Monday, June 21, 2021

Parlimen: Beri Ruang Kepada Kerajaan

KENYATAAN media Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin pada 16 Jun lalu berkaitan keprihatinan tinggi Yang di-Pertuan Agong terhadap usaha menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara mencetuskan begitu banyak reaksi dan perbincangan.

Ini termasuk kekeliruan terhadap pandangan Seri Paduka mengenai persidangan Parlimen yang perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan di Dewan Rakyat.

Reaksi rasmi segera Pejabat Perdana Menteri membuktikan tuduhan yang kononnya kerajaan berdolak-dalik dan tidak mahu akur malah sampai ke peringkat dikatakan mahu derhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong adalah tidak benar kerana jelas kerajaan menjunjung titah pandangan Seri Paduka dan akan mengambil langkah-langkah susulan.

Ada ahli akademik dan peguam berpendapat, dengan termaktubnya Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 pada 11 Januari 2021, maka Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan mengenai kewajiban Yang di-Pertuan Agong menerima dan bertindak mengikut nasihat tidak lagi terpakai dan Seri Paduka tidak lagi terikat dengan nasihat.

Begitu juga pendapat pelik bahawa Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang dibuat di bawah Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan prosedur untuk memanggil sidang Parlimen, termasuk pemberian notis sekurang-kurangnya 28 hari tidak lagi terpakai ekoran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 selain menyatakan Seksyen 18 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan peruntukan ordinan ini hendaklah mengatasi mana-mana peruntukan undang-undang bertulis lain yang bercanggah atau tidak selaras dengannya bagi menidakkan kewajiban Seri Paduka menerima dan bertindak mengikut nasihat dalam tempoh darurat.

Majlis Presiden Pakatan Harapan mengakui mengenai kewajipan Seri Paduka menerima dan bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri dalam isu pembukaan sidang Parlimen.

Sebab itulah apa yang dianggap oleh sesetengah pihak sebagai ‘dekri’ hanya dinyatakan oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri sebagai ‘pandangan’, malah Seri Paduka sendiri pernah menzahirkan pandangan bahawa penentuan tarikh sidang Parlimen semasa tempoh darurat adalah terletak kepada nasihat Perdana Menteri.

Paling tidak boleh diterima akal ialah pendapat kononnya jika Perdana Menteri dan Jemaah Menteri tidak bersetuju, maka boleh mengadakan pemerintahan tentera kerana Seri Paduka merupakan pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pertubuhan Cendekiawan Negara berpendapat, Yang di-Pertuan Agong masih perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat, apatah lagi bila titah pandangan Seri Paduka ini sebenarnya adalah selari dengan hasrat kerajaan.

Semua pihak dituntut supaya bersabar kerana menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan persidangan Parlimen ini diadakan secara selamat dan teratur serta menepati undang-undang.

Oleh: PROF. DR. KAMARULNIZAM ABDULLAH
Timbalan Presiden
Pertubuhan Cendekiawan Negara

No comments:

Post a Comment