Tuesday, June 1, 2021

Masih Ada Ruangkah Peranan Istana?

Jumaat lalu, saya ditanya oleh seorang figura awam. Apakah masih ada ruang di bawah Perlembagaan Persekutuan bagi Yang di-Pertuan Agong, sultan-sultan dan Majlis Raja-Raja memainkan peranan mereka dalam membantu menyelesaikan pelbagai masalah kritikal yang kini dihadapi rakyat dan negara?

Antara masalah yang beliau sebutkan adalah ledakan jangkitan Covid-19 yang kini terus meningkat, Parlimen yang masih digantung (menyebabkan tidak ada proses semak dan imbang), pentadbiran yang dikatakan lemah, kemarahan rakyat yang belum reda, amalan rasuah dan salah guna kuasa, dan kewujudan dwistandard dalam penguatkuasaan undang-undang.

Saya juga ditanya, apakah tidak ada ruang bagi Agong selain tiga perkara yang disebutkan dalam Perkara 40 Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan itu melakukan sesuatu atas budi bicara Seri Paduka sendiri?

Seperti kita sedia maklum, tiga perkara tersebut (di mana Agong boleh bertindak atas budi bicara Seri Paduka sendiri) adalah pelantikan Perdana Menteri, menyatakan tidak setuju Seri Paduka untuk membubarkan Parlimen dan memanggil Majlis Raja-Raja bermesyuarat berhubung keistimewaan serta kedudukan raja-raja Melayu.

Sebenarnya soalan ini sudah pun ‘terjawab’ sebelum ini. Pada 23 Oktober lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menemui Agong di Pahang untuk mendapatkan perkenan mengisytiharkan darurat. Kita difahamkan, Seri Paduka kemudian berunding dengan Majlis Raja-Raja sebelum membuat keputusannya.

Pertemuan Agong dengan Majlis Raja-Raja berlangsung pada Ahad 25 Oktober 2020. Pada petang itu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin mengeluarkan kenyataan: “Al-Sultan Abdullah berpendapat tiada keperluan buat masa ini untuk Seri Paduka mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian negara Malaysia.”

Kesimpulannya, pada hari itu, Agong membuat keputusan tanpa menurut ‘nasihat’ Perdana Menteri. Keputusan Seri Paduka itu disambut baik oleh rakyat jelata yang menyifatkannya sebagai ‘kebijaksanaan Istana.’

Bagaimanapun, pada 12 Januari lalu, Agong perkenan mengisytiharkan darurat atas nasihat Perdana Menteri ‘sebagai langkah proaktif membendung penularan Covid-19 yang meragut lebih 1,000 nyawa setakat ini.’ Ekoran darurat diisytiharkan, Parlimen digantung dan tidak boleh bersidang hingga sekarang.

Menarik sekali, enam minggu selepas itu, Agong bertitah, Parlimen boleh bersidang pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai olehnya atas nasihat Perdana Menteri. Malangnya hingga hari ini, ‘tarikh’ itu belum lagi disebutkan atau ditetapkan dan Parlimen masih lagi tidak bersidang, walaupun pelbagai pihak menyarankan persidangan boleh dilakukan secara maya atau hibrid.

Pada 20 Mei lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor segera mengadakan perbincangan khas berhubung pandemik Covid-19. Melalui perbincangan itu, semua pemimpin politik di negeri itu dikehendaki mencari jalan membendung penularan wabak dan menyelesaikan masalah rakyat.

Tindakan Sultan Johor itu menunjukkan istana boleh (dan wajar) proaktif menggerakkan badan eksekutif melakukan sesuatu yang berkesan untuk menyelesaikan masalah rakyat. Jika kita aplikasikan contoh di Johor di peringkat Pusat, maknanya Agong boleh menasihati badan eksekutif (kerajaan) untuk mengatur strategi lebih baik bagi menyelesaikan masalah rakyat.

AMANAH
Pada Januari lalu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah agar masyarakat Islam tidak memberikan amanah atau menyerahkan tanggungjawab kepada kalangan yang berimej mungkar dan munafik, kalangan yang lemah moral dan rendah akhlaknya, kalangan yang terpalit dengan rasuah dan salah guna kuasa serta kalangan yang tidak amanah dan tidak ikhlas.

Pengajaran yang boleh diambil daripada teguran Sultan Johor dan Sultan Perak tersebut, Agong boleh memberi teguran serupa kepada Perdana Menteri dan jemaah menteri agar kesejahteraan negara dan kebajikan rakyat terus terpelihara.
Dalam syarahan umum bertajuk Supremacy of Law in Malaysia pada 23 November 1984, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertitah: “The executive itself cannot just act as it pleases, for its own powers are also subject to precise restrictions. Even where limits do not appear to be sufficiently clear, there are rules of unwritten law which dictate the courses of action that may be followed.”

Yang dimaksudkan oleh baginda adalah konvensyen. Implikasinya, Perlembagaan bukan bersifat eksklusif, ada ruang untuk konvensyen dan atas prinsip yang sama mesti ada ruang untuk good governance, kebijaksanaan istana dan kebertanggungjawaban kepada kesejahteraan rakyat.

Perkara 40 Fasal (1) memang menyatakan Agong hendaklah bertindak atas nasihat jemaah menteri atau mana-mana ahli jemaah menteri kecuali mengenai perkara yang disebutkan dalam Fasal (2) tadi. Pada masa sama, fasal itu juga menyatakan Agong berhak meminta dan mendapatkan maklumat daripada jemaah menteri. Ini bermakna kewajipan Seri Paduka bertindak atas nasihat jemaah menteri itu selari dengan kewajipan jemaah menteri untuk sentiasa memberi maklumat yang lengkap, tepat dan betul kepada Seri Paduka.

Rakyat mengharapkan Seri Paduka terus istiqamah memberi nasihat dan teguran sebaik mungkin kepada badan eksekutif.

Tidak ada Perlembagaan yang sempurna, mampu meramal dan mengambil kira semua kontingensi pada masa depan. Samalah juga dengan Perlembagaan Persekutuan kita. Langkah Sheraton dan ledakan pandemik Covid-19 adalah dua kontingensi yang pasti tidak diramalkan pada 1957.

Masih ada ruang bagi istana memainkan peranannya demi memelihara kesejahteraan negara dan kebajikan rakyat.

Oleh: DATUK Salleh Buang

No comments:

Post a Comment