Friday, June 25, 2021

Dengarlah Suara Hati Akar Umbi Parti....

Letak jawatan Presiden jalan terbaik
KUALA LUMPUR: Kemelut dalaman politik UMNO hanya boleh diselesaikan jika Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatan dan tidak mencampuri urusan kepimpinan tertinggi parti.

Penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Kartini Aboo Talib berkata, pengunduran beliau sekali gus dapat meredakan perselisihan dalam kalangan ahli UMNO yang selama ini berbeza fahaman dengan Ahmad Zahid.

“Tidak kira apapun, dalam pemilihan UMNO yang akan diadakan nanti, beliau harus letak jawatan untuk menyelesaikan segala masalah. Beliau harus pergi kerana tidak lagi mendapat kepercayaan oleh semua kepimpinan parti.

“Lagi pun, Ahmad Zahid terlibat dengan beberapa kes mahkamah. Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atau Datuk Seri Mohamad Hasan sendiri jauh lebih baik daripada beliau malah mempunyai sokongan lebih ramai dalam kalangan anak muda.

“Tiada alasan lagi kenapa beliau terus berada di peringkat tertinggi parti. Ini hanya akan menjejaskan imej UMNO yang sepatutnya memerlukan corak pimpinan baharu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Terdahulu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mendakwa 25 wakil rakyat UMNO termasuk beliau hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ahmad Zahid sebagai Presiden parti itu.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr. Nirwandy Mat Noordin berkata, selain melakukan perubahan dalam kepimpinan sedia ada, UMNO boleh mempertimbangkan semula untuk kekal bersama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Jelasnya, dalam situasi pemilihan UMNO akan datang, masyarakat tetap bergantung kepada sebuah kerajaan yang stabil, kukuh dan meyakinkan untuk menerajui negara.

“Sebarang konflik dalaman yang berlaku hanya boleh diketahui apabila berlangsungnya pemilihan parti dan di sini baharulah UMNO sedar mereka memerlukan jalan penyelesaian terhadap segala masalah.

“Di sini juga timbul dilema sama ada ahli parti akan terus bersama UMNO dalam kepimpinan sedia ada atau mereka sendiri mahukan perubahan dalam pucuk pimpinan parti,” katanya. – UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment