersirat melalui sikap dan tindakan kerajaan baharu.

Pada peringkat awal, mungkin ada yang boleh mendakwa keterlanjuran ini disebabkan oleh kelemahan akibat kekurangan sensitiviti, tetapi selepas setahun, amat naif sekira masih berpegang pada pandangan ini.

Sikap bertentangan dengan asas dan identiti negara ini yang ditunjukkan bukan sesuatu yang baru muncul dan menzahirkan diri selepas PRU ke-14, tetapi sudah muncul dalam pelbagai bentuk sejak lama dulu.

Tetapi sebagai sebahagian strategi politik, tentulah pendirian tidak popular ini tidak dikempen sehebat kempen “Selamatkan Malaysia,” “Tolak rejim kleptokrasi,” dan “Tentang GST yang miskinkan rakyat.”

Di sinilah terletaknya satu kelemahan besar demokrasi liberal, yang perlu kempen kepada rakyat dilaksanakan dalam usaha memperolehi mandat mentadbir negara.

Kempen dan mesej semasa pilihan raya hanya satu daripada bahagian yang disampai parti politik, tetapi keseluruhan kempen ini tidak memberi gambaran sebenar dasar yang akan dilaksana.

Secara mudahnya, dapat difahami bahawa sokongan rakyat diperlukan untuk menang undi yang cukup bagi membentuk kerajaan, tetapi dasar akan dilaksana selepas menang itu tidak lagi memerlukan maklum balas rakyat, termasuk rakyat memberi undi.

Malah, naratif Malaysia baharu di bawa sejak setahun, terbukti menyembunyi satu realiti imperatif kekuasaan malah permusuhan politik.

Sebagai mana mudahnya satu agenda politik ditakrifkan sebagai sebahagian agenda Malaysia baharu, semudah itu juga sebarang kritikan disudutkan sebagai elemen jahat yang menentang agenda disifatkan sebagai murni dan progresif.

Realitinya, satu bahagian besar rakyat Malaysia berpegang nilai konservatif berlandaskan agama Islam, bertentangan sama sekali agenda di bawa pendukung agenda liberal disifat sebagai “Malaysia baharu.”

Pendukung kerajaan mungkin boleh mengemukan senarai perkara dilaksanakan didakwa sebagai sebahagian agenda memartabatkan Islam, membela kepentingan Melayu, dan mempertahankan Perlembagaan, tetapi suasana sejak setahun lalu membuktikan sebaliknya.

Pada 8 Disember, 2018, perhimpunan melibatkan orang Islam terbesar, yang menolak ICERD, berjaya diadakan menggabungkan parti dan kumpulan Melayu dari seluruh negara.

Hakikatnya perhimpunan besar dilakukan sebagai respons sikap PH menunjuk kewujudan sentimen berleluasa, bertentangan aspirasi kerajaan.

Sokongan pihak yang dominan dalam kerajaan yang mahu Statut Rom segera diterima dan diratifikasi juga telah mendedahkan satu pendirian yang bertentangan dengan kepentingan negara.

Dalam kalangan pendukung kerajaan PH, semakin terserlah agenda liberal termasuk perjuangan normalisasi LGBT yang bertentangan dengan norma masyarakat negara ini.

Terkini, wakil rakyat DAP bersuara menggesa normalisasi dengan Israel, menunjukkan pendirian mereka yang sama sekali terasing daripada masyarakat.

Jelas sekali satu agenda utama apa yang diletakkan sebagai “Malaysia baharu” ini berpotensi mengubah keseluruhan asas negara Malaysia, sekali gus menafikan kedudukan Islam dan Melayu yang juga sumber asas dan identiti negara.

Perjuangan membawa Malaysia ke arah perubahan lebih baik, yang membawa kesejahteraan dan menolak elemen-elemen korup pasti mendapat sokongan majoriti rakyat Malaysia, tetapi perjuangan ini bukan yang didasari kepentingan kuasa kelompok tertentu yang membelakangi kepentingan terbanyak.

Rakyat Malaysia pasti mahukan Malaysia baharu yang lebih baik untuk semua, tetapi bukan Malaysia yang lain yang menjadi matlamat kelompok tertentu.

Sejurus menang dan menguasai pentadbiran negara di Putrajaya, kelihatan dengan jelas satu agenda bertentangan dengan asas dan identiti Malaysia ini, apabila dasar, kecenderungan, dan budaya berpolitik baharu memunculkan diri.

Oleh : Haris Zalkapli

Sunday, May 5, 2019

Persoalan Di Sebalik Surat 'Dari Meja PTD'

Nukilan berbentuk nasihat dan puisi dipercayai hasil tulisan pemerintahan tertinggi Tentera Darat kini tular selepas dikatakan menyentuh beberapa perkara berkaitan Syiah.


Nukilan ‘Dari Meja Panglima Tentera Darat (PTD)’ ditulis Jeneral Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd. Nawawi selepas menyertai lawatan rasmi bersama Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu ke Iran baru-baru ini untuk disebarkan dalam kalangan anggota perkhidmatan itu sebagai nasihat dan renungan.


Apa yang menimbulkan persoalan adalah isi kandungan puisi bertarikh 3 Mei menyentuh Syiah yang sebelum ini telah difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Apatah lagi penggunaan ‘Aku’ yang merujuk kepada Allah SWT dalam nukilan itu boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.



Antara isi kandungan puisi tersebut adalah:

“Janganlah kamu sombong dengan Aku yang Maha Berkuasa. Jangan kamu khilaf untuk menilai yang Aku suka dan yang Aku murka. Berbalah sesama kamu bermakna kamu semua gagal dari Aku yang Esa. Aku tetap hidupkan kamu dengan nyawa agar kamu insaf dan balik kepada Aku semata-mata.

“Yang mengamalkan Syiah, cara mereka biarkan mereka, jangan pula kamu menghina, kerana jika kamu menghina mereka, bermakna kamu menghina Aku jua.

“Biarkan mereka hidup dalam Syiah sebagai amalan mereka, Kamu hidup dalam ASWJ tanpa berbalah sesama, bersatu dan berkasih sayang. Itulah tuntutan fitrah makhluk-makhluk yang ada.

Di samping itu, puisi yang mempunyai lambang Tentera Darat itu juga turut membuat perbandingan antara negara Iran dengan negara yang mengamalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

“Jika kita amati realitinya, negara Iran yang dikatakan Syiah ini tak dengar ada huru-hara sini sana. Sebaliknya negara Islam yang amalkan ASWJ kucar-kacir sini dan sana. Mudah sangat di kucar-kacir oleh orang lainnya.



Walaupun surat itu dilihat berbentuk nasihat supaya umat Islam tidak berpecah disebabkan perbezaan mazhab namun warganet menganggap tidak wajar berdasarkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung fahaman Syiah.

Dalam pada itu, Sel Perhubungan Raya Tentera Darat hari ini mengesahkan surat tersebut namun tidak ada sebarang kenyataan dibuat masa ini. - utusan online

Wednesday, May 1, 2019

Hari ini forum buka tudung, esok lusa?

Nampaknya gerakan liberalisme di negara ini semakin berani. Mereka semakin berani menonjolkan diri secara terbuka. Tidak lagi bersembunyi seperti dahulu. Mungkin kerajaan sekarang lebih `lunak’ dengan golongan ini. Yalah, semuanya mungkin.

Dahulu mungkin mereka tidak berapa berani seperti sekarang. Mungkin pada masa itu pihak berkuasa lebih tegas baik Kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri. Namun segala-galanya kini sudah berubah. Seolah-olah semuanya boleh.

Dibiarkan sahaja golongan ini mencetuskan kontroversi yang jelas menyentuh sensitiviti agama. Secara spesifiknya agama Islam. Apa yang mereka lakukan dilihat cuba mencabar hukum dalam Islam. Mencabar ketetapan yang jelas termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Persoalannya, siapakah yang melakukannya? Mereka ini ialah orang Islam yang secara umumnya tahu akan hukum asas dalam Islam. Namun corak pemikiran mereka cukup berbeza. Mereka telah didoktrinkan dengan pemikiran-pemikiran yang bertentangan dengan Islam.

Dari segi definisi, liberalisme adalah satu fahaman sekularisme iaitu yang memisahkan aspek agama dan membolehkan sesuatu tindakan atau amalan bebas daripada ketentuan agama. Dengan kata lain hak kebebasan individu adalah segala-galanya.

Bagi mereka hak asasi adalah paling utama. Agama tidak boleh menghalang kebebasan seseorang untuk melakukan sesuatu asalkan tidak melanggar undang-undang negara.

Yang pasti, fahaman liberalisme adalah pemikiran asing yang kini cuba masuk ke dalam aliran pemikiran Islam. Liberalisme menafikan wujudnya hubungan antara agama dan kehidupan. Golongan liberalisme ini menganggap agama sebagai rantai yang mengikat kebebasan hingga perlu dibuang.

Begitu dahsyatnya pemikiran ini dan sekarang ia berusaha mempengaruhi umat Islam di Malaysia melalui gerakan atau pertubuhan berasaskan liberalisme. Umat Islam perlu berwaspada kerana pendukung-pendukung gerakan ini adalah dalam kalangan orang Islam sendiri. Kebanyakan mereka terdiri daripada golongan profesional dan terpelajar.

Baiklah, isu yang ingin penulis sentuh minggu ini ialah berkenaan penganjuran forum Malay Woman & Dehijabbing atau maksud dalam bahasa Melayu, Wanita Melayu & Buka Tudung pada 13 April lalu di Petaling Jaya. Dalam forum tersebut ditampilkan beberapa panel yang mengisahkan bagaimana mereka membuat keputusan untuk membuka tudung selepas mengenakan hijab beberapa tahun.

Di samping itu turut dilancarkan buku bertajuk Unveiling Choice yang memuatkan kisah mereka yang membuat pilihan untuk menanggalkan hijab mereka selain mengisahkan apa yang dikatakan `penderitaan’ wanita Muslim dalam konteks pemakaian tudung sebagai salah satu busana yang wajib dipakai.

Persoalannya, apakah tujuan sebenar forum seperti ini dianjurkan? Apakah niat di sebalik penganjuran forum ini? Yang jelas, mereka sengaja menyentuh sensitiviti agama Islam memandangkan hukum menutup aurat adalah wajib. Muktamad.

Dalam Islam menutup aurat baik lelaki mahupun wanita hukumnya wajib. Tiada kompromi. Hukumnya termaktub dalam dua sumber hukum utama dalam Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Penulis percaya masyarakat Islam seluruhnya maklum tentang perkara tersebut. Kalau mereka kata tidak tahu, itu mustahil.

Mengapa pula secara tiba-tiba sahaja ada pihak yang cuba menimbulkan polemik dan kontroversi dengan mempopularkan wanita yang bertudung kemudian mengambil keputusan membuka tudungnya dalam penganjuran forum seumpama ini?

Hakikatnya, penganjuran forum tersebut tidak mendatangkan sebarang faedah dan manfaat sebaliknya boleh mengundang kemarahan dalam kalangan umat Islam negara ini kerana perkara yang disentuh dalam forum itu melibatkan hukum asas dalam agama.

Seperti mana ujar Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid:”Memilih untuk membuka tudung adalah urusan peribadi mereka. Akan tetapi untuk menganjur suatu perbahasan yang menyentuh soal agama tanpa menujuk kepada pihak berautoriti dalam agama memberi implikasi yang negatif kepada Islam.”

Apapun sudah terang lagi bersuluh bahawa penganjuran forum ini sebenarnya bukan setakat mahu mempopularkan wanita membuka tudung (aurat) malah ia adalah gerakan licik puak-puak liberalisme untuk menyebar luas fahaman itu kepada masyarakat Islam di negara ini.

Mereka cuba mengasingkan agama dalam kehidupan dengan meletakkan pilihan individu paling utama. Aurat adalah subjek yang paling mudah digunakan. Justeru, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu melakukan siasatan. Jika benar forum itu mendatangkan mudarat kepada masyarakat Islam, tindakan sewajarnya perlu diambil.

Setakat hari ini, JAIS belum membuat sebarang pengumuman tentang hasil siasatan yang dibuat. Masyarakat Islam masih menunggu akan perkembangannya. Adakah penganjur tersebut bersalah atau sebaliknya.

Bagi penulis, forum-forum seperti ini perlu disekat kerana mudaratnya lebih besar. Ini soal aurat. Mungkin esok luas tentang kebebasan lain pula. Tentang hubungan bebas antara lelaki dan wanita. Mungkin juga akan dianjurkan forum membenarkan perkahwinan sejenis. Nauzubillah. Semuanya berkemungkinan dan inilah yang perlu dibanteras.

Dalam pada itu, penulis amat bersetuju dengan kenyataan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad bahawa keputusan kerajaan mendiamkan diri berhubung penganjuran forum tersebut seolah-olah membuktikan perkara itu hanya dipandang remeh.

Tidak dinafikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, telah ambil maklum dan menyifatkannya sebagai serius namun itu sekadar kata-kata. Hingga hari ini tiada tindakan konkrit diambil terhadap pihak yang terlibat dalam forum berkenaan.

Oleh: Pahit-Pahit Peria