Monday, June 7, 2021

Harga Minyak Masak Naik Lagi, KPDNHEP Dirayu Jangan ‘Tutup Mata’

PETALING JAYA: Kumpulan pengguna mendesak kerajaan segera campur tangan dalam isu kenaikan mendadak harga minyak masak sehingga lebih RM30 bagi 5kg.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu membuka mata serta melihat sendiri “keperitan sebenar” yang dihadapi pengguna ketika ini.

“Siasatan perlu dilakukan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kenaikan ini berlaku dan pada masa sama memastikan ia tidak terus berleluasa,” katanya kepada FMT.

Malah, beliau berkata, kerajaan harus mempertimbangkan minyak masak yang dibotolkan dalam pelbagai saiz dimasukkan dalam senarai harga barangan kawalan supaya rakyat tidak terus menderita.

“Pengguna sudah tertekan dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan yang mengehadkan sumber pendapatan mereka, malah dalam tempoh berkurung juga, kita lihat trend penggunaan minyak masak adalah tinggi kerana tempoh berada di rumah lebih lama berbanding sebelum ini.

“Tidak patut pengguna terus diseksa dengan pelbagai kenaikan harga barangan asas yang ternyata tidak munasabah,” katanya.

Tinjauan FMT di beberapa lokasi sekitar Selangor juga mendapati harga minyak masak 5kg ketika ini dijual pada harga RM28.90 hingga 31.90. Harga itu meningkat hampir RM5 setiap botol berbanding RM23.90 hingga RM27.90 pada Ramadan lalu.

Seorang pengurus stor sebuah pasar raya di Malim Jaya, Melaka, yang dikenali sebagai Nor Fazilah berkata, kenaikan itu berlaku sejak minggu lalu.

“Ya, memang ada peningkatan sejak minggu lalu. Pembekal maklumkan ia berpunca daripada kenaikan kos syarikat pengeluar,” katanya kepada FMT.

Selain minyak masak sawit, katanya, minyak masak pelbagai jenis juga mengalami sedikit peningkatan, antaranya minyak jagung dan bunga matahari.

Peningkatan harga minyak masak itu tidak sejajar kenyataan KPDNHEP sebelum ini yang mendakwa harga barangan asas ketika ini menunjukkan trend penurunan sepanjang PKP penuh yang berkuat kuasa 1 Jun lalu. - freemalaysiatoday

No comments:

Post a Comment