Dalam hal pemenjaraan ini, pendidikan Cina digambarkan dihadkan perkembangannya kerana struktur yang satu itu bersifat eksklusif untuk tidak menerimanya sebagai sama rata dengan yang lain-lain, khususnya pendidikan nasional di sekolah kebangsaan. Sebagai simpati dan juga empati, sejarah pendidikan Cina selama 200 tahun di negara ini diungkit untuk diberikan arah baharu berikutan dakwaan ia dipenjarakan dalam struktur tegar yang tidak boleh dilenturkan langsung untuk menerima pendidikan Cina.
Sudah tentu dakwaan ini tidak benar sama sekali. Ini kerana walaupun pendidikan Cina bermasalah sepanjang 200 tahun ini, dahulu kepada penjajah Inggeris dan kini kepada kita semua, ia tidak pernah dikesampingkan dalam sebarang bentuk yang sesuai dengan taraf dan kelayakannya sebagai vernakular etnik Cina di negara ini.
Ini penting difahami etnik Cina kerana sebagai vernakular, ia bahasa natif etnik Cina dan tidak disekat untuk berkembang pada kedudukan dan peruntukan ini. Oleh itu, ia ikut dibenarkan digunakan sebagai bahasa ilmu di peringkat sekolah rendah sebagai institusi pendidikan kerajaan dan di peringkat sekolah menengah selaku entiti pendidikan swasta. Adakah ini tidak mencukupi lagi sebagai hanya sebuah vernakular? Sehubungan itu, sudah tentu ia tidak layak dilayani sama rata dengan pendidikan nasional.
Sebenarnya etnik Cina yang rakus dalam banyak hal didapati selalu mahu lebih daripada yang sepatutnya diberikan untuk didapati mereka. Selain melampau dalam konteks diberi betis hendak paha, mereka juga tidak mahu mengikuti resam tempat mereka datangi dengan menyesuaikan diri untuk menerima kelaziman tempatan bagi tidak melanggar budi pepatah di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
CABARAN
Sikap rakus yang tercermin pada banyak tindak-tanduk etnik Cina dalam memperjuang bahasa Mandarin kini diikuti etnik lain yang sebelum ini didapati bersikap lebih rasional tentang hal pendidikan dalam bahasa ibunda. Sehubungan itu, etnik bukan Melayu lain hendaklah berwaspada apabila diajak untuk bersama etnik Cina dalam memperjuang bahasa ibunda masing-masing bagi mengutarakan cabaran yang dihadapi. Dalam pada itu, mereka sebenarnya diperalat untuk tidak menjadikan etnik Cina punca tunggal dalam perjuangan pendidikan dalam bahasa ibunda.
Apakah cabaran sebenar yang dihadapi etnik bukan Melayu, khususnya Cina dan India dalam hal ini, lebih-lebih lagi yang disebabkan kerajaan? Ia tiada kerana dilayan bertepatan dengan tarafnya sebagai vernakular untuk diberikan sebarang kelayakan dalam dasar bahasa dan pendidikan di negara ini. Dalam pada itu, kemajuan bahasa Mandarin dan Tamil dalam konteks kepupusan tidak perlu dibimbangi etnik Cina dan India di negara ini. Ini kerana ia akan dikembangkan sepesat-pesatnya di tanah watannya di China dan India untuk disebarluaskan di seluruh dunia termasuklah Malaysia.
Dalam memperjuang penerusan sekolah vernakular, kebelakangan ini ia ikut disertai etnik peribumi pulau Borneo. Bukan sahaja langsung tidak kena pada tempatnya kerana landasannya berlainan, kelihatan mereka ini diperguna hidup-hidup untuk ikut pertikai masalah pihak lain secara membabi buta.
Sehubungan itu, bahasa Melayu serta bahasa peribumi Sabah dan Sarawak adalah serumpun bukan sahaja dalam kawasan geografi sama, lebih penting lagi kesemuanya mempunyai sifat kebahasaan sama. Sehubungan itu, semuanya mempunyai perkaitan dengan bahasa Melayu walaupun menggunakan nama etnik seperti Bisayah dan Lotud di Sabah serta Kelabit dan Kenyah di Sawarak.
Tidak seperti bahasa Mandarin dan Tamil yang tidak akan pupus kerana akan terus dikembangkan di tanah watannya, pendekatan pendidikan bahasa peribumi ini yang sesetengahnya wujud dalam bentuk lisan sahaja adalah tidak sama. Oleh itu, tidak wajar ia dibahaskan sepentas untuk melestarikan sekolah vernakular.
Untuk itu, ia hendaklah dibincangkan dalam konteks kepupusannya yang akan membawa kepada pupusnya budaya. Dalam konteks begini, kehilangan bahasa akan ikut melenyapkan pertalian semula jadi penuturnya dengan sejarah dan segala pencapaian sebagai peradaban etniknya. Sehubungan itu, konsep diri yang merupakan jati diri etnik peribumi akan berubah, kalaupun tidak hilang. Dengan ini, etos etnik itu iaitu nilai, adat, peribahasa, tunjuk ajar, sapaan dan lain-lain yang wujud dalam bahasa itu sahaja perlu dipertahan agar tidak hilang dan digantikan dengan bahasa lain.
Dalam keadaan terdesak untuk melestarikan pendidikan Cina, beberapa pertubuhan Cina didapati sanggup melakukan perkara jijik seperti ikut melibatkan pihak lain untuk turut mempertahan bahasa ibundanya, sedangkan ia tidak sesuai langsung di pentas mereka. Oleh itu, hati-hati dengan undangan sebegini yang berupa tiada beban batu digalas, iaitu menanggung kesulitan pihak lain yang bukan pun masalah kita.
Oleh: Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong
No comments:
Post a Comment