Tuesday, March 21, 2023

Gesaan MUDA Lawat Rumah Ibadat Seolah ‘Lebih Sudu Dari Kuah’

BANGI – Gesaan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya 100,000 ahli parti itu melawat rumah ibadat agama lain, mencetuskan persoalan akan tujuan hakikinya.

Jurucakap Gagasan Bangsa, Haji Aminuddin Yahaya menyifatkan tindakan itu ‘lebih sudu daripada kuah’, sedangkan untuk memahami agama dan budaya kaum lain sudah memadai melalui penganjuran dialog sahaja.

“Apa objektif lawatan ke rumah ibadat bukan Islam? Jika sekadar hendak memahami agama, dialog pun dah cukup. Tak perlu nak pergi ziarah pula. Dan dialog ini boleh dianjurkan di mana-mana dan sudah banyak dibuat pun.

“Ini hingga nak ziarah untuk memahami agama lain sebagainya, bukan perlu dibuat. Orang Islam sekarang ini masjid pun kosong lagi, sepatutnya kita buat seruan ke masjid dulu sebelum nak suruh nak ke rumah ibadat lain.

“Kenapa kita nak bersungguh sangat, menjadikan kita nampak macam pelik sikit lah,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, sepatutnya pemimpin Islam di negara ini memperkasakan kefahaman, penghayatan anak-anak muda umat Islam kepada agama Islam itu sendiri.

“Bukan tiba-tiba masjid pun jarang pergi, penghayatan pun tak seberapa tiba-tiba kita nak pergi ajak ziarah tempat orang lain.

“Kita ini kan negara majoriti umat Islam, jadi kenapa kita seolah olah beria-ia sangat. Lebih sudu dari kuah untuk memahami agama orang lain. Nak memahami agama kita pun masih lintang pukang dan sebagainya.

“Bukan bermakna kita nak memusuhi agama lain tetapi tak perlu sampai nak ziarah,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq dilaporkan mahu menggesa lebih 100,000 ahli parti itu melawat rumah ibadat agama lain.

Katanya, lawatan ke rumah ibadat lain akan membantu generasi muda memahami agama dan budaya kaum lain.

“Adakah melawat tempat agama lain, melihat seni binanya dan memahami sejarahnya akan mengurangkan iman kita? Saya yakin tidak.

“Sebagai presiden Muda, saya mahu menggesa lebih 100,000 ahli Muda untuk melawat mana-mana rumah ibadat, kerana ini (Malaysia) adalah rumah kita, bersama dan selamanya,” katanya menerusi satu klip video. - ismaweb.net

Apabila Orang Melayu Tidak Berbangga Dengan Tulisan Jawi...

Kurang mahir Jawi punca ambilan calon peguam syarie Johor sedikit
ISKANDAR PUTERI – Kurang mahir membaca tulisan Jawi menjadi antara punca jumlah pengambilan calon peguam syarie di Johor sedikit pada setiap tahun, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor diberitahu hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kelemahan itu menyebabkan calon lambat membaca soalan peperiksaan bertulis kerana soalan disediakan dalam tulisan Jawi selain tidak memahami kehendak soalan.

“Punca lain, calon salah merujuk peruntukkan seksyen. Contohnya, kesalahan umum di bawah undang-undang Islam negeri lain sedangkan peperiksaan tersebut mengenai undang-undang negeri Johor,” katanya ketika menjawab soalan lisan Rashidah Ismail (BN-Pasir Raja) pada persidangan DUN Johor di Kota Iskandar, di sini.

Rashidah ingin mengetahui punca pengambilan peguam syarie di negeri ini sedikit setiap tahun sedangkan jumlah permohonan yang diterima begitu ramai.

Mohd Fared (BN-Semerah) berkata bagi menangani masalah itu sekali gus memastikan Johor dapat melahirkan lebih ramai peguam syarie berkualiti, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) melakukan penambahbaikan dengan cara membukukan soalan tahun lepas sebagai rujukan calon bagi menghadapi peperiksaan.

Katanya, bagi calon yang berminat untuk mendapatkan buku soalan tersebut, mereka boleh membelinya melalui medium yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata MAIJ turut mencadangkan agar Persatuan Peguam Syarie Negeri Johor menganjurkan kursus persediaan peperiksaan kepada calon peperiksaan peguam syarie di negeri ini.

Menurutnya, MAIJ sebelum ini telah menetapkan bahawa calon peguam syarie berkualiti haruslah melepasi markah 60 peratus bagi peperiksaan bertulis untuk melayakkan mereka masuk ke peringkat temuduga.

Bagi peringkat temuduga pula, katanya calon perlu melepasi markah 80 peratus untuk lulus dan markah penilaian itu akan dibawa ke dalam jawatankuasa peguam syarie untuk dibentangkan.

