PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengenal pasti rangkaian sindiket pemalsuan MyKad turut mendapat bantuan kakitangan agensi itu bagi membekalkan kad pengenalan asli.
Ketua Pengarahnya, Ruslin Jusoh berkata, itu antara tiga modus operandi dikenal pasti JPN berkaitan kes pemalsuan MyKad yang disifatkannya penyalahgunaan kuasa serta melanggar integriti.
“Pertama, pemalsuan kad pengenalan melibatkan aktiviti mencetak permukaan kad pengenalan dengan maklumat palsu, lebih kepada tujuan memiliki dokumen pengenalan diri sah, termasuk memohon mendapatkan peluang pekerjaan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Beliau berkata, tindakan itu biasanya dilakukan warga asing untuk terus tinggal di negara ini tanpa permit.
Modus operandi kedua, katanya, penggunaan kad pengenalan individu lain untuk mendapatkan kemudahan dan keistimewaan sama seperti warganegara, antaranya pendidikan, perubatan serta pekerjaan.
“Ketiga, penglibatan sindiket dibantu kakitangan JPN sendiri membekalkan MyKad asli yang membabitkan pelanggaran integriti, penyalahgunaan kuasa dan penglibatan rasuah.”
Katanya, hasil siasatan JPN mendapati rangkaian sindiket itu didalangi warga asing sendiri yang menjual MyKad pada harga RM100 hingga RM2,000 setiap keping.
Beliau berkata, statistik menunjukkan 200 orang, termasuk 10 warga tempatan didakwa dipercayai di mahkamah kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pemalsuan kad pengenalan sejak 2019 hingga April lalu.
Bagi empat bulan pertama tahun ini, katanya, 33 individu didakwa, termasuk 18 warga Filipina, Indonesia (tujuh) dan warga tempatan (lapan).
Ruslin berkata, kegiatan pemalsuan MyKad ibarat mahu menjual negara dan jenayah itu mampu menggugat kepercayaan rakyat terhadap JPN selaku peneraju utama pengurusan rekod penduduk negara.
“JPN juga tahu sekiranya jenayah ini tidak dibendung, keselamatan negara tergadai dan JPN akan memastikan pegawai terlibat dengan kes jenayah berkaitan akan diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan atau mana-mana peruntukan perundangan terbabit, jika didapati bersalah.”
Katanya, JPN sentiasa bekerjasama penuh dengan agensi lain seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), jika mendapati ada pegawainya menyalahgunakan kuasa mereka. - freemalaysiatoday
No comments:
Post a Comment