Sunday, June 27, 2021

Peningkatan Kes Covid-19 Tambah Pesakit Mental

PADA 3 Jun lalu, jangkitan Covid-19 di negara ini berjumlah 8,209 kes. Bilangan itu sepatutnya menyedarkan kita semua betapa ramai penduduk negara ini yang berjuang untuk terus hidup.

Oleh kerana pandemik itu menyerang semua penduduk di dunia ini, ramai orang kehilangan pekerjaan dan keluarga, menyebabkan mereka mengalami tekanan mental.

Masalah kewangan dan kesedihan yang dialami itu tidak dapat diluahkan kepada orang lain kerana terdapat sekatan aktiviti sosial termasuk bertemu sanak saudara dan rakan.

Cukup membimbangkan apabila sebahagian besar yang menghadapi masalah kesihatan mental tidak menyedarinya.

Skizofrenia, kemurungan dan bipolar adalah beberapa jenis masalah kesihatan mental yang dihadapi oleh banyak orang di Malaysia.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2019, sebanyak 2.3 peratus populasi orang dewasa di Malaysia menderita kemurungan. Kita dapat melihat peratusan itu meningkat sejak wabak bermula pada penghujung 2019.

Pada masa sekarang, masalah kemurungan bukan sahaja melibatkan golongan warga emas dan orang dewasa malah turut dialami remaja di peringkat sekolah menengah.

Kehilangan keluarga dan rakan kerana pandemik boleh membuatkan mereka sedih.

Jika sudah kronik, pesakit cenderung bercakap sendiri atau berbual dengan rakan khayalan. Itulah sebabnya hubungan sangat penting termasuk meluahkan perasaan melalui aplikasi dalam talian seperti Google Meet dan Zoom.

Oleh: NURUL HUSNA SHUKOR
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

No comments:

Post a Comment