nuffnang

Tuesday, September 25, 2018

Politik Malaysia Semuanya Ada?

POLITIK Malaysia macam-macam ada! Realitinya begitulah politik di negara kita sekarang. Kleptokrasi, nepotisma, kronisma, korupsi dan pelbagai lagi terma sentiasa berlegar sebagai isu negara dalam kalangan pemimpin politik.

Isu-isu ini menjadi bahan untuk saling serang menyerang dan tuduh menuduh di antara ahli politik. Yang menyerang atau menuduh tampil dengan pelbagai bukti dan fakta, manakala yang diserang dan dituduh pula berhempas pulas menepis atau mengelak dengan pelbagai cara.

Pelbagai kaedah dan saluran digunakan untuk menegakkan kebenaran di pihak masing-masing. Ada yang berbentuk tohmahan, manipulasi, putar-belit fakta dan sebagainya boleh diakses terutamanya melalui media sosial.

Penulis, penganalisis dan yang melontar pendapat atau komen datang daripada pelbagai bidang bukan sahaja ahli politik tetapi pelbagai latar belakang yang kadangkala tidak dapat dikenal pasti kesahihannya.

Semua ini mewujudkan suasana keliru dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai tahap pendidikan, umur dan topografi kediaman yang berbeza; bandar dan juga kampung.

Kleptokrasi yang belum dibuktikan melalui sistem perundangan telah menjatuhkan barisan kepemimpinan kerajaan terdahulu. Begitu juga isu korupsi yang membantu menjadi faktor penyumbang.

Kronisma dan nepotisma pun menjadi isu yang sangat popular dalam pertikaian ahli-ahli politik negara ini. Saya berpendapat ini bukanlah satu amalan baik yang patut diamalkan dalam politik negara untuk mengelakkan persepsi negatif rakyat.

Demi menjaga kepentingan ‘kebersamaan’ sesuatu keluarga, kecenderungan untuk tidak menjadi adil dan berat sebelah tentulah tinggi sekali. Jadi lebih baik kiranya tidak ada lebih daripada seorang ahli keluarga terlibat dalam pentadbiran kerajaan.

Trend semasa dalam kerajaan Pakatan Harapan begitu ketara berbanding kerajaan dahulu. Untuk ‘membenarkan’ pegangan jawatan dalam politik negara, tidak kiralah dalam parti atau pentadbiran negara, tidak boleh memberi alasan ‘dipilih oleh rakyat’ semata-mata.

Berilah peluang kepada orang lain juga, sama-sama boleh kongsi kepemimpinan dari rumpun berlainan dan secara tidak langsung boleh juga kongsi rezeki. Bayangkan dalam satu keluarga ada tiga orang ahli Parlimen, berapa banyak gaji dan elaun untuk keluarga itu sahaja.

Kehadiran pemimpin dari rumpun keluarga yang berlainan boleh menghindarkan trend stereotaip kepemimpinan. Berbeza acuan tentu berbeza kuihnya, baru ada kepelbagaian untuk dipilih.

Adalah diharapkan supaya amalan kronisma dan nepotisma dalam kepemimpinan parti politik dihentikan untuk mengelakkan kesan buruk jangka panjang.

Para pemimpin juga kena ingat, rakyat di negara ini amat mengharapkan kepemimpinan yang terbaik dan telus untuk berkhidmat untuk negara dan rakyat.

Oleh : Zulkifli Z. Abidin

Sunday, September 23, 2018

Curi Barang Mangsa Kemalangan

SATU gejala buruk kini melanda negara kita.

Terlalu kerap mangsa kemalangan jalan raya menjadi mangsa rompakan apabila orang yang kononnya mahu membantu, mengambil kesempatan mencuri dompet, telefon bimbit dan barang berharga milik mangsa.

Baru-baru ini seorang rakan saya kemalangan selepas tayar motosikalnya pancit. Dalam keadaan tidak sedar, ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mencuri beg dan telefon bimbit miliknya.

Sebelum ini, seorang jiran saya kemalangan sehingga keretanya remuk dan dia sendiri cedera parah. Dalam keadaan separuh sedar, dia melihat sendiri beberapa orang menyelongkar keretanya mencuri barang berharga ketika orang ramai cuba membantu mengeluarkannya dari kereta tersebut.

Dalam berita kita sering mendengar kemalangan kenderaan membawa wang, sama ada wang kertas atau syiling, diserbu orang ramai yang mengutip dan menyimpan wang tersebut.

Begitu juga bila lori beras, buah mahupun lori membawa barang basah, semuanya habis ‘disapu’ orang ramai yang sanggup berhenti mengambil ‘barang percuma’.

Mereka yang melakukan perkara terkutuk ini tidak ramai tetapi cukup untuk menjejaskan mangsa kemalangan.

Pihak berkuasa perlu mengetatkan penguatkuasaan dan perundangan dalam hal mencuri ‘bahan bukti’.

Jika orang ramai dibiarkan ‘percaya’ apa sahaja yang ‘tumpah’ di jalan raya adalah barang percuma yang boleh diambil sesuka hati, sikap serupa akan dibawa ke dalam perihal kerja dan kehidupan kelak.

Tangani sebelum parah, cegah kecurian barang mangsa kemalangan.

Oleh : Rider Kental

Saturday, September 22, 2018

Rule of Law ala Malaysia

CARIAN Google memberi pel­bagai maklumat me­ngenai Rule of Law. Walau bagaimanapun, salah satu daripadanya menyatakan bahawa pada prinsipnya semua individu dan institusi adalah tertakluk dan bertanggungjawab kepada undang-undang yang di­terapkan dengan adil dan dikuatkuasakan.

Beberapa perkara jelik telah berlaku dalam negara yang benar-benar menyimpang daripada pengertian sebenar mengenai Rule of Law. Saya bukanlah seorang pengamal undang-undang dan bukan juga mempunyai pendidikan yang diharapkan Perdana Menteri tetapi kerap mengambil tahu perkara yang berlaku dalam negara.

Kenyataan dibuat berke­naan hukuman yang dijatuhkan kepada dua wanita di Terengganu oleh Kabinet kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan juga menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa tempoh hari mengundang persoalan tentang Rule Of Law yang hendak ditegakkan oleh kerajaan baharu selepas menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebaliknya apa yang dibuat oleh Peguam Negara tentang kes Lim Guan Eng dianggap sudah menjadi keputusan yang tidak boleh disangkal kerana kuasa yang dimiliki Peguam Negara adalah ‘mutlak’.

Adakah kerajaan PH dan Perdana Menteri beranggapan sebilangan besar rakyat Malaysia sememangnya tidak berpendidikan? Adakah perlunya rakyat bangkit berarak di jalanan untuk menegakkan keadilan?

Mengulas pendapat Naib Pengerusi Wanita MCA bahawa kes Bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Mohamad Khir Toyo pada tahun 2007 adalah sama apa yang berlaku dengan kes Guan Eng.

Jadi, kesalahan Mohamad Khir seolah-olah atas keputusan politik?

Begitu juga Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim yang juga berpendapat mungkin perbicaraan rakyat atau mahkamah rakyat akan diteruskan jika perlu kera­na kejatuhan Barisan Nasional (BN) didakwa atas keputusan ‘mahkamah rakyat’.

Sehinggakan Jho Low sendiri tidak akan mendapat keadilan jika dibicarakan di Malaysia. Maka, tidak pelik Datuk Seri Jamal Md. Yunos ingin mencuba nasib menghantar surat kepada Peguam Negara bagi memohon semua kes pertuduhan yang dihadapinya dikaji semula seterusnya ditarik balik seperti ‘dinikmati’ Guan Eng.

Berbalik kepada keputusan Kabinet tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Syariah Terengganu juga tidak boleh diterima pada mata rakyat. Tentunya apa juga keputusannya berdasarkan kefahaman mentaksir undang-undang yang ada.

Keputusan Mahkamah Syariah Terengganu berdasarkan Undang-undang Agama Islam di bawah kerajaan Terengganu di mana kuasanya adalah di bawah Sultan Terengganu.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria juga berpendapat bahawa keputusan mahkamah syariah itu perlu dihormati sebagaimana masyarakat Islam menghormati keputusan mahkamah sivil dan jenayah dalam negara.

Masyarakat Islam tidak pernah campur tangan dan memberi pandangan yang jelik terhadap fahaman dan anutan serta kepercayaan agama lain. Jadi apa juga hukum-hakam Islam jangan sewenang-wenangnya diulas dan disimpulkan dengan akal logik sahaja.

Adakah hukuman di Mah­ka­mah Syariah akan berlaku demi­kian juga atas sebab pertimba­ngan politik atau gangguan da­ripada bukan Islam? Ini berbahaya dan mengancam politik Malaysia dalam masa terdekat.

Oleh : Zulkas

Monday, September 17, 2018

Apa status kumpulan G25?

SAYA agak keliru dengan sekumpulan individu menggelar diri mereka sebagai G25 yang nampaknya mahu menyentuh tentang semua perkara yang berlaku di negara ini khususnya berkaitan Melayu dan Islam.

Mahu dikatakan Melayu, saya lihat tidak begitu membawa perwatakan Melayu. Mahu mengaku Islam juga agak meragukan berdasarkan penampilan, perbuatan dan tutur kata sesetengah daripada mereka.

Baru-baru ini nampaknya G25 ini begitu ‘galak’ membidas hukuman rotan terhadap dua wanita Melayu Islam di Terengganu disebabkan gaya hidup lesbian sampaikan kumpulan ‘Melayu celup’ ini mahu kuasa Mahkamah Syariah dinilai semula.

Saya tidak pasti sama ada mereka ini sudah mendaftar sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau sekadar masuk bakul angkat sendiri kononnya pakar dalam semua bidang. Walau apa sekalipun, tolonglah pihak berwajib tegur sedikit kumpulan ini.

Bab agama biarlah mufti dan ulama Islam yang bercakap, bab perundangan serah kepada hakim dan peguam dan bab budaya biar pakar budaya dan sejarah mengulas.

Usia sudah lanjut dan lama menjadi penjawat awam (makan gaji) dalam bidang tertentu tidak menjadikan seseorang itu pakar kehidupan apatah lagi perihal agama.

Sekalipun sudah ada pengiktirafan sebagai pakar akademik sekalipun tidak bermakna boleh komen dalam perihal yang mereka tiada ilmu mendalam atau pengalaman besar.

Saya sebagai anak muda dalam dunia akademik kadangkala berasa malu apabila ahli G25 ini membuat kenyataan atau bercakap mengenai perkara yang jelas bukan kepakaran mereka, apatah lagi mahu menjelaskannya kepada pelajar universiti.

Cakap biarlah berlapik apatah lagi dalam usia emas agar tidak menjejaskan dan lenyapnya legasi sumbangan kepada negara selama ini.

Oleh : Pensyarah Muda

Saturday, September 1, 2018

Siapa Pendatang Sebenarnya?

SAYA membaca dengan teliti terjemahan ucapan pemimpin India ultra kiasu, antaranya berbunyi:

“Ramai orang, apabila ditanya tentang sejarah kita (mereka kata) sejarah (kita) bermula 120 hingga 130 tahun lalu. “Tak betul. Kita datang ke sini (ialah) 2,500 tahun lalu. Buktinya ada di Lembah Bujang. Ada kuil di sana…. tertanam. “Mereka yang pendatang, bukan kita pendatang. Mereka dan kita adalah sama.”

Siapakah yang dirujukkan sebagai ‘mereka’ jika bukan orang Melayu? Tidak mungkin sama sekali merujuk kepada orang Cina atau Bumiputera Sabah Sarawak. Sudah terang lagi bersuluh, mereka yang dimaksudkan adalah orang Melayu.

Jika orang Melayu pendatang? Bagaimana dengan bangsa lain? Sudah tentu lagi jelas pendatang sebab wajah dan rupa fizikal mereka jauh berbeza dalam kalangan bangsa asal yang tinggal di alam kepulauan Melayu.

Lihat rupa Melayu di Kepulauan Melayu, bandingkan dengan rupa India dan Cina. Jauh sekali berbeza. Satu berkulit gelap, satu lagi berkulit putih. Melayu di tengah-tengah tidak gelap dan tidak putih. Inilah rata-rata orang yang tinggal di Kepulauan Melayu merangkumi Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan yang berdekatan. Justeru, siapa sebenar pendatang? Siapa pula yang mendatang sesama mereka?

Saya tidak pernah dengar lagi rantau Nusantara ini dikenali sebagai kepulauan Hindu, kepulauan India, atau kepulauan apa. Jika ada pun nama Laut China Selatan, bukan Laut India Selatan. Yang saya tahu, seantero dunia mengenali kepulauan ini sebagai kepulauan Melayu atau Malay Archipelago.

Sebab itu, saya sangat pelik apabila ada ekstremis LTTE boleh mengatakan bahawa ‘ini tanah kita bersama dari segi asal-usul’. Saya tidak menafikan jika dilihat dari sudut agama, kerana agama Hindu lebih lama bertapak di kepulauan ini, tetapi bukan bangsa.

Sejarah setiap bangsa ada tanahnya sendiri, bangsa Cina membentuk negara China. Bangsa India membentuk negara India. Begitu juga dengan negara-negara Arab dan negara-negara lain di dunia. Raut wajah mereka membentuk bangsa dan negara mereka.

Tiba-tiba rantau yang sudah dikenali dunia sebagai Nusantara atau kepulauan Melayu, ultra kiasu tidak mahu mengiktiraf sebagai kawasan kepunyaan bangsa Melayu. Malah, sanggup merujuk Melayu sebagai pendatang. Cubalah tukar DNAnya.

Lebih jahil lagi ada yang berkata Sarawak atau Sabah tidak termasuk dalam rumpun kepulauan Melayu. Memang asal usul Melayu majoritinya beragama Hindu, tetapi apabila Islam datang, rajanya memeluk Islam, diikuti seluruhnya rakyat jelata, maka senyaplah legasi agama Hindu yang bertapak di Alam Melayu.

Jika lihat dari segi pengaruh dan tinggalan arkeologi, ajaran Buddha lebih mendapat sambutan di kepulauan Melayu, bukan Hindu. Dalam sejarah kami diajar pengaruh Buddha-Hindu, bukan Hindu-Buddha. Contohnya di Thailand dan negara berjiran, boleh dikatakan semuanya berfahaman Buddha. Begitu juga di Indonesia.

Saya tidak mahu terlibat dalam polimik asal usul Melayu sebagaimana yang diceritakan oleh pakar sejarah Melayu seperti Profesor Nik Hasan Shuhaimi dan antropologi, Profesor Wan Hashim Wan Teh. Sebab kedua-duanya orang Melayu. Ultra kiasu tidak teruja.

Lebih molek jika saya merujuk kepada sarjana berkulit putih, yang lebih meyakinkan ultra kiasu seperti Dr Steven Oppenheimer (1999), pakar Paleontologi dalam bukunya bertajuk, Eden in the East, The Drowned Continent of Southeast Asia. Beliau yang juga tenaga pengajar di Universiti Oxford turut mengemukakan teori bahawa migrasi moyang kepada rumpun Melayu daripada kabilah Negrito, Asli Semang dan Senoi adalah secara terus menerus dari benua Afrika melalui Timur Tengah ke benua Melayu Sunda.

Secara umumnya terdapat beberapa teori mengenai asal usul Melayu. Pertama, asal usul orang Melayu adalah berdasarkan teori penghijrahan beramai-ramai orang Melayu daripada Yunan, selatan China dan keluar melalui Sungai Mekong ke Laut Cina Selatan, yang dikenali sebagai “Teori Keluar Dari Yunnan” (1890).

Kedua, Melayu lahir akibat kahwin campur antara Cina, India dan Arab. Orang Melayu dikatakan bekerja sebagai kelasi kapal dan buruh kepada pedagang antarabangsa yang terdiri daripada orang Arab, China dan India lebih kurang 2,000 tahun lalu, dikenali sebagai teori “Keluar Dari New Guinea” (1965).

Interaksi dan perkahwinan campur dengan bangsa India, China dan Arab, menghasilkan sebuah bangsa baharu yang dikenali sebagai bangsa Melayu. Teori ini agak keterlaluan kerana mengandungi unsur penghinaan.

Ketiga, berdasarkan teori lingustik oleh Peter Bellwood dan disokong bukti arkeologi oleh pakar arkeologi, Eusibio Dizon, menerusi buku, The Austronesian (1997), dikenali sebagai “Teori Keluar dari Taiwan” dan juga “Teori Keretapi Ekpress ke Polynesia”.

Teori ini mengatakan bahawa orang Melayu-Polynesian atau Astronesian atau rumpun Melayu berasal daripada Taiwan. Orang Melayu, telah keluar daripada Taiwan sejak 6,000 tahun dahulu, dan kemudiannya merantau ke serata dunia. Mereka dikatakan merantau dari Pulau Madagascar di Timur sehingga ke Pulau Easter di Barat. Seterusnya merentas Jepun di utara sehingga ke New Zealand di selatan.

Lanjutan daripada itu, Oppenheimer, Wilhelm G Solheim dan Arysio Nunes dos Santos (1999) menggunakan bukti-bukti geologi dan mitologi, dan digabungkan dengan bukti arkeologi, genetik dan linguistik. Mereka bersetuju orang Melayu sebenarnya berasal dari sebuah tamadun yang hilang, yang dinamakan Benua Melayu Sunda atau Tamadun Sunda. Bangsa ini hakikatnya telah wujud sejak 15,000 tahun Sebelum Masihi.

Menurut mereka lagi, Asia Tenggara kuno disatukan oleh Pentas Sunda yang menghubungkan Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, Jawa, Borneo dan Filipina. Asia Tenggara ketika itu bercantum sebagai satu benua dengan tanah besar Asia dan Pentas Sahul iaitu pentas benua Australia-New Guinea.

Kawasan perairannya yang cetek dan mudah dilalui telah menghubungkan beberapa laluan penghijrahan bebas untuk manusia dan haiwan di tanah besar Asia, yang dikenali sebagai Gugusan Kepulauan Melayu Nusantara. Keluasan gugusan ini atau Benua Sunda adalah dua kali lebih besar daripada Benua India. Kawasan laut Champa, Teluk Siam dan Laut Jawa, pada ketika itu kering kontang dan menjadi dataran pelantar bagi menghubungkan beberapa bahagian benua tersebut.

Menurut Oppenheimer lagi, Benua Sunda inilah bermulanya tamadun manusia yang menyuburkan budaya-budaya hebat di China, India, Mesopotamia, Mesir dan Kepulauan Crete (Greek) lebih kurang 6,000 tahun lampau.

Ini bermakna, bangsa Melayu itu bukan bangsa baharu yang selalu dikaitkan bermula selepas penjajahan Barat. Secara tidak langsung bukti ini menolak dakwaan Anthony Reid yang mengatakan bangsa Melayu hanya berpusat di Selat Melaka. Sekali gus menolak “Teori Keluar Dari Taiwan” dan “Teori Dari New Guinea”.

Dalam erti kata lain, Jawa adalah Melayu, Siam adalah Melayu, Moro adalah Melayu, Minang adalah Melayu, Dusun adalah Melayu, Iban adalah Melayu, Filipina adalah Melayu dan Dayak adalah juga Melayu. Suku kaum kepada etnik bangsa Melayu adalah sebaka dan serumpun.

Bermakna, Melayu Asli (orang asal) bukanlah berasal dari Yunnan atau Taiwan. Sebaliknya orang Taiwan dan Yunnan itu sebahagian besarnya adalah berasal dari Asia Tenggara.

Nyata sekali bahawa kelima-lima teori ini (enam termasuk oleh sejarahwan Melayu) tidak ada langsung kaitan dengan India. Paling kuat pun dengan Cina. Justeru, apakah justifikasi ultra kiasu India tersebut mengatakan bahawa orang Melayu dan India adalah sama iaitu pendatang.

Paling menarik membaca buku John Russell Denyes bertajuk Malaysia, terbitan tahun 1919, yang terdapat di perpustakaan, University of Illinois. Muka pertama tertulis “Malaysia is off the southeast corner of Asia, 1500 miles south of China, 1500 miles east of India. It includes the Malay Peninsula and the islands of Sumatra, Java, Borneo, Celebes, Timor, the Moluccas, New Guinea, and a thousand smaller islands. The country gets its name from the Malay people who live there.”

Pendapat beliau mengenai India: “the Indians who come to Malaysia are mostly Tamils from Madras Presidency and Ceylon. Bishop Oldham describes them as “noisy, exceedingly talkative, faithful, devout, obedient to order, capable of patiently bearing much hardship”.

Justeru, atas landasan apakah dan rujukan apakah ultra kiasu mengatakan Melayu itu pendatang? Semua teori di atas saya boleh terima. Tetapi saya sama sekali menolak bahawa Melayu, Cina dan India sama-sama pendatang. Jika ditakdirkan semua itu pendatang, siapakah yang mula-mula membentuk kerajaan di alam Melayu. Orang Indiakah?

Hairan sungguh saya apabila seorang yang bergelar peguam tidak dapat menerima hakikat ini.

Ini belum dibuktikan lagi dengan bangsa apakah yang begitu lantang menentang penjajahan British di Tanah Melayu. Cinakah? Indiakah? Wajah-wajah bukan Melayu hanya muncul menjelang kemerdekaan, sebelum itu wajah siapa? Wajah Parti Komunis Malaya? Wajah MPAJA? Wajah siapa lagi?

Tidak lain dan tidak bukan wajah Melayu, seperti Tok Janggut, Dato Maharaja Lela, Abdul Rahman Limbung dan lain-lain lagi. Ini tidak termasuk Melayu yang berhaluan kiri, seperti Ahmad Boestaman, Burhanuddin Helmi, Pak Sako, Pendeta Zaaba, Ibrahim Yaakub dan ramai lagi.

Tidak perlulah dibincangkan lagi peranan Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan lain-lain lagi. Wajah-wajah hanya muncul menjelang kemerdekaan, apabila British mensyaratkan bahawa kemerdekaan hanya diberikan jika semua kaum dapat disatukan melalui persetujuan pemimpin mereka yang dikenali sebagai kontrak sosial. Maka muncullah nama-nama seperti Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan dan lain-lain.

Sebab itu saya mohon ultra kiasu menghentikan provokasi sebegini kerana ia tidak baik untuk pembangunan negara bangsa. Provokasi ini hanya akan meninggalkan luka yang amat mendalam. Ingatlah! Dengan Islam, Melayu itu lembut orangnya, bersopan santun dan berbudi bahasa. Melayu bersedia menerima orang lain meskipun warna berbeza. Justeru, jangan keterlaluan, celupar dan kurang ajar, dibimbangi kelembutan dan kesantunan itu hilang

Akhirnya, saya ingin simpulkan bahawa sejarah manusia bukan bermula daripada keturunan beruk menjadi manusia. Sebaliknya manusia berasal dari Nabi Adam. Nabi Adam diturunkan ke bumi sekitar 4000 hingga 5000 SM.

Apa yang berlaku ialah penyongsangan fakta untuk membenarkan idea Darwinisme iaitu manusia daripada beruk. Ini dibuktikan bahawa DNA manusia hari ini berbeza dengan manusia beruk seperti Cro Magnon, Neoderhenthal, Perak Man, Peking Man dan sebagainya. Perbezaan DNA adalah 85 peratus iaitu kromoson manusia Adam tidak sama dengan manusia asal beruk.

Lalu, saya pun mengharap supaya ultra kiasu menerima bahawa asal manusia daripada Adam, bukan beruk seperti teori Darwin. Itupun jika masih mahu menjadi ‘beruk’ silakan mengatakan bahawa Melayu, Cina dan India sama-sama pendatang di Malaysia.

Menurut Hamka, manusia daripada Nabi Adam seperti yang dinyatakan dalam al-Quran. Tetapi manusia yang dijumpai seakan-akan beruk itu adalah penciptaan genetik awal dan belum sempurna. Maka tidak layak dipanggil manusia kerana lebih mirip haiwan daripada manusia Adam. Jadi, saya noktahkan di sini bahawa Melayu asal dari bani Nabi Ibrahim.

Justeru, saya menyeru Melayu agar dapat menjaga kemuliaan keturunan ini dengan berakhlak mulia. Hindari perkara yang boleh menjatuhkan maruah seperti melakukan kemungkaran dan kemaksiatan, bersubahat dengan musuh dalam perkara mungkar, dan sebagainya.