nuffnang

Thursday, January 17, 2019

Isu Salib: Mujahid Jangan Lemah Pertahan Islam

KUALA LUMPUR - Pas menegur Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof kerana tidak tegas dan berdolak dalih berhubung isu bangunan perumahan di Jelutong, Pulau Pinang yang didakwa memaparkan lambang salib.

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, isu salib tersebut sudah lama tular dalam media sosial dan dikecam warganet sehingga ditegur Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor.

"Pas mendesak menteri agama (Mujahid) tegas membendung perkara ini. Jangan terlalu bertahan sehingga beliau dilihat lemah untuk mempertahankan kepentingan Islam dan umat Islam di Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Mujahid dilaporkan berkata beliau masih menunggu laporan daripada kerajaan negeri dan pejabat Mufti Pulau Pinang mengenai bangunan perumahan di Jelutong yang didakwa memaparkan lambang salib.

Kata Nasrudin, kenyataan menteri dilihat tidak tegas dan berdolak dalih serta mengecewakan hati umat Islam di Malaysia khususnya di Pulau Pinang.

Tambahnya, Pas turut meneliti kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan pihak pemaju, Nova Mulia Development Sdn. Bhd. beberapa hari lalu.

Namun beliau menganggap kenyataan yang diberikan cuba memperbodohkan rakyat.

"Setelah beberapa minggu gambar salib ditularkan, sekarang mereka mendakwa ia adalah abjad bahasa Cina yang bermaksud wang atau nasib baik.

"Mereka cuba mencetuskan provokasi dan ketegangan kaum serta agama di Malaysia. Lambang salib sebesar itu sengaja dipaparkan, walhal mereka perlu menghormati sensitiviti umat Islam di negara ini," katanya

Pada masa sama, Nasrudin mendakwa pengasas dan pengarah urusan pemaju projek berkenaan ialah seorang yang aktif terlibat dengan Nehemiah Project dan giat mempromosikan agenda kristianisasi. - utusan online

Wednesday, January 16, 2019

Depa Ingat Depa Pandai Sangat....!

Akta Hasutan undang-undang lapuk, menyekat - Suhakam
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 berikutan ia adalah undang-undang lapuk dan menyekat.

Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail berkata, berdasarkan janji ke-21 manifesto PH, kerajaan telah menyatakan pendirian yang jelas terhadap Akta Hasutan tetapi penggunaan secara berterusan undang-undang tersebut ketika ini menimbulkan kebimbangan terhadap orang ramai.

“Amat mengejutkan apabila Kabinet dan Ahli Parlimen PH yang mendakwa menyokong transformasi demokrasi boleh membenarkan perkara sebegini berlaku walaupun ada antara mereka merupakan mangsa Akta Hasutan.

“Suhakam mempersoalkan sama ada amalan pihak polis ini berkemungkinan bercanggah dengan polisi kerajaan dan agenda reformasi sehingga ke tahap pihak polis boleh dituduh menjalankan operasi bersifat autokrasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Razali berkata, Suhakam mengakui terdapat penulisan atau perkataan yang diungkap orang awam bersifat menghina tetapi itu merupakan hak untuk menyatakan pendapat membina kepada masyarakat berdemokrasi. - utusan online

Tuesday, January 15, 2019

Kesal Kerajaan Pusat Bacul, Dayus Dengan Singapura


JOHOR BAHRU - Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim kesal dengan sikap membisu dan berdiam diri kerajaan Persekutuan yang membenarkan Menteri-menteri Singapura 'membelasah' Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dalam dan luar Parlimen mereka.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu sedih apabila Perdana Menteri, Menteri Luar atau Menteri Pertahanan termasuk timbalan-timbalannya memekakkan telinga sehingga kini.

"Singapura membuli Menteri Besar Johor dan menjadikan Menteri Besar Johor sebagai kambing hitam dan punching bag manakala pemimpin-pemimpin di Putrajaya ambil sikap tidak peduli.

"Pemimpin-pemimpin kerajaan Johor juga ambil sikap membisu dan kelu seribu bahasa membiarkan Datuk Osman Sapian mempertahankan diri seorang diri menghadapi tuduhan-tuduhan liar Singapura sedangkan beliau menjalankan tugasnya demi mempertahankan kedaulatan wilayah dan maruah negara dan negeri ini," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Pejabat Kementerian Luar Singapura baru-baru ini mengumumkan hasrat menangguhkan Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) yang dijadualkan berlangsung hari ini, susulan dakwaan pencebohan kapal dinaiki Osman ke perairan republik itu oleh sebuah portal berita negara jiran tersebut.

Sebelum itu Osman menegaskan tidak menceroboh perairan Singapura Rabu lalu sebaliknya mahu melawat kawasan perairan negeri ini dan itu merupakan haknya sebagai ketua kerajaan Johor.

Hassan berkata, sikap pemimpin-pemimpin kerajaan Persekutuan dan negeri yang seolah-olah bacul dan dayus kerana membiarkan Osman diserang Singapura tanpa dibela sewajarnya dan selayaknya dengan kedudukannya sebagai Menteri Besar amatlah dikesalkan.

"Sebagai Ahli Parlimen Malaysia dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Johor yang menjadi sebahagian dari tunggak yang menyokong kerajaan Pakatan Harapan di Malaysia dan di Johor saya berhak menimbulkan perkara ini dan menuntut jawapan kerajaan," katanya.

Jelas beliau, perkara itu akan dibangkitkan secara rasmi di Parlimen apabila persidangan bermula pada Mac ini. - www.utusan.com.my

Monday, January 14, 2019

Di Mana Bumi Dipijak Di Situ Langit Dijunjung

AGAK-AGAKNYA faham tak anda semua maksud peribahasa Melayu pada tajuk di atas?

Saya sebut ‘agak-agaknya’ sebab kalau diamati, peribahasa tidak lagi dijadikan amalan untuk diselitkan semasa berinteraksi sesama kita.

Apa lagi di laman-laman sosial. Sebahagian besarnya pakai tujah, terjah sahaja. Keindahan bahasa dan pekerti yang baik dalam berkomunikasi lenyap sudah.

Maksud peribahasa tadi lebih kurang begini - Hendaklah mengikut aturan dan adat yang
diamalkan di tempat yang kita berada. Cara kehidupan perlu disesuaikan dengan tempat dan keadaan.

Beberapa peribahasa seerti antaranya, di mana ranting dipatah, di situ air disauk, masuk di dalam kawanan gajah berdering atau masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.

Kalau peribahasa Inggerisnya - When in Rome, do as the Romans do.

Menghairankan saya, mereka yang lakukan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dalam laman sosial bukannya baru habis sekolah pun. Sudah besar panjang dan pastinya telah melewati pembelajaran subjek Sejarah semasa di sekolah.

Eric Liew Chee Ling, Nur Alia Astaman dan beberapa lagi yang ‘tangannya gatal’ atau kata rakan seperjuangan saya, Ku Seman Ku Hussain, ‘macam kera dapat bunga’ ini bekerja di tempat-tempat yang dikelilingi orang yang baik-baik dan cerdik belaka - syarikat Cisco ASEAN, TNB atau berurusan dengan pembeli kereta mewah seperti Honda. Tapi mengapa, lagak dan fiil begitu sekali?

Bukan sahaja Yang di-Pertuan Agong ‘dibahannya’, anggota bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim dan Tunku Mahkota Johor (TMJ) turut dipalitkan oleh mereka yang saya fikir sakit mental agaknya. Ya lah, berperilaku sedemikian, ada yang ahli majlis daerah, tapi perangai masya-Allah.

Dalam bab ini, saya kena pujilah juga respons pihak-pihak swasta ini yang bertindak pantas dan tampak patriotik berbanding sebuah parti politik itu yang tiba-tiba membantah pula tangkapan dua tiga individu yang menghina Agong kita. Bukan waktu ini anda harus berlagak hero ya.

Sebenarnya peribahasa, di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung tidak sesuai untuk saya ibaratkan pada si pelaku-pelaku menghina Agong ini sebab mereka ini warganegara Malaysia.

Lebih sesuai bidalan ini ditujukan kepada orang asing. Namun kerana celuparnya mereka di alam siber, elok juga mereka ini dikategorikan sebagai ‘warga asing’ yang hakikatnya warga asing sebenar pun tidak sebusuk hati pelaku-pelaku ini.

Pelaku-pelaku hina Agong ini sebenarnya bernasib baik kerana kesalahan itu tidak dilakukan di negara tetangga kita, Thailand. Di sana penghina raja dan kerabatnya ada yang dipenjarakan hingga 30 tahun. Undang-undang ketat Lese-majeste yang dipraktikkan itu berdasarkan Kanun Jenayah yang melarang perbuatan menghina atau mengancam raja, permaisuri, bakal raja atau pemangku raja.

Mahkamah Thailand juga pernah menjatuhkan hukuman penjara selama setahun setengah ke atas seorang wanita buta kerana menghina anggota diraja negara.

Eh! Si buta pun kena? Nurhayati Masoh, 23, didapati bersalah selepas berkongsi artikel yang menghina anggota diraja Thai di akaun Facebooknya. Artikel itu bukannya Nurhayati empunya. Tetapi ditulis oleh Giles Ungpakorn, seorang ahli akademik keturunan Thai-Britain dan penentang keras keluarga diraja Thai yang melarikan diri dari Thailand selepas dituduh di bawah undang-undang Lese-majeste pada 2009. Nurhayati dikatakan menggunakan aplikasi komputer yang membantu golongan buta memuat naik catatan di media sosial.

Hai macam-macam hal dunia. Undang-undang tetap undang-undang. Malah, sejak kemangkatan mendiang Raja Bhumibol Adulyadej pada 13 Oktober 2016, pihak berkuasa telah menutup beratus-ratus laman web yang menghina atau mengkritik kerabat diraja.

Di negara ini, tidak kiralah orang Melayu, Cina, India dan semua etnik, realitinya kerajaan Malaysia masih memiliki toleransi dan tolak ansur yang tinggi terhadap rakyatnya.

Contoh paling tepat, kontrak sosial dengan jus soli nya lahir daripada hasil toleransi.

Tanpa kontrak sosial, mungkin negara ini gagal mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 kerana penjajah British ketika itu menjadikan pemuafakatan kaum sebagai prasyarat untuk membolehkan Malaya diiktiraf sebagai negara merdeka.

Kontrak ini harus difahami berkisar Perlembagaan, kemerdekaan, hubungan kaum dan sistem pemerintahan negara.

Jangan sesekali mempertikaikan kontrak sosial dengan membuat andaian negatif kononnya ia hanya untuk kepentingan Melayu dan tidak adil kepada kaum lain.

Semoga syak wasangka ini tidak bersarang di laman-laman sosial Facebook, Instagram dan aplikasi WhatsApp sekali gus menyebabkan anda terperuk dalam sel besi sehingga terpaksa berpisah sementara meninggalkan insan-insan tersayang.

Oleh : Zulkifli Jalil

Sunday, January 13, 2019

Terlajak Perahu Boleh Diundur

Hak kebebasan untuk bersuara merupakan hak asasi yang diiktiraf dunia. Artikel 19 Pernyataan Umum Tentang Hak-Hak Asasi Manusia atau dalam bahasa Inggerisnya Universal Declaration of Human Rights memperuntukkan bahawa “setiap orang berhak kepada kebebasan pendapat dan ekspresi; hak ini termasuk kebebasan untuk memegang pendapat tanpa gangguan dan untuk mencari, menerima dan menyebarkan maklumat dan idea melalui media dan tanpa mengira sempadan.”

Bagi sesebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi, hak kebebasan bersuara adalah antara salah satu asas sistem tersebut. Ini kerana, bagi sesebuah kerajaan yang dipilih rakyat, pengundi yang berpengetahuan adalah perlu. Oleh itu, kekangan terhadap aliran maklumat dan idea adalah bertentangan dengan konsep negara demokrasi. Rakyat perlu diberi kebebasan untuk bersuara supaya kekhilafan yang dilakukan pemerintah atau masyarakat dapat diperbetulkan.

Di Malaysia, hak kebebasan bersuara adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa “Tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4) – setiap warganegara berhak kepada kebebasan bercakap dan bersuara”. Walaubagaimanapun, hak bersuara di Malaysia bukanlah suatu hak mutlak tetapi terbatas kepada peruntukan undang-undang negara. Seperti yang termaktub di perenggan pertama Perkara 10(1), hak kebebasan bersuara adalah tertakluk kepada Fasal (2) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 10 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Parlimen menggubal undang-undang untuk menyekat kebebasan bersuara demi kepentingan Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, menjaga hubungan baik dengan negara-negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan-sekatan yang bertujuan melindungi keistimewaan Parlimen atau mana-mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa-apa kesalahan.

Antara contoh undang-undang yang digubal oleh Parlimen yang mengekang hak kebebasan bersuara adalah Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Fitnah 1957 dan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Terdapat pelbagai medium yang boleh digunakan rakyat untuk melaksanakan hak ini. Pada zaman serba moden ini, internet menjadi pilihan utama untuk rakyat menyuarakan pendapat terhadap sesuatu isu. Ini kerana internet adalah medium paling senang dan murah bagi seseorang mengutarakan pandangan kepada pemerintah dan khalayak ramai dengan capaian lebih luas dan tanpa sempadan.

Pandangan yang disalurkan melalui internet sangat berpengaruh sehinggakan pemerintah sesebuah negara boleh ditumbangkan. Sebagai contoh kejadian yang berlaku di negara-negara Arab yang dipanggil sebagai ‘Arab Spring’ telah menyebabkan beberapa kerajaan di sana jatuh disebabkan oleh maklumat yang disalurkan melalui internet. Malahan, internet telah memberi impak yang besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU Ke-14)lalu yang mana tampuk pemerintahan Kerajaan Malaysia berjaya diubah buat pertama kali dalam sejarah negara.

Malangnya, terdapat dalam kalangan rakyat negara ini menyalahgunakan hak bersuara dengan mengeluarkan komen-komen berunsur jelik, fitnah dan turut menghasut pembaca-pembaca lain sehingga memberi kesan buruk kepada negara.

Pada 6 Januari lalu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz dalam satu kenyataan mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Susulan kenyataan tersebut, beberapa individu yang tidak bertanggungjawab menyebarkan komen-komen yang merendahkan martabat institusi diraja dan menyebabkan kemarahan rakyat Malaysia. Akibat daripada komen berkenaan, tiga individu ditahan oleh polis untuk membantu siasatan.

Buat masa kini, kenyataan-kenyataan yang berbaur hasutan adalah tertakluk kepada peruntukan-peruntukan dibawah Akta Hasutan 1948. Seksyen 3(1) Akta Hasutan 1948 memberi definisi yang luas terhadap definisi ‘kecenderungan menghasut’. Ini termasuk kenyataan-kenyataan yang mempersoalkan kedudukan raja-raja melayu dan merendah-rendahkan martabat mereka.

Sekiranya individu didapati bersalah dibawah akta tersebut, mereka boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan seterusnya, dipenjara tidak melebihi lima tahun.

Namun, terdapat ura-ura selepas PRU Ke-14 bahawa Kerajaan baharu sedang dalam kajian untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948. Walaubagaimanapun, kerajaan tidak meneruskan hasrat tersebut.

Pada hemat penulis, sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan, tidak ada akta sedia ada yang standing dengan Akta Hasutan 1948 yang boleh mempertahankan isu-isu sensitif daripada dipersoalkan terutamanya kedudukan institusi Raja-raja.

Sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan, ia membuka peluang kepada individu-individu yang tidak bertanggungjawab untuk mempersoalkan isu-isu sensitif termasuk kedudukan raja-raja. Walaubagaimanapun terdapat pengkritik-pengkritik yang menyatakan Akta Hasutan 1948 adalah bertentangan dengan hak bersuara yang dijamin oleh Perkara 10 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, mereka lupa hak bersuara tersebut bukanlah hak yang mutlak kerana Perkara 10(1)(a) perlu dibaca bersama-sama peruntukan-peruntukan lain di dalam Perlembagaan yang membenarkan sekatan-sekatan dilakukan terhadap hak tersebut. Seperti yang dinyatakan penulis tadi, Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Parlimen untuk mengubal undang-undang untuk menyekat hak kebebasan bersuara.

Selain itu, akta seperti Akta Hasutan adalah perlu bagi memberi kesan antara lain kepada Perkara 63(5) Perlembagaan Persekutuan yang menghalang seseorang daripada menganjurkan penghapusan kedudukan Yang di-Pertuan Agong, atau kedudukan raja-raja Melayu. Sekiranya Akta Hasutan dimansuhkan, tidak ada peruntukan yang dapat memberi kesan kepada Perkara 63(5) Perlembagaan Persekutuan.

Akhir kalam, penulis berharap agar pengguna laman sosial dapat menggunakan kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan secara berhemah dan tidak mengeluarkan kenyataan provokatif yang boleh merosakkan keharmonian negara ini.

Ingatlah bahawa kata-kata yang diterbitkan boleh membawa kesan yang besar kepada negara. Terlajak perahu boleh diundur.

Oleh : M. Reza Hassan

Saturday, January 12, 2019

Haramkan Bukan Islam Perguna Al-Quran

KEHALALAN bab makan dan minum bagi orang Islam cukup sensitif.

Pendek kata, orang yang tidak solat pun mahu cari kedai makan yang halal. Apatah lagi yang mukmin. Malangnya, masih ada premis makanan yang menipu. Pengusaha bukan Islam ini mempergunakan ayat-ayat suci al-Quran untuk mengabui mata umat Islam. Ia juga dijadikan taktik mengumpan pelanggan Islam datang makan di kedai mereka.

Memang mengejutkan apabila pemeriksaan sepasukan anggota Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor ke atas restoran di Seksyen 25, Shah Alam, mendapati semua pekerja termasuk tukang masaknya, bukan Islam. Hanya dua pekerja beragama Islam.

Difahamkan restoran ‘India Muslim’ itu telah beroperasi sejak 10 tahun lalu dan dikatakan ada ayat al-Quran yang digantung di belakang kaunter restoran terbabit dan di sebelahnya tergantung bungkusan kuning disyaki peralatan pemujaan penganut Hindu.

Memanglah status halal res­toran India Muslim tidak bergantung kepada siapa pe­miliknya sama ada seorang penganut agama Islam atau pun tidak, sebaliknya berpandukan kepada sijil halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Namun perbuatan tuan punya premis yang mengelirukan masyarakat Islam dengan menggantung ayat al-Quran di dalam restoran dan tulisan jawi pada papan tanda perniagaan adalah perbuatan tidak bertanggungjawab.

Tindakan tegas perlu diambil ke atas pemilik premis terlibat supaya menjadi pengajaran dan tidak diulangi perbuatan yang sama. Ringkas cerita, haramkan premis dimiliki bukan Islam menggantung atau mempamer ayat al-Quran. Mereka yang ingkar, kenakan hukuman yang berat. Jika tidak, insiden ini akan berulang umpama tiada kesudahan.

Sebenarnya, undang-undang sudah ada. Akta Perihal Dagangan 2011 dan dua perintah di bawahnya iaitu Perintah perihal Dagangan (takrif Halal) 2011 dan juga Perintah perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) bagi menggantikan akta lama yang antaranya bertujuan menangani isu halal.

Dalam Islam, menjaga halal bukan hanya tidak makan babi tetapi juga ayam atau lembu yang tidak disembelih atau yang disembelih selain menyebut nama Allah. Konsep halal meliputi rantaian daripada awal sumber hinggalah ke meja makan atau from farm to fork. Sebab itu, isu halal ini hanya difahami oleh orang Islam. Syarikat atau premis makanan yang tidak ada pekerja Islam dibimbangi berlaku perkara syubhat dalam proses mencari atau menyediakan makanan kepada pelanggan Muslim.

Dalam menjaga makan dan minum, Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. (al-Baqarah: 168)

Umat Islam mengambil berat soal halal dan haram makanan kerana ia menjadi darah daging kita. Terdapat banyak kesan buruk yang disebut oleh para ulama akibat pengambilan makanan dan minuman yang haram, antaranya:

*Hilang keberkatan dalam hidup. Kesan daripada pengambilan makanan dan minuman yang haram akan menghilangkan keberkatan dalam hidup dan juga harta benda, sekalipun perolehannya nampak baik, namun tidak kekal lama. Hidup pula tidak bahagia dan jiwa sentiasa gelisah tidak tenang, malah hidup penuh dengan pelbagai masalah.

*Doanya tidak makbul. Kesan pengambilan makanan dan minuman yang haram, doanya tidak akan diterima oleh Allah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Seseorang lelaki melakukan perjalanan yang jauh, rambutnya kusut-masai, mukanya berdebu, menadah kedua belah tangannya ke langit dan berdoa : Ya Rabbi! Ya Rabbi! Pada hal makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan mulutnya disuapkan dengan yang haram, maka bagaimanakah akan diterima doanya itu? (Riwayat Muslim)

*Dagingnya akan dibakar dalam neraka. Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tiap-tiap daging yang tumbuh dari benda yang haram, maka neraka lebih utama untuknya. (Riwayat Tirmidzi)

*Hati menjadi keras. Imam Ahmad ditanya bagaimana cara melembutkan hati. Beliau menjawab, dengan memakan makanan yang halal. Perlu diingatkan bahawa hati adalah anggota dalaman yang sangat penting dalam tubuh manusia, baik atau rosaknya anggota zahir adalah berpunca dari hati. Sebab itu Rasulullah SAW sangat memberi penekanan terhadap hati, sebagaimana sabdanya: Ketahuilah bahawa dalam tubuh badan terdapat seketul daging yang apabila baik, nescaya baiklah seluruh tubuh badan dan apabila ia rosak, nescaya rosaklah seluruh tubuh badan, ketahuilah, itulah hati. (Riwayat Syaikan)

Tuesday, January 8, 2019

Macam Ada Yang Tak Kena....!

Inkues Timbul Tanda Tanya
ALLAHYARHAM Muhammad Adib Mohd. Kassim, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, mengalami kecederaan parah setelah diserang oleh beberapa individu yang belum dikenal pasti dalam satu rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November lalu.

Setelah bertarung nyawa selama 21 hari, Muhammad Adib akhirnya menghembuskan nafas terakhirnya pada 17 Disember lalu. Ayah Adib, Mohd. Kassim Abdul Hamid berkata, “Jangan lindungi sesiapa yang bersalah. Pastikan kematian anak saya terbela.”

Timbalan Yang di Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitiskan air mata ketika bertitah dan mahukan pihak yang bertanggungjawab segera diheret ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal.

Pada 26 Disember lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye menyatakan laporan akhir bedah siasat bagi mengetahui punca kematian dijangka siap dalam tempoh sebulan (iaitu di penghujung Januari iini).

Pada hari berikutnya, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan, Peguam Negara (selaku Pendakwa Raya) akan mengarahkan majistret (di bawah Seksyen 339 Kanun Acara Jenayah) untuk membuat inkues bagi menentukan sebab kematian Muhammad Adib.

Terkejut dengan pengumuman ini, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyatakan, walaupun keputusan mengadakan inkues dalam bidang kuasa Peguam Negara, tindakan terbarunya ini menimbulkan spekulasi seolah-olah Peguam Negara ‘masih keliru’ tentang punca kematian Muhammad Adib, pada hal Polis Diraja Malaysia telah pun membuka kertas siasatan dan mengklasifikasi kes tersebut sebagai kes bunuh.

Mengikut Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, inkues bagi kes itu adalah tidak perlu dan hanya akan melengah-lengahkan keadilan kepada keluarga mangsa.

Curiga
Mengikut Yahaya Abdul Rahman (seorang bekas majistret dan kini pengamal undang-undang), inkues biasanya diadakan apabila berlaku kematian mengejut atau kematian berlaku dalam keadaan mencurigakan, seperti dalam kes kematian Teo Beng Hock (TBH).

Dalam kes Muhammad Adib, di mana mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan parah yang dialaminya, jika individu yang menyerangnya dapat dikenal pasti, maka individu berkenaan boleh terus dikenakan pertuduhan membunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tidak perlu lagi diadakan inkues, kecuali tujuan utama ia diadakan adalah bagi menunjukkan kepada seluruh dunia tentang ketelusan tindakan kita.

Tindakan Muhyiddin berhubung inkues ini menimbulkan tanda tanya disebabkan beliau sendiri telah menyatakan di Dewan Rakyat pada 29 November lalu bahawa satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi menyiasat rusuhan yang berlaku di kuil berkenaan. Siasatan itu diberi nama Op Seafield.

Beliau turut menyatakan pada hari itu bahawa disebabkan insiden itu ada unsur-unsur jenayah, siasatan akan segera dijalankan bagi mengenal pasti pesalah dan membawa mereka ke muka pengadilan.

Bertolak dari ucapan Muhyiddin di Dewan Rakyat pada hari itu, secara logiknya siasatan awal pada masa itu (di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan) sepatutnya diteruskan menjadi satu siasatan di bawah Seksyen 302 (kesalahan membunuh), bukan dihentikan untuk memberi laluan kepada inkues.

Undang-undang inkues pernah dihuraikan oleh Mahkamah Rayuan dalam kes Teoh Meng Kee lawan Pendakwa Raya [2014] 5 MLJ 741, iaitu melibatkan inkues TBH.

Inkues TBH di hadapan majistret bermula pada 27 Julai 2009 dan berakhir pada 14 November 2009. Seramai 37 saksi memberi keterangan, termasuk 12 pakar. Akhirnya pada 5 Januari 2011, Majistret mengumumkan keputusan terbuka (open verdict). Terkilan dengan keputusan itu, perayu (abang TBH) memohon semakan kehakiman kepada Mahkamah Tinggi.

Pemohon mahu Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan majistret itu dan memutuskan berlaku satu pembunuhan yang menyalahi undang-undang (unlawful killing). Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan itu dan mengekalkan keputusan majistret.

Apabila kes ini dirayu ke Mahkamah Persekutuan, mahkamah putuskan bahawa keputusan majistret dan Mahkamah Tinggi itu adalah salah, dan keputusan yang betul dalam kes TBH adalah bahawa kematiannya disebabkan oleh … an unlawful act or acts of persons unknown, inclusive of MACC officers who were involved in the arrest and investigation of the deceased.

Dua perkara boleh kita pelajari daripada kes TBH. Pertama, majistret (yang mengendalikan inkues) boleh melakukan kesilapan dan kesilapan itu perlu dibetulkan melalui semakan kehakiman, satu prosedur yang memakan masa.

Kedua, walaupun kesilapan majistret dan Mahkamah Tinggi akhirnya dapat diperbetulkan, ia tidak memberi makna hakiki kepada keluarga mangsa kerana di penghujung inkues dan semakan kehakiman itu, status quo awal masih kekal – iaitu pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian TBH masih lagi belum dapat dibawa ke pengadilan.

Di bawah Arahan Amalan No. 1 Tahun 2007, Garis Panduan Inkues, dikeluarkan oleh Hakim Besar Malaya pada 5 Januari 2007, ada dijelaskan bahawa satu inkues bukan satu perbicaraan, tidak ada orang yang dituduh atau membela diri, ia hanya satu siasatan mengenai sebab kematian (cause of death), dan tidak ada sabitan atau hukuman di penghujungnya.

Garis panduan itu selanjutnya menyatakan bahawa apabila inkues itu selesai, majistret hendaklah menyerahkan dapatannya (findings) kepada Pendakwa Raya.

Sewaktu mengumumkan keputusannya, majistret tidak boleh menamakan sesiapa pun yang bersalah secara jenayah atau sivil, sebaliknya mengumumkan salah satu dari tiga perkara berikut, open verdict (keputusan terbuka, maksudnya tak tahu apa punca kematian), verdict of misadventure (kematian disebabkan kemalangan), atau death by person or persons unknown (kematian disebabkan oleh orang tertentu).

Inilah nanti yang bapa Muhammad Adib akan dimaklumkan di penghujung inkues. Ikut jalan ini, matlamat mendapatkan keadilan bagi Muhammad Adib masih jauh lagi.

Monday, January 7, 2019

Apabila Chauvanist Menentukan Segalanya.....

Peranan DAP dalam kerajaan PH penting - Dr. Mahathir
KUALA TERENGGANU - Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini mengakui DAP memainkan peranan penting dalam menentukan segala perkara dalam pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) termasuk berkaitan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Dr. Mahathir berkata, memang pada awalnya dalam politik, DAP adalah sebuah parti seteru namun keadaan telah berubah menjadikan parti tersebut sebagai rakan sekutu kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah satu pakatan, PH.

“Saya tahu ada pendapat mengatakan DAP parti musuh, tapi saya nak bagi tahu bahawa yang tentukan saya akan jadi pengerusi PH dan bakal PM (Perdana Menteri) jikalau menang dalam PRU lalu adalah DAP.

“Mereka (DAP) tentukan siapa pemimpin dan siapa akan pegang jawatan selepas berjaya ambil alih kerajaan, semuanya ini datang dari DAP. Jadi, kalau orang kata (DAP) musuh, kenapa pilih saya.

“Mereka juga sedar, kerosakan yang dilakukan pemimpin kerajaan terdahulu perlu disingkirkan dan sebab itulah kita menang dalam PRU-14,” katanya.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PH merangkap Pengerusi Bersatu menyatakan perkara itu ketika berucap merasmikan Pejabat Bersatu Negeri Terengganu di Ladang Tok Pelam di sini hari ini. - utusan online

Friday, January 4, 2019

Gerombolan Kiasu Peduli Apa.....!

Pengiktirafan UEC perlu pertimbangkan perasaan orang Melayu
KUALA LUMPUR - Beberapa media tempatan hari ini yang memetik laporan akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily melaporkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu perasaan orang Melayu turut dipertimbangkan sebelum Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) diiktiraf.

Portal Malaysiakini yang turut mendapatkan salinan rakaman temu bual Sin Chew Daily dengan Perdana Menteri itu, mendapati Dr. Mahathir sendiri turut menekankan kepentingan penguasaan bahasa Melayu.

"Kami mengiktirafnya. Saya kata berkali-kali kami mengiktiraf ijazah asing, kami mengiktiraf sijil Cambridge, kami mengiktiraf juga sijil-sijil yang dikeluarkan oleh negara-negara lain.

"Tetapi anda minta ini untuk diterima oleh kerajaan. Untuk tahap tertentu, ini telah diterima tetapi anda mesti mempunyai penguasaan asas bahasa Melayu. Kamu lihat, kamu mesti mempunyai itu," menurut Dr. Mahathir yang dipetik daripada laporan Malaysiakini.

Jawapan Dr. Mahathir itu dikatakan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Cina sehinggakan ada pihak yang mempersoalkan pendirian DAP dalam kerajaan dan bertanya sama ada Dr. Mahathir telah mengambil kira perasaan masyarakat Cina.

Selain itu, Perdana Menteri juga dilihat mementingkan situasi semasa dalam negara sebelum kerajaan membuat apa-apa keputusan termasuk mengiktiraf UEC.

"Peperiksaan harus mencerminkan keadaan di negara ini. Kamu tidak boleh mengambil peperiksaan asing dari negara asing dan menggunakannya sebagai kelayakan, yang tiada siapa yang melakukannya," katanya.

Dr. Mahathir juga berkata, apabila orang Melayu bersetuju bukan Melayu diberi kewarganegaraan, mereka mempercayai dengan berbuat demikian, masyarakat akan mempunyai negara dengan satu bahasa, budaya dan undang-undang asas dan pemahaman semua adalah rakyat Malaysia.

Seorang wartawan dalam temu bual itu bertanya, apakah objektif Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi sokongan orang Melayu menyebabkan janji PH kepada masyarakat Cina lebih sukar untuk dicapai, seperti UEC?

Dr. Mahathir menjawab, janji akan cuba dikotakan namun boleh membuat perbandingan antara Malaysia dengan negara-negara lain.

"Di negara lain, mereka tidak membenarkan sekolah Cina, mereka tidak membenarkan walaupun papan tanda, kadang-kadang. Hanya baru-baru ini mereka meniru kita.

"Jika kamu bertanya kepada orang-orang asal China di beberapa negara ini, mereka ingin berpindah ke Malaysia. Mereka mengatakan di sini mereka lebih dikenali kerana kaum mereka diiktiraf," katanya. - Utusan Online

Thursday, January 3, 2019

Pilihan Lain Sebelum Jual Aset Negara?

TAHUN 2019 akan menjadi tahun yang lebih mencabar. Ini adalah kerana ketidaktentuan ekonomi dan ketidaktentuan pendapatan kerajaan akibat harga minyak yang tidak menentu.

Terdapat ramalan yang mengatakan harga minyak akan kembali naik ke paras AS$70 setong pada 2019. Jika ini benar, Alhamdulillah.

Namun demikian, saya tidak berapa percaya kepada ramalan-ramalan sebegini.

Ini kerana penganalisa-penganalisa yang sama juga telah membuat ramalan sebelum ini bahawa harga minyak pada akhir tahun lepas akan meningkat melebihi paras AS$80, namun apa yang berlaku ialah harga minyak menjunam sehingga paras AS$50.

Saya pernah bekerja di Unit Perancang Ekonomi dalam sektor tenaga. Dan saya juga pernah bekerja menganalisa sektor tenaga di New York beberapa tahun lalu.

Dalam zaman sekarang, harga minyak dunia kini tidak lagi hanya ditentukan oleh kadar pengeluaran minyak seperti dalam buku teks ekonomi, tetapi ia juga banyak ditentukan oleh pasaran kewangan.

Sebab itu apabila OPEC memutuskan untuk mengurangkan pengeluaran minyak untuk meningkatkan harga minyak, harga minyak tidak banyak berubah

Sebab itu juga apabila Banl Pusat Amerika Syarikat (AS), Federal Reserve Bank mengambil keputusan untuk menaikkan kadar faedah, harga minyak turun menjunam walaupun pengeluaran minyak telah diturunkan.

Sukar meramal
Jika kadar faedah AS naik lagi tahun depan, maka besar kemungkinan harga minyak dunia akan terus rendah kerana perkembangan ekonomi yang dijangka perlahan dan penjualan aset-aset kewangan berasaskan minyak.

Siapa yang mengikuti dan memahami realiti makroekonomi pasaran ini tahu yang adalah sukar untuk meramal apa yang Bank Pusat AS akan buat. Kesimpulannya, tiada siapa yang tahu sama ada harga minyak akan naik atau turun tahun ini.

Jika harga minyak dunia naik, maka kerajaan kita perlu menaikkan harga minyak di stesen minyak. Akibatnya inflasi akan meningkat dan kos sara hidup rakyat juga meningkat. Jika harga minyak dunia turun, kerajaan akan hilang pendapatan untuk berbelanja.

Dalam keadaan begini, kerajaan berada dalam keadaan kalah-kalah, kedua-dua senario tidak menyebelahi kita malah ekonomi negara kita bergantung kepada keputusan yang dibuat oleh kuasa luar seperti OPEC, negara-negara pengeluar minyak besar yang lain dan Bank Pusat AS.

Kerajaan Barisan Nasinal (BN) dahulu sudah tahu lama perkara ini. Sebab itu kita perkenalkan GST untuk menstabilkan pendapatan kerajaan supaya kita tidak bergantung atau memperjudikan ekonomi negara kepada turun naik harga minyak dunia atau keputusan OPEC dan Bank Pusat AS yang umpama menyerahkan untung nasib rakyat Malaysia ke tangan kuasa luar.

Saya pasti ahli-ahli pakar dalam Council of Eminent Persons tahu akan hal ini tapi mengapa mereka kini berdiam diri?

SST ada impak?
Setelah GST dihapuskan dan digantikan dengan SST, kita berbalik kepada masalah lama yang sebenarnya telah kita selesaikan.

Keadaan ekonomi merudum kini bukanlah sebab legasi kerajaan lama, namun adalah kerana hasil tangan kerajaan baru ini sendiri.

Apabila mereka membuat keputusan untuk menghapuskan GST dan memperkenal SST, harga barang tetap naik namun hasil kerajaan hilang berbillion ringgit akibat ketirisan pendapatan kerajaan oleh peniaga yang lari dari membayar cukai.

Akibatnya kebergantungan kerajaan kepada hasil minyak meningkat. Apabila harga minyak dunia turun, hasil kerajaan berkurangan dan rakyat tidak dapat bantuan.

Ekonomi jadi huru hara dan tidak menentu. Ini semua bukan salah hutang kerajaan dahulu atau 1MDB. Juga, dalam keadaan ini, sekiranya ekonomi semakin teruk tahun ini, kerajaan tidak akan ada duit untuk membuat pakej rangsangan ekonomi. Ini akan memburukkan lagi keadaan.

Potong, Pinjam, Jual
Sebelum ini saya pernah berkata kerajaan kini ada tiga pilihan untuk menangani masalah kewangan negara:

Pertama, memotong bantuan dan perbelanjaan kepada rakyat;

Kedua, meminjam dan menambah hutang negara untuk terus berbelanja;

Dan ketiga, menjual aset negara yang ada untuk menampung perbelanjaan. Ketiga-tiga pilihan di atas adalah pilihan yang tidak baik.

Menjual aset pada masa sekarang adalah pilihan yang paling teruk daripada ketiga-tiga pilihan tersebut.

Kita sepatutnya menjual aset pada waktu harga tinggi bukan waktu harga rendah, terutama apabila aset-aset ini adalah harta syarikat-syarikat awam yang telah kita bina selama puluhan tahun.

Aset yang selama ini milik rakyat kini dijual ke tangan persendirian dengan harga murah. Ini yang sedang berlaku kepada Tabung Haji.

Aset-aset kerajaan atau syarikat berkenaan kerajaan ini adalah umpama harta pusaka rakyat. Apabila kita menghadapi masalah kewangan semasa, kita tidak terus jual harta pusaka kita, kita perlu cari opsyen lain dahulu.

Menjual harta pusaka adalah pilihan terakhir. Sebabnya apabila kita jual harta ini kepada milikan persendirian adalah amat sukar untuk kita dapatkannya kembali.

Sebenarnya ada pilihan yang lebih baik sebelum kita menjual harta pusaka negara: iaitu mengembalikan GST supaya pendapatan kerajaan tidak bergantung kepada harga minyak dan faktor kuasa luar, dan untuk mengekang ketirisan cukai bagi menstabilkan pendapatan kerajaan.

Kembalikan GST
Selama setengah tahun ini kita sudah nampak bahawa SST menaikkan harga barang dan lebih memudaratkan daripada GST kerana ketirisan hasil cukai SST hanya menguntungkan tauke-tauke perniagaan yang lari cukai tetapi merugikan negara dan rakyat keseluruhan.

Oleh itu eloklah jika GST dikembalikan supaya mengurangkan mudarat atau menjadikan keadaan lebih baik daripada sekarang.

Saya faham jika Kerajaan PH membuat u-turn dan mengembalikan GST, mereka terpaksa menelan ego mereka. Saya juga tahu jika saya cadangkan ini mereka tidak akan buat kerana sebab yang sama.

Namun rakyat adalah lebih penting dari ego mereka. Ini bukan lagi soal politik, ini soal menjaga kebajikan rakyat dan negara. Seperkara lagi, semasa kita sedang memikirkan tentang keadaan ekonomi yang malap dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ke mana perginya Menteri Ekonomi kita?

Saya dengar beliau pergi bercuti ke luar negeri lagi. Rakyat tengah susah. Baliklah buat kerja. Ini bukan masa untuk bercuti.

Oleh : Isham Jalil

Tuesday, January 1, 2019

Surat Kepada Pendatang Melayu

KEPADA sekalian bangsa Melayuku yang nenek moyangnya merantau ke luar tanah alam Melayu, sedarlah akan hakikat pendatang.

Walaupun sudah tujuh keturunan di tanah luar alam Melayu, di sana bangsa Melayu tetap asalnya bangsa pendatang. Tidak perlu terloncat-loncat melenting apabila dikatakan ‘bangsa pendatang’.

Menjadi pendatang bukan kesalahan jauh sekali kehinaan sekiranya kita tidak bercita-cita memijak kepala bangsa asal. Ini suatu yang alami atau berlaku secara semulajadi. Ia migrasi manusia di atas muka bumi ini ke luar alam budaya asalnya.

Saya menulis ini kerana terkenang diaspora bangsa kita, bangsa Melayu ke luar alam budaya digugusan kepulauan Melayu. Banyak Melayu berada di luar lingkaran alam Melayu dan mereka adalah pendatang pada tanah barunya.

Banyak yang berjaya tetapi masih terjaga pekerti dan tidak menggoreskan hati bangsa asal. Belum terdengar peri laku tidak senonoh misalnya mengangkat penyapu menghalau bangsa asal di kota-kota supaya lari ke hutan. Tidak pernah.

Ini tidak pernah dilakukan oleh pendatang Melayu di tanah barunya. Tetapi di tanah asal kita ada pendatang yang mahu meminda sejarah, Melayu juga pendatang, kata mereka.

Makna sebenar ‘pendatang’ adalah bangsa yang datang dari luar lingkaran budaya dan sosial sesuatu tempat. Misalnya orang Melayu yang ratusan tahun dahulu datang ke Australia, Britain, Sri Lanka, Afrika Selatan, Surinam, Madagascar, Perancis dan Belanda. Mereka adalah pendatang kerana di luar lingkaran budaya dan sosial tempat yang ditumpangi atau didatangi.

Maka sedarlah, sebagai bangsa pendatang di tanah luar alam Melayu jagalah pekerti supaya bangsa Melayu tidak dicaci.

Jangan sama sekali meminjam sifat pokok parasit yang menumpang tetapi akhirnya membunuh pokok asal. Itu bukan citra dan sifat terpuji bangsa Melayu yang terbukti bukan bangsa penakluk atau penjajah.

Jangan menjadi kaduk yang mahu menguasai junjung di negara yang ada bangsa asalnya. Sifat kaduk ini amat hina dan jangan sekutukan kehinaan itu dengan bangsa Melayu nenek moyang kita yang merantau dulunya.

Tidak ada bangsa yang menjadi pendatang di tempat barunya kecuali mahu mencari kehidupan yang lebih baik. Maka bersyukurlah dengan keterbukaan bangsa asal yang menerima kita.

Jangan mengusik perkara-perkara yang menggores perasaan bangsa asal kerana mereka yang lebih berhak di atas tanah airnya. Tidak perlulah memperjuangkan kesamarataan kerana ini bukan satu keadilan kepada bangsa asal. Mana mungkin boleh disamarata pendatang dengan bangsa asal? Sama rata bukan keadilan.

Melayu dalam konteks ini bukan sahaja Melayu yang tercatat dalam kad pengenalan Malaysia. Itu hanya Melayu yang telah difragmentasi penjajah. Bangsa Melayu adalah satu rumpun bangsa yang memdominasi alam Melayu Nusantara.

Ternyata banyak dalam kalangan bangsa Melayu yang berjaya di negara luar alam Melayu malah mengatasi bangsa asal. Tetapi mereka sedar diri dan tidak bercita-cita mahu menjadi tuan, mengubah itu dan ini di negara ditumpanginya. Tidak menuntut sekolah pengantar bahasa ibunda Melayu khusus untuk Melayu.

Tidak ada agenda untuk menggantikan bahasa asal dengan bahasa Melayu, tidak bertindak biadab mengagung-agungkan bahasa Melayu melampaui bahasa kebangsaan negara yang ditumpangi dan tidak bercita-cita menulis semula kurikulum pelajaran sejarah negara yang ditumpangi untuk menonjolkan Melayu.

Berbanggalah menjadi bangsa pendatang yang turut menyumbang kemajuan di tempat yang ditumpangi. Tumpahkan kesetiaan walau kita masih ada tanah asal di gugusan kepulauan Melayu atau Nusantara.

Jangan membuat onar untuk ‘memelayukan’ tempat yang ditumpangi.

Oleh : Ku Seman Ku Hussain