PETALING JAYA: Bekas menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna, Saifuddin Nasution Ismail menggesa kerajaan bertindak segera dalam menangani kenaikan harga minyak masak yang disifatkan sebagai melampau ketika ini.
Katanya, langkah segera yang boleh diambil ialah dengan menggunakan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan dengan memperkenalkan harga siling bertujuan menghalang kenaikan berterusan harga minyak masak di pasaran.
“Saya kurang setuju dengan kenyataan Menteri (Perusahaan Perladangan dan Komoditi) Khairuddin Aman Razali bahawa kenaikan harga minyak masak ini munasabah. Kenaikan lebih 100% berbanding harga pada Disember 2019 dahulu adalah tidak munasabah.
“Suatu tindakan segera oleh kerajaan harus dilakukan. Hal ini akan segera memberi kelegaan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu Saifuddin berkata, kerajaan wajar memperkenalkan harga dua peringkat bagi minyak sawit mentah membabitkan tujuan eksport dan domestik.
“Untuk tujuan eksport harga minyak sawit dijual mengikut harga pasaran. Untuk tujuan domestik untuk membuat minyak masak kerajaan boleh memperkenalkan harga yang lebih rendah. Dengan cara ini harga minyak masak tempatan akan menjadi lebih murah berbanding sekarang.
“Cadangan ini saya kira munasabah memandangkan hanya 1 juta tan minyak sawit mentah digunakan untuk tujuan ini, berbanding lebih 20 juta untuk tujuan eksport yang memberikan pendapatan lumayan kepada industri sawit mencecah RM70 bilion,” kata Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan membiayai subsidi untuk semua bekalan minyak masak dalam negara.
“Jika ini tidak boleh dijadikan dasar tetap kerana kekangan biaya, kerajaan boleh laksanakannya sebagai langkah “one off”. Langkah ini dengan serta-merta akan menurunkan harga minyak masak pada tahap yang tidak membebankan rakyat selaku pengguna,” katanya.
Semalam Khairuddin berkata, harga minyak masak di pasaran sekitar RM30 bagi botol 5kg adalah munasabah memandangkan kenaikan harga minyak sawit bertapis yang tinggi pada masa ini.
Beliau berkata, purata harga minyak sawit mentah (MSM) adalah antara RM4,000 hingga RM4,500 satu tan menyebabkan kenaikan harga minyak sawit bertapis lebih tinggi kepada sekitar RM5,000 satu tan.
Ini katanya, menyebabkan harga minyak masak di kilang berada pada kadar RM4.50 hingga RM5 sekilogram sebelum dikira harga kos pembungkusan dan lain-lain. - freemalaysiatoday.com
No comments:
Post a Comment