Bagi sesetengah orang RM1.50 mungkin terlalu kecil nilainya. Malah bagi mereka tidak banyak yang boleh dimanfaatkan daripada nilai tersebut.
Malah harga sekotak rokok seludup pun paling kurang RM3.50.
Malah harga sekotak rokok seludup pun paling kurang RM3.50.
Namun RM1.50 begitu bermakna bagi seorang ibu tunggal, Siti Suhada Salleh, 34, di Kampung Alor Tar, Berangan, Tumpat dan juga penduduk di kawasan berkenaan.
Ini kerana dengan nilai tersebut ia dapat meneruskan kelangsungan hidupnya dan memastikan dapurnya terus berasap selepas tidak dapat melakukan pekerjaan sebagai pembersih mesin penapis air dek kerana perkhidmatan tersebut berhenti beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
Bimbang keputusan sumber pendapatan, ibu dua cahaya mata itu mencari peluang baharu dengan berniaga nasi berlauk dari rumah ke rumah sehinggalah membuat keputusan untuk berniaga di hadapan rumah sahaja.
Siri Suhada juga mengambil langkah bijak apabila menjual nasi berlauk RM1.50 sebungkus, satu harga yang jauh lebih rendah daripada harga munasabah untuk sebungkus nasi berlaukkan seketul ayam atau ikan.
Harga RM1.50 ditetapkan kerana dia sedar ramai penduduk di sekelilingnya juga senasib dengannya, terjejas kehidupan dan pendapatan kerana pandemik Covid-19.
Buktinya perniagaan nasi berlauknya mendapat sambutan menggalakkan sehingga ramai yang sanggup beratur panjang untuk mendapatkan nasi tersebut.
Hari ini dia boleh menarik nafas lega kerana selain dapurnya terus berasap, perniagaannya juga semakin maju apabila boleh menjual lebih 80 bungkus nasi sehari, dia juga dapat membantu penduduk kampung yang terjejas akibat Covid-19.
Siti Suhada antara ramai lagi peniaga yang menjual makanan pada harga yang sangat munasabah. Ramai lagi yang berniaga dengan harga murah tetapi mereka tidak merungut dan jatuh bankap. Kehadiran mereka diterima oleh orang ramai dengan penuh kesyukuran terutama ketika ekonomi kurang baik
Murah, banyak dan sedap. Itu sahaja formula untuk peniaga menarik ramai kedatangan pelanggan ke gerai mereka. Atau juga ramai yang ketika ini tidak kisah apa pun yang mahu dimakan asalkan harganya murah.
Oleh: Nizam Abdul Hamid
Pengarang Berita Utusan Malaysia.
No comments:
Post a Comment