nuffnang

Sunday, December 24, 2017

Sumpah Bohong dan Hipokrasi Orang Islam

Kalau ada angka tunjuk kemunafikan (hypocrisy index), Malaysia tentu mendapat kedudukan yang tinggi. Walaupun Islam mencegah hipokrasi, orang Malaysia - termasuk yang mengaku beragama Islam - terkenal dengan amalan cakap lain buat lain.

Sebab itulah dalam indeks keislaman (Islamicity index), Malaysia dan negara-negara Islam lain mendapat markah rendah.

Indeks ini mengukur amalan ciri-ciri Islam dalam pelbagai aspek kehidupan harian. Ia diilhamkan oleh dua orang cendekiawan Islam Amerika, Hossein Askari dan Hossein Mohammadkhan.

Bagi indeks terbaru iaitu tahun 2016, Malaysia menduduki tempat ke-41, naik dari anak tangga ke-43 tahun sebelumnya. Semua negara yang mendahului kita adalah negara bukan Islam. Negara nombor satu tahun 2016 adalah New Zealand dan 2015 Belanda.

Bagi kedua-dua tahun itu Indeks Keislaman Singapura lebih tinggi. Mereka berada di tangga ke-22 pada tahun lalu, dan 17 pada 2015. Antara ciri yang diambil kira ialah kekuatan ekonomi, keadilan sosial, keselamatan dan bebas rasuah.

Wajib ambil tindakan
Nampaknya orang kafir lebih peduli kepada apa yang betul dan apa yang salah. Mereka sanggup mengambil risiko untuk menegakkan kebenaran.

Contoh klasik ialah penyiasatan dan tindakan undang-undang bersabit skandal penipuan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd oleh negara-negara bukan Islam.

Semua pihak yang hari ini sudah bertindak ke atasnya adalah negara-negara bukan Islam seperti Singapura, AS dan Switzerland. Indek Keislaman AS tahun lalu nombor 17 dan Switzerland 5.

Sebab itulah jika pembangkang ditakdirkan menang dalam pilihan raya umum (PRU) tahun hadapan, mereka wajib mengambil tindakan paling tegas dan keras terhadap orang-orang yang terlibat berbohong bagi melindungi skandal ini.

Selain kepala-kepala politik BN, tindakan wajib diambil ke atas pegawai-pegawai utama seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Ketua Audit Negara.

Setidak-tidaknya pun mereka wajib disiasat bersabit peranan mereka menyembunyikan atau memanipulasi kebenaran. Dalam konteks ini, mungkin Ketua Audit Negara yang bersara, (Tan Sri Ambrin Buang) telah menjalankan tugas dengan telus.

Temui sesuatu yang buruk
Saya katakan begitu kerana laporan penyiasatan beliau ke atas 1MDB yang diserahkan kepada parlimen telah diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Maksudnya ada perkara buruk yang hendak disembunyikan oleh kerajaan daripada rakyat jelata sehingga anggota parlimen pun tidak dibenar membincangkannya.

Sesiapa yang mendedahkannya akan dihukum.

Bagi SPRM pula, sesetengah pegawainya yang terdahulu dipindahkan secara tergesa-gesa atau ditekan agar bersara awal. Ini bermakna mereka telah menemui sesuatu yang buruk mengenai 1MDB dan SRC.

Kemudian pembunuhan amat kejam ke atas pendakwa raya kanan, Datuk Anthony Kevin Morais, pada September 2015.

Morais disebut sebagai pakar dalam bidang pendakwaan rasuah dan dikatakan dalam proses merangka draf pertuduhan yang membabitkan penyelewengan RM42 juta duit SRC.

Enam orang yang terdiri daripada Kol Dr R Kunaseegaran, 54; R Dinishwaran, 25; A K Thinesh Kumar, 24; M Vishwanath, 27; S Nimalan, 24; and S Ravi Chandaran, 46 – telah dituduh melakukan pembunuhan itu. Mereka telah pun diperintah supaya membela diri.

Peranan Peguam Negara
Dalam apa juga usaha dan tindakan mengungkai skandal 1MDB dan SRC ini, peranan Peguam Negara Mohamed Apandi Ali adalah kemuncak (pivotal).

Beliaulah yang “membebaskan” Perdana Menteri Najib Razak daripada segala tuduhan berkaitan skandal penipuan 1MDB dan SRC.

Semasa berbuat demikian, Apandi bertindak sebagai pendakwa raya, peguam bela dan hakim bagi menyelamatkan Najib.

Kita tentu masih ingat bagaimana Najib tergesa-gesa melantik pengganti Tan Sri Abdul Gani Patail yang tempoh perkhidmatannya ditamatkan lebih awal atas alasan dia sakit.

Alhamdulillah, Allah Taala memperlihatkan pembohongan mereka. Abdul Gani bukan sahaja tidak sakit malah cukup sihat untuk membuka firma guamannya sendiri selepas dipecat.

Berbalik kepada Apandi. Genap enam bulan dilantik Peguam Negara dia mengadakan sidang akhbar membebaskan Najib daripada segala kesalahan berkaitan duit RM2.6 bilion dalam akaun peribadinya, dan RM42 juta duit SRC yang diselewengkan.

Inisiatif KARI Amerika
Tidak dapat tidak, kita terpaksa menamakan Apandi sebagai saksi utama dalam sebarang penyiasatan boda fide mengenai kegagalan mengambil tindakan ke atas penyelewengan 1MDB dan SRC.

Bukan sahaja dia menutup kes-kes di Malaysia malah dia juga enggan bekerjasama dengan pihak berkuasa luar, khususnya Pejabat Peguam Negara Switzerland, yang sedang menyiasat pengubahan duit haram (money laundering) yang berpunca daripada 1MDB.

Peguam Negara Switzerland, Michael Lauber, dilaporkan berkata pejabatnya meminta bantuan MLA (Mutual Legal Assistance) telah dua kali daripada Malaysia tetapi ditolak atas alasan kerjasama tidak boleh diberikan di bawah rangka kerjasama MLA.

Di sinilah terletak ironi atau keanehannya. Negara kafir peduli terhadap penipuan 1MDB dan mahu membantu mendapatkan balik duit curi itu supaya boleh diserahkan semula kepada rakyat jelata Malaysia.

Singapura telah membekukan duit curi itu dan menghukum - termasuk penjara - pegawai-pegawai bank yang terlibat dengan pengalihan duit haram tersebut.

AS sedang menggunakan KARI (Kleptocracy Asset Recovery Initiative) iaitu inisiatif mendapatkan balik harta negara yang digelapkan oleh kerajaan pencuri.

Pada 5 Disember, Peguam Negara AS yang baru, Jeff Sessions (gambar), berkata separuh daripada AS$3.5 bilion (kira-kira RM15 bilion) aset curi yang dirampas oleh pihak berkusa Amerika adalah harta yang berkaitan dengan 1MDB.

Beliau memberitahu satu persidangan antarabangsa mengenai harta curi bahawa pencurian wang 1MDB adalah kes kleptokrasi (kerajaan pencuri) terburuk di dunia.

Pendek kata, kalau Apandi ada hati kecil (conscience) dia wajar bertanya kepada hati kecilnya adakah apa yang dia telah dan sedang lakukan itu benar dan betul.

Kerana sifat munafik
Kalau seorang penyiasat Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS sanggup bersumpah mengenai 1MDB dan menghadapi risiko dihukum penjara lima tahun sekiranya berbohong, adakah Apandi boleh dibiarkan dengan penafiannya?

Agen FBI yang menyiasat harta dibeli dengan duit curi 1MDB itu boleh dihukum penjara lima tahun di bawah undang-undang sumpah bohong (perjury) kalau maklumat yang diberikannya tidak tepat.

Nampaknya sebuah negara bukan Islam lebih serius dalam usaha membantu kita mendapatkan balik harta negara yang dicuri oleh para pembesar kita sendiri.

Tetapi di Malaysia ada lagi manusia yang mempertahankan jenayah global itu dan marah apabila gelaran “lanun Bugis” digunakan.

Apakah orang ini tidak berasa malu dan berasa bersalah mengaku Islam, menadah tangan ke langit berdoa dan mengelilingi diri mereka dengan tuan guru, tok haji dan tok lebai tetapi melakukan jenayah besar yang satu dunia sudah tahu?

Boleh jadi kerana sifat munafik ramai para pembesar kita dan sikap tidak ambil peduli sebahagian rakyat jelata inilah maka hari ini Malaysia dipersendakan dan dijadikan hamba oleh negara-negara yang berkepentingan.

Wallahua'lam.

Oleh : Datuk A Kadir Jasin

Thursday, December 14, 2017

Ciri Anda Sudah Jadi Belahan Jiwa Pasangan

SAAT menjalani sebuah perhubungan, ramai dari anda yang mengatakan telah menemui belahan jiwa. Padahal, belum tentu pendapat tersebut benar.

Ya, pasangan yang ada sekarang memang belum tentu menjadi soulmate atau belahan jiwa anda. Sebab, ada beberapa hal yang perlu dimiliki seseorang untuk menjadi belahan jiwa yang benar bagi pasangannya.

Lalu, bagaimana mengetahui bahawa dia benar-benar belahan jiwa atau soulmate anda? Ini adalah ciri-ciri yang menandakan hal yang tersebut....




- Seseorang boleh dikatakan sebagai belahan jiwa saat dia selalu ada ketika masa sukar dalam kehidupannya. Pasti akan membantunya keluar dari situasi tersebut.

- Dia akan menghubungi atau menghantar mesej saat anda merindukannya.

- Dia akan tahu apa yang anda fikirkan, meskipun ada di tempat yang berbeza.

- Saling mengerti suasana hati masing-masing.

- Dia tidak perlu penjelasan mendalam tentang anda, sebab seorang soulmate mampu memiliki rasa pengertian yang tinggi.

- Boleh saling menyokong satu sama lain apabila ada halangan menghalang hubungan anda berdua.

Jadi, sudahkah anda mempunyai beberapa hal tersebut?

Anonymous

Friday, December 1, 2017

Presiden Chechnya Perintahkan Sholat Berjamaah

Presiden Chechnya Perintahkan Polis Dan Tentera Sholat Subuh Berjamaah Di Masjid
Presiden Republik Chechnya Ramzan Akhmadovich Kadyrov mempunyai dasar yang banyak mendapatkan penghargaan dari masyarakat Muslim dunia. Antaranya, iaitu mewajibkan bagi polis dan tentera untuk solat Subuh dan Isyak berjamaah di masjid.

Ramzan Akhmadovich Kadyrov memang dikenali sebagai presiden yang mempunyai akar ideologi Islam yang kuat. Lahir di Tsentoroi, Chechen-Ingush ASSR, Chechnya, 5 Oktober 1976, jadi usianya saat ini baru 39 tahun. Meski memimpin Chechnya belum sampai 10 tahun, Ramzan Akhmadovich Kadyrov telah banyak memperlihatkan karya pemerintahan yang menakjubkan.

Dibawah kepemimpinanya Chechnya merupakan negara dengan tahap pembangunan yang membuat takjub dunia. Negara yang sebelum ini hancur porak-poranda kerana perang kini bertukar menjadi negeri yang indah dan bersih.

Ayah Ramzan bernama Akhmad Kadyrov yang merupakan seorang Ulama sekaligus Mufti Pejuang Chechnya pada masa perang dan dilantik menjadi Presiden Republik Chechnya yang pertama, dua masa jabatan sebelum beliau.

Keluarga Kadyrov adalah keluarga yang disegani oleh masyarakat Chechnya dan kerajaan Rusia. Jadi jangan hairan bila anda ke Cehchnya akan melihat pemandangan yang sangat luar biasa, iaitu para polis dan tentera berbondong-bondong menuju masjid ketika azan berkumandang. [Islamedia]

Islamofobia

ISLAM dibenci, dimusuhi dan dijadikan sasaran semua tuduhan buruk dan negatif dengan label pengganas, pelampau, jakun, mundur dan sebagainya. Dihalang berpolitik kalau tujuannya melaksanakan syariat. Dihalang kalau berjaya dan maju dalam lapangan apa sahaja. Dinar tidak layak menggantikan Dolar atau Euro.

Kalau Islam mampu membangunkan teknologi nuklear walaupun tujuannya damai seperti perubatan dan tenaga eletrik, meskipun ditegaskan dalam hukum Islam bahawa haram bersikap melampau dalam peperangan dan berdosa kalau melampau biarpun terhadap musuh bukan Islam, apatah lagi yang tidak menceroboh, namun kalau jenamanya Islam tetap dicop sebagai melampau juga.

Adapun semua pihak bukan Islam diizinkan semuanya. Parti Yahudi di Israel, Parti Kristian di Jerman, Parti Hindu di India dan pelampau Buddha di Myanmar dibenarkan memerintah negara dan melakukan apa sahaja terhadap penganut Islam di atas nama agamanya.

Semua negara bukan Islam, khususnya negara haram Israel dibolehkan memiliki apa sahaja senjata pemusnah manusia, binatang dan alam sekitar. Kalau dibantah dipejamkan mata. Apabila melakukan ujiannya, tidak mempedulikan terhadap penduduk tempatan dan alam sekitar di Lautan Pasifik, Hindi dan lain-lain. Alasannya kerana kemajuan sains dan teknologi.

Halal bagi Presiden Bush menyebut Perang Salib kerana Peristiwa 11 September yang dituding jari terhadap Islam secara melulu sebelum disiasat dengan adil dan telus. Terus menyerang Afghanistan dan Iraq, rakyat awam lebih banyak menjadi mangsa tanpa dipedulikan.

Semua yang ada bayangan Islam atau asal usulnya Islam, apa lagi yang mengisytiharkan Islamnya, semuanya disenaraihitamkan dalam satu bakul sampah yang wajib dibakar hangus. Bukan sahaja Saddam Husain dan Qazzafi yang diumumkan zalim dalam senarainya, termasuk mana-mana dan sesiapa yang berjenama Islam semuanya dilabel ganas, tanpa mengira Mazhab Sunni, Syiah, Salafi, Wahabi, Khalafi dan sebagainya.

Hanya kelibat berita tentang senjata yang boleh membahayakan Israel, maka terus diserangnya kilang susu di Sudan, Libya, Syria dan diganyangnya Iraq, tetapi tidak Korea Utara, walaupun sudah melancarkan ujian senjatanya ke laut dan mengancam USA. Barang kali kerana bezanya di antara Islam dan bukan Islam.

Mereka juga membaling batu sembunyi tangan, kerana terdedahnya penglibatan mereka dalam kemunculan Taliban, ISIS, pembekalan senjata termasuk senjata kimia yang diharamkan oleh undang-undang antarabangsa tetapi halal bagi mereka. Kalau terdedah, beritanya diletakkan di bawah karpet yang nipis kelihatan, mereka sengaja memejamkan mata dan mahu menutup mata orang lain.

Islamofobia bukan sahaja diwabakkan terhadap negara seperti Iran yang mencabarnya dengan nama Republik Islam Iran dan kemajuan teknologinya yang mencabar secara terangan, termasuk Arab Saudi sahabatnya yang akrab, walaupun benderanya mengucap Dua Kalimah Syahadah diminta supaya nyatakan sekular dan liberalnya, tidak cukup dijadikan lembu susuan yang hanya diberikan rumput kering, disuruh berlaga dengan Iran, jangan menanduk Israel. Bahkan Israel dimartabatkan laksana polis yang dibiayai oleh mafia, menjaga keselamatan di rantau itu dan boleh bertindak apa-apa sahaja.

Adapun mereka yang mempertahankan Islam dan tanah sucinya dan gagah berani menentang keganasan negara haram itu, seperti Hamas, Jihad Islami dan Hizbullah pula disenaraikan sebagai pengganas.

Kalau ada parti yang berdasarkan Islam dan melaksanakan syariat, jangan diberi kemenangan walaupun mereka memilih pendekatan demokrasi. Kalau menang juga dibatalkan seperti Masyumi di Indonesia, FIS di Algeria dan Ikhwanul Muslimin di Mesir.

Termasuk juga individu bernama Islam, walaupun menang hujahnya, bukannya dengan senjata, seperti Dr. Zakir Naik yang dikira pengganas kerana hujahnya tidak boleh dilawan. Mereka bertindak seperti Raja Babilon bernama Namrud yang kalah berhujah dengan Nabi Ibrahim A.S, lalu Nabi yang mulia ini dikira salah dan dihukum bakar ke dalam api yang besar.

Demokrasi, kebebasan, hak asasi bukan untuk umat Islam, kerana dianggap spesis makhluk bukan manusia yang layak berhak menerimanya. Maka pencabulan terhadapnya dibiarkan atau ditangguhkan tindakannya kalau didesak atau divetokan segala keputusan yang berpihak kepada Islam.

Hukum merekalah yang paling adil, walaupun membunuh dengan melaksanakan cara yang mengerikan, seperti menjerut tali ke leher atau kejutan eletrik kepada orang yang dihukum, kesalahannya boleh dibuktikan oleh saksi yang mabuk arak dan kaki maksiat yang tidak dijamin benarnya kerana tidak ada maruah.

Adapun hukum Islam yang bernama Qisas, Hudud dan Takzir, walaupun disabitkan dengan saksi yang adil dan bermaruah tinggi atau pengakuan secara rela hati, cara menjatuhkan hukumannya paling beradab sopan dengan syarat-syarat yang ketat, namun dikira hukum yang zalim dan kejam.

Mereka mahukan Islam yang membuka pintu kepada perkara yang diharamkan oleh Allah seperti judi, arak dan sebagainya kepada penganut Islam, walaupun tidak disekat penganut agama lain yang melakukannya, kerana mereka mahukan orang Muslim menerima konsep bahawa urusan negara adalah kepunyaan kita, agama sahaja kepunyaan Allah.

Wanita Islam yang menutup aurat dianggap mengongkong diri dan tidak tahu bersosial. Adapun yang bebas memakai pakaian mendedahkan sebahagian besar badannya tanpa rasa malu, sehingga ada yang bertelanjang dikira hak kebebasan yang dihormati.

Mereka yang menjalankan kewajipan menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran dikira bahaya mengancam ketenteraman masyarakat. Adapun yang melakukan kemungkaran dan melindunginya dikira hak kebebasan dan penambah hasil negara.

Mereka mahukan Islam tanpa hidayah mengikut bahasa Al-Quran yang dianggap jelik. Jenama yang mereka mahu ialah Islam Liberal atau Islam Sekular yang meninggalkan aqidah, syariat dan akhlak, yang dikira sealiran dengan zaman kini, walaupun kembali ke zaman jakun dan sudah nyata parah tanda kemusnahannya.

Demikianlah hukuman dan anggapannya terhadap Islam. Media massa yang dikuasai digunakan habis-habisan untuk menyebarkan maklumat tersebut dalam dunia tanpa sempadan dan langit terbuka.

Mereka lupakan pepatah mereka sendiri bahawa semua manusia tidak boleh ditipu dalam semua masa. Apabila Islam dicemuhkan, maka tetap ada kalangan manusia yang ingin tahu hakikat yang sebenar, lalu membaca dan mengkaji Islam. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh manusia yang berakal. Percayalah! Makin banyak Islam dikelirukan, makin nyata lagi bersuluh kebenarannya.

Sepatutnya mereka mendengar firman Allah:
۞قُلۡ إِنَّمَآ أَعِظُكُم بِوَٰحِدَةٍۖ أَن تَقُومُواْ لِلَّهِ مَثۡنَىٰ وَفُرَٰدَىٰ ثُمَّ تَتَفَكَّرُواْۚ مَا بِصَاحِبِكُم مِّن جِنَّةٍۚ إِنۡ هُوَ إِلَّا نَذِيرٞ لَّكُم بَيۡنَ يَدَيۡ عَذَابٖ شَدِيدٖ ٤٦ سبأ.

“Katakanlah (wahai Muhammad): Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: Hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain) atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaran-Ku). Sebenarnya tidak ada pada (Muhammad) yang menjadi sahabat kamu sebarang penyakit gila (sebagaimana yang dituduh); dia hanyalah seorang Rasul pemberi amaran kepada kamu, sebelum kamu ditimpa azab yang berat (di akhirat).” (Surah Saba’: 46)

Akhirnya ketahuilah bahawa tidak ada sesiapa yang dapat memadamkan cahaya matahari dan bulan ciptaan Allah, begitulah juga tidak boleh memadamkan cahaya Islam, kerana juga daripada Allah:
يُرِيدُونَ لِيُطۡفِ‍ُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٰهِهِمۡ وَٱللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِۦ وَلَوۡ كَرِهَ ٱلۡكَٰفِرُونَ ٨ الصف
“Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (Islam) dengan mulut-mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).” (Surah As-Saff: 8)

“Sejahtera Bersama Islam”

Oleh: Abdul Hadi Awang