Meskipun ada parti tertentu mempunyai sejuta ahli, dua juta atau lebih tiga juta, orang Melayu dan bangsa lain yang menjadi rakyat DYMM jauh lebih ramai. Mereka juga berhak, malah lebih berhak memberi pandangan terhadap masa depan negara ini.
Kerana itu bila pemimpin-pemimpin parti politik dipertemukan dengan Yang di-Pertuan Agong tiga hari berturut-turut sejak Rabu minggu lepas dalam membangkitkan isu-isu semasa tanah air, tampak jelas betapa institusi raja itu sebenarnya melangkaui komponen politik itu sendiri.
Walaupun Perlembagaan Persekutuan telah dipinda 45 kali, bahasa perundangan yang digunakan di bawah Perkara 153 adalah bersifat wajib kerana klausa (1) memperuntukkan:
Adalah menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera mana-mana negeri-negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini.
Peruntukan ini sebenarnya lebih tegas lagi bahasanya di dalam versi bahasa Inggeris kerana ayat awalannya berbunyi “It shall be the responsibility of the Yang di-Pertuan Agong to safeguard the special position of the Malays…and the legitimate interests of other communities…”.
Dengan lain takrif, Yang di-Pertuan Agong tidak dapat tidak, wajib memelihara kedudukan istimewa orang Melayu serta bumiputera dan kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain di negara ini.
POLITIK SURVIVAL
Krisis politik di Perak 2009 |
Padahal, yang harus memainkan peranan utama dalam bidang penyatuan orang Melayu sepatutnya ialah pimpinan yang berkuasa.
Amat dibimbangi kuasa itu dihalakan untuk tujuan lain, iaitu lain sama sekali daripada apa yang diharapkan oleh orang Melayu yang dahagakan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilangsungkan agar pegangan 18%.
Mengimbas sejarah, kedudukan Melayu dalam sektor korporat benar-benar mencapai sekurang-kurangnya 30% sebelum ia dikisar atau diubah. Kini DEB sudah tiada.
Yang ada hanyalah dasar ekonomi dan pembangunan majmuk untuk semua. Ini belum tentu dapat menjamin kepentingan orang Melayu.
Rukun Negara yang menjadi piagam pemerintahan semenjak 1970 sudah tidak disebut-sebut lagi. Barangkali lantaran di dalamnya terkandung gesaan mendaulatkan Raja dan undang-undang begitu menonjol sehingga menyebabkan ada pihak yang kurang senang dengannya.
Maka, DYMM diseru jangan tunduk dan menerima sahaja mana-mana kehendak politik semasa sekiranya jauh menyimpang daripada pokok perjuangan yang diamanahkan.
Dengan kemelut politik tanah air yang tidak sudah-sudah membabitkan lebih lima parti Melayu, menungkanlah dulu darihal bangsa kita yang masih lemah.
Yang ada cuma pangkat dan daulat bagi kita. Mana-mana pihak atau parti tak payah ambil daulat atau sovereignty itu daripada raja. Kalau Raja Melayu sudah tidak berdaulat lagi dan terumbang-ambing, siapa yang akan lebih berdaulat?
Kalau orang besar politik buat salah, siapa yang hendak siasat? Gamakkah pihak yang ada kuasa pendakwaan menjalankan siasatan dan pendakwaan ke atas mereka? Boleh dijalankan dari segi falsafah, tapi tak mungkin dari segi sebenar.
MAJORITISME
Krisis politik di Perak 2009 |
DYMM Raja-raja tidak mampu untuk berpeluk tubuh dan berdiam diri dalam soal melibatkan kepentingan rakyat jelata. Kedaulatan yang ada pada Tuanku itu adalah kedaulatan bangsa Melayu.
Di Istana Negara lusa 16 Jun ini, Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu atas inisiatif Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dipengerusikan baginda akan menjadi tumpuan seluruh negara, sekali gus menyerlahkan sikap ambil berat raja pada rakyatnya.
Perbincangan berkaitan usaha memerangi penularan jangkitan wabak Covid-19 dan pelaksanaannya semasa tempoh darurat, diyakini akan menjawab persoalan-persoalan berkaitan yang bersarang dalam benak fikiran rakyat, terutama para pemimpin politik.
Daulat Tuanku. Sembah patik mohon diampun.
Oleh: Zulkifli Jalil
No comments:
Post a Comment