“Jika di peringkat jawatankuasa meluluskan, maka calon yang layak akan dimajukan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peguam Syarie untuk dapatkan pengesahan lantikan,” katanya sambil menambah seramai 87 calon memohon menjalani peperiksaan bertulis peguam syarie pada tahun lepas, namun hanya seorang yang lulus.

Mohd Fared memaklumkan sehingga hari ini, 192 peguam syarie sudah menerima Sijil Peguam Syarie dan Sijil Amalan Guaman Syarie untuk beramal di Mahkamah Syariah Negeri Johor.

“Peguam syarie negeri Johor diterima masuk berdasarkan Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Negeri Johor 2015 dan dinilai berdasarkan tiga tahap iaitu kelayakan berdasarkan Kaedah 9 Kaedah-Kaedah Peguam Syarie, peperiksaan bertulis dan temuduga,” katanya. – Bernama

Pencerobohan....Siapa Yang Melindungi Mereka

Hutan Simpan Ulu Jelai Dicerobohi Puluhan Warga China, Melombong
LIPIS – Kegiatan perlombongan haram di Hutan Simpan Ulu Jelai yang dicerobohi puluhan warga China berjaya dipatahkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).
Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, lombong tersebut dibuka seluas 0.28 hektar di kompartmen 411 bagi mendapat galian yang dipercayai unsur nadir bumi (REE).

“Hasil daripada pemeriksaan di kawasan berbukit dan tanah merah oleh anggota unit penguatkuasaan dikatakan telah menemui tujuh kolam yang dipercayai sedia digunakan sebagai penapis dan pengasingan REE.”

“Selain itu, unit penguatkuasa JPNP dan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Lipis turut menjumpai beberapa jentera dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk melancarkan aktiviti perlombongan haram itu.”

Katanya, pihak JPNP percaya kegiatan ini didalangi orang tempatan dan warga China berdasarkan bukti-bukti yang terdapat di kawasan kejadian.

“Tiada individu yang ditahan kerana mereka dikatakan sudah mengetahui kehadiran anggota penguat kuasa.”

“Walau bagaimanapun, jabatan sudah melantik satu pasukan siasatan bertujuan mempercepatkan siasatan bagi mengesan pelombong haram ini.”

Kesemua peralatan telah dirampas dan disita bagi siasatan lanjut.

“Tindakan tegas menanti mereka termasuk mengheret mereka ke muka pengadilan. Hukuman di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 menanti pihak terbabit,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya akan terus melakukan aktiviti rondaan dan pemantauan di kawasan Hutan Simpan Ulu Jelai dan beberapa hutan simpan lain di daerah tersebut bagi mengesan kegiatan menceroboh dan memindahkan bahan galian tanpa kebenaran.

Beliau turut menyeru masyarakat setempat termasuk Orang Asli supaya dapat bekerjasama memberi maklumat sekiranya terdapat kegiatan menceroboh hutan simpan dan tanah Kerajaan di daerah itu.

Sementara itu, beliau berkata usaha pemulihan akan dilaksanakan dengan menjalankan penanaman semula sebaik sahaja proses siasatan berhubung isu berkenaan selesai. - www.samudera.my

Wednesday, March 15, 2023

Mahathir: Ramasamy Yang Sebenarnya Rasis

1 Ramasamy tersinggung kerana saya masih bezakan keturunan pendatang dari China dan India sebagai “orang asing”.

2. Bukan saya tetapi mereka sendiri yang pilih untuk di kenal sebagai pendatang asing. Mereka yang ingin dikenal sebagai Cina Malaysia atau India Malaysia. Orang Melayu memangpun dikenali sebagai orang Malaysia.

3. Ya, nenek moyang saya dari India. Tapi saya tak gelar diri saya India Malaysia.

4. Saya Melayu di dalam erti kata bahasa pertuturan saya Melayu dan budaya saya juga Melayu.

5. Perlembagaan menyatakan Melayu ialah seseorang yang bertutur bahasa Melayu, mengamal adat dan budaya Melayu dan beragama Islam.

6. Saya memenuhi kesemua syarat ini. Begitu juga beratus ribu orang lain yang berasal dari Timur Tengah, India, Pakistan, Bangladesh, Turkiye dan Afghanistan yang diterima sebagai Melayu oleh semua orang di dalam negara ini. Mereka tidak menggelar diri mereka Arab Malaysia atau Pakistani Malaysia dan sebagainya.

7. Tetapi orang Cina dan India di Malaysia bertegas untuk bertutur di dalam Bahasa Cina dan India. Sebelum ini mereka bertutur di dalam dialek daerah asal mereka. Tetapi apabila China memutus untuk jadikan Mandarin sebagai Bahasa kebangsaan, orang Cina di Malaysia juga turut beralih kepada Mandarin. Sehinggakan nama mereka juga ditukar untuk ikut Cina di China.

8. Masyarakat India di India tolak Bahasa kebangsaan. Mereka bertutur bahasa daerah mereka. Dan India di Malaysia juga mengekalkan Bahasa daerah-daerah di India.

9. Tetapi Cina dan India bertegas untuk diadakan sekolah mereka tersendiri, mengguna Mandarin dan bahasa India sebagai bahasa arahan. Mereka tolak sekolah kebangsaan di mana Bahasa kebangsaan Malaysia, Bahasa Melayu diguna.

10. Sehinggakan cadangan mengadakan ketiga-tiga buah sekolah di dalam satu kampus juga ditolak.

11. Budaya masyarakat Cina dan India mengikut negara asal China dan India.

12. Sambutan Tahun Baru juga adalah Tahun Baru China and India.

13. Kita tidak menekan penukaran agama. Tetapi Bahasa dan budaya haruslah mengikut budaya Malaysia, iaitu Melayu.

14. Di Indonesia, Filipina dan Thailand, masyarakat Cina jadi Indonesia, Filipina dan Thai. Bahasa peruturan di rumah juga adalah Bahasa kebangsaan negara-negara ini.

15. Tidak ada sekolah mengajar Bahasa negara asal mereka.

16. Ramai sekali penduduk Amerika Syarikat berasal daripada negara asing. Tetapi mereka gelar diri mereka American, bertutur Bahasa Inggeris Amerika dan berjuang juga untuk Amerika.

17. Eisenhower asalnya berketurunan German. Tetapi beliau berperang melawan Germany sebagai seorang rakyat Amerika. Dan memanglah dia tidak berbahasa German. Sebaliknya dia bertutur Inggeris Amerika.

18. Generasi ke-2, ke-3 dan ke-4 kaum pendatang Amerika tidak lagi boleh bertutur Bahasa negara asal mereka. Mereka semua bertutur Bahasa Inggeris Amerika. Mereka belajar di sekolah dan university Amerika.

19. Begitu juga dengan kaum pendatang yang bermastautin di negara-negara Amerika Selatan. Mereka hanya bertutur Bahasa Sepanyol atau Portugis. Sekolah etnik tidak wujud.

20. Tetapi di Malaysia, Cina Malaysia bertutur Bahasa Mandarin dan India pelbagai dialek dari daerah asal mereka. Hanya kaum Cina sahaja tinggal di kawasan bandar. Melayu tidak mampu – terlalu mahal.

21. Apabila Melayu bercakap tentang hal Melayu ini bukan perkauman. Mereka bangsa negara ini. Mana-mana negara di dunia apabila bangsa mereka bercakap berkenaan diri mereka, ini bukan perkauman. Orang Inggeris bercakap berkenaan masalah mereka dan mereka tidak dituduh perkauman.

22. Rishi Sunak berketurunan India, tetapi pertuturan dan kelakuannya adalah British. Thaksin Shinawatra berketurunan China tetapi bertutur Thai dan berkelakuan Thai. Begitu juga Corazon Aquino di Filipina. Di lain-lain negara ASEAN tidak ada sekolah Cina bantuan Kerajaan. Hakikatnya saya tidak pernah terlihat sekolah Cina di negara-negara ini.

23. Tetapi di Malaysia terdapat sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti Cina.

24. Sektor perniagaan dikuasai kaum Cina. Kaum bukan Cina tidak dapat peluang yang baik di sana. Jika Kerajaan tidak ambil kaum Melayu, mereka akan menganggur.

25. Saya akui banyak kekayaan yang terdapat di Malaysia adalah hasil kaum Cina. Kebanyakan cukai yang dikutip besar kemungkinan dari perniagaan kaum Cina. Tapi mereka dapat pampasan yang mencukupi. Cina golongan terkaya.

26. Saya tidak suka sentuh berkenaan kaum Cina dan India Malaysia dan sikap talam dua muka mereka. Tetapi Ramasamy kerap tuduh saya perkauman. Saya ulang yang saya bukan perkauman. Saya bangsa sebuah negara bernama Malaysia. Saya ada hak ke atas sebahagian daripada kekayaan negara ini, negara saya.

27. Konsep multiracialism di Malaysia bermakna semua akan dimiliki oleh mereka yang berkebolehan, yang punyai kekuatan kewangan, jaringan perniagaan yang luas, yang terlatih dan berpengalaman.

28. Hanya bukan Melayu yang layak.

29. Melayu tidak dapat apa-apa dari multiracialism.

30. Ramasamy yang sebenarnya rasis. Dianya menentang Melayu dan tidak mahu mereka mendapat sedikit pun bahagian di dalam negara ini.

31. Atas dasar multiracialism dia hanya mahukan kesemuanya untuk kaum lain.