Friday, June 18, 2021

Wahai Politikus@Pemimpin Janganlah Suka Menipu....

21 tahun tunggu rumah
SHAH ALAM: Kira-kira 23 keluar­ga generasi kedua dan ke­tiga Orang Asli di Kampung Orang As­li Air Kuning, Bukit Ban­da­raya, Seksyen 8 di sini terus kem­punan menanti selama 21 ta­hun untuk memiliki rumah di pe­nempatan baharu.

Mereka tinggal dalam keada­an serba daif tanpa bekalan elek­trik dan air bersih di kawasan yang dikeli­lingi perumahan elit.

Mereka mendakwa pernah di­­janjikan pangsapuri tetapi se­hing­ga kini belum dapat di­duduki.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Komuniti Kampung Orang Asli, Abd. Rahman Shah Abdullah berkata, ketika pemindahan Orang Asli di kampung itu pada tahun 2000, mereka dijanjikan unit pangsapuri buat anak-anak berusia 15 tahun ke atas.

“Kami dimaklumkan pangsapuri berkenaan akan siap dalam tempoh 60 bulan, tetapi, sehingga ke hari ini sudah 21 tahun, ia belum boleh diduduki.

“Malah, penduduk di sini juga dijanjikan bantuan sara diri sebanyak RM500 setiap bulan oleh pemaju yang membangunkan kawasan ini selagi masalah pembangunan di kampung ini tidak selesai, tetapi ia juga dihentikan pada 2018,” katanya.

Semua ini berlaku ketika proses pemindahan masyarakat Orang Asli di kampung itu dilakukan pada 2000 iaitu mereka dijanjikan unit pangsapuri buat anak-anak berusia 15 tahun ke atas, namun hanya tinggal janji.

Kini, terdapat sebanyak 74 keluarga Orang Asli suku Temuan mendiami kampung berkenaan melibatkan 250 penduduk.

Walaupun rumah generasi terdahulu di kawasan penempatan baharu disediakan kemudahan serba lengkap, generasi kedua dan ketiga Orang Asli terpaksa memilih untuk tinggal di tempat asal masing-masing.

Sementara itu, Tok Batin kampung berkenaan, Kamal Bapak mengakui hal terbabit selain menambah, ada kalangan masyarakat Orang Asli sendiri berasa tidak selesa tinggal di kediaman baharu yang disediakan.

“Sehingga hari ini, masalah tidak dapat rumah ini masih belum selesai malah, rumah yang kami duduki ini juga belum diberi geran,” katanya.

Penduduk, Roslan Mohamed, 59, yang memilih menetap di tapak asal rumah keluarga isteri­nya, Ana Lalat, 48, berkata, mereka memilih untuk tinggal di situ ketika anak sulungnya, Mohd. Adha, 12, berusia setahun.

Sehingga kini, Roslan dan Ana menetap di pondok mereka bersama tiga anak termasuk Mohd. Joairee, 9, dan Norhidayah Aliana yang berusia lapan tahun.

Roslan yang bekerja sebagai pencuci di Taman Botani memberitahu, dia menggunakan air daripada perigi yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah selain lampu solar yang disediakan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) beberapa tahun lalu.

“Nama isteri saya tersenarai untuk pemindahan rumah pangsapuri kira-kira tiga kilometer (km) dari sini tetapi sehingga kini, rumah itu belum siap. Saya memohon juga bantuan untuk membina rumah di tapak kediaman ini tetapi belum diluluskan.

“Kampung ini memang ada menyediakan tempat belajar di dewan yang terletak di kawasan perumahan beserta de­ngan kemudahan elektrik dan komputer riba tetapi saya risau membiarkan mereka berjalan sejauh satu kilometer ke sana dan melintas jalan dengan kereta dipandu laju sedangkan pada waktu pagi, saya dan isteri keluar bekerja,” katanya.

Ujarnya, pihaknya sudah memajukan permohonan untuk memasukkan bekalan air dan elektrik kepada masyarakat Orang Asli yang mendiami lokasi asal berkenaan, tetapi, dimaklumkan ia mempunyai masalah berkaitan status tanah.

“Bilangan kami ramai dan sudah tentu apabila satu rumah didiami banyak keluarga, ia boleh mendatangkan masalah.

“Orang Asli mementingkan hubungan kekeluargaan dan bagi mengelak masalah berlaku di kemudian hari, mereka memilih untuk membina rumah masing-masing di tapak lama kediaman ibu bapa mereka dahulu,” ujarnya.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi berkenaan mendapati, kediaman penduduk di sini ada yang dibina sendiri namun terdapat juga yang dibina NGO.

Laluan masuk ke tiga bahagian lokasi penempatan itu juga ada yang berturap dan memudahkan penduduk keluar masuk menggunakan motosikal atau kereta masing-masing.

Selain bercucuk tanam, mencari herba hutan dan meman­cing, penduduk di sini juga keluar be­kerja di sekitar bandar raya.

Kebanyakan anak Orang Asli di kampung itu bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bandar Anggerik, Seksyen 6 dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7.

Difahamkan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) turut memberi bantuan wang saku kepada penduduk di kampung, pengangkutan ke sekolah dan bakul makanan buat mereka. 
UTUSAN

No comments:

Post a Comment