nuffnang

Tuesday, November 13, 2018

ICERD: Jangan Terburu-Buru

International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination, (ICERD) ialah perjanjian antarabangsa yang bertujuan menghapuskan semua bentuk diskriminasi kaum. Ia telah dibuka untuk ditanda tangani dan seterusnya disahkan oleh negara-negara sejak 21 Disember 1965.

Sehingga kini, 15 buah negara masih belum menandatangani dan membuat ratifikasinya, antaranya ialah Malaysia. Ratifikasi (ratification) dalam undang-undang antarabangsa bermaksud suatu negara menyatakan persetujuannya untuk terikat kepada suatu perjanjian jika pihak-pihak tersebut berhasrat untuk menunjukkan persetujuan mereka untuk terikat walaupun tidak dipaksa untuk mengikat.

Perbincangan tentang ICERD memerlukan kefahaman pemakaian undang-undang antarabangsa dalam sistem perundangan Malaysia. Terdapat dua teori penerimaan dan pemakaian undang-undang antarabangsa dalam suatu negara; (1) Doktrin Diperbadankan (Doctrine of Incorporation) dan (2) Doktrin Transformasi (Doctrine of Transformation).

Menurut ‘Doktrin Diperbadankan’, undang-undang antarabangsa secara automatik dimasukkan dalam undang-undang domestik setelah ia diratifikasi sehingga undang-undang tempatan dan undang-undang antarabangsa menjadi satu, sama dan serupa (monism).

“Doktrin Transformasi” pula bermaksud undang-undang antarabangsa tidak secara automatik menjadi undang-undang tempatan. Dalam teori transformasi ini, undang-undang antarabangsa dan undang-undang tempatan adalah dua entiti berbeza dan berasingan (dualism). Penerimaan undang-undang antarabangsa dalam sistem perundangan negara hanya boleh dibuat melalui proses perundangan negara.

Malaysia menerima doktrin transformasi kerana tiada peruntukan Perlembagaan yang menetapkan penerimaan undang-undang antarabangsa secara automatik. Oleh itu, semua instrumen yang menjadi sumber undang-undang antarabangsa, seperti Triti, Perjanjian dan Konvensyen tidak akan menjadi undang-undang negara kita sehinggalah kita meminda atau membuat undang-undang tempatan berkaitannya.

Perkara 74 dan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memberikan kesan bahawa kuasa untuk membuat atau menandatangi dan meratifikasi triti atau perjanjian di peringkat antarabangsa adalah terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan. Ia juga menunjukkan bahawa Badan Eksekutif mempunyai kuasa untuk membuat perjanjian antarabangsa atau menandatangani apa-apa perjanjian antarabangsa, manakala kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang antarabangsa tersebut adalah terletak hak kepada Parlimen.

Oleh itu, bagi membolehkan suatu perjanjian antarabangsa itu berkuat kuasa Parlimen hendaklah meluluskan undang-undang bagi menjelmakan atau membuat pernyataan khusus tentang perkara-perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian tersebut bagi tujuan pelaksanaanya. Sekiranya tiada, maka instrumen antarabangsa yang telah dipersetujui oleh Badan Eksekutif tidak akan mengikat atau tidak boleh diamalkan atau tidak boleh diterima di mahkamah (prinsip berbeza dalam kes melibatkan Undang-Undang Adat Antarabangsa).

Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan menyatakan, antara lain bermaksud, sesuatu undang-undang yang bertujuan melaksanakan perjanjian antarabangsa yang dipersetujui Malaysia di peringkat antarabangsa tidak boleh dibuat sekiranya undang-undang tersebut melibatkan hal-hal berkaitan hukum Syarak, adat orang Melayu atau undang-undang atau adat anak negeri Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, sesuatu rang undang-undang yang berkaitan dengan triti, perjanjian dan konvensyen yang ditandatangani oleh Persekutuan tidak boleh diperkenalkan dalam Parlimen tanpa rundingan dengan kerajaan mana-mana Negeri dalam Persekutuan. Peruntukan ini walau bagaimanapun masih belum ditafsirkan oleh mana-mana mahkamah di negara ini.

Bercanggah
Kesimpulannya ialah, amalan Malaysia dalam penerimaan triti atau perjanjian antarabangsa adalah berdasarkan kepada ‘doktrin transformasi’. Walaupun Kerajaan (Eksekutif) telah mengesahkan perjanjian antarabangsa, tetapi ia tidak mempunyai kesan undang-undang dalam negara kecuali Parlimen telah meluluskan undang-undang untuk menguatkuasakan undang-undang bagi tujuan untuk perjanjian antarabangsa tersebut. Inilah hujah yang sering digunakan oleh pihak yang menyokong cadangan meratifikasi ICERD.

Hujah lain yang kelihatan dalam bicara berkaitan ICERD ialah, sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk menandatangani dan meratifikasi sesebuah Perjanjian Antarabangsa, Kerajaan boleh meletakkan reservation atau pengecualian; atau kerajaan boleh membuat interpretative declaration.

Maksudnya kerajaan tidak perlu menerima keseluruhan perjanjian tersebut, tetapi boleh meletakkan pengecualian-pengecualian tentang perkara-perkara yang didapati bercanggah dengan undang-undang atau dasar negara, termasuk Perlembagaan Persekutuan, Akta atau Enakmen.

Atau, kerajaan boleh menyatakan definisi tersendiri kepada mana-mana peruntukan dalam perjanjian antarabangsa. (Lihat Guide to Practice on Reservations to Treaties 2011).

Namun, menurut Guide to Practice on Reservations to Treaties 2011 pengecualian kepada suatu ratifikasi perjanjian antarabangsa akan hanya diterima sekiranya ia tidak ditolak oleh negara-negara lain dan antara alasan yang boleh diberikan oleh negara-negara lain ialah, pengecualian tersebut menyebabkan objektif suatu perjanjian tersebut tidak tercapai. Pengecualian tersebut juga hendakalh diterima oleh 2/3 daripada negara-negara lain (Perkara 20 ICERD).

Dalam kes ICERD, sekiranya kerajaan mahu menandatangani dan meratifikasi perjanjian ini, perincian-perincian tentang pengecualian tersebut perlu didedahkan dan dibahaskan dengan matang supaya ia dapat difahami dan diterima oleh rakyat terbanyak.

Selain daripada itu, PBB mempunyai mekanisme tertentu untuk pelaksanaan perjanjian-perjanjian yang ditandatangani. Mekanisme ini diwujudkan bagi memastikan setiap perjanjian yang diratifikasi oleh negara-negara mencapai objektifnya. Dalam kes ICERD, ia menyatakan dengan jelas bahawa suatu Jawatankuasa, yang dikenali sebagai Committee on the Elimination of Racial Discrimination (Perkara 8 ICERD).

Walaupun mekanisme PBB ini umumnya tidak begitu cekap dalam amalannya, tetapi, ia mempunyai sisten dan kekuatan tersendiri.Perkara pokok yang perlu dibincangkan dalam kes cadangan kerajaan untuk menandatangani dan meratifikasi ICERD ini ialah, adakah keistimewaan-keistimewaan yang diberikan kepada Melayu dan Anak Negeri serta kepentingan sah komuniti-komuniti lain seperti yang ada dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah berbentuk diskriminasi?

Sekiranya ia adalah diskriminasi maka kesannya nanti ialah, PBB boleh menggunakan mekanismenya untuk meletakkan tekanan ke atas negara kita untuk mengubah apa jua undang-undang serta polisi-polisi berkaitan.

Namun sekiranya Perkara 153 yang menjamin keistimewaan dan kepentingan sah tersebut adalah suatu special measures yang satu-satunya bertujuan “securing adequate advancement of certain racial or ethnic group or individuals…in order to ensure …(their) enjoyment or exercise of human rights and fundamental freedom”, ia bukanlah suatu diskriminasi perkauman.

Sekiranya begitu, ia masih boleh terus diamalkan negara sehingga tujuan tersebut telah dicapai. Sekiranya special measures tersebut telah mencapai objektifnya, ia hendaklah dimansuhkan untuk mencapai objektif ICERD (Perkara 1(4) ICERD). Ini adalah asas kepada mereka yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan meratifikasi ICERD.

Pandangan ini mempunyai asas yang kukuh untuk menangani kesan negatif ICERD ke atas sensitiviti bangsa Melayu untuk jangkamasa panjang kepada ratifikasi ICERD. Oleh kerana ICERD ini masih diragui tentang kesan jangka panjang ke atas nilai dan identiti bangsa, perbincangan dan wacana intelektual perlu diteruskan dalam khalayak warga Malaysia sebelum ia dibawakan ke Parlimen untuk dibincangkan oleh para elit politik.

Malaysia tidak perlu terburu-buru menandatangani ICERD dan kita tidak perlu beremosi, menuding jari dan mengambil kepentigan kepartian, bincanglah dengan waras dan penuh wibawa. Ini soal nilai dan identiti bangsa dan negara kita yang berdaulat.

Oleh : Shamrahayu A. Aziz

Sunday, November 11, 2018

Antara ketuanan Melayu, Bumiputera, Cina dan India

TERAMAT sedih melihat apabila seorang menteri bertaraf negarawan tidak dapat membezakan antara perkara pokok dengan ranting. Atau lebih tepat lagi disebut sebagai fiqh awlawiyyat dengan maksud memahami keutamaan. Antara mana dia wajib, sunat, makruh dan haram.

Sebagai ahli politik, menteri dan negarawan, sudah tentu perkara ini sudah menjadi mainan bibir. Namun, ia tidak berlaku. Sudahlah sebelum ini kenyataan demi kenyataan penuh kontroversi. Ini tidak termasuk lagi isu menayang ‘body’, terbaharu isu ketuanan Melayu disensasi. Apabila menjadi viral, maka berlakulah apa yang disebut sebagai defensif.

Memanglah Melayu pada hari ini dilanda pelbagai masalah, seolah-olah Melayu tidak menjadi tuan lagi dalam negara sendiri. Tetapi itu bukan bermakna, kita menjadi celupar dengan berkata, ketuanan Melayu sudah berakhir. Fikir dulu sebelum berkata.

Tidakkah kita sedar bahawa ‘ketuanan’ setiap bangsa yang menjadi majoriti di dunia sentiasa mengakar. Sebut sahaja negara apa, China, India, Indonesia, Thailand, Myanmar, Kemboja, Vietnam dan sebagainya.

Rantau ini asal-usulnya adalah kepunyaan orang Melayu. Sebab itu, seluruh dunia mengenali sebagai kepulauan Melayu atau Malay Archipelago. Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma-Li-Yu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis).

Sudah menjadi lumrah, sesiapa yang menjadi tuan di sesebuah negara itu, bangsa, agama dan institusi monarki (jika ada) akan lindungi atau kadangkala dimaktubkan dalam Perlembagaan. Misalnya, imuniti raja dan agama Buddha di Thailand. Di Thailand, imuniti raja mengatasi segala-galanya atau lebih dikenali sebagai ‘lese-majeste laws’. Undang-undang ini masih digunakan di kalangan negara-negara di dunia ini yang mengamalkan pemerintahan beraja seperti Poland, begitu juga Netherlands dan Sepanyol.

Sesiapa yang mengkritik atau menggugut raja Thailand akan dipenjara lebih 15 tahun tanpa dibicarakan. Undang-undang yang telah berusia lebih 100 tahun masih dipertahankan sehingga ke hari ini.

Seorang aktivis politik Thailand, Daranee Charnchoengsilpakul pernah ditangkap dan dipenjara tanpa bicara pada Julai 2008 kerana mengkritik institusi raja Thai. Begitu juga dengan seorang rakyat Australia, Harry Nicolaides, pengarang dan pensyarah kolej, dipenjarakan pada 31 Ogos 2008 lalu, kerana mengkritik keluarga diraja Thailand dalam novel yang diterbitkan dalam tahun 2005 berhubung akaun perbelanjaan keluarga diraja Thai.

Apakah kita tidak melihat bagaimana umat Islam dihina, dianiaya, dizalimi dan dibunuh saban hari kerana mereka tidak menjadi tuan lagi meskipun berada di tanah air sendiri.

Sebab itu saya sarankan ahli politik bertaraf menteri ini, banyakkan membaca bagi menambah ilmu. Sekadar menjadi pendebat terbaik, itu bukan jaminan kita akan menteri, pentadbir dan ahli politik yang baik dan disegani.

Konsep ketuanan Melayu merujuk kepada kepada Melayu sebagai tuan asal tanah ini. Melayu perlu diberikan hak yang sewajarnya. Inipun sudah termaktub dalam perlembagaan. Nampaknya, penjajah Inggeris lebih faham Melayu daripada kita sebagai rakyat Malaysia

Sebab itu, nama-nama penjajah iaitu bekas-bekas pegawai Inggeris yang memahami Melayu seperti Sir Frank Swettenham, Sir R.O Windsted, Sir George Maxwell, Sir Cecil Clementi, Ronald Bradel dan lain-lain lagi, turut mengingatkan penjajah British yang berpusat di London supaya jangan memperkenalkan Malayan Union pada tahun 1946, selepas Perang Dunia Kedua.

Pegawai penjajah yang memahami orang Melayu menasihatkan, jika Malayan Union bertujuan untuk membalas dendam terhadap Melayu dengan menarik hak istimewa Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu, orang Melayu akan bangkit menentang.

Nasihat ini tidak diendahkan Gabenor British berpusat di London, mereka bertegas melaksanakan agenda Malayan Union. Akhirnya, seluruh umat Melayu bangkit menentang Malayan Union sehingga Malayan Union terkubur dan seterusnya negara menuju kemerdekaan. Apakah menteri muda kita tidak belajar daripada sejarah ini? Naif sangat-sangat.

Selaku orang Cina yang memahami sejarah biar saya jelaskan sekali, ketuanan Melayu hanya tinggal nama, sebenarnya tuan adalah orang lain. Hujah saya yang pertama, siapakah yang menguasai ekonomi dan tanah-tanah strategik di negara ini? Siapa yang menjadi taukeh? Siapakah yang menjadi pekerja (hamba). Melayu/bumiputera atau Cina. Lebih dahsyat, membaca iklan perjawatan, “untuk Cina sahaja” atau for Chinese only. Apa! Ini Republik Rakyat China ke?

Kedua, dominasi bahasa Cina dan Sekolah Cina. Media elektronik dan cetak Cina semakin mengakar dengan bersemaraknya sekolah Cina yang bertambah saban tahun, melalui bantuan kerajaan sepenuhnya. Sedih mendengar, apabila ada pemimpin yang berkata, orang Melayu mesti belajar bahasa Cina kerana negara China akan bangkitkan sebagai kuasa ekonomi. Persoalannya, bagaimana pula Cina yang duduk di tanah air tercinta ini tidak perlu menfasihkan diri dengan bahasa Melayu. Kenapa kita begitu naif?

Ketiga, lihat pula budaya mereka berkembang. Tulisan Cina dan budaya Cina dipamerkan di khalayak tanpa segan silu seolah-olah budaya bangsa mereka mengakar dan majoriti. Rata-rata kita lihat, terutama di kawasan majoriti Cina, kebanyakan maklumat seperti banner, bunting, risalah, bahasa pengantara dan lain-lain, semuanya dalam bahasa Cina yang langsung tidak difahami oleh orang Melayu. Semua ini dibenarkan, tanpa kawalan. Sebab itu, apabila tiba musim perayaan, Malaysia seperti negara China, negara India dan negara Kristian. Tenggelam habis identiti Melayu dan Islam.

Keempat dan bukan yang terakhir, lambakan NGO-NGO mereka mengatasi NGO-NGO Melayu. Orang Cina sahaja ada lebih 9,000 mengatasi NGO-NGO bangsa lain termasuk Melayu. Ini tidak termasuk kebebasan menubuhkan persatuan di universiti awam dan awasta. Apabila ada sedikit sahaja hak mereka dicuit, lihat bagaimana mereka bangun dan bersatu. Tetapi kita masih buta.

Jangan haraplah kelibat mereka memakai baju Melayu dan bersongkok meskipun berada di Parlimen dan majlis rasmi, berbanding dengan Melayu yang terhegeh-hegeh memakai pakaian tradisi Cina dan kurta. Rata-rata kita lihat, mereka lebih rela dan berbangga memakai tali leher dan blazer daripada berasimilasi dengan budaya Melayu.

Peliknya, apabila Melayu mengangkat keris yang menjadi simbol dan identiti Melayu seperti yang pernah dilakukan oleh Naib Presiden UMNO, Hishamuddin Husein ketika Perhimpunan Agong UMNO suatu ketika dahulu, setiap hari akhbar Cina memainkan isu betapa rasisnya Melayu. Pendek kata, apabila Melayu mengagungkan Melayu itu rasis. Apabila mereka lakukan, itu hak selaras dengan konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ketika cuti hari perayaan pula, jika kita cuti hari dua hari. Mereka pun dapat dua hari. Semua ini dilakukan ketika cuti sekolah. Ini tidak termasuk cuti-cuti yang lain. Desakan supaya Deepavali turut diberikan cuti dua hari sudah lama berkumandang. Punya baiklah Melayu tetapi mereka masih tidak puas hati.

Pada hemat saya, sebenar isu ketuanan Melayu sengaja diperbesar-besarkan oleh pihak tertentu untuk mengaut keuntungan politik. Mereka sengaja menggunakan isu ini untuk menghapuskan hak-hak istimewa orang Melayu. Dengan harapan selepas ini tidak ada lagi satu bangsa yang mempunyai kelebihan atau keutamaan. Bila semua ini tiada, mudahlah untuk diranapkan.

Apakah kita sudah lupa bagaimana, Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-persatuan Cina Malaysia (Suqiu) mendesak agar hak istimewa ini orang-orang Melayu dihapuskan pada tahun 1999?

Belajarlah…ambillah pengajaran wahai pemimpin negaraku. Lihatlah negara lain bagaimana mereka membina negara bangsa. Contohilah Brunei dan negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

Brunei mempunyai will power yang tinggi dalam membina negara. Apa jua perkara yang boleh mematikan ketuanan Melayu Islam di sana, segera diambil tindakan. Hak-hak bukan Melayu diberikan, tetapi dalam batas-batas tertentu, bukannya semuanya Malaysia Boleh!

Demi Allah, saya tidak pernah memusuhi Cina atau bukan Islam yang lain, kerana saya datang daripada lubuk yang sama. Jangan sama sekali pula ada Melayu memusuhi mereka kerana membaca artikel ini. Manusia, apa jua bangsanya, mereka tetap makhluk Allah. Saya hanya mahukan yang berhak diberikan haknya. Manakala, yang tidak berhak, berpada-pada dalam menuntut hak. Jangan pula kita mendiskriminasikan.

Saya hanya sangat benci kepada sikap ultra kiasu mereka yang tidak pernah puas dan sentiasa mahu memutarbelitkan sejarah.

Wednesday, November 7, 2018

Tidak Ada Keperluan Ratifikasi ICERD

Saya ingin menegaskan pendirian sebagai Timbalan Presiden UMNO bahawa tidak wujud keperluan meratifikasi International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) oleh Malaysia.

Pertama, selari dengan misi dan visi Wawasan 2020 oleh YAB Perdana Menteri sendiri, negara ini mesti diurus, dibangun dan dimajukan dengan acuan dan cara kita sendiri.

Justeru kita harus membangunkan tanah air ini dan mengurus kepelbagaiannya dengan menggunakan kearifan tempatan. Telah nyata bahawa Malaysia adalah antara negara majmuk dan multiracial yang paling berjaya dalammenguruskan kepelbagaiannya, walaupun belum sempurna.

Kedua, pendirian YAB Perdana Menteri selama ini adalah untuk memastikan tuntutan atau keriuhan kelompok kecil atau minoriti tidak seharusnya diangkat dengan cara yang boleh memperjudikan kemaslahatan serta keamanan majoriti rakyat Malaysia. (Rujuk temuramah Tun Mahathir yang disiarkan di Washington Post pada 15 Mei 2002).

Maknanya, kepentingan semua kaum mesti diurus dengan pendekatan mengutamakan kepentingan kesejahteraan masyarakat secara kolektif. Justeru, di Malaysia, atas sifat kemajmukannya, diskriminasi positif diinstitusikan dalam perlembagaan bukan sebagai tindakan perkauman, tetapi usaha mengurangkan kesenjangan atau ‘inequality’.

Ternyata ia secara langsung bukan sahaja berjaya mengurangkan kesenjangan, tetapi mewujudkan keamanan, kerukunan dan kesejahteraan dalam Malaysia pascamoden.

Ketiga, kandungan, saranan serta penguatkuasaan ICERD adalah berpandukan doktrin, pemahaman serta saranan masyarakat luar yang asing dan tidak bertepatan dengan konteks dan fabrik sosial Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai keunikan tersendiri.

ICERD digubal pada tahun 1969, oleh beberapa negara barat yang berpengaruh berlandaskan doktrin kebebasan citra mereka. Di waktu itu, kebanyakan negara lain masih lagi berantakan dengan pelbagai konflik dalaman dan memperjuangkan kemerdekaan.

Yang menariknya, 12 tahun sebelum ICERD digubal, sebuah Negara Kesepakatan bernama Malaya telah dibentuk oleh tiga kaum terbesar penduduknya, iaitu Melayu, Cina dan India. 1957, ketiga-tiga kaum ini, telah membuktikan kepada negara lain di dunia bahawa sebuah negara pelbagai bangsa dan agama boleh dibentuk dengan aman hasil permuafakatan yang erat.

Harus diingat, pada 1957 juga, orang kulit hitam tidak boleh berada dalam bas yang sama dengan orang kulit putih. Apatah lagi menerima pendidikan di sekolah yang sama, atau universiti yang sama dengan bangsa kulit putih.

Jelas sekali, Malaysia dengan konsep negara Kesepakatannya, telah lama mendahului negara lain dalam membendung segala bentuk diskriminasi perkauman dalam apa jua bentuk.

Keempat, Malaysia dibentuk sebagai sebuah negara dengan karakternya tersendiri. Karakter ini tidak digubal oleh UMNO tetapi oleh sebuah suhuranjaya bebas antarabangsa yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid.

Suruhanjaya Reid semasa menggubal perlembagaan persekutuan, telah merujuk dan mendengar dengan sebanyak-banyaknya dari semua pemegang taruh tanah air ini.

Setiap satu luahan, saranan serta permintaan yang dikemukakan, telah dipertimbangan dan diolah dengan adil. Maka atas saranan dan kefahaman ahli Suruhanjaya Reid, wujudlah Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang mengikat dan menjadi asas Malaysia selaku sebuah negara hukum yang berdaulat.

Perlembagaan Persekutuan telah mengambil kira dan mengiktiraf Institusi Raja-raja, hak dan kepentingan khas orang melayu, pengiktirafan agama Islam sebagai agama rasmi dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Semua ini bukan sekadar sejarah yang termaktub. Tetapi inilah perjalanan sebenar sebuah negara yang semenjak sebelum dan sesudah merdeka dicorakkan oleh pemimpin dan parti-parti politik yang memperjuangkan nasib kaum masing-masing.

Kelima, tindakan meratifikasi ICERD akan memberi kesan kritikal kepada struktur dan demografi masyarakat Malaysia secara besar, radikal dan membimbangkan.

Ini termasuklah kedudukan serta masa depan institusi-institusi yang melakukan intervensi sosial yang kritikal seperti MARA, UiTM serta peruntukan Tanah Rizab Melayu.

Saya ingin jelaskan bahawa semua intervensi ini bukan sama sekali bertujuan untuk mendiskriminasikan mana-mana kaum atau kelompok.

Ia adalah instrumen penstrukturan semula masyarakat khusus untuk bangsa Melayu yang sangat tertinggal hingga saat ini. Lebih penting untuk diingat, Malaysia senantiasa telus dalam pelaksanaan intervensi sosialnya, dengan dasar yang jelas, tidak terselindung dan difahami oleh pelbagai kaum lain.

Keenam, pemerkasaan serta pengukuhan terhadap perlindungan dan pengiktirafan kaum dan etnik di Malaysia tidak pernah sama sekali diabaikan, apatah lagi dipinggirkan dalam memakna kemerdekaan dan membangunkan Malaysia.

Melalui pelbagai kesepakatan politik, pemimpin pelbagai parti politik berasaskan kaum, senantiasa mencari jalan dan formula untuk mengukuhkan kepentingan kaum masing-masing tanpa menidakkan kepentingan bangsa lain.

Selain peristiwa 13 Mei 1969, Malaysia tidak menyaksikan konflik perkauman yang serius tercetus atas sebab diskriminasi perkauman. Tidak ada sekolah Cina atau Tamil yang dihalang atau ditutup sesuka hati. Tidak ada perniagaan bukan Melayu yang dimiliknegarakan. Tidak ada dasar pengambilalihan tanah bukan melayu dan diserahkan kepada bangsa Melayu. Tidak ada.

Semua itu tidak pernah berlaku di Malaysia dan tidak akan berlaku selamanya. Malah Malaysia adalah contoh negara kesepakatan paling dinamik dan harmoni yang tiada padanan dengan negara lain. Sekalipun selama ini kita tidak meratifikasi ICERD.

Ketujuh, struktur serta pendekatan yang diambil oleh Malaysia bagi mengurus kepelbagaian kaum di negara ini tidak radikal dan tidak menimbulkan masalah serta konflik dalaman di negara kita. Keharmonian serta persefahaman antara kaum adalah perkara yang bukan sahaja menjadi nadi negara ini, tetapi identiti kita di pentas dunia.

Malah kekuatan sebenar Malaysia ialah kepelbagaiannya.

Ia telah memberikan Malaysia satu kedinamikan serta keanjalan yang tiada bandingannya. Dan kerana itu, kepelbagaian kaum di Malaysia senantiasa menjadi asas serta faktor pertimbangan dalam setiap tindakan Kerajaan baik dalam menggubal dasar luar, program ekonomi sehinggalah dasar pendidikan dan keselamatan.

Ada pihak yang cuba mempertahankan pelan meratifikasi ICERD ini dengan menghujahkan bahawa kita akan melakukan pengecualian kepada sesetengah artikel yang tidak sesuai dengan konteks tempatan seperti yang dilakukan oleh negara-negara, antara lain, Afghanistan, Perancis, Bahrain dan Switzerland.

Misalnya Malaysia boleh mencadangkan beberapa pengecualian seperti Artikel 4(c) tentang institusi awam yang berasaskan “diskriminasi” kaum bagi mempertahankan institusi kepentingan Melayu dan, Artikel 5(d)(iv) tentang hak memilih pasangan, bagi mengelakkan liberalisasi perkahwinan jantina yang sama.

Tetapi tidak boleh mudah termakan dan menerima bulat-bulat penjelasan sebegini. Ini kerana, sekalipun, wujud pengecualian tersebut, ini sama sekali tidak bermakna kita tidak akan terus menerus dikecam, ditekan dan dipaksa untuk menerima artikel-artikel tersebut.

Saya amat tersentuh dengan kebimbangan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berkenaan pemeteraian ICERD. Sebagai seorang bekas Ketua Hakim Negara, pengamal undang-undang yang berpengalaman dan autoritatif, kerisauan beliau perlu diberi perhatian oleh kita.

Beliau berpendapat, jika dimeterai, perjanjian ini akan memberikan lebih banyak ruang dan peluang kepada pelbagai pihak untuk mengambil kesempatan dan mencabar kesahan (validity) Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan atas alasan ia bercanggah dengan konvensyen yang telah dimeterai.

Malah, menurut beliau, kerajaan akan seterusnya terpaksa menghapuskan ‘diskriminasi kaum’ dengan meminda, membatal dan memansuhkan undang-undang yang mengekalkan hal tersebut.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah cuba mempertahankan ICERD. Beliau menggelarkan mereka yang menentang ICERD sebagai tidak memahami Perlembagaan Persekutuan secara terperinci kerana kononnya tiada perkataan ‘hak’, ‘ketuanan’ dan ‘Bumiputera’ dalam Perlembagaan Persekutuan.

Manakala Islamic Renaissance Front (IRF), mengatakan yang kerisauan orang Melayu berhubung kesan ICERD adalah setakat ‘hearsay’ atau tidak benar. Ini kerana perjanjian tersebut telah menjelaskan secara terang, perbezaan di antara amalandiscriminatory dengan dasar afirmatif untuk memberdaya golongan Melayu-Bumiputera.

Sekalipun dua pihak ini menerima ICERD, saya yakin pandangan bekas Ketua Hakim Negara adalah jauh lebih menyeluruh, berasas dan mempunyai pemberat yang lebih baik.

Lebih penting, tanpa ICERD, ini tidak pernah sesekali bermakna yang kita akan menghentikan ikhtiar menambah baik perlindungan kepada golongan minoriti.

Usaha ini boleh dilakukan dengan mengadakan sinergi badan-badan bukan kerajaan (NGO) tempatan daripada fikrah yang pelbagai, memandangkan mereka lebih memahami konteks masyarakat Malaysia.

Dalam laporan Malaysian Alliance of Civil Society Organisations in the UPR Process (MACSA) bulan ini misalnya, ia telah menggariskan pelbagai masalah golongan marginal dan minoriti yang lebih utama untuk diperjuangkan. Malah mereka telah menggariskan bersama cadangan tindakan susulan yang patut dilakukan kerajaan dan NGO yang berkaitan.

Antaranya diskriminasi golongan Mualaf atau ‘saudara baru’ di tempat kerja yang boleh diatasi dengan memperkenalkan lebih banyak program sokongan dan penguatkuasaan undang-undang anti-diskriminasi tempat kerja.

Demikian juga dengan kes diskriminasi yang menghalang lelaki-lelaki Muslim untuk bersolat Jumaat mahupun fardu.

Meskipun hak beragama dan mengamalkannya termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi perkara ini hanya boleh dikuatkuasakan kepada badan dan entiti awam dan tidak pada majikan swasta. Oleh itu, solusi yang lebih konkrit adalahmemperkenalkan undang-undang menghukum majikan swasta yang menghalang penganut apa-apa agama untuk mengamalkan kepercayaannya ketika bekerja.

Berbanding meratifikasi ICERD yang bukan sahaja menjejaskan asas Perlembagaan Persekutuan dan tidak menyelesaikan masalah, adalah lebih baik untuk kita melihat isu sebenar dan memfokuskan kepada penyelesaiannya berasaskan acuan dan kearifan tempatan.

Tuntasnya, saya tidak merasa wujud kepentingan untuk meratifikasi perjanjian ini dan terikat kepadanya.

Pertama, ia tidak mengikut konteks Malaysia kerana berlainan acuan dan mengikut pemikiran Barat.Kedua, wujud alternatif lain selain meratifikasi ICERD. Ketiga, fokus perlu diberikan kepada kesan jangka masa panjang pasca ratifikasi kepada fabrik masyarakat Malaysia.Keempat, wujud kaedah pemerkasaan hak asasi manusia lain yang boleh diambil perhatian.

Sekarang bukan masanya untuk semua perkara yang sangat jelas dan termaktub menjadi kabur hanya kerana kita mahu menggunakan lensa barat dalam melihatnya.

Sekali lagi, saya, menolak ICERD.

Tuesday, November 6, 2018

Awas Agenda Tersembunyi ICERD

ADALAH suatu yang pelik lagi mencurigakan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy bersungguh-sungguh mahu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Ini menggambarkan seolah-olah akan atau telah berlaku diskriminasi kaum dan ICERD sebagai jalan keluarnya. Tunjukkan kaum mana satu menjadi mangsa diskriminasi?

Konvensyen ini sebenarnya sudah lapuk dan ketinggalan zaman malah banyak negara tidak membuat ratifikasi tersebut. Ada pemimpin di negara ini pula terhegeh-hegeh mahu menyambutnya. Konvensyen ini sebahagian daripada lakonan Barat seolah-olah menentang diskriminasi tetapi pada masa sama menjadi pemangkin diskriminasi yang memberi faedah kepada Barat.

ICERD bukan sahaja tidak bermanfaat malah mendedahkan negara ini pada jerat terma-terma yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Asal usul ICERD adalah Deklarasi Hak Asasi Manusia 1948 beracuan Barat. Lebih daripada itu, ICERD sangat lapuk dalam konteks Malaysia yang jauh lebih awal tampil sebagai penentang diskriminasi di pentas dunia.

Ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) masih lena dibuai mimpi, Malaysia telah bangkit menentang dasar apartied di Afrika Selatan. Apakah ini bukan penentangan terhadap diskriminasi? Kemudian Malaysia berada di barisan depan menentang pembersihan etnik Bosnia tahun 1990-an dan terbaru kekejaman terhadap etnik Rohingya di Myanmar.

Malaysia tidak memerlukan ratifikasi hak asasi manusia yang lapuk seperti ICERD. Lebih menyulitkan apabila pengecualian di sesebuah negara terhadap perkara yang disebut dalam ICERD masih boleh dicabar oleh negara lain supaya digugurkan. Ini mendedahkan kepada satu penjajahan Barat terhadap hal ehwal dalaman negara ini.

Persoalan yang belum terjawab ialah kenapa teruja sangat dengan konvensyen yang lapuk ini? Adakah kaum tertentu dinafikan mendapat hak yang sama seperti orang Melayu dan bumiputera? Adakah orang Melayu penindas kejam seperti orang kulit putih di Afrika Selatan?

Bukanlah suatu yang mustahil kalau Perkara 153 (Hak-hak keistimewaan orang Melayu), Perkara 152 (Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan), Perkara 89 (Tanah Rizab Melayu) dan Perkara 3(1) (Islam sebagai Agama Persekutuan) dibaca sebagai satu bentuk diskriminasi dalam acuan Barat. Ini merujuk Perkara 2.2 ICERD yang mengungkapkan bahawa segala bentuk diskriminasi kaum mesti dihentikan selepas tempoh masa tertentu.

Kalau dilihat dari sudut pandang yang penuh muslihat dan berkepentingan, kelihatan orang Melayu diberi kelebihan dan keistimewaan oleh Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun kalau diteliti dengan jujur, orang Melayu tidak menggunakan kelebihan itu, apa lagi untuk menindas kaum lain. Sebaliknya, orang Melayu yang ditindas secara terhormat kerana terlalu bertolak ansur dan ditolak secara beransur-ansur.

Lihatlah bagaimana Perkara 152 mengenai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang tidak diendahkan oleh sesetengah dalam kalangan bukan Melayu. Keadaan ini ditambah dengan sekolah vernakular penghantar bahasa ibunda yang dibantu oleh kerajaan. Sudahlah ingkar Perkara 152 diberi bantuan pula. Ini mendukung Perkara 152 atau apa?

Kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan pun telah digugah oleh pihak tertentu walaupun Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menggariskan kebebasan mengamalkan agama selain Islam. Tidak wujud langsung diskriminasi beragama terhadap kaum tertentu.

Menerima ratifikasi ICERD dengan sendirinya menafikan beberapa perkara teras dan asas dalam Perlembagaan Persekutuan. Janji manis bahawa ada “pengecualian” terhadap perkara-perkara tertentu ICERD menimbulkan persoalan apabila frasa “menghapus diskriminasi” sangat kukuh dan dominan dalam konvensyen itu. Bacalah yang tersirat dari tersurat.

Sunday, November 4, 2018

Merungkai Isu Ketuanan Melayu

Isu ketuanan Melayu menjadi isu panas dari waktu ke waktu. Jika dahulu golongan yang membangkitkan isu itu rata-rata ialah kalangan bukan Melayu, kini sejumlah orang Melayu sendiri menjadi jurubicara untuk mempersoalkannya.

Isu ketuanan Melayu tampaknya berkait rapat dengan suasana politik semasa yang mencuba mengetengahkan kesaksamaan dan menghindari sentimen adanya keturunan yang dikatakan lebih utama daripada kaum lain.

Ketuanan Melayu dengan padanan bahasa Inggerisnya Malay superiority dianggap sensitif dalam konteks kepelbagaian kaum yang menjadi rakyat negara ini. Konotasi negatif yang dikatakan timbul ialah persoalan jika orang Melayu dikatakan tuan, adakah kaum-kaum lain jadi hamba.

Tentu tafsiran “Melayu tuan dan kaum lain hamba, itu bukan yang dimaksudkan oleh pendukung gagasan ketuanan Melayu. Namun itulah isu yang sukar dielakkan dalam polemik tentang ketuanan Melayu.

Kalangan yang menolak ketuanan Melayu, di samping yang berasaskan idealisme kesamarataan, khususnya dalam senario gagasan Malaysia baharu, ada pula yang berasaskan hujah undang-undang bahawa ketuanan Melayu tidak diungkapkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Dengan itu ketuanan Melayu dianggap ilusi semata-mata.

Ketara juga bahawa penolakan ketuanan Melayu berkaitan erat dengan dakwaan kegagalan pendukungnya, iaitu UMNO dalam merealisasikan gagasan itu selama enam dekad menjadi parti utama pemerintah.

Dalam konteks isu semasa, contoh yang turut disebut ialah kepalsuan konsep ketuanan Melayu apabila sejumlah tuan Melayu kecundang di tangan golongan yang bukan tuan.

Misalnya, seorang ahli perniagaan muda bukan Melayu bernama Jho Low dikatakan berjaya memperdayakan pemimpin Melayu sehingga mengucar-kacirkan kestabilan ekonomi dan politik negara. Maka timbul suara yang menyoal siapa yang sebenarnya menjadi tuan.

Ternyata bahawa isu ketuanan Melayu memang cukup rumit untuk dianalisis dan dirungkai. Golongan yang berpegang pada adanya dan pentingnya ketuanan Melayu berhujah bahawa istilah itu tidak semestinya diungkapkan dalam undang-undang negara, terutama Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana semangatnya wujud dalam sistem politik negara dan rantau alam Melayu sejak ratusan tahun lalu dalam sistem kesultanan Melayu dan berterusan dalam zaman moden meskipun dengan perubahan strukturnya, iaitu Raja Berperlembagaan.

Ketuanan Melayu dikaitkan dengan orang Melayu sebagai penduduk asal negara ini (dan malahan juga wilayah politik lain di Kepulauan Melayu) yang dengan sendirinya dianggap pemilik asalnya.

Maka itu “tuan” dalam konteks ketuanan Melayu tidak berkaitan dengan makna hubungan antara tuan dengan hamba, tetapi merujuk kepada pemilik asal tanah air.

Hujah itu selaras dengan fakta bahawa nama negara ini sebelum tertubuhnya Persekutuan Malaysia ialah Persekutuan Tanah Melayu yang dalam zaman penjajahan Inggeris terdiri daripada Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, di samping Negeri-negeri Selat.

Isu yang dibangkitkan oleh penentang ketuanan Melayu dalam konteks sejarah negara sesudah kemerdekaan pada tahun 1957, khususnya dengan pemberian kewarganegaraan kepada kaum-kaum yang asalnya merantau (atau sebenarnya lebih banyak yang dibawa oleh penjajah Inggeris) ialah - adakah taraf ketuanan Melayu masih relevan?

Kedaulatan
Oleh itu, ada pejuang dan sarjana Melayu, seperti Prof. Emeritus Datuk Zainal Kling yang menyarankan istilah “kedaulatan Melayu” adalah selaras dengan padanan Inggerisnya Malay sovereignty. Kedaulatan Melayu tampaknya lebih lunak dan ilmiah serta kurang menimbulkan konotasi negatif atau rasa sensitif pada warganegara keturunan bukan Melayu.

Istilah itu selaras dengan istilah “martabat Melayu” yang saya gunakan dalam beberapa wacana lisan dan tulisan untuk menunjukkan bangsa Melayu sebagai bangsa teras di negara ini.

Bangsa Melayu memang telah berdaulat dan bermartabat sejak awal abad Masihi dengan wujudnya Kerajaan Melayu lama seperti Campa (abad ke-3 hingga abad ke-14 Masihi), Langkasuka (abad ke-6 Hingga abad ke-7 Masihi) dan paling terkenal serta luas jajahan takluknya Kerajaan Sriwijaya (abad ke-7 hingga abad ke-13 Masihi).

Sesudah itu muncul kesultanan Melayu di pelbagai pusat tamadun Melayu di seluruh Kepulauan Melayu seperti Kesultanan Samudera Pasai, Kesultanan Aceh, Kesultanan Melaka, Kesultanan Brunei, Kesultanan Sulu, Kesultanan Kutai, Kesultanan Patani dan Kesultanan Johor-Riau-Lingga.

Pokoknya, dengan istilah ketuanan, kedaulatan atau martabat, seluruh warganegara Malaysia perlu akur kepada hakikat bahawa bangsa Melayu mempunyai kedudukan yang khusus di negara ini. Pengiktirafan akan kedaulatan dan martabat bangsa Melayu itu direalisasikan melalui peruntukan tertentu Perlembagaan Persekutuan.

Pemaktuban peruntukan itu berasaskan faktor sejarah dan realiti pada waktu kemerdekaan dicapai dan dipersetujui para pemimpin yang mewakili kaum-kaum utama pada waktu itu, iaitu Melayu, Cina dan India.

Antara perkara yang berkaitan dengan kedaulatan dan martabat Melayu yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan termasuklah kedudukan Raja-Raja, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu (kemudian ditambah dengan Bumiputera).

Empat perkara itulah yang menjadi pancang utama kenegaraan dan dikenal juga sebagai kontrak sosial yang merupakan baiah rakyat.

Perihal kedaulatan dan martabat Melayu itu turut dijadikan dua daripada tiga asas Kebudayaan Kebangsaan yang dirumuskan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971.

Asas pertama Kebudayaan Kebangsaan ialah kebudayaan asal rantau ini yang merujuk kepada kebudayaan Melayu. Asas kedua ialah unsur-unsur kebudayaan lain yang wajar dan sesuai. Asas ketiga pula ialah Islam sebagai unsur penting.

Asas pertama dan ketiga itu jelas berkaitan dengan kedaulatan dan martabat Melayu. Demikian juga dalam bidang ekonomi, pewujudan dan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (1970-1990) yang bermatlamat membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menyusun semula masyarakat Malaysia.

Ini berkaitan rapat juga dengan kepentingan orang Melayu yang perlu dibela dan diperkasakan dalam pembangunan negara.

Sebagai rumusan, kedaulatan, martabat dan kepentingan Melayu perlu diberi perhatian oleh pihak mana pun yang mentadbirkan negara kerana perkara itu menjadi asas penting kestabilan politik, sosial dan ekonomi negara di sisi memupuk keadilan sosioekonomi rakyat.

Gagasan Malaysia baharu mestilah diisi dengan agenda dan program pengukuhan pancang kenegaraan dan kontrak sosial itu, bukan pencairan atau pengurangannya.

Kedaulatan, martabat dan kepentingan Melayu, sebagaimana penegasan tokoh sejarah Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim, perlu terus dipertahankan dan diperkukuh dalam proses pembinaa negara (nation building) Malaysia.

Seandainya pancang itu dirobohkan, maka negara kita kehilangan asas kenegaraan yang penting.

Penting ditegaskan juga bahawa pancang itu sama sekali tidak menafikan atau mengurangkan hak warganegara bukan Melayu kerana hak itu turut dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh : Awang Sariyan

Friday, November 2, 2018

ICERD Hapus Hak Istimewa Melayu, Bumiputera

KUALA LUMPUR 31 Okt. - Meratifikasi atau me­ngesahkan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akan mengakibatkan berlakunya penghapusan kepada hak istimewa orang Melayu serta anak-anak negeri Sabah dan Sarawak.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad mendakwa, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak berterus terang berhubung tujuan ratifikasi dilakukan bagi mengelakkan berlakunya bantahan, sebaliknya mereka menuntut Malaysia mengesahkan konvensyen berkenaan.

“Apabila Malaysia mengesahkannya, Perkara 153 dan dasar bersifat diskriminasi kaum yang dipersetujui sebagai balasan kepada persetujuan orang Melayu memberi kerakyatan kepada orang bukan Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan akan dimansuhkan.

“Untuk mengelak bantahan orang Melayu dan kaum bumiputera, mereka mengatakan bahawa pengesahan tidak melibatkan peruntukan Perkara 153. Itu tidak betul,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Abdul Hamid mendakwa, alasan yang diberikan kerajaan untuk memansuhkan Perkara 153 walaupun tidak pernah menyatakannya secara jelas adalah peruntukan tersebut menghalang kepada perpaduan dan pemansuhannya mampu merealisasikan usaha tersebut.

“Dalam kata lain, hapuskan keistimewaan orang Melayu serta bumiputera dan berikan hak sama, perpaduan akan wujud. Itu adalah hujah yang meleset. Ia adalah helah untuk memansuhkan Perkara 153. Semua pihak perlu sedar,” tegasnya.

Abdul Hamid berkata, sehingga ke hari ini, Malaysia adalah satu daripada 15 negara yang tidak mengesahkan ICERD termasuk Brunei dan Israel.

Beliau turut mengingatkan mereka yang berjuang untuk meratifikasi konvensyen ber­kenaan supaya jangan cuba memberi gambaran bahawa Malaysia adalah sebuah negara teruk kerana Amerika Syarikat (AS) baharu sahaja berbuat demikian pada 1992.

Katanya, Malaysia juga sebelum ini sudah meratifikasi tiga konvensyen iaitu Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (1979), Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (1989) dan Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (2006), namun perkara itu tidak dilakukan oleh AS.

Sumber : utusan malaysia