Wednesday, June 9, 2021

Waspada 'Diplomasi Perangkap Hutang' Ditawarkan China

Projek Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) memberikan impak signifikan kepada kuasa ekonomi China, terutama ke atas rantau ASEAN.

Pembangunan ASEAN dijadikan landasan untuk China menguasai tenggara Asia.

Namun, perkembangan terkini membabitkan pencerobohan 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) yang memasuki ruang maritim Malaysia, mencetuskan persoalan tentang keselamatan dan kedaulatan perairan Malaysia.

Lebih merisaukan, penerbangan dikesan membabitkan pesawat pengangkut strategik yang berupaya melaksanakan pelbagai misi.

Hal ini dikaitkan dengan isu pengintipan yang boleh merosakkan hubungan harmoni diplomatik dan ekonomi sedia ada.

Malaysia sememangnya mempunyai hubungan mesra dengan negara besar dunia, termasuk China.

Dari sudut pelaburan, sejak 11 tahun lalu China adalah rakan dagang terbesar Malaysia dengan eksport mencapai RM237.2 bilion pada suku pertama 2020. Jumlah itu meningkat tiga peratus berbanding tahun sebelumnya.

Tambahan lagi, projek fiskal Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menelan belanja berpuluh bilion ringgit Malaysia juga mendapat pembiayaan China.

Sementara dari sudut diplomatik, Malaysia mencatat sejarah selaku pendorong kepada negara ASEAN lain untuk mengiktiraf hubungan dagangan dengan China pada 1974.

Malaysia tetap menjalinkan hubungan diplomatik ketika China menghadapi isolasi antarabangsa selepas peristiwa Tianmen 1989.

Dengan catatan sejarah dan hubungan dagangan akrab ini, sudah pasti sukar untuk Malaysia menerima hakikat China 'menceroboh' perairan negara kerana ia berkait isu kedaulatan dan keselamatan.

Apa pun, isu pencerobohan ruang udara dan pembiayaan dana ini mempunyai kaitan dinamik dan signifikan.

Mengikut Pengarah Pusat Pengajian Asia-Pacific di Institut Pengajian Antarabangsa Shanghai, Zhao Gancheng strategi ekonomi China dan ASEAN sejajar dasar memperluaskan dagangan dalam kerangka BRI.

Namun, soalan harus ditanya - apakah kaitan isu penerbangan pesawat China dengan pembiayaan dana berbilion ini?

Pakej rangsangan China kepada negara dunia ketiga dan negara membangun boleh dianggap memerangkap, jika negara berkenaan gagal melunaskan perjanjian hutang diberikan.

Ia disebut diplomacy debt-trap atau diplomasi perangkap hutang. Ditambah lagi kontroversi hak milik ke atas Laut China Selatan yang menjadi isu hangat ke atas negara ASEAN.

Ini memberi isyarat pembiayaan hutang diberikan China berkemungkinan menjadi penyebab musnahnya kedaulatan negara ASEAN.

Dapatan daripada statista.com menunjukkan dalam kalangan negara anggota ASEAN, Kemboja dan Laos mempunyai lebih 25 peratus hutang ke atas China, manakala selebihnya antara lima hingga 10 peratus, satu hingga lima peratus dan kurang daripada satu peratus.

Malaysia sendiri termasuk dalam kalangan lima hingga 10 peratus pinjaman ke atas China.

Ini bermaksud, hampir keseluruhan ASEAN mempunyai hutang dengan China. Ini cukup signifikan membuatkan ASEAN mungkin terikat strategi pelebaran kuasa China ke atas ASEAN terutamanya.

Reuters melaporkan China negara pemiutang terbesar iaitu sebanyak 65 peratus jumlah hutang di Afrika, Eropah Timur, Amerika Latin dan juga Asia.

Kegagalan melunaskan hutang dikhuatiri menyebabkan negara berkenaan terpaksa melepaskan kepentingan mereka seperti berlaku di pelabuhan Sri Lanka.

Diplomasi adalah cara terbaik mengeratkan kesefahaman antara negara dunia khususnya China dan Malaysia.

Tindakan menghantar nota bantahan daripada Kementerian Luar harus dipuji. Ini membawa maksud Malaysia tidak terburu-buru menyalahkan China, bahkan meminta penjelasan untuk justifikasi bagi memastikan hubungan diplomatik antara dua negara tetap terjaga.

Justeru, negara anggota ASEAN perlu sependapat dalam perkara ini bagi memastikan kedaulatan negara masing-masing terpelihara daripada sebarang pencerobohan dan mengekalkan status Asia Tenggara sebagai kawasan aman tanpa pergolakan.

Oleh: Dr Azhan Rashid Senawi

No comments:

Post a Comment