Wednesday, June 9, 2021

Apabila Tidak Memahami Keluhan Rakyat...

Isu harga minyak masak bersubsidi, barang kawalan berbeza
PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dibidas kerana tidak memahami keluhan rakyat dalam isu harga minyak masak yang naik melonjak.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, isu sebenarnya bukan mengenai isu ketidakcukupan bekalan minyak masak bersubsidi dalam peket satu kilogram.

Sebaliknya ujar beliau, isu pokok ialah berhubung kenaikan harga minyak masak dalam botol tidak bersubsidi bagi berat lima kilogram yang lazim dibeli kebanyakan rakyat di negara ini.

“Saya rasa mungkin Timbalan Menteri (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan kementeriannya sedikit keliru dengan isu yang menjadi rintihan rakyat ketika ini,” katanya dalam nada sindiran menerusi kenyataan.

Beliau merujuk laporan Utusan Online yang memetik timbalan menteri berkenaan, Datuk Rosol Wahid menafikan konon harga minyak masak meningkat drastik dan bekalan minyak masak bersubsidi masih cukup.

Pada masa sama, laman sesawang rasmi kementerian itu hari ini melaporkan harga minyak masak dalam botol tidak dikawal kerajaan kerana ada minyak masak dalam peket bersubsidi.

Mengulas lanjut, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu menyifatkan alasan itu sebagai tidak menjawab rintihan rakyat termasuk kelompok M40 yang turut terkesan dan perlu dibantu.

“Saya ingin sebut di sini jika YB (timbalan menteri) terlepas pandang bahawa barang subsidi dan barang kawalan adalah dua perkara berbeza tetapi minyak masak itu sendiri pun barang kawalan,” tegasnya.

Produk berkenaan ujar beliau, meliputi minyak masak dalam botol walaupun ia bukan barang bersubsidi kerana item itu masih tertakluk di bawah Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Bahkan jelasnya, produk itu ada dinyatakan dalam Jadual 1 Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan senarai barang kawalan ini jelas dipapar melalui laman sesawang kementerian sendiri.

Justeru, beliau bertanya, adakah pihak kementerian boleh memberi jaminan minyak peket bersubsidi satu kilogram ini akan sentiasa ada di kedai dan boleh dibeli oleh para pengguna.

“Sedangkan banyak kedai yang terpaksa mengehadkan pembelian minyak paket ini kerana realitinya ia tidak sentiasa mudah didapati terutamanya di kedai kampung,” kata Jalaludin.

Sehubungan itu beliau membidas Rosol seolah-olah menidakkan keluhan pengguna dan isu kenaikan harga minyak sawit dunia tidak sewajarnya dijadikan alasan bagi menekan rakyat.

Lonjakan harga ini katanya, jika tidak dikawal, akan memberi kesan domino kepada rantaian harga untuk perkara lain apabila pihak kapitalis mengambil kesempatan menaikkan harga.

Kementerian itu jelas beliau, sepatutnya lebih tegas mengawal harga kerana jika tidak dibuat, pihak berkenaan bebas menaikkan harga sesuka hati apabila tiada tindakan dikenakan.

“Saya tidak rasa rakyat boleh terima jawapan ‘kerajaan tidak dapat kawal’. Tolonglah dengar keluhan rakyat, usah sampai rakyat lepas ini malas dengar keluhan kerajaan pula,” katanya.- UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment