UMUM mengetahui, sebanyak 40.4 juta rakyat United Kingdom (UK) telah menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 sementara 27.9 juta menerima dos kedua dalam tempoh enam bulan. Perkara itu jauh berbeza dengan negara ini.
Di Malaysia, kita mengambil masa yang agak panjang untuk seseorang menerima suntikan vaksin. Pendaftaran secara dalam talian dan aplikasi MySejahtera dilihat tidak lagi relevan. Mengapa kerajaan tidak membenarkan sahaja pengambilan vaksin secara walk-in? Hal ini lebih memudahkan warga emas yang kurang mahir dengan penggunaan teknologi dan juga bagi mendapatkan jumlah penerima vaksin yang tinggi sekali gus mencapai imuniti kelompok seperti disasarkan.
Orang ramai boleh terus ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk mendaftar dan mendapat suntikan vaksin tanpa perlu menunggu tempoh yang panjang. Ini tidak, ada yang sudah mendaftar berbulan-bulan lamanya, namun sehingga kini masih tidak dipanggil untuk mendapatkan suntikan vaksin.
Baru-baru ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat Selangor.
Menurut baginda, tidak adil apabila nisbah jumlah pemberian dos vaksin ketika ini tidak seimbang dengan jumlah populasi keseluruhan penduduk Selangor yang berjumlah 6.5 juta orang.
Pandangan saya, Sultan Selangor menegur kerajaan kerana dilihat tidak adil dalam pengagihan vaksin di negeri tersebut, sekali gus memperlihatkan sistem pengurusan yang lemah.
Diharap kerajaan lebih telus berhubung perkara ini memandangkan masih lagi ramai rakyat yang sehingga kini masih tidak menerima janji temu vaksin.
Oleh: WARGANEGARA KECEWA
Kuala Lumpur
No comments:
Post a Comment