nuffnang

Friday, June 28, 2019

Agenda Memperkasa Bangsa

Orang Melayu berjaya dipinta bantu agenda memperkasa bangsa
Orang Melayu yang telah berjaya dari segi kerjaya dan bidang perniagaan diharap dapat membantu agenda pendidikan bangsa sebagaimana diperjuangkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) selama 63 tahun ia ditubuhkan, bermula tahun 1956.

Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Dr. Mohamad Azraai Kassim, pusat pengajian itu sendiri mempunyai jutaan alumni yang berjaya dan mempunyai kekuatan ekonomi untuk menyumbang kepada anak-anak bangsa di UiTM.

“UiTM adalah tonggak penting kepada kejayaan orang Melayu dalam bidang pendidikan hingga berjaya mewujudkan anak-anak Melayu yang berjaya dalam bidang profesional dan menjadi usahawan.

“Justeru kita mengadakan bengkel hari ini dengan harapan kita dapat menghasilkan resolusi bagaimana kita boleh melestarikan pencapaian bumiputera dari sudut ekonomi dan pendidikan, “katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Bengkel Memperkasa Kecemerlangan Bumiputera di sini hari ini.

Azraai berkata, sumbangan daripada alumni dalam bentuk wakaf wang tunai kepada UiTM misalnya, mampu memperkasakan agenda pendidikan secara lebih menyeluruh.

Mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu tongkat dan integriti, beliau memberitahu kedua-dua perkara tersebut perlu diubah dalam lanskap pendidikan di negara kita khususnya di UiTM.

“Bagi memastikan kelangsungan bangsa Melayu malahan untuk menjadikan kita lebih cemerlang kita perlu mempertingkatkan nilai integriti, jati diri, disiplin, daya juang dan mengangkat falsafah keilmuan ke tahap lebih tinggi. Dalam jangka masa panjang kita berazam untuk mengikis persepsi UiTM sebagai tongkat orang Melayu dan kita buktikan kita mampu bersaing dengan bangsa lain.

“Apa yang lebih penting graduan kita yang telah berjaya dan mempunyai kemampuan kewangan untuk kembali menyumbang kepada UiTM bagi memastikan kita tidak lemah di bumi sendiri kerana hanya kita boleh mengubah masa depan bangsa kita,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Thursday, June 20, 2019

Tidak Akan Berlaku Di Indonesia, Thailand, Filipina....

Papan tanda jalan bahasa Cina: Selangor jangan beri mesej salah
TIGA hari sudah berlalu selepas isu papan tanda jalan di Tanjung Sepat yang tidak mengikut titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan, tetapi apa yang mendukacitakan hingga kini tiada sebarang tindakan bersungguh dari pihak berkuasa.

Baik di peringkat Menteri Besar, Exco berkaitan mahu pun pihak berkuasa tempatan (PBT), semua dilihat tidak begitu cakna dalam isu tersebut. Apa yang ada setakat ini hanya kenyataan bersifat ‘bangau oh bangau’ dari Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Sedangkan, isu papan tanda jalan dalam bahasa Cina tersebut besar implikasinya kepada Selangor dan seharusnya, semua pihak sedar bahawa titah Sultan Salahuddin perlu dihormati serta diterjemahkan melalui pelaksanaan, bukan dengan mencari pelbagai alasan.

Ini kerana hal itu sudah diketahui umum atau dengan kata lain, ingkar kepada titah baginda. Sekalipun MDKL memberi alasan ia dibuat atas arahan bekas Exco, Ean Yong Hian, pada 2016, ia tidak lebih dilihat sebagai perbuatan saling menuding jari setelah terngadah.

Apa yang rakyat Selangor hendak tahu sekarang bilakah papan tanda jalan tersebut hendak diturun dan digantikan dengan bahasa Melayu sepenuhnya. Tapi malangnya tiada sebarang jawapan diberikan Exco berkaitan ketika dihubungi sejak tiga hari lalu.

Pejabat Menteri Besar juga seperti membiarkan PBT menyelesaikan isu berkenaan, sedangkan ia boleh diselesaikan secara amat mudah dengan hanya satu arahan ringkas daripada Menteri Besar, Amirudin Shari kepada MDKL, sepertimana dalam kes di Shah Alam tahun lalu.

Amirudin sendiri tentunya tidak mahu kepimpinannya dilemparkan dengan persepsi yang kurang enak disebabkan isu papan tanda jalan, yang keputusannya dibuat Yong Hian sebelum beliau mengambil alih jawatan Menteri Besar.

Padahal, prestasi pentadbirannya secara keseluruhan adalah amat baik termasuk membawa pelaburan tempatan dan luar negeri berjumlah RM18.947 bilion ke Selangor, sekaligus membolehkan kerajaan negeri memperoleh hasil sebanyak RM1.214 bilion sehingga 7 Jun lalu.

Oleh itu YB, bertindaklah segera dan laksanakanlah titah Sultan Selangor dengan tegas, janganlah sampai rakyat resah. Jangan ulangi atau biarkan keadaan hingga ada yang merasakan seperti cacing naik ke mata. - UTUSAN ONLINE

Alasan lapuk tak faham bahasa Melayu
Tiada alasan untuk bahasa selain bahasa kebangsaan, bahasa Melayu digunakan di papan tanda jalan di seluruh negara.

Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia, Prof. Datuk Dr. Awang Sariyan berkata, bagi rakyat yang telah lebih 60 tahun menjadi warganegara, tidak sepatutnya ada tidak faham akan nama jalan dan tempat dalam bahasa kebangsaan.

“Selagi alasan lapuk itu diterima, selama itulah bahasa negara tidak diendahkan oleh golongan yang tidak menghargai taraf kewarganegaraan yang diberikan kepadanya.

“Daripada segi undang-undang khas, ada Undang-undang Kecil Pengiklanan yang menetapkan penggunaan bahasa di tempat awam seperti nama bangunan, premis, jalan, iklan dan lain-lain.

“Berkaitan dengan nama jalan, tidak wajar digunakan bahasa lain daripada bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kerana nama jalan turut mewakili citra atau imej negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang mendapati hampir keseluruhan papan tanda jalan dalam kawasan pekan Tanjong Sepat, Selangor yang mempunyai lebih 10 lorong memaparkan tulisan Cina.

Tambah Awang, pihak berkusa tempatan (PBT) tidak wajar berdiam diri atau memandang ringan akan tanggungjawab dalam melaksanakan salah satu dasar negara, iaitu Dasar Bahasa Kebangsaan.

“Langkah penting ialah penguatkuasaan oleh PBT yang bidang kuasanya meliputi penguatkuasaan Undang-undang Kecil Pengiklanan.

“Penyelarasan tugas yang telah dibuat dengan DBP patut ditingkatkan dalam bentuk Gerakan Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam yang sentiasa melakukan pemantauan penggunaan bahasa di tempat awam.

“Selain itu, usaha DBP untuk memperoleh kuasa mengambil tindakan undang-undang patut diluluskan segera oleh kerajaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Sunday, June 16, 2019

Merungkai Keresahan Melayu

UNTUK topik ini saya ingin menerangkan secara ringkas mengenai apa yang dimaksudkan dengan ungkapan kepemimpinan berhikmah atau dalam bahasa Inggeris adalah wise leadership yang sekarang menjadi perbahasan besar di peringkat antarabangsa.

Ungkapan ini merujuk kepada satu kualiti kepemimpinan yang menekankan elemen perseimbangan antara ideal dan realiti yang ada. Adanya elemen visi dan misi yang cukup jelas, bertimbang rasa dan hikmah (wisdom) dalam semua pertimbangan kepemimpinan sedemikian. Tindakan perlu dilakukan dengan jitu dan teliti supaya tidak berlaku masalah ataupun kerosakan dalam masyarakat.

Jadi pemimpin perlu ada falsafah ikan biar tertangkap, air jangan keruh. Kadang-kadang ada pemimpin; ikan tidak tertangkap, air sudah keruh. Jadi bermakna kepemimpinan berhikmah akan meminimumkan kekecohan dalam masyarakat dalam melaksana dan menjayakan misi serta visinya.

Satu lagi topik adalah mengenai isu merungkai keresahan rakyat yang ada pada hari ini. Yang perlu kita rungkai adalah lima keresahan utama. Saya ingin berkongsi beberapa dapatan yang dibuat oleh pelbagai institusi penyelidikan yang saya ikuti pembentangannya dan juga melalui laman web badan berkenaan.

Pertama, adalah kos sara hidup. Ini adalah perkara pokok dan besar. Pengalaman baik di Sudan, Pakistan, Perancis atau di mana-mana negara, soal kos sara hidup ini besar impaknya kepada keresahan rakyat. Keresahan ini saya fikir real dalam konteks negara kita Malaysia pada hari ini.

Perkara ini perlu ditangani semua pihak terutama oleh kerajaan yang memerintah sekarang sama ada isu harga barangan dan perkhidmatan, hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), peratus pengangguran yang tinggi serta jumlah generasi muda terutamanya Melayu yang bankrap. Keadaan yang ada ini adalah cukup menekan. Ditambah pula dengan harga komoditi yang rendah, sama ada kelapa sawit, getah dan seumpamanya yang mengakibatkan keresahan cukup ketara dirasakan.

Kedua, keresahan yang perlu ditangani adalah persepsi dan hakikat yang dirasakan oleh Melayu terutamanya bumiputera dari segi komposisi sokongan pengundi yang membentuk Kerajaan Persekutuan pada hari ini yang secara realitinya dibentuk oleh dukungan 30 peratus orang Melayu manakala 70 peratus orang Melayu berada dalam segmen pembangkang.

Oleh yang demikian, ada persoalan legitimasi, walaupun Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad cuba seimbangkan sedikit dengan pelantikan Kabinet yang mewakili demografi rakyat Malaysia. Namun dari segi sokongan, kedudukan itu begitu. Jadi hakikat itu mengakibatkan ada keresahan yang tertentu kepada majoriti orang Melayu.

PERLU PERTAHAN LANGKAH AFIRMATIF

Ketiga, keresahan membabitkan persepsi terdapat percubaan-percubaan untuk merungkai Perlembagaan Persekutuan dan perkara-perkara penting yang termaktub dalamnya terutama membabitkan soal hak istimewa orang Melayu dan seumpamanya.

Ini termasuk perjanjian jus soli (hak mendapat kerakyatan di sesebuah negara adalah berdasarkan kelahiran di negara itu) yang telah berlaku antara kaum-kaum di Malaysia menjelang kemerdekaan 1957. Jadi saya kira sebahagian besar rakyat terutama Muslim dan bumiputera berasa resah dan tercabar apabila ada percubaan-percubaan sedemikian.

Keempat, keresahan peringkat akar umbi terutama di luar bandar yang melihat tiada program-program konkrit untuk membantu bumiputera. Pada masa sama wujud perbahasan dan polemik sama ada langkah afirmatif yang sebelum ini membela dalam kalangan yang tertinggal di belakang dan seumpamanya hendak diteruskan atau tidak. Saya fikir perkara ini memerlukan satu perhatian khusus, sebab ada pihak yang berpendapat langkah afirmatif perlu dipertahankan.

Tetapi ada kalangan yang berpendapat Melayu tidak perlu lagi tongkat. Maka biarkanlah Melayu tanpa tongkat. Jadi saya fikir polemik ini perlu diselesaikan dan selagi tidak diselesaikan, keresahan itu akan terus melebar dalam masyarakat terutama dalam kalangan Melayu dan bumiputera. Sebab itu, saya fikir satu kongres perlu dianjurkan untuk merungkai hal-hal ini ataupun membuat tanggapan dan sentuhan kepada isu berkenaan.

Kelima, wujud keresahan berikutan berlaku serangan berterusan kepada hampir semua institusi yang sebelum ini didominasi oleh orang Melayu sama ada raja-raja, mufti, syarikat milik kerajaan (GLC) bumiputera, parti-parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Habis semuanya didedahkan atas prinsip kebebasan dan keterbukaan. Semuanya dibuka dan tidak ada lagi yang disembunyikan atas dasar maslahah.

Serangan ini datang dari pelbagai arah sama ada dalaman atau daripada kaum lain. Media sosial yang ada menambahkan lagi kerencaman. Bila masyarakat keliru dan tiada hala tuju, mereka akan menjadi resah. Perkara ini perlu kita perbetulkan supaya Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan, kesemuanya dapat berasa selesa dan selamat tinggal di Malaysia kerana adanya unsur hormat menghormati. Sebab pengorbanan ini dibuat oleh semua kaum sebenarnya.

Jadi yang penting adalah bagaimana kita dapat merungkai keresahan rakyat ini dengan pelbagai pelan tindakan dan pendekatan yang boleh dilakukan seperti menerusi Himpunan Generasi Muda Muslim Malaysia (HG3M) di bawah Yayasan Belia Malaysia (YBM).

HG3M akan melihat ruang-ruang bagaimana ia mampu menjambatani masalah-masalah yang berbangkit dengan pelbagai pihak yang ada sekali gus menjadi platform untuk berkongsi dan merungkai semua keresahan yang terpendam dalam kalangan rakyat Malaysia.

Friday, June 14, 2019

Filipina Berbeza Di Dunia Melayu

SEPULUH tahun selepas Melaka jatuh ke tangan Portugis pada 1511, Manila pula mengalami nasib sama pada 1521.

Magellan yang terbukti pelayar teragung dunia memimpin pelanggaran Manila itu. Sebelumnya, beliau terlibat sama di bawah Alfonso de Albuqurque menjatuhkan Melaka. Seorang pelayar muda Melayu yang cekap bernama Enrique dibawa bersamanya pulang ke Portugal.

Nama Melayu Enrique yang sebenar tidak diketahui tetapi yang pasti nama itu diberikan kepada beliau setelah dipaksa masuk Kristian. Paksaan begitu berlaku amat meluas sekali di Melaka, lebih-lebih lagi di Manila, setelah ditawan.

Itulah ‘Enrique’ yang dipanggil ‘Panglima Awang’ oleh Harun Aminul Rashid, pengarang novel sejarah Panglima Awang pada tahun 1959. Hasrat Magellan ditolak oleh Raja Portugis untuk belayar ke pulau-pulau rempah di timur dengan menyeberang Lautan Atlantik dan melalui hujung Amerika Selatan, namun hasrat beliau itu sebaliknya mendapat persetujuan dan sokongan Raja Sepanyol.

Belayarlah beliau bersama Enrique dengan segala kesukaran yang amat sangat, banyak nyawa terkorban dan kapal seangkatan musnah. Bekalan makanan untuk dua tahun dibawa bersama. Apa yang berlaku di Melaka diulangkan di Manila. Raja kota Maktan bernama Datu Lapu-Lapu mengetuai bala tenteranya berperang dengan ‘lanun’ Sepanyol-Portugis itu hingga akhirnya Manila terkulai, namun Magellan turut terkorban.

Di Manila, proses pengkristianan Katolik berlaku berleluasa secara zalim. Dalam masa yang singkat sebuah negara baharu Filipina atau ‘the Philipines’ diwujudkan , sempena nama King Philip. Melaka dan Manila berupa cetusan pecahnya dunia Melayu akibat kedatangan Portugis dan Sepanyol sebagai kuasa laut terawal.

Tidaklah diketahui dengan pasti apakah agama mereka, namun pemimpin mereka digelar Datu, seperti Datu Mustapha di Sabah, seorang Islam. Jika begitu, tidak syak lagi pengkristianan Melayu Islam Filipino berlaku paling kejam dalam dunia, selaras dengan dasar Spanish Inqusition. Ini adalah dasar dendam larutan daripada tersingkirnya pemerintahan Islam di Sepanyol di akhir abad ke-15 selepas 800 tahun memerintah di sana, sejak kemenangan King Ferdinand dan Queen Isabella.

Pecahan dunia Melayu yang paling besar berlaku pada apa yang dikenali Indonesia kini. Ia tidak jatuh ke tangan Belanda sekali gus, tetapi sedikit demi sedikit. Betawi (Jakarta) dan pulau Jawa adalah ambilan permulaan di awal abad ke-15, diikuti Sulawesi, Maluku, wilayah-wilayah Sumatera dan pelosok-pelosok lain dalam bentuk ribuan pulau. Bumi hak milik Kompeni Hindia Timur Belanda itu akhirnya berpindah ke tangan kerajaan Belanda.

Dasar-dasar kejam Belanda berlaku silih berganti di mana penghasilan rakyat murba dicukai begitu banyak hingga mereka jadi papa kedana, sedangkan Belanda menjadi negara terkaya di dunia pada abad 17.

Kemudahan pendidikan akhirnya melahirkan semangat kebangsaan menentang Belanda. Sebelum Perang Dunia Kedua, Sukarno dan Hatta memimpin kebangkitan semangat itu. Kemasukan Jepun ada rahmatnya. Kedua-dua mereka mengisytihar kemerdekaan Indonesia selepas Jepun kalah. Yang lain- lainnya sudah menjadi sejarah.

British pula mula menyusul apabila Belanda, Portugis dan Sepanyol menjadi lemah. Ia mengambil Tanah Melayu dan kekalkan kekuasaan Belanda di Indonesia sedangkan Filipina direbut oleh AS pada 1898.

Jelas sekali dunia Melayu dipecahkan dan diotek-otek oleh Portugis, Sepanyol, Belanda , British dan Amerika.

Dengan penduduk kira-kira 500 juta (50 juta bukan Melayu), sukar untuk digambarkan bagaimana rupa Melayu kini di bumi Melayu yang genap. Dari utara Luzon, selatan Thailand, barat Aceh hingga ke Irian dan perairan utara Australia, Bumi Melayu sama besar dan sama ramai dengan Kesatuan Eropah (EU). Pada hakikatnya, Sepanyol berjaya mengupilkan Filipina hingga berbeza sekali dengan pribumi Melayu yang lain.

Thursday, June 13, 2019

Catatan Si Tumpang

Mengamati Singapura, wajarlah Melayu insafi diri…









KUAN YEW menarik sokongan orang Melayu dengan memakai songkok ketika bertemu penduduk Kampung Tani, Singapura pada 1965. Kalaulah Tunku Abdul Rahman tidak mengalah apabila disergah oleh Kuan Yew pada tahun tersebut, pulau itu barangkali masih kepunyaan Malaysia hari ini.

TUMPANG sengaja paparkan wajah-wajah presiden atau ketua parti-parti politik tertera di atas, yang diangkat mewakili orang Melayu.

Tak kisahlah lama atau baharu ditubuhkan, atas kertas mereka semuanya mengetuai perjuangan orang Melayu. Waima, impak jika parti-parti itu diuruskan dengan baik, natijahnya memanfaatkan seluruh rakyat Malaysia berbilang kaum dan agama.

Cumanya mengapa terlalu banyak parti Melayu ini, walhal kaumnya satu sahaja - Melayu.

Kalau satu dua seperti DAP, MCA dan Gerakan, bolehlah tahan lagi. Ini sampai tujuh - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), PKR, UMNO, Parti Amanah Negara (Amanah), Pas, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Negara (Negara). Adakah ini baik kepada umat Islam Melayu di Malaysia?

Cuba renungkan ini:

Banyak udang banyak garam

Banyak tukang terbuang kayu

Banyak politik negara hancur.

Secara peribadi, apa yang Tumpang amati khususnya setahun ini, isu perpecahan dan perpaduan dalam kalangan orang Melayu kini bukan setakat terjadi antara Melayu dengan Melayu, bahkan antara Melayu bandar dan Melayu desa, Melayu dalam Bersatu serta komponen Melayu dalam Pakatan Harapan dengan Melayu UMNO dan Pas.

Bukan itu sahaja, pertentangan antara orang Melayu muda dengan yang tua juga tidak dapat dielak menyusul kelak.

Di titik manakah sekarang orang Melayu berada?

Tumpang akur orang Melayu gemar berpolitik. Banyak parti teras Melayu pun tak mengapalah. Tujuh, lapan, 10, 20. Tapi biarlah politik itu ikut model orang lain - yang terarah dan tahu apa yang hendak digapai untuk manfaat kaumnya.

Sesekali Tumpang teringat balik ungkapan Profesor Diraja Ungku Aziz, lima tahun lepas. Waktu itu katanya, tidak ramai pemimpin Melayu yang garang dan berpendirian teguh. Banyak pemimpin yang kompromi sana, kompromi sini.

“Pemimpin seperti Sir Winston Churchill, beliau tak suka kompromi. Pemimpin seperti Churchill berpendirian tetap dan berani. Soalnya siapa berani korbankan diri?” kata Ungku Aziz kepada akhbar Tumpang.

Adakah persoalan yang dilontarkan Ungku Aziz itu masih berbangkit hari ini?

Kita orang Melayu sebenarnya tidak perlu pergi jauh untuk melihat kedudukan kita di titik mana. Cukup di selatan tanah air. Sekali dua Tumpang menikmati ikan bakar di Senibong, Johor awal tahun ini menemui rakan politik di sana, Tumpang mesti mengamati Singapura di seberang yang tidak lagi menjadi milik kita.

Berapa banyakkah peristiwa kenegaraan yang telah disaksikan oleh Tambak Johor semenjak dibina pada 1923?

Memang bukan suatu soalan yang boleh dijawab atau perlu dijawab kerana hal ini tidak relevan dalam hierarki hidup seseorang.

Namun buat Tumpang, terselit satu soalan: Kalaulah Tunku Abdul Rahman tidak mengalah apabila disergah oleh Lee Kuan Yew pada 1965, pulau itu barangkali masih kepunyaan Malaysia pada hari ini. Bahawa sejarah memang diubah oleh tindak tanduk politik adalah suatu kenyataan.

Tumpang percaya isu itu seharusnya dipersoalkan oleh mereka yang bertampuk politik dan yang sayangkan negara sebagai sayangkan rumah sendiri. Buat apa serambi rumah diberikan kepada orang yang hanya menyewanya mentang-mentang si penyewanya garang dan pintar!

Dan inilah dikatakan politik Melayu itu harus melibatkan perbuatan meneladani alam sekeliling - manusia dan alam.

Belajar dari yang lampau, memandang kepada yang baik.

Sunday, June 9, 2019

Melayu Ibarat Buih Di Lautan?

SERUAN supaya orang Melayu bersatu bergema lagi. Dan buat sekelian kalinya ia dizahirkan secara terbuka dan tegas oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika bertitah di Shah Alam pada Rabu lalu. Baginda yang kecewa dengan perpecahan dalam kalangan umat Melayu menggesa kaum itu, mulai saat ini dengan mengambil semangat bulan suci Ramadan untuk merapatkan saf, bersatu padu, melupakan segala sengketa dan perselisihan faham serta mula memikirkan untuk bangkit semula menjadi satu bangsa yang kuat, bermaruah dan bermatlamat demi kepentingan bangsa, agama dan negara.

Entah yang kali ke berapa peringatan seumpama itu dilontarkan namun ia bagaikan `menjirus air ke daun keladi’. Orang Melayu masih belum sedar kepentingan bersatu, orang Melayu terus khayal dengan matlamat dan agenda kelompok masing-masing serta orang Melayu terus `mabuk’ untuk jatuh menjatuhkan sesama sendiri.

Jumlah orang Melayu bukanlah sedikit, jumlah mereka begitu ramai sekali dan merupakan kaum majoriti di negara ini, tetapi lihatlah apa yang berlaku kepada orang Melayu, kajilah kedudukan kaum itu di manakah mereka berada sekarang, menang pilihan raya dilihat berkuasa tetapi hakikatnya tidak berkuasa.

Melihat apa yang berlaku kepada orang Melayu ketika ini, kita harus bertanya apakah mereka sudah `mencapai’ peringatan Rasulullah SAW dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Abu Daud. Dalam hadis tersebut Rasulullah SAW bersabda, ``Hampir tiba masanya di mana kalian diperebutkan sebagaimana sekumpulan pemangsa yang merebutkan makanannya. Ditanya oleh para sahabat, ``Apakah saat itu jumlah kami sedikit, Ya Rasulullah.’’ Baginda menjawab, `Tidak, bahkan pada saat itu jumlah kalian sangat banyak, tetapi seperti buih di lautan kerana kalian tertimpa penyakit wahn.’’ Sahabat bertanya,; Apakah penyakit wahn itu, Ya Rasulullah. Baginda menjawab; ``Penyakit wahn itu adalah cinta dunia dan takut mati.’’

Apa yang diperingatkan oleh Rasulullah SAW tersebut ada dalam titah Sultan Selangor, kalau kita berlapang dada menghayatinya. Sultan Sharafuddin antara lain bertitah: ``Beta melihat orang Melayu kelihatan semakin lemah dan longlai daripada pelbagai aspek kehidupan arus perkembangan negara masa kini.’’

Dan baginda juga mengingatkan, ``Kita perlu ingat bahawa apabila orang Melayu berpecah dan hidup di dalam keadaan porak peranda, akan ada pihak lain mendapat keuntungannya.’’ Cuba fikirkan tidakkah ketika ini orang Melayu berada di kedudukan itu? Siapa yang untung ketika ini apabila kita terus berpecah belah hanya disebabkan perbezaan politik?

Ketika kaum lain bersedia bersatu biarpun berbeza ideologi politik demi mempertahankan kepentingan kaum mereka, orang Melayu pula seperti mana titah baginda, ``gejala fitnah memfitnah yang dilemparkan antara satu pihak dengan pihak yang lain serta perasaan dengki, pengkhianatan dan perasaan benci yang dipamerkan seolah-olah dijadikan semacam satu budaya dalam kalangan orang Melayu.’’

Sememangnya itu berlaku kerana dalam kalangan pemimpin Melayu seolah-olah jahil dalam menguruskan soal perbezaan ideologi politik. Masing-masing mempertahankan pendirian sendiri sehingga akhirnya orang Melayu berpecah belah. Orang Melayu tidak mungkin akan bersatu jika ada pemimpin-pemimpin Melayu terus hipokrit dan retorik dalam usaha menyatukan ummah. Politik kebencian yang disebarkan telah memungkinkan orang Melayu kini berada di ambang untuk `bertukar bentuk’ menjadi buih-buih di lautan – banyak tetapi tidak bermanfaat. Malah orang Melayu juga tidak mungkin dapat bersatu jika dalam kalangan pemimpin Melayu seperti mana ditegaskan oleh Sultan Sharafuddin ``…melemparkan cercaan dan sindiran terhadap bangsanya sendiri secara terbuka tanpa sekatan dan segan silu.’’

Turut membimbangkan apabila ada pemimpin Melayu menzahirkan pelbagai hujah bagi mempertahankan tindakan mereka yang dilihat boleh memecah belahkan orang Melayu.

Benar orang Melayu sudah berpecah, betul orang Melayu sedang bertelingkah sesama sendiri tetapi tidakkah dalam kalangan mereka menyedari atau memahami peringatan Allah dalam Al Anfal ayat 46 bermaksud;

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar.’’

Peringatan Allah SWT inilah yang menjadi panduan kepada Sultan Selangor untuk menzahirkan perasaan dukacita baginda kerana, ``..nilai-nilai murni yang diunjurkan oleh agama Islam yang sepatutnya mengalir di dalam diri setiap orang Melayu termasuk pemimpin Melayu tidak diamalkan, dan seolah-olah kita telah lupa bahawa batas-batas agama menghalang kita untuk berpecah belah dan bertelingkah sesama kita.’’

Sekali lagi, entah untuk ke berapa kali, segala-galanya berada di tangan orang Melayu khususnya mereka yang bertaraf pemimpin untuk menghayati dan melaksanakan titah Sultan Selangor demi kesejahteraan orang Melayu dan umat Islam. Cukup-cukuplah bertelingkah, berhentilah memburuk-burukkan sesama sendiri dan tamatkanlah sengketa yang bertujuan menjatuhkan antara satu sama lain. Masa masih ada untuk pemimpin-pemimpin Melayu untuk berjiwa besar berusaha menyatukan ummah.

Kalaupun tidak mahu bersama tetapi sekurang-kurangnya jangan memperlekehkan usaha kelompok Melayu lain untuk bersatu. Jangan awal-awal lagi memandang serong usaha ke arah perpaduan ummah sedangkan kita sendiri sanggup bersekongkol dengan pihak lain demi meraih secebis kuasa yang belum pasti dan sudah kelihatan tidak menguntungkan orang Melayu dan umat Islam.

Jangan sampai tindakan kita menyebabkan orang Melayu kesudahannya menjadi buih di lautan. Tanda-tandanya sudah ada! - www.utusan.com.my 

Sunday, June 2, 2019

Apa nak jadi....

Penganjuran majlis di rumah ibadat lain tidak salah - Mujahid
PARIT BUNTAR - Masyarakat Islam di negara ini dinasihat supaya tidak fobia dengan sebarang penganjuran majlis di rumah ibadat agama lain kerana ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, majlis berbuka puasa anjuran Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir di Gudwara Shaib pada Selasa lepas tidak sepatutnya menjadi isu kerana tujuan utama penganjuran adalah untuk merapatkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Malah, katanya, majlis itu diadakan di kawasan dewan dan bukannya dibuat di dalam tempat ibadat itu.

"Ini bukan isu yang perlu diperbesarkan, hanya sesetengah pihak sahaja yang mensensasikan isu agama, pemikiran sempit dan perkauman. Ini dibimbangi akan mewujudkan Islamofobia," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Buntar di sini hari ini.

Selain itu, Mujahid berkata, Islam tidak permah menghalang mana-mana pihak berlainan agama untuk datang dan memasuki masjid selagi mereka tidak melakukan perkara bertentangan seperti menghina. - BERNAMA


Buka puasa di rumah ibadat bukan Islam bertentangan syarak
ALOR SETAR - Pelaksanaan ibadat di rumah ibadat bukan Islam termasuk berbuka puasa adalah bertentangan dengan konsep ibadat orang Islam mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Mufti negeri, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, tujuan utama sesuatu ibadat dilaksanakan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan menyemarakkan syiar Islam.

Menurutnya, suasana rumah ibadat bukan Islam yang terdapat gambar patung yang dipuja, binatang, lambang dan simbol serta tulisan yang jauh tersasar daripada roh Islam dikhuatiri boleh membawa perbuatan syirik kepada Allah.

“Mutakhir ini timbul kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai isu berkaitan ibadat khusus orang Islam yang dilaksanakan di rumah ibadat orang bukan Islam seperti solat, berbuka puasa, tadarus, sahur dan seumpamanya.

“Berdasarkan nas-nas yang ada, Jabatan Mufti Negeri Kedah berpandangan bahawa melaksanakan ibadat khusus untuk umat Islam di rumah ibadat bukan Islam adalah makruh yang hampir kepada haram.

“Hal ini kerana implikasi perbuatan itu akan mengundang kemudaratan yang lebih besar berbanding maslahah ke atasnya,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Syeikh Fadzil berkata, Islam adalah agama berbeza dengan agama lain dan setiap ibadat yang dianjurkan terdapat kaedah dan kemuliaan yang tersendiri sama ada dari sudut masa, tempat dan kualiti.

“Contohnya, fadilat solat di masjid berbanding di tempat lain, fadhilat bulan Ramadan berbanding bulan-bulan lain yang terdapat rahsia-rahsia tertentu eksklusif untuk umat Islam sahaja,” ujarnya

Kata beliau, pandangan tersebut juga selaras dengan konsep Maqasid Syariah yang amat dituntut dalam Islam iaitu memelihara agama serta kaedah Usuliyyah iaitu menolak kerosakan lebih utama daripada mencari kemaslahatan dan menutup pintu-pintu kemudaratan.

Justeru, Syeikh Fadzil berkata, mana-mana pihak yang berhasrat meraikan kepelbagaian beragama atas dasar membina perpaduan dan keharmonian kaum disyorkan memilih platform lain demi mengelak timbul fitnah terhadap aqidah umat Islam.

Malah, tambah beliau, perkara itu juga dapat mengelak persepsi negatif masyarakat Islam kononnya ibadat boleh dilakukan di rumah ibadat bukan Islam kerana Allah telah menentukan setiap agama mempunyai rumah ibadat tersendiri agar dapat membezakan identiti agama.

Selasa lalu, Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir tetap meneruskan majlis berbuka puasa di kuil agama Sikh di Gurdwara Sahib, Johor biarpun mendapat kritikan dan kecaman pelbagai pihak. - UTUSAN ONLINE

Singa, Todak Di Temasek

‘Hujan Emas’ ini datangnya daripada pepatah ‘Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri...’ Jelaslah, ruangan ini bertumpu pada hal luar negeri, baik lama mahupun terkini, yang ada implikasi kepada kita.

Singapura kini lebih dikenali dengan panggilan Singapore. Rujukan Singapura hanya kuat ketrampilannya dalam lagu kebangsaannya ‘Majulah Singapura’.

‘Singapore’ diturunkan dari lidah Inggeris. Antaranya Inggeris menukarkan Bengaluru kepada Bangalore di India.

Rata-rata orang Singapura kini lebih berbahasa Inggeris. Mendiang Lee Kuan Yew, bekas Perdana Menteri Singapura memberitahu saya dalam satu perjumpaan di Kuala Lumpur pada 2001.

Katanya, beliau tidak lagi berpidato dalam bahasa Melayu walaupun beliau berupa pemidato terbaik dalam Perjumpaan Setiakawan Malaysia di Padang Kelab Sultan Sulaiman di Kuala Lumpur pada tahun 1962. “Saya tidak ada peluang,” katanya.

Saya tidak mahu mendalami maksud jawapan beliau itu, tetapi memadai ia tinggal begitu saja. Kuan Yew dalam tahun 1950-an pernah menjadi peguam syarikat Utusan Melayu ketika beribu-pejabat di Singapura.

Beliau dan orang nombor satu Utusan, Yusof Ishak, yang kemudiannya menjadi Presiden pertama Singapura, serta A. Samad Ismail, seorang editor Utusan, berkawan baik.

Nama parti pemerintah Singapura, People’s Action Party (PAP) ialah terjemahan dari Parti Tindakan Rakyat (ringkasnya, PETIR). Justeru lambang PAP ialah petir. Adik Presiden Yusof yang bernama Rahim Ishak dilantik oleh Kuan Yew sebagai seorang menteri. Maka dua beradik itu menjadi tokoh Singapura pada suatu masa.

Air tidak sentiasa tenang. Anak perempuan Rahim berhijrah ke Australia, menjadi seorang profesor di sebuah universiti di sana.

Beliau berucap dalam sebuah majlis anjuran Institut Terjemahan Negara beberapa tahun dahulu. Jelas sekali beliau terkilan terhadap ciri-ciri tertentu di Singapura.

Walaupun berpakaian sopan dan tutup aurat, namun budaya Singapura bertaut pada dirinya - tidak fasih berbahasa Melayu.

Untuk sekian lama majalah khas Penerbangan Singapura (SIA) menceritakan sejarah ‘Singapore’ hanya bermula apabila Stamford Raffles mengasaskannya pada tahun 1819. Sultan Hussein dari takhta Riau-Johor yang memajakkan Singapura kepada British bagaikan tidak wujud.

Nama Temasek yang mendahului Singapura tidak pernah berdenting. Kini Temasek hanya nama badan pelaburan ulung Singapura. Pupuslah kisah bahawa Singapura timbul sebab seorang raja nampak seekor singa melintas seimbas di hadapannya. Maka pura yang dimastautini raja itu dicantumkan dengan singa. Jadilah ia pura singa, yang akhirnya jadi singa-pura.

Bila pula todak melanggar Singapura, tidaklah diketahui. Tentunya ia hanya cerita teladan. Kebijaksanaan boleh berada pada sesiapa. Dalam dongeng ini, seorang budak terbukti lebih bijak daripada orang dewasa yang goblok.

Kini Singapura berbangga sebagai sebuah negara kaya. Ia adalah pusat ilmu. Terdapat tumpuan industri elektronik tanpa memerlukan tanah yang luas. Persahabatan erat Singapura dan AS faktor besar kekayaan Singapura.

Galakan dan kemudahan AS menjadikan Singapura sebuah pusat kewangan penting dunia. Angkatan Laut Asia-Pasifik AS berlabuh dalam perairan Singapura. Siap siaga.

Namun iklan promosi Singapura di TV antarabangsa mengusik kepekaan Malaysia: ‘Ketika kita ditendang keluar dari Malaysia, kita dikatakan tidak mampu hidup lagi...’ Soalnya, siapa yang kata?

Pada hakikatnya, Singapura dan Malaysia adalah ibarat aur dengan tebing.

Oleh: Tan Sri Adam Kadir

Saturday, June 1, 2019

Di mana bumi dipijak... di situlah Khoo Kay Kim

APABILA berita kematian Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dikhabarkan kepada saya pagi semalam, apa yang boleh saya ungkapkan: “Pergi sudah sejarawan, pejuang sejati tanah air”.

Hebat tokoh ini. Saya ingat lagi dalam tidak kurang 10 kali menelefonnya untuk mendapatkan komen isu-isu semasa tanah air termasuklah aspek kenegaraan dan politik, mendiang sentiasa berpegang kepada fakta.

Biarpun pada sebilangan orang, beliau ‘boleh sahaja cenderung untuk prejudis’ dengan berpihak kepada kaum tertentu, tetapi tidak Kay Kim. Beliau jujur, berani dan berterus terang biarpun pedas sehinggakan saya sendiri tidak pasti Kay Kim ini ‘Cina, Melayu atau India kah?’.

Buku autobiografi mendiang, I, KKK: The Autobiography of a Historian pun bermula dengan sepotong ayat: “Memory comes in impression, history in facts.” Maksudnya, kenangan datang dengan gambaran, sejarah dengan fakta.

Dan sungguh benar bak dikata oleh baginda Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika melancarkan autobiografi berkenaan pada 12 April 2017 yang menggelar mendiang sebagai ‘ensiklopedia berjalan sejarah Malaysia’.

Mendiang adalah pelopor yang menulis sejarah Malaysia dari perspektif kita - historiografi Malaysia sentrik berbanding sebelumnya yang berpusat Eropah atau Eropah sentrik.

RANGKA RUKUN NEGARA
Selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969, Kay Kim antara sarjana yang terlibat merangka dan menjadi penulis lima prinsip Rukun Negara yang menjadi pegangan dan asas penyatuan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Menariknya hujah mendiang apabila ditanya oleh akhbar ini dalam pertemuan setahun lalu mengapa lima prinsip Rukun Negara yang dirangka selepas tragedi itu masih penting dan relevan sebagai alat perpaduan kaum di negara ini.

“Sebahagian besar masyarakat ketika itu, kita dapati sudah ada agama. Tidak kira apa agama mereka anuti, mereka sudah percaya adanya Tuhan.

“ Kita sebagai ahli-ahli panel Rukun Negara percaya semua bangsa di negara ini memiliki agama masing-masing dan tidak ada yang tidak beragama (ateis).

“Kita yakin seseorang yang mempercayai kewujudan Tuhan pastinya mereka lebih berdisiplin, memiliki tingkah laku yang baik dan bersikap terpuji sepanjang masa. Melalui sifat terpuji seperti disiplin diri dengan baik, itulah yang menyebabkan rakyat sentiasa memikirkan kebajikan orang lain dan memiliki sifat-sifat penyayang,” kata beliau.

Kepada Kay Kim, andai sekolah tidak titikberatkan sejarah, maka semangat patriotik tidak ada dalam kalangan orang muda. Mereka tidak tahu bagaimana sesebuah kerajaan itu diasaskan.

“Untuk membina negara bangsa terlebih dahulu bina sekolah,” kata Kay Kim.

Bagi mendiang, menjadi kewajipan setiap rakyat yang taat setia menjunjung keutuhan Perlembagaan tanpa soal, sebagai cara hidup bersama.

Sebab itu apabila bercakap atau berhujah pasal isu-isu sensitif atau yang menjadi taruhan parti politik tertentu, pendirian mendiang setara dengan termaktub dalam perlembagaan.

“Mana-mana pihak tidak perlu gunakan alasan pengiktirafan Sijil Pendidikan Bersepadu (UEC) oleh negara-negara luar untuk ‘membawa’ ia dalam sistem Malaysia kerana ia amat bertentangan dengan Perlembagaan.

“Kalau pemimpin tidak menghormati Perlembagaan, mereka telah memberi isyarat yang salah kepada generasi muda,” tegas Kay Kim Julai tahun lalu.

MENJUNJUNG PERLEMBAGAAN
Semua pihak tidak kira dari ideologi dan perjuangan politik yang mana, kebanyakannya menghormati hujah-hujah mendiang. Kalau tidak setuju pun, mereka diam. Tidak kedengaran pun kritikan-kritikan terbuka terhadapnya.

Suatu ketika apabila pelbagai polemik berkaitan perundangan negara berlaku, mendiang lantas mengingatkan keperluan ahli-ahli Parlimen untuk celik sejarah Perlembagaan Persekutuan sebelum meminda sesuatu undang-undang.

Katanya, cara dan gaya segelintir ahli Dewan Rakyat sekarang adalah cerminan ketidakupayaan sistem pendidikan negara selama ini.

“Siapa yang meluluskan undang-undang? Parlimen. Siapa di dalam Parlimen? Orang yang dipilih oleh rakyat dan mereka mesti menjalankan tugas untuk kebahagiaan rakyat dan kalau timbul masalah tentang tafsiran undang-undang, siapa yang ada hak membuat tafsiran? Bahagian kehakiman,” katanya.

SEJARAH BUKAN CERITA
Bagi Kay Kim, sejarah bukan sekadar cerita, tetapi harus berdasarkan penyelidikan dengan penggunaan bahan-bahan yang boleh dibuktikan.

Sebab itu beliau ‘agak menyinga’ apabila dilihatnya ada ahli sejarah tempatan masa kini kelihatan tidak begitu bekerja keras dalam menjalankan penyelidikan terperinci terhadap sejarah negara.

Hal ini dibangkitkannya selepas menjadi ahli panel sebuah forum di ibu negara pada 2016.

“Sekarang mereka tidak begitu rajin, tidak macam dulu. Mereka tidak begitu sanggup mencari bahan dan kebanyakan bahan tentang negara ini misalnya berada di London, atau sekurang-kurangnya di Singapura. Bukan di Kuala Lumpur.

“Kita bernasib baik kerana banyak bahan, kita hanya yang perlu mencari bahan-bahan tersebut sama ada di Amsterdam, di Lisbon, di Singapura mahupun di Jepun.

“Bagaimanapun saya lihat, mereka kebanyakannya tidak memiliki kesanggupan tinggi. Jika bahan sejarah negara itu berada dalam simpanan Belanda dan ditulis dalam bahasa Belanda, mereka tidak memiliki keazaman untuk belajar bahasa tersebut demi mengkaji bahan itu,” jelasnya.

Kay Kim yang meninggal dunia dalam usia 82 tahun akan dikenang sebagai sejarawan yang tiada galang ganti.

Sayangnya mendiang kepada tanah air ini tidak ada tolok banding. Masih tergiang-giang di telinga saya kata mendiang tahun lepas:

“Dahulu, ada cogan kata dalam bahasa Inggeris: United we stand, divided we fall (Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh). Sebab, orang yang mungkin budayanya Cina, dia mahu budaya mereka itu dikekalkan untuk diamalkan sampai bila-bila.

“Tapi, kalau kita minta mereka bekerjasama, setiap kaum mesti faham tentang (identiti) kaum yang lain. Tapi, selama ini kita tidak memberikan keutamaan kepada soal (kefahaman) itu.

“Jadi di sini setiap kaum jahil tentang kaum lain. Misalnya, bahasa Tamil, bahasa ibunda orang India. Salah! Bagaimana dengan bahasa Malayalam, Urdu dan Punjabi. Dan orang Cina beragama Buddha. Orang Cina apa agama pun ada (Islam, Kristian, Hindu). Yang paling ramai Kristian itu orang Cina kan?

“Tapi, orang kita tak faham. Apa orang bukan Islam tahu tentang Islam? Langsung tak tahu walaupun Islam itu agama rasmi di Malaysia. Sebab kefahaman itu tidak diterangkan kepada mereka. Padahal kita dahulu dalam akhbar Inggeris banyak perbincangan tentang agama Islam.”

Terima kasih Kay Kim. Jasa anda kekal dalam lipatan sejarah tanah air.