Tuesday, June 29, 2021

Beraninya Sang Penceroboh....Siapa Dibelakang Mereka?

350 batang pokok Musang King dimusnahkan
RAUB: Kegiatan penanaman secara haram Musang King terbongkar apabila Pejabat Hutan Daerah Raub di sini memusnahkan sebanyak 350 batang pokok durian tersebut berusia enam hingga tiga tahun di Kompartmen 48, Hutan Simpan Klau di sini.

Pegawai Pejabat Hutan Daerah Raub, Shahril Mohamad berkata, pokok durian berkenaan ditanam di tanah seluas lebih kira-kira 12 hektar.

Jelasnya, dalam operasi bermula pukul 9 pagi semalam itu, pihaknya turut menebang pelbagai jenis pokok seperti pisang, nangka, cempedak dan petai.

“Ketika operasi, pihak kami tidak menemukan individu dalam kawasan ladang berkenaan yang dipercayai terlebih dahulu bertindak meninggalkan tempat itu sebelum serbuan dilakukan.

“Operasi pemusnahan ladang haram yang bermula semalam dijangka mengambil masa selama empat hingga lima hari,” katanya yang turut menyertai operasi berkenaan.

Operasi disertai 30 kakitangan jabatan hutan daripada Unit Tindakan Khas (UTK) Raub dan Unit Penguatkuasa (UPK) Zon Pahang Barat Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di bawah pengawasan anggota Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Raub.

Shahril berkata, dalam operasi itu pihaknya turut merobohkan pondok atau rumah kongsi sementara yang dipercayai menjadi tempat tinggal individu dan pekerja ladang berkenaan.

“Usaha memusnahkan tanaman yang ditanam secara haram itu mengambil masa panjang kerana mereka yang terbabit dalam operasi itu menggunakan parang untuk menebang lebih 4,000 pokok pisang dan durian Musang King bersaiz kecil,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan bertolak ansur dengan individu yang bertindak menceroboh hutan simpan di daerah ini, tindakan tegas menanti mereka dibawah Akta Perhutanan Negara 1984.

“Kita akan terus berusaha mengesan kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini, pelbagai cara akan digunakan bagi memastikan kesalahan itu dapat segera disekat,” katanya yang sebelum ini mengadakan operasi musnah 3,500 pokok durian Musang King di Hutan Simpan Sempam, Mukim Tras, di sini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment