nuffnang

Thursday, July 24, 2014

Ikhlas Di Sebalik Najib, Dr. Mahathir

DARI WhatsApp, Facebook, blog sehinggalah Twitter, tidak kurang ungkapan kurang manis dan tidak menyenangkan dilemparkan terhadap tragedi menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17.

Terkadang, kita terpaksa menarik nafas panjang dek kerana pelik mengapa dalam saat-saat krisis sebegini, masih ada pihak yang sanggup mentohmah dan mencerca.

Mohd. Ridzuan Abdullah, 45, antara rakyat Malaysia yang terpanggil menyuarakan kebimbangan akan suasana semasa yang agak `membingitkan' ini.

Mengetuai Pertubuhan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) yang dinaungi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, beliau menarik perhatian perlunya seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh di belakang kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menangani bukan sahaja insiden MH17 malah cabaran isu dan politik semasa.

"Kalau nak maju, negara kena stabil. Pertama, politik, kedua, ekonomi. Kalau politik hancur, negara akan runtuh. Kalau nak susun politik yang kukuh, perlu ada perpaduan utuh antara kaum.

"Ketiganya, keyakinan rakyat kepada pemimpin. Itu mustahak. Kalau benda ini kita tidak yakin, susahlah, sebab perkara ini bersangkut-paut dengan ekonomi," katanya.

Presiden Ikhlas itu percaya untuk memastikan politik dan ekonomi terus stabil, paling mustahak negara memerlukan seorang Perdana Menteri yang boleh menyandang jawatan paling kurang 10 tahun.

"Contohnya, selepas Najib mengambil alih kepimpinan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, kita mula nampak trend politik yang cuba menjatuhkan Perdana Menteri.

"Ada elemen siapa sahaja menjadi Perdana Menteri, akan ada pihak cuba mengucar-ngacirkan keadaan untuk menjatuhkannya," katanya.

Dalam hal ini, Ikhlas cukup yakin Dr. Mahathir yang berpengalaman selama 22 tahun mengetuai kerajaan dan masih memiliki hubungan akrab dengan para pemimpin dunia termasuk dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu masih mempunyai 'bisa' untuk memberi idea kepada kerajaan dalam mengharungi sepak terajang politik dan isu semasa.

"Kita boleh lihat dunia di luar sana masih boleh menerima Tun. Cuma, kenapa di Malaysia, sesetengah pihak kelihatan tidak bersetuju dengannya, tidak terima pakai cadangan dia?

"Di Jepun, negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta Afrika, pandangan Tun dihargai. Mereka anggap pandangan Tun dapat membantu menyelesaikan masalah ekonomi, sosial dan politik," kata Mohd. Ridzuan.

Beliau bagaimanapun mengakui ada ketikanya teguran atau pandangan yang dilontarkan oleh Tun agak pedih untuk diterima pihak berkenaan.

"Sebenarnya teguran itu untuk perbetulkan keadaan dan berpandangan jauh. Kenapa Lee Kuan Yew masih menjadi penasihat Singapura? Singapura masih perlu teguran daripada Kuan Yew. Macam Indonesia juga, masih ada rakyatnya tidak dapat melupai Suharto kerana mereka masih memerlukan idea-idea daripada pemimpin ulung itu.

"Hari ini selepas Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menguasai rantau ini, yang tinggal masih belum dimasuki adalah Singapura dan Malaysia," kata Mohd. Ridzuan yang berpendapat tiada ruginya sehingga 2020, jika Dr. Mahathir diberi peluang dan ruang untuk bertindak sebagai penasihat ekonomi dan politik negara.

Menurut beliau, Ikhlas melihat sekiranya Perdana Menteri berganding bahu dengan Dr. Mahathir, Insya-Allah negara dari segi ekonomi, politik dan sebagainya akan nampak kemas.

Ikhlas juga percaya Perdana Menteri berupaya mentadbir negara sehingga maksimum lima penggal.

"Negara apabila sering bertukar Perdana Menteri tentu akan menghadapi masalah besar. Hari ini kita nampak negara terima pelbagai ancaman, boleh jadi ada ancaman sebelum tragedi menimpa MH370 dan kini MH17 pula," kata beliau.

