“Siapa suruh berpakaian terlampau seksi, sebab itulah orang kacau.” Itu antara ayat yang biasa didengar apabila berlaku kes gangguan seksual membabitkan wanita.
Akibatnya, mangsa takut untuk membuat laporan polis kerana beranggapan dirinya sebagai punca.
Stigma sedemikian perlu dibuang sekiranya ingin meningkatkan kesedaran mengenai kes gangguan seksual. Pakaian terdedah dan perwatakan lemah lembut bukan ‘tiket’ untuk lelaki mengambil kesempatan ke atas kaum Hawa.
Seperti kata Presiden Persatuan Menggalakkan Kesamarataan, Respek dan Amanah Seluruh Sabah (Serata), Sabrina Aripen, sentimen masyarakat adalah antara perkara pertama menjadi pertimbangan apabila mangsa ingin membuat laporan polis.
Menurutnya, ada dalam kalangan wanita takut dirinya dipersalahkan. Ada pula tidak faham situasi dialami itu sebenarnya gangguan seksual. Menyebut kata-kata berunsur lucah juga satu bentuk gangguan seksual biarpun ia sekadar gurauan.
“Namun, undang-undang yang kurang jelas menyebabkan ramai mangsa takut untuk tampil kerana mereka tahu, pada akhirnya tiada yang dapat membela nasib mereka,” jelasnya.
Malah, rang undang-undang berkaitan yang sepatutnya siap Mac lalu juga tidak dapat dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat susulan pelaksanaan proklamasi darurat.
LUAR BANDAR
Tambah Sabrina, berdasarkan pemerhatian, kebanyakan kes di kawasan luar bandar dilakukan dalam keadaan wanita itu tidak faham situasi yang dialaminya.
Untuk itu, program advokasi dan kesedaran perlu dipertingkatkan dalam kalangan anak muda khususnya wanita di luar bandar agar mereka tahu cara untuk bertindak apabila berlaku gangguan seksual.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Datuk Jauteh Dikun memberitahu, sepanjang tempoh lima bulan pertama tahun ini, sebanyak 54 kes gangguan seksual terhadap wanita direkodkan di Sabah dan 10 kes dihadapkan ke mahkamah. Sebanyak 556 kes dilaporkan di Sabah bagi tempoh 2017 hingga 2020 termasuk remaja berusia 18 tahun ke bawah. Daripada jumlah itu, 264 kes dibicarakan di mahkamah.
Katanya, semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berlaku penurunan jumlah kes di negeri itu. Sesi persekolahan secara dalam talian dan kerja dari rumah mungkin menyumbang kepada penurunan tersebut.
Bagaimanapun, jelas beliau, sepanjang tempoh tiga tahun sebelum pandemik Covid-19 melanda, kes gangguan seksual di Sabah memang menunjukkan peningkatan, iaitu daripada 125 kes pada 2017 kepada 167 (2019). Kes melibatkan remaja berusia 18 tahun ke bawah jauh lebih tinggi.
“Sebanyak 311 kes gangguan seksual terhadap remaja perempuan berusia 18 tahun ke bawah direkodkan berbanding 245 kes bagi wanita berusia 18 tahun ke atas,” katanya.
Kepada wanita, usah ragu-ragu bertindak jika menjadi mangsa gangguan seksual. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment