Saturday, June 26, 2021

Singapura Haram Buku Kisah Al-Qassam

PUTRAJAYA: Kerajaan Singapura mengharamkan sebuah buku terbitan Hijjaz Records Publishing kerana didakwa menjadi punca ada rakyatnya yang menjadi pengganas radikal.

Menurut laporan media republik itu, buku Menyingkap Rahsia Tentera Elit Briged Izzuddin Al-Qassam: Generasi Muda Perindu Syahid dilarang di bawah Akta Penerbitan Tidak Diingini.

Menerusi kenyataan Kementerian Perhubungan dan Penerangan Singapura, larangan itu berkuat kuasa mulai esok dan sesiapa ada buku itu diminta menyerahkan kepada polis.

“Buku ini ditulis Abdul Aziz Abu Bakar dan Adnan M. El Halabi serta diterbitkan pada 2015 yang mempromosikan jihad bersenjata selain mengandungi pandangan pelampau,” katanya.

Pemerintah Singapura dilaporkan hanya menyedari mengenai pengaruh buku itu ketika sesi siasatan ke atas Amirull Ali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada Mac lalu.

Warga republik berusia 20 tahun itu mendakwa, naskhah tersebut dibeli di luar Singapura dan menjadi faktor penyumbang dirinya sebagai ekstremis setelah membaca buku berkenaan.

Pihak berkuasa Singapura menyifatkan bahan bacaan tersebut boleh mencetuskan kebencian dalam kalangan masyarakat majmuk dan menjejaskan keharmonian beragama di negara itu.

Dalam kenyataan berasingan, Majlis Ugama Islam Singapura turut menggesa umat Islam di republik itu agar berwaspada terhadap buku sedemikian yang boleh memesongkan pemikiran.

“Buku ini mengandungi idea bermasalah mendorong jihad bersenjata serta menggambarkan individu itu konon bakal meraih pahala yang berlipat kali ganda daripada Tuhan,” katanya. 

No comments:

Post a Comment