Sebenarnya rakyat bukannya marah, tetapi lebih kepada kecewa dengan situasi total lockdown yang sudah hampir sebulan dilaksanakan tetapi seolah-olah tidak memberi kesan apa-apa kerana kes positif harian tetap tinggi. Sedangkan kehidupan harian mereka semakin terhimpit.
Mereka kecewa kerana ketika pergerakan rakyat disekat, kedai tidak boleh dibuka, pasar tani dan pasar malam tidak boleh beroperasi ada pula kilang-kilang yang bukan dalam kategori essential atau perlu dibenarkan beroperasi.
Contohnya kluster Besgrade di Pokok Sena, Kedah. Ia sebenarnya hanya membabitkan sebuah kilang plywood yang menyumbangkan kepada 27 kes positif harian. Adakah plywood juga dalam kategori perlu? Itu yang rakyat tidak faham dan kecewa. Kilang-kilang bukan dalam kategori perlu yang terus dibenarkan beroperasi menyumbang kepada kes positif harian yang tinggi. Kalau tengok kepada statistik, negeri-negeri yang ada kawasan perindustrian terus mencatatkan kes harian yang tinggi.
Sedangkan rakyat sudah banyak berkorban. Sudahlah Hari Raya Aidilfitri lalu tidak dapat diraikan, kini kemungkinan Hari Raya Aidiladha juga tidak dapat disambut. Ekonomi rakyat juga semakin meruncing. Kakitangan kerajaan mungkin selamat kerana pendapatan tidak terjejas. Tetapi bagi pekerja swasta dan yang bekerja sendiri mereka sudah habis berjimat. Malah ada yang berkata mereka sudah tidak ada apa lagi untuk dikais.
Di kampung-kampung para petani tidak dapat menjual hasil pertanian kerana tidak boleh rentas daerah. Pasar tani serta pasar malam yang menjadi tempat mereka menjual hasil tuaian kini tidak dibenarkan beroperasi. Penanam pisang terpaksa menjual hasil di bawah harga kos hingga terpaksa menanggung kerugian. Pekebun timun ada yang terpaksa membuang hasil tuaian ke dalam parit kerana peraih tidak boleh rentas daerah dan permintaan jatuh merudum.
Rakyat hairan ketika mereka berkorban dan menanggung apa juga kesan negatif daripada total lockdown, pandemik ini tetap tidak surut-surut. Malah ada hari ia meningkat. Kenapa selepas hampir sebulan total lockdown dilaksanakan kes-kes positif Covid-19 ini tetap tidak turun-turun? Di mana yang tidak kenanya? Adakah total lockdown ini benar-benar dilaksanakan atau hanya lockdown sekerat-kerat?
Kes-kes bunuh diri turut meningkat ekoran tekanan hidup disebabkan pandemik ini. Semua ini memberi kesan negatif kepada rakyat. Tentu ada yang akan berkata apa yang berlaku itu tidak memberi gambaran atau sikap keseluruhan rakyat terhadap kerajaan dan cara pendemik Covid-19 ditangani. Tetapi ia tidak boleh dikais ke bawah karpet begitu sahaja. Tindakan drastik dan menyeluruh perlu diambil bagi meredakan kebimbangan, keresahan dan ketakutan yang dialami rakyat kini.
Oleh: Aznan Bakar
Pengarang Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia
No comments:
Post a Comment