Friday, June 4, 2021

Membenci Tulisan Jawi....

Gelar Teo Nie Ching ‘ibu Jawi’, MCA kurang bijak
MCA telah bertindak kurang bijak dalam memenuhi hasrat politik mereka, kata Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadun Islam (ISTAC), UIAM itu membangkitkan perkara berkenaan apabila parti terbabit menggelar bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching sebagai ‘ibu Jawi’.

Ahmad Murad berkata, parti itu boleh berpolitik sesama sendiri tetapi jangan sesekali membabitkan budaya orang Melayu.

“Mereka tidak tahu bahawa Jawi itu bukan bahasa, sebaliknya ia adalah skrip dalam penulisan bahasa Melayu.

“Kedua, mereka telah bersikap ‘patronizing’ terhadap orang-orang Melayu. Ini juga satu paparan salah terhadap budaya Melayu.

“Jadi, bagaimana mereka dapat menghalusi budaya dan adat orang-orang Melayu?” soalnya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Murad berkata, parti politik dan kumpulan Melayu perlu memberi teguran lantang serta keras berhubung isu ini kepada MCA.

Malah, katanya, parti politik dan kumpulan Cina juga diingatkan supaya tidak menyentuh aspek bahasa, adat, budaya Melayu dan Islam ketika berpolitik.

Katanya, perkara itu penting bagi mengelakkan wujud sebarang masalah ejek-mengejek dan menghina elemen budaya orang Melayu.

“Jika tak faham elemen adat dan budaya Melayu jangan buat kenyataan mengenainya. Pokoknya jika daif mengenai budaya, bahasa dan agama peribumi, tutup mulut saja,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Biro Hal-Ehwal Kerajaan MCA Bukit Mertajam, Teoh Choon Ming membidas ahli veteran DAP Bukit Mertajam, Beh Siong Hee yang sengaja menyalahkan MCA, sedangkan seluruh masyarakat Cina tahu Nie Ching ialah ‘ibu Jawi’

“Pada bulan Julai 2019 ketika PH (Pakatan Harapan) memerintah, pihak media telah mendedahkan pembelajaran penulisan Jawi akan ditambah dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu SJKC (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina), menyebabkan kemarahan masyarakat Cina yang kemudiannya meminta KPM mendengar pendapat rakyat agar membatalkannya.”

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, Nie Ching bukan sahaja tidak memainkan peranannya dengan baik dengan tidak mengawal keadaan dengan penuh berhati-hati demi pendidikan Cina.

Bahkan, katanya, Nie Ching dengan tiada rasa malu mengekalkan sukatan pelajaran pengenalan Jawi, yang disifatkannya sebagai memalukan kepada masyarakat Cina.

“Sepanjang tempoh PH memerintah, KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) tidak mempedulikan suara rakyat yang mahu pembelajaran Jawi dibatalkan, tanpa rasa malu Teo Nie Ching bercakap besar mengatakan ia tidak akan diuji mahupun dimasukkan dalam peperiksaan, sebaliknya hanya akan dilaksanakan dengan persetujuan PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), ibu bapa dan pelajar.

“Tindakannya telah meminggir dan mendahului lembaga pengelola sekolah Cina serta mengeksplotasi kuasa lembaga pengelola sekolah Cina yang menyebabkan timbul lebih banyak masalah.

“Teo Nie Ching tidak mempedulikan suara masyarakat Cina yang tidak berpuas hati, walaupun dengan bantahan hebat dari SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil), beliau sewenang-wenangnya telah mewajibkan pembelajaran Jawi dalam buku teks mata pelajaran Bahasa Melayu, dan baru-baru ini Teo Nie Ching dilihat belum menyesali tindakannya sebelum ini dengan berkata tulisan Jawi bukan bukti DAP “menghakis kecinaan,” katanya. - ismaweb.net

No comments:

Post a Comment