Mengenai pakatan pembangkang, Mohd. Ridzuan berkata, mereka kini memperoleh 'kekuatan' kerana disokong dari luar.

"Sebab itu mereka terutama sebilangan kaum Cina berani protes terhadap kerajaan. Padahal mereka melalui MCA diberi peluang terlibat dalam pentadbiran negara selama setengah abad.

"Dalam hal ini, Ikhlas yakin ilmu untuk menarik balik sebilangan kaum Cina ini kepada kerajaan ada pada Dr. Mahathir," katanya.

Ikhlas berfungsi menjaga dan membela kebajikan usahawan-usahawan kecil. Dalam tempoh setahun ini, sebanyak tiga isu besar berjaya ditangani pertubuhan itu.

Antaranya, melibatkan sebilangan peniaga Melayu dalam BB Plaza, Kuala Lumpur. Disebabkan projek MRT sebelum ini, BB Plaza mahu dirobohkan. Setelah berhempas pula, Ikhlas berjaya menggagalkannya.

Kedua, isu Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail yang hendak dirobohkan untuk pembinaan kondominium. Hasil protes pertubuhan aktivis ini, perkara itu juga tidak kesampaian.

Ketiga pula, Ikhlas berjaya menyelamatkan Bangunan UDA di Bangsar yang hendak dirobohkan oleh UDA Holdings sedangkan premis terbabit terbukti menghasilkan peniaga-peniaga Melayu yang berjaya.

Semasa Ikhlas berdepan saman malu oleh UDA Holdings kerana cuba membela warisan Melayu di Central Market, Dr. Mahathir tampil membela Ikhlas. Proses saman terhenti di separuh jalan tahun lalu.

Kini, Ikhlas membuka lembaran baharu dengan mulai tahun depan melalui beberapa kedutaan Malaysia akan mewujudkan hubungan keusahawanan antarabangsa dengan negara-negara Asia seperti Vietnam dan Kemboja. Antaranya, mahu melahirkan usahawan tempatan sebagai pemborong dan pembekal dengan membawa masuk produk luar.

Mohd. Ridzuan, lulusan sarjana perniagaan dan pentadbiran dari sebuah universiti di California, Amerika Syarikat ini sudah 12 kali berjumpa Dr. Mahathir selaku Penasihat Ikhlas sejak 20 April 2011.

"Usia saya baru separuh daripada beliau (89 tahun). Saya dapat belajar banyak perkara dari segi pandangan dan nasihat serta nampak sendiri wawasan Tun. Kita selepas ini dalam tempoh 100 tahun, baru akan jumpa pemimpin sebegini," ujarnya.

Sunday, July 20, 2014

Tambakan Laut, Pasir & Syarikat Kerabat

Dengan lebih daripada 3,000 hektar kawasan menjalani penambakan laut di selatan Johor dan beribu-ribu lagi hektar dalam perancangan, pasir menjadi satu komoditi yang semakin panas.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada 6 Julai lalu, mendedahkan bahawa sejumlah 3,237.48 hektar
kawasan di negeri ini - kira-kira separuh keluasan Putrajaya - sedang ditambak.  

Beliau mengumumkan bayaran 30 sen akan dikenakan bagi setiap satu kaki persegi tanah tebus guna untuk membantu nelayan yang terjejas oleh kerja-kerja tersebut, yang menghasilkan pendapatan sejumlah RM104 juta.

Kawasan baru di Selat Johor itu ditambak dengan pasir yang diambil daripada kawasan daratan atau dari dasar laut di tempat lain.
                     
Peningkatan permintaan untuk pasir dijangka memberi manfaat
kepada syarikat-syarikat pembekal pasir dan begitu juga dengan keluarga diraja Johor.

Perniagaan pengambilan pasir yang membabitkan keluarga diraja itu dilakukan melalui Mados Sdn Bhd, satu nama yang jarang disebut dalam akhbar tetapi sudah biasa di kalangan masyarakat perniagaan di Johor.

Kali terakhir nama syarikat itu muncul dalam media adalah dalam akhbar The Star pada tahun lepas apabila ketulan batu kuari ia dilaporkan miliknya, menimpa kawasan perindustrian Bandar Seri Alam dekat Johor Bahru, mengorbankan seorang pekerja Nepal, mencederakan 11 orang dan merosakkan kira 20 kenderaan.

Menurut carian Malaysiakini di Suruhanjaya Syarikat Malaysia minggu lalu, Almarhum Sultan Johor Sultan Iskandar Sultan Ismail, memegang 99.95 peratus saham dalam Mados Sdn Bhd dengan pemegang saham yang lain terdiri daripada isteri kedua baginda dan sembilan daripada 10 anak baginda daripada dua perkahwinan.

Tujuh daripada anak-anak baginda juga disenaraikan sebagai pengarah, termasuk Sultan Johor sekarang, Sultan Ibrahim Ismail.

Sultan Iskandar mangkat pada tahun 2010. Maklumat mengenai syarikat tersebut kali terakhir dikemaskini pada Oktober 2013.

Dokumen mahkamah
Dalam satu memo pada 2002 oleh Mados Sdn Bhd yang dilihat oleh Malaysiakini, syarikat itu mengesahkan ia adalah pemegang konsesi untuk mengorek pasir laut di dua kawasan - di Ramunia Shoal PTD 2346 dan Kukup PTD 2923.

Dokumen itu adalah subjek kes mahkamah pada 2012
mahkamah di mana 24 nelayan telah menyaman Pengerang Independent Terminal Sdn Bhd, Dialog E&C Sdn Bhd dan kerajaan negeri Johor.

Mereka mendakwa pembinaan terminal petroleum laut dalam bebas di luar pantai Pengerang telah memusnahkan kehidupan mereka. Nelayan berkenaan kalah kes tersebut di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

Walaupun Mados tidak menjadi pihak dalam saman itu, mahkamah menyentuh syarikat itu kerana ia telah dibangkitkan sebagai isu sampingan, di mana nelayan mendakwa mereka dihalang daripada memasuki PTD 2346 dan PTD 2923 kerana kerja-kerja pengorekan oleh syarikat berkenaan.

"Saya mendapati bahawa keterangan yang dikemukakan menunjukkan bahawa aktiviti pengambilan pasir laut telah dijalankan menurut konsesi pasir yang sah yang diberikan oleh kerajaan negeri Johor untuk Mados," kata Pesuruhjaya Kehakiman Teo Say Eng dalam penghakiman bertulisnya bertarikh 11 Disember tahun lepas.

Menurutnya, tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa aktiviti Mados mengorek pasir itu melanggar undang-undang.

Menurut transkrip prosiding mahkamah, penolong pentadbir tanah Kota Tinggi juga mengesahkan Mados pada tahun 2011 menerima lanjutan tempoh lima tahun untuk lesen operasi sementara bagi mengeluarkan pasir di sana.

Diluluskan tanpa EIA
Satu gambaran yang lebih jelas mengenai aktiviti di PTD 2346, lokasi konsesi Mados , boleh didapati di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2009.

Laporan itu tidak menyebut nama tetapi berkata kerajaan Johor pada tahun 2009 melanjutkan lesen operasi sementara syarikat konsesi, untuk mengeluarkan pasir di kawasan itu, walaupun tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh agensi-agensi persekutuan.

Laporan itu berkata pihak Audit mendapati aktiviti pengambilan pasir laut di PTD2346, Mukim Pantai Timur, Kota Tinggi di kawasan 22,265 hektar tidak mendapat sokongan Jabatan Perikanan Johor.

The Kota Tinggi Pejabat Tanah juga, tambahnya, telah menetapkan syarat untuk pengeluar pasir mengemukakan EIA [penilaian kesan alam sekitar] sebagaimana yang dikehendaki oleh Jabatan Alam Sekitar.

Menurutnya, permohonan pengeluar itu untuk memperbaharui lesen operasi sementara untuk mengeluarkan pasir telah diluluskan dalam mesyuarat exco pada Februari 2009 melalui ringkasan mesyuarat Bil 615/2009.

"Bagaimanapun, setakat ini, tiada EIA dibentangkan untuk kelulusan," kata laporan Ketua Audit Negara itu.

Laporan itu juga menyatakan bahawa PTD2346 adalah zon
menangkap ikan dan memberi amaran bahawa aktiviti pengeluaran pasir boleh memudaratkan.

Menurutnya, apabila pengambilan pasir dijalankan di dasar laut, lumpurnya akan menyebabkan pencemaran air dan menjejaskan kehidupan ekosistem marin, manakala lumpur yang terkumpul di sepanjang pantai juga akan menyebabkan pencemaran di tepi laut.

Laporan itu menambah bahawa temubual dengan 20 nelayan di Teluk Ramunia mendapati hasil tangkapan mereka telah terjejas kerana habitat ikan telah diganggu dan peralatan nelayan sering rosak dan dipenuhi dengan lumpur.

Syarikat itu mendapat perhatian bulan lalu selepas Naib Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim membangkitkan tentang aktiviti Mados dalam surat terbukanya kepada Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin.

Sumber : malaysiakini

Tuesday, July 8, 2014

Mimpi Indah Dengan Tidur Lena

Tidak dapat dinafikan, ada sesetengah daripada kita boleh lena secara mudah hanya dengan melentokkan kepala ke bantal.

Namun begitu, ada juga yang terpaksa mengambil masa lama dengan memusing-musingkan badan terlebih dahulu atau dengan memandang sekeliling bagi melelapkan mata.

Kesukaran untuk tidur pada waktu malam sememangnya boleh mendatangkan kemudaratan terutama kepada kesihatan tubuh badan, memberi kesan pada emosi, mengganggu prestasi kerja dan sebagainya.

Bagi anda yang mengalami masalah untuk mendapatkan tidur nyenyak, di sini terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk membantu anda mengatasi masalah tersebut:

Lakukan senaman ringan secara rutin
Senaman rutin bukan hanya membantu meningkatkan kesihatan tubuh badan, malah ia juga dapat mengurangkan masalah kesukaran untuk tidur. Senaman seperti berjalan-jalan, berenang dan berbasikal dapat meningkatkan kualiti tidur yang baik.
Namun begitu harus diingat bahawa senaman ini sebaik-baiknya dilakukan pada waktu siang. Jika melakukan senaman pada waktu malam, terutamanya tiga jam sebelum waktu tidur anda, hal ini dikhuatiri membuatkan anda terjaga. Ini kerana adrenalin semasa bersenam membuatkan anda sukar untuk tidur.

Kurangkan pengambilan kafein dan amalkan pemakanan sihat
Seperti yang kita tahu, pengambilan kafein merupakan salah satu punca utama yang menyukarkan anda untuk melelapkan mata. Jadi, bagi anda yang gemar minum kopi dan sebarang minuman yang mengandungi kafein, sebaik-baiknya minuman tersebut diambil sebelum pukul dua petang.
Selain daripada itu, pengambilan makanan yang mengandungi karbohidrat dan protein juga mendatangkan rasa mengantuk. Anda juga boleh mengambil teh herba atau susu sebelum tidur bagi meredakan keletihan.

video
Jauhi tekanan
Jika diri anda berada dalam keadaan tertekan, sudah pasti tidur anda akan terganggu. Oleh itu, anda perlu mengelak dan cuba tangani tekanan dengan cara yang betul. Susun jadual harian agar jadi lebih teratur.
Cara lain yang boleh dilakukan bagi mengurangkan tekanan adalah dengan mengamalkan mandi air suam sebelum waktu tidur. Anda juga boleh menggunakan bau-bauan aromaterapi bagi memberikan lebih keselesaan ketika hendak tidur.

Sumber : utusan@Kesihatan

Sunday, July 6, 2014

Memartabatkan Bahasa Kebangsaan....PM Kita Bagaimana?

Bahasa ketiga?
Kedudukan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan semakin diabaikan. Hari demi hari, boleh disaksikan pelbagai pihak tidak menghormatinya. Terbaharu, melibatkan majlis pecah tanah sebuah universiti, baru-baru ini.

Pada batu tanda majlis pecah tanah itu, tiada sepatah pun Bahasa Kebangsaan. Yang cuma ada Bahasa Inggeris dan Bahasa Cina. Nampaknya pihak universiti berkenaan dan penganjur majlis tidak sensitif. Kalau tiada penggunaan bahasa Melayu dalam kurikulumnya, Awang boleh faham kerana ia universiti luar bertaraf antarabangsa. Persoalannya, tiada nilaikah Bahasa Kebangsaan pada acara seperti itu di tanah air ini. Kalau di banyak negara yang menjaga kedaulatan Bahasa Kebangsaan mereka terutama di China, Jepun, Korea, Perancis, Rusia, Jerman, Thailand, Indonesia dan Vietnam, keadaan tersebut tidak akan berlaku.

Apa yang Awang sebutkan ini hanya satu kes, banyak lagi insiden yang kita diamkan sahaja. Masalahnya, tiada pihak yang tampil menegur hal-hal pengabaian terhadap bahasa kita. Sayangnya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak agresif, lebih berorientasikan administratif. Alasan yang selalu diberi, tiada cukup kuasa. Alangkah baiknya, jika DBP sekurang-kurangnya memantau dan mendedahkan kepada media secara berkala mana-mana pihak yang tidak menghormati Bahasa Kebangsaan. Jika tidak, kita semua mempermudahkan sahaja bahasa Melayu menjadi bahasa kedua dan mungkin ketiga di negara ini, sebagaimana yang diidamkan oleh pihak-pihak tertentu, yang kita semua tahu.

Artikel Penuh: Bisik-Bisik Awang

Saturday, July 5, 2014

Apa Khabar Orang Melayu Majidee?

TANYA penduduk Johor Bahru di mana letaknya Kampung Melayu Majidee, dan anda akan serta-merta diberitahu di mana lokasinya dan bagaimana anda boleh sampai ke tempat itu. Kampung ini adalah satu-satunya penempatan orang Melayu tertua di bandar ini, sejak dahulu kala.

Saya (anak Muar) kenal Johor Bahru sejak 1958, bila saya mendaftarkan diri sebagai pelajar Tingkatan 6 di English College (namanya pada masa itu). Sejak itu saya melihat satu demi satu penempatan orang Melayu di sekitar bandar ini pupus dan hilang ditelan pembangunan.

Saya biasa keluar masuk Kampung Majidee kerana ada saudara-mara tinggal di situ. Mulai akhir tahun 70-an, saya lebih kerap ziarahi kampung itu kerana adik ipar saya telah membina rumahnya di situ. Pendek kata setiap kali bercuti ke Johor, saya tinggal di rumah adik ipar di kampung itu.

Jadi, anda faham kenapa saya terkejut besar bila membaca berita di beberapa portal minggu lalu bahawa Kem Majidee (yang terletak berhampiran dengan kampung ini) tidak akan wujud lagi di situ kerana kawasan itu akan dibangunkan semula dengan satu projek hartanah mega bernilai bilion ringgit.

Kem tentera ini, yang beroperasi sejak Mac 1940, terletak antara Jalan Bakar Batu dan lebuh raya Tebrau, yang menghubungkan Johor Bahru dengan Kota Tinggi dan bandar-bandar lain di sebelah timur Johor. Disebabkan saiz keluasannya yang besar (kira-kira 132 hektar) kem ini pasti menjadi rebutan oleh pemaju tempatan dan luar negara.

Kita dimaklumkan bahawa kem tentera yang telah ‘berkhidmat’ kepada negara kita selama lebih tujuh dekad di bandar Johor Bahru ini telah dipindahkan ke Banang, Batu Pahat. Segala khidmat cemerlang 2,500 anggota tentera yang menjadi penghuni kem ini telah ‘dibayar’ dengan pemindahan ke beberapa lokasi lain, bukan dengan pengekalan kem ini sebagai satu mercu tanda sejarah negeri ini.
 
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa kem Majidee ini merupakan antara kem tentera yang tertua di negara ini, wujud sebelum Perang Dunia Kedua. Dibuka pada tahun 1940, kem ini menjadi sebahagian daripada strategi pertahanan negara, selain menjadi ‘rumah pertama’ komando Tentera Darat negara ini.
   
Beberapa pihak telah melahirkan kebimbangan mereka bahawa penutupan kem tentera yang tertua ini akan ‘menjejaskan kekuatan pertahanan’ negara kita di kawasan selatan Johor. Namun Panglima Medan Tentera Darat (ketika itu), Leftenan Jeneral Datuk Raja Mohamed Affendi Raja Mohamed Noor (kini Tan Sri) menyatakan bahawa keselamatan dan strategi pertahanan di bahagian selatan Semenanjung Malaysia tidak akan terjejas.

Nyata sekali, dalam ‘buku kira-kira’ pentadbir negeri, mewujudkan satu hab komersial bernilai jutaan ringgit ala Mid Valley Megamall di Kuala Lumpur adalah lebih penting bagi masa depan negeri Darul Takzim ini.
 
Generasi masa depan pastinya tidak akan tahu tentang kewujudan kem tentera ini kerana pembangunan projek komersial Southkey Megamall di tempat ini pasti akan melenyapkan segala tanda atau bukti kewujudannya di masa silam.

Samalah halnya dengan generasi masa depan kita yang tidak akan tahu kewujudan Pantai Lido di pinggir Selat Tebrau kerana pantai riadah ini kini sudah hilang ditelan pembangunan mega Danga Bay - apatah lagi setelah kawasan tambak laut ini dijual kepada syarikat gergasi Cina dengan harga berbilion ringgit.

Kehilangan kem tentera ini dan kewujudan ‘penggantinya’ (projek komersial) pastinya memberi impak besar kepada penduduk kampung Melayu Majidee. Soalnya apakah projek komersial ini akan benar-benar mendatangkan manfaat kepada penduduk kampung Melayu ini?

Jika harga jualan hartanah yang dibangunkan nanti mencecah jutaan ringgit, apakah orang Melayu Johor amnya dan penduduk Kampung Melayu Majidee khasnya, akan mampu membeli dan memilikinya?

Jika jawapannya, ‘Tidak’, apakah ini tidak bermakna 30,000 penduduk Kampung Melayu Majidee akan hanya menjadi pemerhati arus pembangunan yang berlaku di hadapan mata mereka?

Tuesday, July 1, 2014

Singkir Toksin Dari Tubuh

Jika anda mengalami pelbagai masalah kesihatan seperti cepat berasa penat, sakit kepala, jerawat, sembelit, berat badan berlebihan, insomnia, haid tidak teratur termasuk mulut berbau dan masalah kulit, kesemua itu merupakan tanda-tanda bahawa tubuh anda telah diracuni toksin berlebihan.

Agak mustahil bagi seorang manusia untuk bebas daripada toksin kerana toksin ada di mana-mana sahaja seperti di dalam udara, makanan, minuman serta berpunca daripada ubat-ubatan, dehidrasi, merokok, pengambilan minuman keras dan pemakanan yang tidak seimbang.

Biasanya toksin disingkirkan secara semula jadi melalui proses pencernaan iaitu pembuangan air kecil atau air besar. Namun begitu, jika proses pencernaan ini tidak berjalan dengan lancar, ia akan menyebabkan sisa toksin terperangkap di dalam tubuh.

Justeru, proses membuang toksin atau lebih dikenali dengan detoksifikasi secara semula jadi amat penting untuk meneutralkan, mengubah atau menghapuskan toksin. Proses ini berkait rapat dengan sistem pencernaan dan hati manusia.

Berikutan itu, kedua-dua organ tersebut perlu diberi perhatian khusus kerana ia merupakan organ yang terlibat dalam proses menyingkirkan sisa toksin daripada tubuh. Antara langkah yang boleh diikuti bagi menyingkirkan toksin secara semula jadi adalah dengan:

* Berpuasa: Puasa dapat merehatkan tubuh terutama sistem perut daripada bekerja secara berlebihan dan secara tidak langsung dapat membantu proses detoksifikasi.

* Hati: Sisa toksin yang tidak dapat disingkirkan akan berkumpul di dalam hati. Jadi, hati perlu dirangsang semula dengan mengurangkan pengambilan gula, garam, alkohol, kafein, makanan proses dan sebagainya.

* Sistem penghadaman: Bagi melancarkan sistem penghadaman, makanan yang tinggi serat seperti buah-buahan serta sayuran segar perlu diambil dan jangan lupa minum air masak secukupnya.


Artikel Penuh: utusan@Kesihatan