Tuesday, June 8, 2021

Kes Dera Serangga Boleh Diadu Menerusi Laman JPV

PUTRAJAYA: Kelazimannya paling banyak diketahui ialah penderaan anjing dan kucing, namun, jarang didengar kes yang melibatkan ayam, itik, kambing, kuda, biri-biri, arnab atau kerbau.

Begitu juga penderaan binatang seperti ular, kura-kura, rusa, lembu, babi, hamster atau angsa selain mungkin paling nadir ialah kes membabitkan haiwan eksotik lain terutama serangga.

Bagaimanapun, spesies berkenaan walaupun bersaiz kecil, namun, ia adalah binatang dilindungi undang-undang negara ini iaitu di bawah Akta Binatang 1953 (Semakan 2006) atau pun dirujuk sebagai Akta 647.

Menurut hantaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menerusi laman sosial rasmi agensi itu, Seksyen 43, Bahagian V akta tersebut menyenaraikan kes kezaliman terhadap serangga.

“Ini turut meliputi segala jenis spesies burung, ikan, reptilia atau serangga sama ada yang jenis liar atau pun jinak,” kata agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan itu.

Serangga yang merupakan haiwan tanpa tulang belakang itu dikenal pasti memiliki kaki tiga pasang dengan tubuhnya dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu kepala, toraks dan abdomen.

Dianggarkan ada lebih 5,000 spesies pepatung, 2,000 mentadak, 20,000 belalang, 170,000 rama-rama, 120,000 lalat, 350,000 kumbang serta 110,000 lebah dan semut di seluruh dunia.

Mereka yang didapati mendera serangga boleh didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 39 Akta Kebajikan Haiwan 2015 dengan menetapkan hukuman maksimum tiga tahun penjara.

Individu yang disabitkan kesalahan tersebut turut boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 setelah undang-undang berkenaan dikuatkuasakan Parlimen pada pertengahan 2017 lalu.

Ia meliputi penggunaan dalam penyelidikan, ujian atau pengajaran di mana-mana institusi kecuali setelah mendapat kebenaran rasmi daripada pihak panel Lembaga Kebajikan Haiwan.

Akta itu menyatakan bentuk kezaliman antaranya menyepak, memukul, melebihkan muatan, menakutkan haiwan tersebut selain dengan kejam menyebabkan kesakitan atau kecacatan.

Mereka yang ada maklumat kes sedemikian, boleh mengisi butiran melalui pautan laman JPV iaitu https://akh.dvs.gov.my/support dan memuat turun segala bukti sokongan seperti gambar.

“Keterangan yang diberikan adalah bersifat sulit dan tidak akan didedah kepada mana-mana pihak yang tidak berkenaan,” jelas agensi tersebut sebagai memberikan jaminan kerahsiaan.

Setakat ini, belum ada lagi individu yang dituduh kerana mendera serangga di negara ini dan ia mungkin disebabkan kekurangan kesedaran atau pendedahan dalam kalangan masyarakat. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment