PETALING JAYA: Pelaksanaan semua cukai barang dan perkhidmatan (GST) dapat membantu kerajaan menambah baik sistem kutipan cukainya, dengan syarat ia dilaksanakan dengan adil dan rakyat secara massa dapat memahami manfaatnya kepada negara.
Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, kerajaan perlu meningkatkan kutipan cukai untuk memberi lebih manfaat kepada rakyat, terutamanya dari segi sosial, seperti yang disarankan dalam laporan Bank Dunia sebelum ini.
Bercakap dalam kapasiti peribadinya, sistem itu cukup adil dan berasaskan kepenggunaan, yang mencerminkan pendapatan seseorang.
“Orang miskin tidak akan menempah bilik hotel lima bintang. Jika pendapatan anda tinggi, anda tidak dapat lari dari menjalani gaya hidup mereka yang berpendapatan tinggi.
“Anda cenderung beli kereta yang lebih mahal, produk yang lebih mahal. Maka, anda akan bayar lebih banyak GST,” katanya dalam sidang akhbar hasil kajian Resetting Malaysia: Aligning To The New Economic Landscape oleh Sekretariat EAC secara maya hari ini.
Beliau menjelaskan, secara kasarnya laporan Bank Dunia bertajuk Aiming High – Navigating the Next Stage of Malaysia’s Development yang dikeluarkan Mac lalu mendapati Malaysia tidak mengutip cukup hasil cukai seperti sepatutnya.
Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan perlu berbuat sesuatu untuk mengagihkan hasil supaya kualiti hidup setiap rakyat meningkat.
“Populasi Malaysia 32 juta orang dan mereka yang dalam tenaga kerja lebih 15 juta orang. Namun, hanya dua hingga tiga juta orang yang bayar cukai.
“Saya menyokong GST. Saya percaya ia lebih luas dan adil tetapi kita perlu memperkenalkannya dengan betul, perlu jelaskannya dengan baik supaya rakyat faham dan mereka boleh melihat manfaatnya.
“Kerisauan orang tentang kutipan cukai adalah apabila anda kutip, mereka tak nampak manfaatnya,” katanya.
Menurut beliau, laporan Bank Dunia mendapati kerajaan mengutip kurang cukai dan kesannya perbelanjaan untuk perlindungan sosial juga berkurang.
“Kerajaan perlu memastikan kita mempunyai sistem kutipan cukai yang mampan dan baik, serta yang paling penting, ia adil untuk semua,” katanya. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment