Jangan jual LTSAAS
SEREMBAN: Cadangan pengambil alihan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) oleh entiti swasta dilihat bertentangan dengan kepentingan nasional.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, LTSAAS di Subang itu merupakan aset strategik yang sangat bernilai, malah ia milikan sebuah syarikat berkaitan kerajaan, iaitu rakyat juga mempunyai kepentingannya.
Jelas beliau, LTSAAS adalah satu-satunya lapangan terbang paling hampir dengan Kuala Lumpur dan beberapa bandar raya lain seperti Shah Alam, Klang dan Petaling Jaya.
“Kita telah lama kehilangan Lapangan Terbang Sungai Besi yang sangat strategik. Jika berlaku kecemasan nasional, LTSAAS adalah satu-satunya lapangan terbang terdekat untuk operasi kecemasan, bantuan kemanusiaan dan evakuasi.
“Kerana kepentingan strategik tersebutlah, ia harus kekal menjadi aset milikan kerajaan, cadangan penjualan atau pajakan kepada satu syarikat swasta kepunyaan beberapa individu yang kaya raya adalah bertentangan dengan kepentingan nasional,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau mengulas kenyataan Kesatuan pekerja Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) kelmarin yang memohon supaya kerajaan segera menolak cadangan pengambilalihan LTSAAS oleh entiti swasta, WCT Bhd. (WCT) melalui anak syarikatnya, Subang Skypark Sdn. Bhd. (Subang Skypark)
Yang Dipertua Kesatuan Pekerja-Pekerja Malaysia Airports Berhad Semenanjung (Kesma), Hussin Shahar berkata, kerajaan perlu membuat deklarasi secara terbuka bahawa pengambilalihan itu tidak akan berlaku.
Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau menambah, jika perkara itu (penjualan kepada swasta) dibenarkan berlaku, beliau juga berasa sangat dukacita dan kesal.
“Apa juga cadangan yang diterima oleh kerajaan, wajar disertai dengan ketelusan. Jelaskan dengan terperinci dan terus terang rancangan mereka kerana rakyat berhak tahu. Rakyat adalah pemegang taruh LTSAAS Subang.
“Jangan mudah terpedaya dengan idea pembongkaran potensi LTSAAS oleh syarikat swasta. Apalagi bila ia lebih berorientasi pembangunan hartanah. Rencana korporat sentiasa elok di atas kertas tetapi tidak dalam pelaksanaan,” tegas beliau.
Dalam pada itu, dalam isu ini beliau berpandangan, pelan ‘Subang Airport Regeneration’ oleh MAHB sebelum ini sangat wajar dipertimbangkan demi kepentingan nasional dan keselamatan negara.
“Saya mengerti kegusaran oleh pihak kesatuan sekerja, ini bukan sahaja melibatkan masa depan mereka, tetapi juga negara.
“Kerajaan wajar untuk tidak mempertimbangkan cadangan pajakan atau penjualan aset nasional tersebut kerana ia bukan keutamaan dalam saat negara dilanda pandemik dan kemelesetan nasional yang sangat ketara,” tambah Mohamad. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment