Friday, June 4, 2021

Insaf Tidak Memadai…

Perintah penutupan penuh (lockdown) yang masih dalam bulan Syawal seharusnya dapat membantu kita untuk menghayati semangat Syawal ini dengan lebih baik. Dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19, kerajaan terpaksa mengambil langkah sedemikian. Rentetan itu, ramai yang kehilangan kerja, kehilangan punca rezeki atau mengalami pengurangan pendapatan. Bagi mereka yang tidak terjejas dari segi ekonomi, seharusnya ia menjadi satu iktibar untuk menghadirkan keinsafan atas nasib yang menimpa saudara se-Islam yang terkesan tadi.

Rasa keinsafan semata-mata adalah tidak memadai. Ia seharusnya disertai dengan reaksi kita menzahirkan rasa empati ini. Justeru, semangat Ramadan yang menganjurkan kita membanyakkan amalan sedekah seharusnya diteruskan pada Syawal. Melalui kepesatan perkembangan teknologi kewangan (fintech), usaha menyalurkan bantuan kewangan baik dalam bentuk sedekah atau zakat mahupun pendanaan awam biasa bagi projek-projek kebajikan tertentu di dalam dan luar negara menjadi lebih mudah.

Pokok pangkalnya bergantung kepada sejauh mana penghayatan kita terhadap asuhan Ramadan dapat diteruskan pada Syawal dan bulan-bulan seterusnya.

Seperkara lagi, Syawal menuntut kesederhanaan sama ada sebelum berlaku pandemik atau semasa krisis ini berlaku. Unsur kesederhanaan terutama berkaitan sambutan hari raya amat dititikberatkan oleh Islam.

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Nasa’i, Nabi SAW pernah dihadiahkan sehelai baju sutera tebal oleh Saidina Umar ibn al-Khattab untuk dipakai oleh baginda SAW semasa menghadiri solat hari raya dan menerima tetamu dari luar. Bagaimanapun, Nabi menolak hadiah tersebut dan mengembalikannya kepada Umar. Seterusnya, baginda SAW menyuruh Umar menjual baju tersebut manakala wangnya digunakan untuk keperluan lain. Tindakan baginda SAW memulang baju sutera tersebut menunjukkan Islam amat mementingkan kehidupan berdasarkan keperluan, bukan keinginan. Tambahan pula, pakaian sutera tidak harus dipakai oleh orang lelaki.

PRIHATIN

Bersederhana merupakan asas budaya kehidupan dalam Islam. Menerusi budaya bersederhana, sifat-sifat prihatin dan ambil berat terhadap mereka yang berada di sekeliling kita dapat disuburkan. Tambahan pula dalam suasana sukar seperti sekarang, amalan bersederhana digalakkan dalam segala aspek kehidupan. Kita tidak tahu bila pandemik ini akan berakhir. Pada masa sama, ramai lagi anggota masyarakat yang dihimpit kesusahan yang memerlukan keprihatinan kita terhadap kebajikan mereka.

Jadi, dengan bersederhana, kita seharusnya dapat menyalurkan sedikit sebanyak lebihan yang ada bagi meringankan beban golongan ini.

Ringkasnya, semangat Ramadan tidak seharusnya berakhir dengan ketibaan Syawal. Bulan Syawal perlu menjadi permulaan baharu untuk kita mempraktikkan apa yang dilazimi sepanjang Ramadan, di mana kita menyucikan minda daripada pemikiran negatif dan mengurangkan keinginan duniawi yang melampau. Dengan kata lain, semangat Ramadan hendaklah sentiasa kita kekalkan sebagai panduan untuk menjalani kehidupan pasca bulan puasa. Memandangkan pasca Ramadan dimulakan dengan Syawal, maka pengisian perlu dipenuhi dengan ibadah dan amalan yang diredai Allah SWT.

Oleh: Muhammad Hisyam Mohamad

No comments:

Post a Comment