PETALING JAYA: Kesan pandemik Covid-19 dikhuatiri menyebabkan 70 peratus murid prasekolah di Lembah Klang sehingga bulan ini buta huruf kerana mereka gagal menguasai program 3M iaitu membaca, menulis dan mengira (3M).
Tahun lalu sebanyak 208,131 murid prasekolah di seluruh negara berdaftar dengan Kementerian Pendidikan manakala tahun ini sebanyak 207,224 murid. Bagi murid tadika swasta tahun ini seramai 254,268 orang.
Walaupun kaedah pengajaran dan pembelajaran dari rumah (PdPR) dilakukan oleh pihak sekolah tetapi murid-murid bawah enam tahun tidak mampu menguasai pembelajaran secara maya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Dr. Mohd. Nazri Abdul Rahman berkata, berdasarkan tinjauan terhadap kira-kira 30 guru prasekolah dan tadika swasta sekitar Petaling Jaya dan Kuala Lumpur baru-baru ini, mereka mengakui sehingga bulan ini, kira-kira 70 peratus murid mereka belum menguasai kemahiran 3M.
Menurut beliau, ini bermakna akan wujud cabaran besar kepada guru-guru sekolah yang bakal menerima generasi ini tahun depan jika kumpulan tersebut terus tidak dapat menguasai 3M hujung tahun ini.
“Pandemik bermula tahun lalu, dan jika diambil kira ini adalah tahun kedua berturut-turut semua terkesan dengan Covid-19.
“Maknanya sudah masuk generasi kedua murid prasekolah atau tadika yang dikhuatiri ramai alami buta huruf,” kata beliau.
Mengulas lanjut, Mohd. Nazri berkata, jika sekolah swasta atau kerajaan menawar PdPR sekali pun, matlamat melahirkan generasi menguasai 3M diragui.
Justeru, beliau berkata, satu tindakan proaktif antara sekolah dan ibu bapa perlu diambil bagi membantu murid menguasai 3M menjelang mereka memasuki Tahun Satu.
“Jangan tunggu lagi, beban terlalu besar jika sudah ada dua generasi prasekolah ini terus dibiarkan. Ini baru murid prasekolah di Lembah Klang belum lagi murid prasekolah di negeri-negeri lain.
“Generasi ini akan menjadi generasi malang bukan sahaja buat diri sendiri malah turut memberi kesan kepada pembinaan negara,” kata beliau.
Mengulas lanjut, menurut beliau, kanak-kanak berusia empat hingga enam tahun memerlukan masa panjang untuk menguasai pembelajaran membaca, menulis dan mengira.
“Lebih penting, golongan itu perlu dibimbing secara fizikal dan tidak boleh menerusi maya,” jelas beliau.
Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, perkembangan peringkat prasekolah tahun lalu dan tahun ini sudah tentu diheret sehingga mereka memasuki Tahun Satu pada tahun ini dan tahun depan.
“Tahun lalu keadaan pandemik juga kritikal berapa bulan sahaja murid sempat bersemuka dengan guru.
“Bila masuk Tahun 1, tahun ini, sekolah juga buka berapa minggu sahaja dan situasi tidak belajar seperti tahun lalu berterusan ke tahun ini,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, jika dari prasekolah mereka tidak dapat membaca, masalah sama dibawa ke Tahun Satu dan nasib generasi itu pada tahun depan terus menjadi tanda tanya.
“Tahun depan kumpulan ini naik ke Tahun Satu. Yang Tahun Satu dari generasi prasekolah 2020 masa pandemik juga naik Tahun Dua,” kata beliau ketika dihubungi semalam.
Selain itu, menurut beliau, generasi zaman pandemik turut terjejas dalam proses membina perkembangan kognitif dalam setiap kanak-kanak itu.
“Salah satu kesan besar, generasi ini, mereka tidak berpeluang berinteraksi dengan rakan sebaya seperti generasi sebelum pandemik.
“Generasi pandemik Covid-19 ini tidak pandai bergaul, buat keputusan apatah lagi berdikari di luar rumah. Masalah seperti ini akan memberi kesan panjang sebelum mereka boleh menyesuaikan diri dengan persekitaran luar,’ katanya.
Kata Anuar, sekiranya keadaan ini berterusan, masalah pembelajaran generasi pandemik ini dikhuatiri terus ketinggalan tiga atau empat tahun kebelakang berbanding dengan generasi sebelum pandemik.
Jelas beliau, kebimbangan itu pernah disuarakan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan kerajaan perlu ada langkah intervensi bagi memastikan kanak-kanak berkenaan tidak ketinggalan.
“Kementerian Pendidikan perlu melakukan kajian impak dalam kalangan murid prasekolah ketika pandemik agar langkah sewajarnya dapat dilakukan demi menangani masalah keciciran,” kata beliau ketika dihubungi.
Dalam pada itu, jurucakap Gabungan Pengusaha Pendidikan Awal Kanak-Kanak Malaysia, Mohd. Fadzil Hashim berkata, pelaksanaan PPdR kurang sesuai untuk kanak-kanak bawah enam tahun kerana kumpulan ini tidak memberi fokus sewaktu pembelajaran.
“Jangan ingat bila anak-anak mahir main gajet, tidak ada masalah untuk mereka belajar. Bermain permainan dalam talian adalah berbeza dengan PdPR,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd. Fadzil mengesa tadika dan prasekolah turut diberi keutamaan untuk dibuka segera bagi memastikan tidak ada `generasi kebelakang’.
Bagaimanapun, bekas Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, isu keciciran tidak timbul kerana proses PDpR masih berterusan sama ada secara dalam talian atau manual bergantung kemampuan masing-masing.
Menurut beliau, tidak dinafikan pengajaran bersemuka dalam bilik darjah adalah kaedah terbaik berbanding di rumah.
“Walaupun keberkesanan tidak 100 peratus, namun buat masa kini, PdPR paling terbaik untuk kesinambungan pendidikan anak-anak,” katanya. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment