MENGAPA ada pihak pada masa ini cuba menjadikan raja sebagai isu politik? Mereka mengingatkan raja secara keterlaluan supaya jangan salah faham. Ini adalah `laungan biasa’. Mereka boleh buat apa yang salah, orang lain dihalang konon mempolitikkan sesuatu perkara.
Suatu ketika awal tahun 1990-an, bila mereka yang berkuasa `membelasah’ raja itu tidak salah. Perbuatan itu tidak dianggap menghasut. Perbuatan itu tidak salah. Bila orang lain mempersoalkan perbuatan mereka, lantas dikatakan berpolitik namanya.
Double standard memang enak dilakukan, terutama bila yang double faedahnya bagi diri dan yang single faedah untuk orang lain. Satu untuk lu, dua untuk gua; dua untuk lu, tiga untuk gua. Cara mengira habuan begini sudah begitu biasa hingga menjadi lumrah.
Setiap rakyat terutama mereka yang ketika ini sedang berlayar di dunia maya harus beringat bahawa Raja Melayu itu adalah mercu tertinggi yang hakiki. Yang padanya terletak hak-hak keistimewaan Melayu. Jika institusi ini diubah atau diperkecil, hancurlah hak-hak utama Melayu itu.
KUASA SEJATI
Kuasa politik pada hari ini adalah mentadbir negara bagi pihak rakyat dan raja. Mereka bukan unsur kuasa sejati dengan sendirinya. Raja itu adalah sebahagian dari institusi legislatif, eksekutif dan segala pemerintahan adalah diperbuat atas dan bagi pihak raja. Jika kesalahan dan kekurangan yang ditampilkan, semua pihak ada kekurangan dan kelemahan. Ini termasuklah yang terdapat pada pemegang kuasa politik.
Maka jika ada individu memperkecilkan raja di media sosial terutama melayangkan ke aplikasi WhatsApp, kita semua sekurang-kurangnya boleh dan berhak tegak mempertahankan institusi ini.
Institusi Raja adalah raja kepada seluruh rakyat.
Kata-kata adat berbunyi:
Bendang diteroka,
Ruyung dibelah,
Raja bertakhta,
Rakyat menyembah.
Pendita Za’aba pernah menukilkan kata-kata hikmat ini:
Tiada raja,
Tiada takhta, tiada bangsa, hapuslah ia.
MACMICHAEL KEDUA?
Pada masa ini, rakyat masih menghadap raja. Menghadap itu ertinya berdatang sembah. Sembah ialah segala apa yang digerak-geri dan dilafazkan di antara raja dengan warga atau rakyatnya mengikut peraturan yang adab. Rakyat berkata, raja bertitah. Bila bertitah, ia menjadi pegangan.
Braddel, satu-satunya penasihat undang-undang Inggeris menulis dalam tahun 1935, dengan menyatakan bahawa titah Raja Melayu itu adalah seperti undang-undang dan dipatuhi oleh rakyatnya. Dia dan Swettenham sependapat bahawa “a Malay is not quite a Malay if he does not adhere to the ways of the sultanate.”
Jika ditanya di mana letaknya kedaulatan Raja-Raja Melayu, jawabnya ialah pada sejarah – pada perjanjian-perjanjian yang termeterai semenjak tahun 1874, semenjak Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan pada Perkara 181 bersekali dengan ceraian satu (1) dan ceraian (2) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 181 merupakan satu-satunya saki baki kedaulatan Raja Melayu yang masih unggul.
Dan terkenang saya kepada dokumen disediakan oleh MacMichael pada tahun 1946 untuk ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu.
Taktik personaliti Inggeris itu benar-benar lembut gigi daripada lidah. Berjaya dia mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu bagi tujuan merompak mereka daripada kedaulatan yang ada.
Tetapi mujurlah ada Datuk Onn Jaafar. Dengan pertolongan beberapa orang pegawai Inggeris yang sayangkan orang Melayu seperti Swettenham dan Braddell, patahlah rancangan MacMichael itu.
Jangan pisang berbuah dua kali. Perbuatan MacMichael itu kita boleh fahami kerana mereka penjajah.
Cuma jangan sampai muncul MacMichael Melayu.
No comments:
Post a Comment