Perbuatan menghina dan mempersenda institusi diraja menerusi media sosial dikhuatiri akan meranapkan prinsip kesetiaan terhadap raja dan negara dalam kalangan rakyat di samping meruntuhkan institusi raja berperlembagaan di negara ini.
Penyandang Kursi Institut Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata maka mereka yang membuat kenyataan berunsurkan kebencian dan mendatangkan kecenderungan menghasut wajar dikenakan tindakan perundangan.
Beliau berkata isu memperlekehkan institusi diraja kelihatan semakin menjadi-jadi pada masa ini terutamanya di media sosial dengan menjadikan kebebasan bersuara sebagai alasan.
“Hak kebebasan bersuara dijamin dalam Perlembagaan yang mana membenarkan kita mempersoalkan pelaksanaan kuasa atau bertanya mengenai kebaikan atau kepincangan suatu tindakan yang dibuat oleh sesiapa sahaja termasuklah institusi diraja, namun ada hadnya.
“Sekiranya kebebasan bersuara itu dibuat dengan kecenderungan menghasut dan seterusnya menggalakkan kebencian kepada institusi diraja, maka itu tidak tergolong dalam kebebasan bersuara malah ia merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang,” katanya dalam program Koresponden dengan tajuk ‘Kedaulatan Institusi Diraja Tidak Wajar Dipermainkan’, yang disiarkan menerusi Bernama TV di sini hari ini.
Beliau berkata terdapat hanya satu undang-undang di Malaysia setakat ini yang berkesan untuk kesalahan itu iaitu Akta Hasutan, bagaimanapun undang-undang itu sendiri sering dipersoalkan dan dicanang sebagai satu akta yang mengongkong kebebasan.
“Bila dikuatkuasakan, ramailah yang bersuara bahawa undang-undang itu menyekat kebebasan dan sebagainya, walhal ia sebenarnya bukan suatu yang di luar kerangka Perlembagaan… ia dibenarkan Perlembagaan mengikut peruntukan dalam Perkara 10 Fasal (4) contohnya.
“Perkara yang lebih baik ialah pihak pelaksana meneruskan pelaksanaan undang-undang itu cara berkesan dan efektif tanpa mengira suara-suara bising di luar asalkan ia menepati peruntukan undang-undang, sebelum membuktikan di mahkamah tentang kecenderungan menghasut tersebut,” katanya.
Shamrahayu berkata beliau percaya sikap negatif itu berpunca dari perubahan sosial yang berlaku dalam masyarakat akibat pengaruh globalisasi dan keterujaan mereka terhadap nilai rasionalisme dari luar negara, hingga sanggup melemparkan kata hinaan terhadap institusi diraja.
Beliau berkata ini menyebabkan sesetengah masyarakat bersikap sinikal bukan sahaja terhadap pasukan keselamatan atau pun Parlimen misalnya, tetapi sikap sinikal itu kini telah berjangit kepada monarki itu sendiri.
“Kita tidaklah menyatakan bahawa institusi diraja itu suatu yang maksum atau tidak boleh ditegur tetapi janganlah teruja dengan konsep demokrasi liberal yang tidak bertauladan kepada institusi warisan dan mengetepikan perundangan sendiri.
“Sebagai rakyat yang mendukung Rukun Negara, yang menjunjung keluhuran Perlembagaan dan mengamalkan kedaulatan undang-undang, maka sekiranya sesuatu titah itu tidak menyalahi Perlembagaan dan tidak melanggari apa-apa undang-undang hatta dalam apa perkara sekalipun sama ada ia berkaitan dengan politik, maka kita perlulah mentaatinya,” katanya. – Bernama
No comments:
Post a Comment