Thursday, December 31, 2015

Perkampungan Dalam Air Pertama Dunia Di Belgium

Seorang arkitek Belgium mendedahkan rancangan luar biasa untuk membina bangunan boleh diduduki di dalam air, pertama di dunia yang dapat menampung sebanyak 20,000 penduduk pada satu-satu masa.

Vincent Callebaut seperti lapor Mail Online berkata, rekaan bangunan itu membolehkan orang ramai tinggal di dalam struktur berkenaan, sekali gus mengurangkan penggunaan karbon dioksida di Bumi.

Struktur mesra alam itu yang dinamakannya sebagai ‘perkampungan Aequorea’ tidak bergantung kepada minyak sebaliknya bangunan berkenaan akan menghasilkan sendiri tenaga dan haba untuk keperluan penduduk kawasan tersebut.

Setiap bangunan di Aequorea mempunyai struktur seperti ­obor-obor dengan pintu masuk dan jeti boleh didapati pada permukaan dengan bangunan tersebut akan menurun ke bawah air pada kedalaman 1,000 meter.

Struktur yang menempatkan 250 tingkat di dalam air pada kelebaran 500 meter itu akan dilengkapi rumah, pejabat, bengkel, makmal sains, dan kawasan pertanian.

Air minuman pula dihasilkan dari sebuah loji kuasa yang menggunakan tekanan kuat untuk mengatasi tekanan osmosis dan memisahkan air daripada garam.

Udara pula diperbaharui secara semula jadi oleh perolakan menerusi cerobong angin pada menara bangunan atau dilakukan oleh sebuah stesen oksigen.

Callebaut berkata, sumber makanan pula akan diperoleh daripada terumbu karang, kawasan pertanian, aktiviti penangkapan ikan.

Tambahnya, setiap bangunan mesra alam itu dijangka memerlukan kos sebanyak 1,430 pound (RM9,143) bagi setiap meter persegi untuk dibangunkan dan boleh dibina di seluruh laut utama di dunia. - utusan

Wednesday, December 30, 2015

Miskin Sangatkah Bahasa Melayu?

Bukan sahaja sakit mata memandang, malah penggunaan nama dan istilah berunsurkan Barat di kebanyakan tempat di negara ini seolah-olah meletakkan bahasa kebangsaan di tangga kedua atau ketiga dalam jiwa rakyat Malaysia.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan mendapati, pemaju projek pembangunan le­bih memilih untuk menggunakan nama yang dianggap canggih dan mempunyai nilai komersial tinggi untuk menarik minat pembeli.

Dalam masa sama, di lokasi tumpuan pula, nama sebegitu diguna pakai untuk meningkatkan daya tarikan pengunjung untuk datang ke kawasan tersebut sama ada untuk beriadah, melepak atau menghabiskan masa lapang.

Di sesetengah tempat, nama sedia ada pula menggunakan istilah Inggeris untuk kelihatan lebih maju dan bersifat kebandaran sedangkan tiada salahnya jika nama asal tempat tersebut dikekalkan.

Apa yang menyedihkan, tindakan ini seolah-olah dilihat tidak memberi apa-apa implikasi kepada masyarakat sedangkan pada hakikatnya jika keadaan tersebut berterusan, tidak mustahil dalam beberapa tahun lagi mungkin perkataan bahasa Melayu terus hilang.

Di Dengkil, Selangor misalnya, sebuah projek perumahan yang terletak di Taman Intan dibangunkan dengan nama Diamond Park.

Di Kajang, tempat baharu cuba dimodenkan dengan menggunakan nama Bangi Walk, Southville City dan macam-macam lagi.

Dalam pada itu, penggunaan perkataan boulevard, waterfront, garden semakin giat digunakan selain nama jalan yang mengaplikasikan nama pinjaman daripada negara luar.

Yang menjadi persoalan, me­ngapa keadaan ini seolah-olah tiada kawalan pihak berkuasa tempatan (PBT) malah sudah menjadi trend?

Siapakah yang bertanggungjawab meluluskan nama-nama ini dan adakah bahasa kebangsaan terlalu sengkek sehingga tidak diberi keutamaan dalam kehidupan rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, sesetengah tempat pula meminjam perkataan Inggeris dan cuba dimelayukan misalnya Pusat Koreksional yang sebenarnya boleh digantikan dengan pusat pemulihan atau pusat latihan.

Mungkin dari segi ejaan dan penggunaan bahasa pinjaman itu tidak salah, tetapi adalah lebih baik jika namanya dikekalkan dalam konteks penggunaan bahasa Melayu itu sendiri.

Dari sudut lainnya, bagaimana keunggulan budaya dan kekayaan sifat ketimuran hendak diketengahkan jika kita secara terus memberi peluang kepada budaya luar untuk mencari tempat dalam jiwa masyarakat kita. Tepuk dada tanya selera.- utusan

Tuesday, December 29, 2015

Melayu Tolehlah Sejarah

SESEKALI kena toleh sejarah. Tidak ada ruginya. Untungnya lagi besar untuk pengajaran masa depan.

Orang Melayu harus ambil iktibar kejatuhan Empayar Uthmaniyyah yang dianggap sebuah kerajaan hebat yang tidak mungkin ditewaskan suatu ketika dahulu.

Kekalahan kerajaan Uthmaniyyah dalam Perang Lepanto pada 7 Oktober 1571 telah menaikkan moral tentera Kristian sehingga kerajaan Islam itu terus mengalami kekalahan sebelum runtuh pada 1919.

Kesedaran adalah suatu perkara yang lazimnya tidak akan berlaku. Melainkan setelah berlaku suatu peristiwa yang mencengkam perasaan dan jiwa seseorang. Apabila berlaku kematian atau musibah yang amat mengejutkan, maka kebiasaannya akan wujud kesedaran yang akhirnya membawa perubahan.

Demikianlah lumrah hidup ini yang mempunyai cara semula jadi dalam memperbetulkan sesuatu keadaan, bangsa mahupun individu.

Selepas pilihan raya umum 2013, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan sokongan rakyat negara ini terhadap politik perkauman semakin luntur.

Akhbar berkenaan melaporkan dapatan satu forum yang memetik beberapa orang pensyarah dari sebuah universiti menyatakan ketuanan Melayu sudah mulai ditolak khalayak. Pada masa sama, kumpulan pensyarah itu turut mendakwa berlaku ‘tsunami Cina’. Akhbar itu memetik satu kertas kerja ‘Multiracial Tsunami’ yang mengatakan ‘Ketuanan Melayu’ yang nyawa-nyawa ikan hanya dilanjutkan kerana orang Melayu takut hilang kuasa politik.

Menurut kertas kerja itu, hanya tinggal puak konservatif dalam parti pemerintah yang masih cuba mempertahankan ‘Ketuanan Melayu’.

Kita tidak boleh menolak fakta. Memang benar ‘tsunami Cina’ pada pilihan raya umum lalu berjaya mengukuhkan kedudukan pakatan pembangkang di negeri-negeri masyarakat majmuk yang diperintah mereka. Di Selangor dan Pulau Pinang, Barisan Nasional menyusut prestasinya pada 2013 berbanding 2008.

Tsunami Cina sebenarnya berjaya memenangkan beberapa orang calon Melayu baharu Pas dan PKR di kerusi campur serta membantu calon-calon Melayu yang lain mempertahankan kerusi mereka.

Misalnya Rafizi Ramli (PKR) menang di kawasan 48.2% pemilih Cina di Pandan, Selangor; Mohd. Idris Jusi (PKR) di kawasan 45.7% pemilih Cina di Batu Pahat, Johor; dan Shamsul Iskandar Akin (PKR) di kawasan 40.8% pemilih Cina di Bukit Katil, Melaka.

Calon PKR, Mansor Othman pula menang kerusi Nibong Tebal (37.3% Cina) di Pulau Pinang, dan calon-calon Pas Che Rosli Che Mat dan Mohd. Hanipa Maidin masing-masing menang di Hulu Langat (34.3% Cina) dan Sepang (34.0% Cina), Selangor.

Calon-calon PKR yang memenangi kerusi yang mempunyai lebih satu pertiga pemilih Cina, Mohd. Imran Hamid di Lumut, Kamarul Baharin Abbas di Telok Kemang, Zuraida Kamaruddin di Ampang dan Fuziah Salleh di Kuantan.

Calon Pas Dr. Siti Mariah Mahmud menang di kerusi Kota Raja, Selangor yang mempunyai 45.4% calon bukan Melayu.

Mahu tidak mahu, orang Pas kena akui parti itu lebih berjaya di kawasan yang mempunyai sejumlah besar pemilih Cina di kerusi-kerusi campur. Cuma, mereka tidak mampu menang di kawasan Melayu pekat di negeri-negeri Pantai Barat.

Impak tsunami Cina menyerlahkan rekod DAP yang mencipta kesempurnaan di negeri-negeri ‘Chinese belt’.

Di kerusi-kerusi DUN Pulau Pinang, DAP bertanding 19 kerusi, menang 19. Di Perak, mereka bertanding 18 kerusi, menang 18.

Di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang, DAP sapu bersih kesemua kerusi DUN yang ditandingi. Di Selangor (15/15), Negeri Sembilan (11/11) dan Pahang (7/7).

Di kerusi-kerusi DUN Johor, DAP bertanding 14 kerusi, menang 13. Kesemua 13 calonnya tidak ada seorang pun Melayu menang di Johor. Yang kalah hanya seorang calon DAP keturunan India.

Dalam kalangan 19 ADUN DAP di Pulau Pinang, tidak ada seorang yang Melayu. Perak, Selangor dan Negeri Sembilan begitu juga, tiada Melayu.

Cuma dalam kalangan tujuh ADUN DAP di Pahang, barulah ada seorang Melayu dari kerabat diraja. Tsunami Cina telah menambahkan jumlah bilangan perwakilan pakatan di DUN daripada 196 kerusi kesemuanya pada 2008 kepada 229 kerusi pada 2013.

DAP terbukti parti pembangkang paling berkuasa sekali.

Bertitik-tolak daripada sepotong ayat daripada Surah Ar-Raad (Q13:11), bahawasanya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum hingga kaum tersebut mengubah apa yang ada di dalam mereka.

Bangsa Melayu sekarang tidak sama dengan bangsa Melayu 50 tahun yang dulu. Jika disandarkan kepada ayat al-Quran tadi, maka dapat dirumuskan, pencapaian bangsa Melayu hari ini adalah hasil daripada iltizam generasi bangsa Melayu terdahulu yang telah sanggup berkorban, bekerja keras dan mengubah apa yang ada dalam diri mereka.

Ini sehinggakan Melayu hari ini mampu berdiri sama tinggi dengan bangsa Cina dan India dengan bangganya seraya berkata, hidup anak-anak bangsa ini telah berubah.

Tetapi adakah kita akan alpa dengan segala pencapaian hari ini atau perlukah Melayu sedar bahawasanya apa saja yang dicapai hari ini, boleh lenyap dengan sekelip mata? Jika bangsa Melayu leka dan tidak kenal mana satu kawan dan mana satu lawan maka akhirnya bangsa Melayu akan memusnahkan nasib bangsa hasil perbuatan tangan-tangan mereka sendiri.

Politik bangsa Melayu kini berada di persimpangan. Lipatan sejarah berulang-ulang kali cuba memberi pelajaran kepada bangsa Melayu bahawa jika mereka tidak bangun, sedar dan berubah maka sentiasa nasib bangsa ini akan menjadi seperti mana tercatat dalam sejarah bangsa Melayu. Dan lipatan sejarah ini tidak pernah sekalipun tersilap.

Orang-orang Melayu mesti ambil iktibar daripada sejarah bahawa persengketaan di antara bangsa Melayu yang menyebabkan Portugis, Belanda dan British menjajah Tanah Melayu.

Jangan kerana idealisme politik romantika yang berasaskan fitnah dan kebencian dijadikan asas, maka segala bakti dan budi parti sedia ada yang telah banyak membantu ramai orang-orang Melayu untuk bangun dan berjaya dalam hidup - dipersiakan sebegitu sahaja.

Sunday, December 27, 2015

Bahasa Melayu Sebagai Identiti Bangsa Tak Boleh Disisih

PANGGILAN pelampau bahasa yang dikenakan kepada pencinta bahasa Melayu, yang didakwa cuba menggagalkan usaha peningkatan penguasaan bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan negara, bukan sahaja tidak wajar, tetapi juga tidak tepat.

Pencinta bahasa Melayu yang dianggap kelompok yang pemikirannya tersasar jauh sehingga boleh disifatkan tidak normal dan rasional, selain berbahaya, sesungguhnya adalah mereka yang amat prihatin dan cakna kepada bahasa Melayu sebagai bahasa negara ini. 

Selain bangga, sayang dan setia kepadanya, kelompok ini amat mengetahui, lalu menyedari untuk diinsafi nilai bahasa Melayu kepada negara ini. Oleh itu, mereka tidak akan sesekali membenarkan bahasa Melayu dikesampingkan di tanah watannya oleh rakyatnya sendiri. Oleh itu, sebarang usaha peningkatan penguasaan bahasa Inggeris yang didapati akan menggugat kedudukan dan peranan bahasa Melayu, akan ditentang habis-habisan.

Mereka bukan fanatik terhadap bahasa Melayu dan membabi buta dalam memperjuangkannya. Sebaliknya mereka amat rasional, misalnya semasa menentang Program Dwibahasa yang ingin mengajar mata pelajaran Sains dan Teknologi dalam bahasa Inggeris, walaupun secara bersekali dengan bahasa Melayu. Ini dilakukan mereka kerana persaingan yang diwujudkan antara dua bahasa ini oleh kita sendiri, pasti akan meminggirkan bahasa Melayu pada akhirnya. Ini didasarkan banyak kes persaingan bahasa lain dengan bahasa Inggeris sebelum ini di serata dunia, yang memperlihat bahasa lain itu tidak diminati lagi oleh komunitinya sendiri, lalu menjadi tidak penting langsung. 

Identiti rakyat Malaysia 
Hal ini tidak boleh dibiarkan berlaku kepada bahasa Melayu. Bahasa Melayu terlalu bernilai kepada kita semua untuk dihancurkan bahasa Inggeris. Nilai itu terletak pada beberapa perkara. Pertama, bahasa Melayu satu-satunya bahasa yang mampu mengungkapkan identiti rakyat Malaysia dengan baik. Identiti kita sebagai rakyat Malaysia bukan sahaja penting kerana bahasa Melayu jiwa bangsa Malaysia. Ia juga penting untuk rakyat Malaysia dikenali, dicam dan diingati di dalam dan luar negara sebagai satu komuniti yang berbeza dengan yang lain. 

Dengan ini, bahasa Melayu akan memberikan rakyat Malaysia ciri dan watak kebahasaan yang tidak sama dengan kelompok lain, walaupun di Nusantara ini. Hanya bahasa Melayu mampu bertindak sebagai penanda utama untuk mempamer identiti bangsa dan negara Malaysia. 

Berkait rapat dengan identiti Malaysia ialah sejarah yang merupakan perkara kedua. Dalam konteks ini, bahasa Melayu khazanah sejarah Malaysia, iaitu ia arkib sejarah bangsa Malaysia dalam pengertian bahasa Melayu adalah himpunan sejarah kesemua penuturnya. 

Tiada pengganti
Sehubungan ini, bahasa Melayu tidak boleh dibiarkan hilang, apatah lagi mati lalu pupus, walaupun dalam bentuk peranjakan, iaitu peranan pentingnya digantikan bahasa Inggeris dan ia dikhususkan untuk memperkata hal remeh sahaja. Apabila ini berlaku, bahasa Melayu akan terputus hubungannya dengan peristiwa lampau yang penting. 

Gabungan identiti dan sejarah membawa kepada cerminan bahasa Melayu dalam mengungkap dan menginterpretasi kewujudan bangsa Malaysia. Ini adalah perkara ketiga mengenai bahasa Melayu yang besar sumbangannya dalam membina tapak pengetahuan bangsa Malaysia.

Dalam hal ini, bahasa Melayu adalah pengungkapan keseluruhan bangsa Malaysia dan sejarahnya. Ini dapat dilihat dari segi peranan bahasa Melayu dalam menyampaikan peristiwa penting negara, yang dilakukan melalui nahu dan kosa katanya. 

Perkara empat adalah bahasa Melayu terlalu indah untuk dikesampingkan. Sehubungan ini, bahasa Melayu dengan bunyi, kata, ayat dan maknanya bukan sahaja mampu membina sistem komunikasi yang berkesan. Ia juga berjaya membentuk kecanggihan yang indah untuk digunakan bagi mencantikkan sastera dan seni negara. 

Oleh sebab empat perkara inilah dan bersama-sama yang lain, antaranya taraf linguistiknya sebagai bahasa saintifik moden dan kedudukan sosialnya selaku bahasa kelima terbesar di dunia, pencinta bahasa Melayu berasa bukan sahaja kita berdosa besar kepada leluhur kita yang telah berjaya membinanya sehingga memperlihat sistem perlambangan yang mampu memahami alam semesta dengan baik sekali, jika ia dikesampingkan. Yang lebih penting dari itu ialah mereka juga merasakan kesampingan bahasa Melayu satu tragedi intelektual. Oleh itu, ia tidak boleh dibenarkan berlaku. Pemikiran begini sederhana sekali dan langsung tidak pun bersifat melampau.

Oleh : Teo Kok Seong

Wednesday, December 23, 2015

Kenapa Bergelar Khalifah

KEPADA yang mencari-cari erti kehidupan dan terjumpa Islam dalam pencarian, tentunya mereka akan bertanya kenapa Tuhan jadikan kita.

Tuhan indah dan Tuhan suka kepada keindahan, pesan Nabi Muhammad tentang Yang Maha Esa. Antara banyak-banyak keindahan, keindahan yang paling Tuhan suka ialah yang bernama manusia. Apakah yang Tuhan letak pada manusia yang menjadikannya sesuatu yang indah tetapi juga istimewa?

Manusia dijadikan Tuhan untuk menjadi khalifah di muka bumi. Sebagai khalifah kita diberi penghormatan menjadi rahmatan li al-‘alamin iaitu memelihara muka bumi supaya ia menjadi taman syurga di dunia kepada segala penghuninya.

Sebagai khalifah bererti kita mempunyai kaitan dengan segala yang ada di setiap pelosok semesta dan kerana itu mempunyai peribadi yang mencakupi lima entiti iaitu saya, keluarga, jiran dan masyarakat tetangga, alam semesta dan sebagai hamba kepada Yang Maha Esa. Justeru, apabila saya melihat diri, saya juga melihat semua yang berkait dengan saya.

Mungkin juga Tuhan menjadikan kita sedemikian rupa supaya kita tahu bahawa saling bergantung dan berhubung adalah ramuan terbaik untuk menghasilkan ukhuwah dan peribadi yang indah sebagaimana yang terdapat pada semut dan labah-labah.

Sebagai contoh, apabila kita memasukkan sesuap nasi ke dalam mulut, kita akan terkenang ibu bapa kita yang bertitik peluh agar kita dapat mengenyangkan perut, terkenang para petani yang bertungkus-lumus untuk memastikan beras mencurah-curah keluar dari bendang sawah, terkenang alam dan kehijauannya yang tidak putus-putus mendatangkan sumber kehidupan kita dan terkenang kepada Yang Maha Esa yang kerana sayang-Nya pada kita, memastikan rezeki kita senantiasa terjaga.

Justeru, apabila kita memegang sesuap nasi, kita memandang kepada segala yang memungkinkan nasi itu terpampang di depan mata kita dan kerana itu, akan terkesan terhadap peribadi kita tentang bagaimana kita berfikir, berhubung dan bertindak supaya kita membawa kebahagiaan kepada semua dan bukan kesengsaraan kepada mereka.

Sesuap nasi yang kita ada pastinya membuat kita terkenang kepada mereka yang tidak mampu menyara diri dan ini tentunya menggerakkan hati kita untuk mahu berkongsi walau sedikit apa yang kita ada. Ihsan dan belas kasihan adalah nilai kemanusiaan yang cukup mulia di sisi Tuhan dan untuk nilai sebegini terpancar dari lubuk sanubari, ia perlu kepada kita mempunyai sehati sejiwa dengan segala yang ada di luar sana.

Mungkin ada yang bertanya jika hidup kita adalah berkongsi semata, apa pula yang tinggal untuk diri kita sebagai individu persendirian yang mempunyai kemahuan, kreativiti dan karisma untuk memajukan nasib hidup sendiri?

Kita mungkin terkejut untuk mengetahui bahawa semakin banyak kita berfikir tentang yang selain dari kita, kita akan menjadi lebih celik tentang diri kita sebagai individu dan bertambah jelas tentang bagaimana perkongsian yang menjanakan persaudaraan boleh memajukan cita-cita persendirian.

Sehubungan itu, apabila kita hendak melakukan sesuatu yang akan memberikan kepuasan kepada diri sendiri, namun dengan memikirkan tentang kesannya kepada yang selain daripada kita, kita akan fikir banyak kali dan dengan lebih khusyuk dan teliti tentang natijahnya kepada segala yang ada termasuk diri empunya yang bernama saya.

Sekiranya kita lihat kepada curahan nikmat yang melimpah dunia dan kebanyakan manusia berkejar-kejar untuk mendapatkannya, pastinya kita teruja untuk menjadi manusia. Namun apabila kita melihat keghairahan manusia untuk cantas-mencantas antara satu sama lain sehingga sebuah dunia yang indah boleh bertukar wajah, tentunya kita akan bertanya seandainya kita dibiar untuk melakukan apa sahaja yang kita suka, apakah kita akan dapat melihat sebuah kehidupan yang menjelmakan peribadi yang indah sebagaimana idaman kita?

Tuhan jadikan kita supaya suka kepada keindahan kita sebagai manusia. Justeru, Tuhan jadikan kita hidup berkongsian supaya melalui persaudaraan kita boleh memiliki peribadi rahmatan li al-‘alamin yang menghubungkan langit, bumi dan diri dalam pengabdian kepada Ilahi untuk menjadi khalifah yang bijaksana dan berkasih sayang di muka bumi ini.- Dr. Yamin Cheng

Tuesday, December 22, 2015

Amankah Negara Ku Malaysia...!

Mahu balik rumah pun kena jawab soalan
“MAU pigi mana?” Setiap daripada ki­ta mungkin biasa mende­ngar soalan itu. Tidak ada yang peliknya.

Setakat ditanya, “Hendak ke mana?” Jawab sajalah.

Namun sejak minggu lalu, soalan yang mungkin biasa di telinga itu menjadi cukup pelik dan janggal setiap kali penulis mendengarnya.

Setiap hari, dua tiga kali sehari, soalan yang sama diulang-ulang, secara rasminya sejak minggu lalu.

Balik dari pasar, ditanya: “Mau pigi mana?”

Balik dari sekolah membeli buku anak, ditanya: “Mau pigi mana?”

Balik dari kerja - dalam keadaan badan penat dan mata hanya nampak bantal pun ditanya: “Mau pigi mana?”

Setelah hampir dua dekad menjadi penghuni kawasan perumah­an tempat penulis tinggal di Shah Alam, penulis terpaksa menjawab soalan pelik ini setiap kali mahu pulang ke rumah.

Semuanya gara-gara kawasan perumahan penulis ‘dinaik taraf’ menjadi ‘guarded community’ atau komuniti dengan kawalan keselamatan.

Jika mengikut notis pekeliling yang diedarkan oleh jawatankuasa penduduk, sebanyak 40 peratus penghuni taman perumahan bersetuju dengan langkah memasang palang dan mengupah syarikat keselamatan mengawal kawasan kejiranan kami. Namun tahu-tahu sahaja palang sudah dipasang, pondok pengawal sudah dibina dan jaga warga asing sudah berkawal menahan kenderaan yang mahu masuk ke kawasan perumahan penulis. Tidak tahu pula sejak bila jumlah 40 peratus itu dianggap majoriti.

Namun itulah hakikat yang perlu diterima penghuni kebanyakan taman perumahan di kawasan bandar termasuk tempat tinggal penulis di bandar raya Shah Alam ini.

Bukan lagi terhad untuk kawasan mewah, taman perumahan dengan kediaman jenis teres dua tingkat bahkan setingkat pun sudah menjadi ‘gated and guarded community’. Semuanya berpagar, berpalang dan dikawal oleh jaga daripada syarikat kawalan keselamatan tertentu yang diupah oleh persatuan penduduk.

Penulis masih ingat, pernah sekitar awal tahun 2000, kecoh sekejap di negara kita apabila pemasangan jeriji rumah oleh penghuni untuk tujuan keselamatan khususnya mengelakkan kes pecah rumah, dipertikaikan. Sebabnya terdapat kes mangsa kebakaran terutama kanak-kanak yang maut gara-gara tidak dapat keluar menyelamatkan diri kerana jeriji berkunci.

Kini setelah lebih sedekad berlalu, jeriji yang dipasang di sekeliling rumah nampaknya belum cukup untuk menghalang pencuri. Lantas tahap keselamatan perlu ditingkatkan lagi dengan menggaji jaga - atau lebih tepat warga asing - mengawal kawasan rumah kita pula.

Maka jadilah seperti apa yang perlu penulis lalui sejak minggu lalu. Mahu pulang ke rumah sendiri pun terpaksa ‘menjawab’ soalan jaga terlebih dahulu.

Melihatkan kawasan komuniti berpagar dan berpengawal ini tumbuh macam cendawan selepas hujan membuatkan kita tertanya-ta­nya, “memang sudah tidak selamat sangatkah tempat kita tinggal ini?” Sampaikan semuanya perlu dipasang jeriji, pagar dan palang serta diletakkan pengawal berjaga 24 jam?

Atau ini hanya strategi untuk menaikkan nilai rumah dengan ciri keselamatan tambahan sebagai ‘gated and guarded community’ - konsep yang semakin popular di negara kita ini.

Di saat-saat kita menuju status negara maju berpendapatan tinggi lebih kurang empat tahun lagi, adakah ini ciri-ciri yang perlu ada dalam komuniti? Bukankah kawasan kediaman penduduk di negara maju seperti di United Kingdom, Kanada dan Switzerland, cukup terkenal dengan tidak berpagar dan berjeriji?

Jadi kenapa pula keadaannya berbeza di negara kita? Seolah-olah terbalik. Semakin maju negara, semakin tidak bebas dan ‘tertutup’ pula kehidupan masyarakat. Sehinggakan terpaksa hidup seolah-olah dalam ‘kurungan’ di rumah sendiri.

Penulis tidak tahu jawapan untuk persoalan ini.

Apa yang penulis tahu, penulis sudah bersedia dengan jawapan jika ditahan lagi oleh jaga warga asing itu ketika pulang ke rumah nanti.

“Mau balik rumahlah, mau pigi mana lagi!”  - Coretan Marhaen

Saturday, December 19, 2015

Cina Di Malaysia Sekarang Dah Boleh 'Balik Tongsan'.

Laporan akhbar di Hongkong menyatakan, terdapat usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan negara China yang mahukan orang-orang Cina di luar negara berkenaan pulang semula ke China.

Menurut laporan berkenaan, kesediaan pihak kerajaan China yang bercadang mengeluarkan kad kerakyatan pada orang cina, akan berupaya menarik berjuta-juta Cina di Asia Tenggara terutamanya dari Indonesia, Malaysia, Myanmar, Filipina, India, Mauritius, Vietnam berhijrah kembali ke China.

Mengikut sejarah, terdapat 1.5 juta penduduk China meninggalkan negara berkenaan kira-kira 150 tahun lalu bagi mencari rezeki dan perlindungan di negara-negara Asia Tenggara serta Eropah. Perang saudara serta kemiskinan di China turut menjadi punca penghijrahan berkenaan.

Kerajaan China juga dikatakan sedang membina sebuah bandar di kawasan Meizhou dan juga Songkou yang akan dikhaskan untuk orang-orang cina yang mahu kembali ke tanah asal mereka.

Kawasan terbabit dilaporkan mempunyai keluasan 4 kali ganda negara Singapura dan ia akan dikembangkan lagi jika sambutan penghijrahan semula 'golongan pendatang' terbabit menggalakkan.

Antara kemudahan yang disediakan bagi orang-orang cina yang mahu kembali ke negara berkenaan ialah, sekolah swasta bagi anak-anak, jaminan pemilikan rumah serta kawasan makanan berbilang negara seperti di Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Kerajaan China menjangkakan orang-orang Cina di seluruh Asia Tenggara termasuk Malaysia akan tertarik dengan tawaran berkenaan memandangkan pelbagai kelebihan yang dikatakan terdapat di China yang tiada di tempat lain. - Utaranews.com

Friday, December 18, 2015

Pakatan Tentera Negara Islam

DUBAI - Arab Saudi, hari ini mengumumkan pembentukan pa­sukan tentera perikatan terdiri daripada 34 buah negara Islam, termasuk Malaysia bagi me­me­rangi keganasan.

Menurut satu kenyataan yang disiarkan agensi berita Arab Saudi, SPA, antara negara yang membentuk tentera perikatan itu ialah Mesir, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Turki, Malaysia, Pakistan dan negara-negara Teluk dan Afrika.

“Negara-negara tersebut bersetuju membentuk satu perikatan ketenteraan diketuai Arab Saudi bagi memerangi keganasan dengan membuka sebuah pusat operasi bersama beribu pejabat di Riyadh bagi menyelaras dan menyokong operasi ketenteraan,’’ kata kenyataan itu.

Pengumuman itu menyebut, pasukan berkenaan ditugaskan untuk melindungi negara-negara Islam daripada kejahatan yang dirancang kumpulan dan pertubuhan pengganas tanpa mengira fahaman dan nama mereka yang boleh mengakibatkan kematian dan kerosakan di muka bumi dan bertujuan untuk mencetuskan ketakutan kepada penduduk yang tidak bersalah.

Bagaimanapun, Iran yang me­rupakan seteru utama Arab Saudi tidak menyertai pakatan itu, ketika konflik proksi antara dua kuasa serantau itu merebak dari Syria ke Yemen.

Amerika Syarikat (AS) ketika ini lantang memberi pandangan bahawa negara-negara Teluk perlu berusaha lebih untuk membantu kempen ketenteraan ke atas kumpulan militan Negara Islam (IS) yang berpusat di Iraq dan Syria.

Dalam satu sidang media yang jarang-jarang berlaku, Putera Mahkota Arab Saudi yang juga Menteri Pertahanan, Mohammed bin Salman berkata, kempen itu akan ‘menyelaras’ usaha meme­rangi keganasan di Iraq, Syria, Libya, Mesir dan Afghanistan.

“Akan terdapat penyelarasan antarabangsa dengan kuasa-kuasa besar dan pertubuhan antarabangsa daripada segi operasi di Syria dan Iraq (bagi memerangi keganasan).

“Kita tidak boleh menjalankan operasi ini tanpa penyelarasan yang sah pada peringkat ini dan masyarakat antarabangsa,’’ kata Mohammed.

Ketika ditanya apakah perikatan baharu itu akan memberi tumpuan hanya kepada kumpulan militan IS, Mohammed berkata, pasukan berkenaan akan berdepan bukan sahaja dengan kumpulan militan itu, namun mana-mana pertubuhan pengganas ‘yang muncul di depan mereka’. – Utusan

Thursday, December 17, 2015

Jutawan Arab Saudi Dakwa 'Tak Sengaja' Rogol

MAIDA VALE - BRITAIN. Seorang jutawan dari Arab Saudi bebas dari tuduhan merogol seorang remaja 18 tahun selepas memberitahu beliau 'tidak sengaja' kepada mahkamah, semalam.

Menurut Dailymail, Ehsan Abdulaziz, 46 mendakwa beliau 'terjatuh' ke atas badan remaja tersebut yang sedang tidur di sebuah sofa di rumahnya di barat London pada 7 Ogos.

Ketika kejadian, Ehsan dilaporkan hanya memakai seluar dalam.

Ehsan juga memberitahu mahkamah bahawa beliau sudah melakukan hubungan seks dengan kawan remaja tersebut yang berusia 24 tahun dan 'beliau tidak perlu merogol'.

Katanya lagi, kedua-dua wanita tersebut dibawa pulang ke rumah beliau dengan bayaran £1,000 (RM6,478.20) satu malam untuk hubungan seks selepas berkenalan di kelab malam, Cirque le Soir.

"Saya seorang yang lemah, saya terjatuh (ke atas badan remaja tersebut) dan tiada apa-apa berlaku.," kata Ehsan kepada mahkamah.

Semasa perbicaraan semalam, hakim Martin Griffiths membenarkan Ehsan mengemukakan bukti yang beliau tidak bersalah dalam satu perbicaraan peribadi tanpa orang awam selama 20 minit. - Sinar Harian

Saturday, December 12, 2015

Begitu Takburnya PAS

Cina di Malaysia menganut pelbagai jenis agama — Confucianisme (fahaman berunsur falsafah), Taoisme, Buddhisme, Evangelisme, Kristian, Islam dan lain-lain kepercayaan tradisi umpamanya memuja semangat.

Ada segelintir Cina jadi pengamal ajaran ala Hinduisme (campur sedikit-sedikit). Mereka ini turut mengangkat kavadi menyertai sambutan Thaipusam. Dan ada juga Cina yang jadi pengikut guru tarekat India seperti Sai Baba.

Namun demikian, orang Cina masih boleh bersatu jua dalam ikhtiar bersama untuk bunuh Umno.

Orang Melayu sebaliknya pula mempunyai satu agama sahaja tetapi tiada perpaduan kaum. Kesetiaan mereka berbelah-bagi di antara Umno, PAS, PKR, PAN dan Perkasa Pak Kadok. Tambahan lagi, Isma pun ke depan bertanding pilihanraya.

Kaum Melayu nyata menyerlahkan perpecahan. Bandingkan dengan kaum Tionghua yang 95 peratus menyokong DAP.

PAS enggan bekerjasama dengan Umno atas alasan parti pemerintah tersebut kurang Islam.

Masih ingat tak betapa ghairah serta beriya-iya PAS dalam percubaan untuk mentarbiyah DAP? Sementelah itu, Umno saudara seIslam yang diserangnya dengan ganas gara-gara PAS mahu mempertahankan evangelista.



Natijah DAP yang lebih Islam di kacamata PAS. Politikus DAP yang dijemput naik mimbar sampaikan tazkirah.

Inilah sebabnya sebuah parti bergelar Islam boleh didorong untuk bertahaluf siyasi dengan parti evangelis yang dianggap bersifat ‘keIslaman’ itu.

Mengikut perhitungan PAS, rakan sepakatnya yang sekarang pun lebih Islam daripada Umno. PKR cukup Islam kerana parti dipimpin orang alim.

Ketua umum PRK tidak didoakan untuk pecah perut kerana perut si ketum pun asalnya sudah kempis

Sumber : Helen Ang's Blog

Kerjasama Dengan UMNO? PAS Tidak Akan Pikul `Biawak Hidup' - Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man terus mempertahankan pendirian parti yang tidak akan sesekali menerima tawaran kerjasama dengan Umno yang disifatkannya hanya mahu mengalih perhatian daripada isu sebenar. – Gambar fail The Malaysian Insider, 12 Disember, 2015.

Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengatakan parti Islam itu tidak akan bekerjasama dengan Umno walaupun presiden parti Melayu itu, Datuk Seri Najib Razak mempelawa.
 
Timbalan presiden PAS itu berkata, sebaliknya mereka akan terus mendesak dan memperjuangkan agar syariat Islam diperkukuhkan dalam pentadbiran negara.

"PAS tidak akan bersekongkol 'memikul biawak hidup' sebagaimana yang diucapkan Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang,” kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perdana menteri tampil dengan cadangan gagasan pembinaan negara berteraskan syariat kerana mahu mengalih perhatian daripada isu sebenar.

"Najib terus lemas di dalam jawapan-jawapan yang semakin mengelirukan mengenai penderma RM2.6 bilion di akaun peribadi beliau sama ada daripada penderma, para penderma atau wakil-wakil penderma," katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, Umno adalah musuh tradisi PAS kerana prinsip syarak bukan kerana nama atau diri ahli parti itu.

"Umno mempunyai tanggungjawab akidah dan syariat di atas pundaknya kerana ia diberi amanah dan kekuasaan pemerintahan. Amanah ini akan dipertanggungjawabkan di akhirat," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, akibat perbezaan dasar kedua parti, PAS dan ahlinya terus menerima tekanan dan penindasan, terutamanya di tangan Umno.

"Ribuan kakitangan awam yang menderita ditukar dan dikenakan pelbagai tindakan kerana mereka menyokong PAS.

"Kelantan terus menderita dan ditindas dengan teruk sejak Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi menteri besar Kelantan pada 1990.

Timbalan presiden PAS itu berkata, sistem federalisme diperkosa dan tidak dipraktikkan secara adil.
Tuan Ibrahim turut membangkitkan kerjasama dengan DAP dahulu yang menyebabkan parti sekular itu sudah boleh diterima orang Melayu.

"Meskipun bukan mudah bagi PAS menghadapi suasana tersebut di mana PAS dituduh menjadi barua DAP, kuda tunggangan dan pengkhianat Melayu.

“Bahkan lebih jauh dari itu, Datuk Onn Jaafar yang mengasaskan Umno diterima sebagai sekutu PAS bersama Parti Negara. Inilah semua menjadi sejarah panjang perjuangan PAS,” kata Tuan Ibrahim yang menegaskan matlamat PAS adalah untuk menyelamatkan manusia dan negara daripada kerosakan. – ibnuhasyim

Monday, December 7, 2015

Pemaju Bersalah Mencuri Cahaya Matahari Penduduk

Nanjing (China): Pemaju sebuah menara tertinggi di bandar ini didapati bersalah oleh sebuah mahkamah di sini kerana mencuri cahaya matahari penduduk.

Pemaju Menara Zifeng setinggi 450 meter itu didapati bersalah selepas bangunan berkenaan menghalang cahaya matahari ke rumah penduduk.

Hakim di sebuah mahkamah di sini, kemudian mengarahkan pemaju yang membina menara berkenaan membayar pampasan kepada penduduk.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Chen menerima pampasan paling tinggi apabila menerima bayaran 100,000 yuan (RM66,092).

Undang-undang di China mewajibkan semua bangunan kediaman di China mendapat cahaya matahari minimum dua jam setiap hari ketika musim sejuk.

Sejak menara 89 tingkat itu siap dibina pada 2010, ramai penduduk berhampiran mengadu bangunan berkenaan menghalang cahaya matahari. - Agensi pentekan

PEMANDANGAN Menara Zifeng di bandar Nanjing, China.

Saturday, December 5, 2015

Sesuatu Yang Pelik Berlaku Semasa Obama Datang Malaysia

Anda tidak sedar sesuatu yang aneh berlaku ketika Obama mengunjungi Malaysia. Sumpah, kami juga tidak perasan sampailah diberitahu.

Apakah yang pelik itu? Jangan terkejut.

Kisah ini dikongsikan oleh Maxazman Sabudin menerusi laman Facebook Miliknya.



Berikut merupakan pendedahan dari beliau:

Dalam semua majlis istiadat penuh Rejimen Askar Melayu DiRaja ketika menerima pemimpin luar negara, bayonet (pisau) pada hujung M16 adalah senjata yang wajib ada sebagai melengkapi seragam istiadat.

Namun ketika Presiden Amerika berkunjung baru-baru ini, pihak Secret Service White House telah MELARANG pemasangan bayonet tersebut.


Secara ringkas, Presiden Amerika TIDAK PERCAYA kepada rakyat Malaysia.

Persoalan mudah: Mahu kah kita percaya kepada beliau?

Friday, December 4, 2015

Tokoh Maritim Melayu

BUKU ini menghimpunkan pelbagai artikel, sinopsis novel dan puisi yang pernah dihasilkan pelbagai pihak mengenai Panglima Awang iaitu orang Melayu pertama yang didakwa telah berjaya mengelilingi dunia.

Sesudah kejatuhan Empayar Melaka pada 1511, Panglima Awang yang turut dikenali di Barat dengan nama Enrique Malacca telah ditawan oleh orang Portugis dan dibawa ke Portugal dan kemudiannya ke Sepanyol.Beliau kemudiannya mengikuti pelayaran ahli pelayaran dari Portugal, Ferdinand Magellan mengelilingi dunia dan mencari jalan ke Timur dari 1511 hingga 1521. Magellan adalah salah seorang nakhoda dalam armada diketuai Alfonso d’Albuquerque yang menyerang Melaka.

Ini adalah kali pertama seorang pemuda Melayu merantau sejauh itu ke seluruh pelosok dunia dan mencipta nama yang hebat.

Pelayaran itu berakhir apabila Magellan dibunuh oleh sekumpulan lanun diketuai Si Lapu-Lapu di Pulau Cebu, Filipina pada 1521 manakala Panglima Awang pula berjaya melepaskan diri daripada tawanan lanun berkenaan dan kembali ke Melaka.

Terdapat juga dakwaan bahawa selepas Magellan terbunuh, Panglima Awang telah mengemudi kapal lain bernama Victoria dan berjaya balik ke Sepanyol pada 1522 bersama 17 kelasi yang masih hidup.

Tiada pengesahan sehingga kini mengenai dakwaan itu kerana rekod sejarah hanya menyebut nama jurumudi kapal itu bernama, Espinosa. Adakah beliau individu sama dengan Enrique atau Panglima Awang? Wallahualam.

Banyak lagi nama lain yang turut diberikan kepada beliau seperti Henry The Black, Henrich, Ariberto dan Enrfique de Malacca.

Sebenarnya terdapat terlalu sedikit maklumat mengenai Panglima Awang dalam bentuk tulisan. Bukti fizikal pula hanyalah rumah di kampung kelahirannya di Teratak Enrique Malacca di Lot 214, Batu 27, Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru, Melaka.

Maklumat dalam bentuk tulisan adalah daripada Surat Wasiat Magellan yang ditulis pada 1519 sebelum mula belayar yang menyebut mengenai Enrique.

Kata Magellan, sebagai hamba, Enrique yang berasal dari Melaka akan dibebaskan setelah kematiannya nanti dan diberikan sejumlah wang. Dalam surat itu, beliau juga menyebut Enrique yang berusia 26 tahun telah menganut agama Kristian.

Maklumat kedua mengenai kewujudan Enrique adalah daripada senarai daftar pelaut yang menyertai lima kapal yang berada dalam Armada Maluku tajaan Raja Charles I dari Sepanyol.

Nama Enrique tersenarai sebagai anak kapal Trinidad, iaitu kapal utama yang turut dinaiki Magellan. Bagaimanapun, beliau tidak didaftar sebagai hamba yang bekerja di kapal itu tetapi disenaraikan sebagai jurubahasa.

Maklumat ketiga, adalah buku yang ditulis tokoh sejarah Sepanyol pada 1837, Martin Ferdanadez de Navarette yang menyebut kebolehan Enrique untuk bertutur dengan fasih menggunakan bahasa negara itu.

Maklumat keempat, adalah daripada catatan sukarelawan dari Itali, Antonio Pigafeeta yang turut serta menyertai pelayaran bersama Magellan yang menyebut kapten kapal Trinidad yang baharu, Duarte Barbosa enggan membebaskan Enrique walaupun selepas kematian tuannya. Beliau turut menghina status pemuda itu, sebagai hamba tawanan perang.

Pigafeeta dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Enrique yang membantunya mengumpul 426 perkataan dalam bahasa Melayu yang kemudiannya dimasukkan dalam kamus Itali-Melayu yang pertama.

Mengenai dakwaan beliau beragama Kristian, kajian yang dibuat oleh ahli sejarah tempatan membuktikan pemuda itu masih beragama Islam. Ini berdasarkan kepada beberapa fakta termasuk menolak ajakan adik perempuan Magellan, Mariam yang kuat berpegang kepada agama Kristian untuk berkahwin.

Panglima Awang juga dikatakan tidak terbunuh bersama-sama 27 kelasi lain ketika pertempuran di Filipina seperti yang terdapat dalam catatan rasmi kerajaan Sepanyol.

Sebaliknya beliau berjaya pulang ke Melaka dan berkahwin dengan tunangnya, Tun Gayah dalam upacara yang dijalankan secara Islam. Jasad Panglima Awang didakwa dikebumikan di sebuah tanah perkuburan Islam di Rembau, Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, untuk pengetahuan pembaca, buku ini dicetak dengan kos sendiri oleh pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Talib Samat. Sehubungan itu, naskhah berkenaan tidak dijual di kedai-kedai buku.

Menurut beliau, sesiapa yang berminat membeli buku berkenaan boleh menghubunginya di talian 012-2269740 atau emel dr.talibsamat@yahoo.com.