DUNIA hiburan negara yang mula diisi dengan rancangan serta program berbentuk komedi sudah tidak asing bagi penonton tempatan, malah sejak kebelakangan ini stesen televisyen semakin meriah menyiarkan program-program seumpama ini.
Semestinya program-program seumpama ini menjadi pilihan penonton untuk menghilangkan ‘stress’ mereka selepas mengharungi kehidupan seharian yang memenatkan.
Pepatah Inggeris, laughter is the best medicine mungkin menjadi sandaran oleh pihak televisyen untuk terus menerbitkan lebih banyak program berbentuk komedi.
Tidak cukup dengan itu, corong-corong radio turut terkena tempias program komedi.
Jika disorot kembali program televisyen ini, kita seakan-akan belum menemui satu bentuk lawak jenaka yang mendidik.
Tidak keterlaluan jika dikatakan lawak di Malaysia hanya untuk membuat penonton tertawa berdekah-dekah sampai terkeluar air mata, namun isi komedi sangat kosong.
Sekiranya kita perasan, tiap hari semakin ramai artis yang dahulunya membawa watak serius cuba untuk menjadi pelawak. Lawak yang dibuat-buat memang kelihatan tersangat teruk.
Pelawak yang lahir ketika ini bukan sahaja popular dan menjadi kegilaan penonton, tetapi mereka turut mendapat permintaan tinggi daripada pihak stesen televisyen.
Sedikit demi sedikit berlaku perubahan apabila mereka mula diangkat menjadi pengacara dan penyampai radio untuk tujuan gelak tawa dan hiburan sehingga penyampai radio serta pengacara sebenar terus disisih.
Hakikatnya, tanpa kita sedar, lawak di Malaysia banyak yang melanggar hukum kemanusiaan dengan menjadikan fizikal seseorang sebagai modal gurauan.
Malah, ada pelawak yang jenis ‘mulut lepas’ turut menjadikan penonton atau sesiapa sahaja sebagai bahan lawak dengan niat untuk mencipta kemeriahan.
Tanpa memikirkan hati dan perasaan orang, gelak tawa terbahak-bahak menjadi ukuran kejayaan lawak. Bagi pelawak yang bergelar pengacara, mungkin ia satu kebiasaan. Bimbang dikatakan bosan, inti ‘membahan’ adalah satu kemestian.
Cukup berbeza jika hendak dibandingkan dengan dua pelawak tersohor dari Indonesia, Sule dan Andre. Walaupun mereka juga dipilih menjadi pengacara dalam program televisyen yang gah, cara mereka cukup berbeza, dan tidak jadikan ‘body shaming’, sebagai modal.
Namun, penonton tetap ketawa. Malah, Rowan Atkitson yang pernah mengacarakan program Laughing Matters tidak menggunakan cara membahan sebagai punca lawaknya.
Pakar psikologi, Alex Borgella dalam tulisannya bertajuk Science deconstructs humor: What makes some things funny berkata, banyak perkara yang membuat sesuatu lawak itu benar-benar menjadi dan mampu mencipta elemen kejutan.
“Gelak tawa itu akan hadir dengan sendiri sekiranya pelawak boleh menghasilkan satu lawak yang tidak dijangka oleh penonton. Pelawak yang bijak mampu mencari elemen kejutan ini tanpa membahan.
“Kepakaran lain yang ada pada pelawak adalah mencari idea yang tidak dibuat-buat untuk melahirkan rasa lucu,” katanya.
Tulisan ini bukan untuk mengagungkan pelawak luar negara, tetapi untuk dijadikan panduan kepada pelawak kita yang menjadi role model kepada anak bangsa yang sedang menghadapi dunia digital tanpa sempadan. - kosmo
No comments:
Post a Comment