Saturday, June 19, 2021

Kadar Kemiskinan Negara Meningkat

Pandemik Covid-19 menyebabkan kadar kemiskinan negara meningkat kepada 8.4 peratus tahun lalu daripada 5.6 peratus pada 2019, demikian dapatan kajian Jabatan Perangkaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, impak pandemik itu kepada ekonomi Malaysia telah menjejaskan pendapatan rakyat dan menyebabkan lebih banyak isi rumah terdedah kepada kemiskinan, terutama dalam kalangan B40 dan golongan rentan.

Kata beliau, pandemik telah memberi kesan terhadap pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) negara, namun ia juga memberi peluang kepada Malaysia untuk menetapkan semula pembangunannya ke arah masa depan yang lebih makmur, inklusif dan mampan.

“Insiden kemiskinan telah berkurang bagi semua kumpulan etnik dan peratusan pengurangan terbesar dicatatkan oleh kaum Bumiputera.

“Bagaimanapun, masih terdapat kelompok kemiskinan dan ketidaksamarataan, serta kemiskinan pelbagai dimensi melibatkan aspek pendapatan dan bukan kewangan merangkumi kesihatan, pendidikan dan kemudahan asas,” katanya dalam kenyataan berhubung webinar SDG, semalam.

Webinar yang bertemakan Bina Kembali: Menangani Kemiskinan dan Mempromosi Pembangunan Inklusif bagi menghadapi Covid-19 itu telah menyaksikan sebanyak empat kertas dibentangkan dalam dua sesi webinar tersebut.

Ia dilakukan bersempena Laporan Sukarela Kebangsaan 2021 (VNR 2021) ke Forum Politik Peringkat Tertinggi Mengenai SDG (HLPF) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan diadakan pada 15 Julai ini.

VNR 2021 adalah untuk melaporkan kemajuan SDG di Malaysia bagi tempoh 2016 sehingga 2019 atau 2020 berdasarkan tema yang telah ditetapkan oleh PBB.

Mustapa berkata, beliau akan menubuh dan mempengerusikan Poverty Circle dianggotai oleh wakil-wakil kerajaan, swasta, pertumbuhan masyarakat sivil (CSO) dan tokoh-tokoh akademik bagi membincang dan merangka strategi terbaik menangani kemiskinan khususnya ketika pandemik Covid-19.

Menurut beliau, secara keseluruhan Malaysia telah mencapai kemajuan baik dalam menangani kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Berdasarkan metodologi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2019, kadar kemiskinan mutlak telah berkurang kepada 5.6 peratus (405,441 isi rumah) pada 2019 berbanding 7.6 peratus (525,743 isi rumah) pada 2016.

“Kadar kemiskinan tegar juga telah berkurang daripada 0.6 peratus (45,004 isi rumah) pada 2016 kepada 0.4 peratus (27,158 isi rumah) pada 2019,” jelasnya.

Mustapa memberitahu, laporan VNR 2021 mengetengahkan kejayaan Malaysia dari segi pertumbuhan ekonomi, penjagaan kesihatan awam, kelestarian alam sekitar, keselamatan awam serta hubungan antarabangsa.

“Walaupun telah banyak kejayaan dicapai, namun masih terdapat cabaran yang perlu ditangani bagi memastikan pencapaian Agenda 2030,” katanya. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment