Tuesday, June 29, 2021

RM300,000 Dana PEMULIH Bukan ‘Duit Poket’ MP, Salur Dengan Telus

Peruntukan RM300,000 melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bukan ‘duit poket’ untuk Ahli Parlimen, sebaliknya dana itu hak rakyat yang perlu disalurkan dengan telus.

Justeru, parti BERJASA mengingatkan setiap Ahli Parlimen supaya jujur dan berintegriti dalam mengendalikan dana berkenaan supaya bantuan sampai kepada rakyat memerlukan.

Ini kerana, isu ketelusan penyaluran bantuan perlu diberi perhatian susulan berlaku kes penyelewengan dana membabitkan beberapa Ahli Parlimen sebelum ini, kata Yang Dipertua BERJASA Bahagian Sepang, Yudi Kurniawan Budi.

“Sebagai rekod, terdapat kes rasuah, penyelewengan dana dan salah guna kuasa membabitkan Ahli Parlimen, sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang terdahulu membabitkan ratusan ribu ringgit telah dilaporkan dan sebahagiannya dibawa ke mahkamah untuk perbicaraan.

“Pada 2008 dan 2009, pembantu khas seorang Ahli Parlimen mengaku tidak bersalah di Mahkamah Khas Rasuah di Kuching terhadap dua pertuduhan menyelewengkan dana berjumlah RM9,500 dan RM10,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seorang Ahli Parlimen di Selangor juga dihadapkan di Mahkamah Sesyen Shah Alam dengan lapan pertuduhan memalsukan tuntutan berjumlah RM80,000 bagi program tidak wujud.

“Kes-kes ini dan banyak kes lain membabitkan Ahli Parlimen diperkukuhkan dengan kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki beberapa bulan lalu.

“Ia bahawa terdapat peningkatan kes rasuah berskala besar membabitkan sindiket jenayah dan kartel serta penjawat awam sejak wabak COVID-19 melanda negara awal tahun lalu,” katanya.

Yudi berkata, peningkatan kes-kes rasuah menurut Azam Baki dipercayai oleh kesan kegawatan ekonomi akibat penularan pandemik COVID-19 yang menyebabkan semakin ramai individu dalam keadaan terdesak.

“Selain faktor kelemahan kepimpinan peribadi individu, kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi serta penguatkuasaan undang-undang dan hukuman,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang bagi melaksanakan Bantuan Bakul Makanan untuk rakyat terjejas akibat COVID-19.

Peruntukan itu adalah antara initipati inisiatif kerajaan melalui PEMULIH untuk membantu meringankan beban rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment