Friday, June 25, 2021

Siapa Yang Mencadangkan Penjualan Ini.....Rakyat Nak Tahu Juga

Tidak masuk akal jual LTSAAS
PETALING JAYA : Kerajaan digesa menghentikan rancangan penjualan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang yang disifatkan sebagai tidak masuk akal.

Ketua Pejuang Muda, Dr. Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, rancangan itu juga bakal mengundang risiko kepada keselamatan negara apabila aset strategik dijual, malah lebih malang dijual kepada pihak yang tiada kemahiran dan pengalaman mengendalikan lapangan terbang.

“Kami sangat tertanya-tanya dengan tindak-tanduk Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan yang terus menerus mengunci mulut terhadap kritikan dan pandangan orang ramai berhubung rancangan penjualan aset dan ikon negara ini.

“Apa yang lebih memeranjatkan adalah apabila Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) sendiri menentang penjualan ini dan meminta kajian mendalam perlu dilakukan sebelum keputusan penjualan LTSAAS dibuat kerana nilai sejarah lapangan terbang itu dan aset strategik milik negara.

“Disebabkan sikap berdiam diri kerajaan yang berterusan berhubung hal ini, pelbagai anggapan negatif timbul sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menentang hasrat itu dan cadangan pengambilalihan LTSAAS oleh entiti swasta dilihat bertentangan dengan kepentingan nasional.

Dr. Abu Hafiz mendesak agar bukan sahaja rancangan itu dibatalkan segera, tetapi segala penjelasan terperinci dan hasil kajian yang telah dibuat diumumkan kepada rakyat secara terbuka oleh kementerian yang berkaitan.

“Apakah alasan aset milik rakyat Malaysia di mana 60 peratus saham MAHB dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji dan lain-lain agensi hendak dijual kepada seseorang yang tiada kemahiran langsung mengendalikan lapangan terbang?” soal beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment