SEREMBAN: Golongan wanita bekerjaya, namun, masih belum mempunyai pasangan hidup merupakan golongan yang dinasihatkan supaya berhati-hati dengan ‘jerat’ cinta lelaki yang hanya mahu mengambil kesempatan terhadap mereka.
Ini berikutan terdapat dua kes yang dilaporkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon iaitu wanita yang berkenalan dan kemudian berkahwin, namun, menghadapi masalah ekoran suami yang tidak bertanggungjawab dan hanya mengambil kesempatan atas kesenangan yang ada pada mereka.
Ironinya, kedua-dua kes yang diterimanya itu membabitkan wanita yang bekerja sebagai pramugari manakala suami masing-masing pula merupakan penjual kereta.
Menurut salah seorang daripada wanita tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Nina, 44, dari Seremban 2, dekat sini, dia berkahwin dengan seorang lelaki berusia 52 tahun yang telah dikenalinya selama 10 tahun.
Sebelum itu, katanya, dia pernah berkahwin, namun, bercerai dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 11 tahun.
“Saya kenal dengan suami selama 10 tahun kerana sering berurusan di pusat jualan dan servis kenderaan terbabit. Apabila dia tahu saya sudah bercerai, dia cuba rapat dengan saya dan cuba mengambil hati anak saya.
“Dia kemudian mengajak saya berkahwin dan kami bernikah pada 24 September 2019, kami tinggal di rumah yang saya beli dan lengkap semuanya dan dia hanya datang membawa pakaian sahaja. Kemudian, sikapnya berubah dan saya ketahui dia sering ke kelab malam, malah, mengambil dadah selain mengabaikan tanggungjawab. Keadaan itu menyebabkan saya sentiasa berada dalam keadaan tertekan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Nicole di Seremban 2 hari ini.
Menurut Nina, dia kemudian terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 17 Mac tahun lalu yang menyebabkan dia kecederaan serius di bahagian dalaman dan terpaksa dirawat selama dua bulan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.
“Saya mengalami kecederaan teruk dan lumpuh, malah, hanya terlantar sahaja, saya juga ditamatkan kontrak oleh syarikat penerbangan yang saya bekerja. Melihat ketidakupayaan saya, suami baru-baru ini menfailkan perceraian kerana doktor memberitahu sukar untuk saya kembali pulih.
“Pada waktu itu, saya betul-betul rasa ditipu, kini, saya sedar memang ada lelaki yang mencari wanita yang ada kerja dan tempat tinggal yang boleh memberi kesenangan kepada mereka. Alhamdulillah, saya kini dapat berjalan semula dan saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu ketika saya menghadapi kesukaran termasuk YB (Nicole),” katanya.
Sementara itu, Nicole yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang berkata, daripada dua kes yang diterimanya, hanya Nina sahaja yang berani tampil dan mahu berkongsikan pengalaman supaya ia menjadi pengajaran kepada orang ramai.
“Ia merupakan amaran juga kepada wanita-wanita yang bekerjaya dan boleh berdikari tetapi seolah-olah menjadi sasaran lelaki yang hanya memberikan ‘cinta’ palsu.
“Seperti ada kumpulan lelaki yang sama dengan modus operandi mencari wanita-wanita yang bekerjaya sebagai mangsa, mereka akan dilihat baik pada awalnya, namun, apabila mangsa sudah terjerat, golongan itu akan menunjukkan sikap sebenarnya,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment