Wednesday, June 9, 2021

Sistem Pendidikan Negara Tidak Tepat?

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang diisytiharkan pada 1988 dan disemak semula pada 1996, antaranya berhasrat untuk melahirkan anak bangsa yang berkeupayaan memberi sumbangan kepada kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat dan negara. Sehubungan itu, ia melibatkan sistem pendidikan negara yang dilalui mereka dari peringkat tadika sehinggalah pendidikan tinggi. Dengan ini, ia bermaksud golongan muda kita harus dapat ikut membantu dalam mewujudkan keadaan aman damai dengan memberi kemakmuran sosial kepada masyarakat dan negara, iaitu bersatu padu antara mereka sama ada dari segi hubungan baik etnik mahupun identiti nasional kental.

Untuk itu, pertama-tamanya sistem pendidikan negara kita perlu mempunyai sifat tersebut, iaitu ciri dan kewajipan ke arah mencapai hasrat yang membolehkan anak bangsa kita turut menyumbang dalam menjadikan masyarakat bersatu padu dengan keadaan bahagia ekoran perpaduan erat lagi utuh dan rasa keterikatan kepada negara sebagai tanah air. Persoalannya di sini, adakah kemudahan ini tersedia dalam sistem pendidikan negara?

Sifat sebegini tidak ada walaupun secara tersirat. Sebaliknya, sistem pendidikan kita bukan sahaja menggalakkan, ia ikut membenarkan pengasingan etnik berlaku pada usia amat muda. Sehubungan itu, anak bangsa kita sudah mula dipisah-pisahkan sewaktu tadika lagi sebelum ke sekolah rendah pun. Ini kerana dua institusi ini menawarkan pembelajaran dalam pelbagai aliran bahasa.

Apabila berada di sekolah menengah, mereka didapati tidak mampu bergaul secara bebas. Ini kerana ramuan perpaduan yang tidak pernah disemaikan untuk bergaul dengan etnik di sekolah rendah yang tiada demografi kepelbagaian etnik telah bukan sahaja memulakan, tetapi melahirkan polarisasi kaum. Ia terus wujud di sekolah menengah dan berlanjutan sehingga ke institusi pendidikan tinggi dan akhirnya mapan di tempat kerja.

Sehubungan pengasingan etnik pada peringkat awal lagi yang sepatutnya dimanfaatkan sistem pendidikan negara bagi membina persahabatan antara kaum untuk anak bangsa kita memiliki minda terbuka tentang kepelbagaian, bukan sahaja ia kesilapan besar, ia juga kemudaratan. Ini dapat dilihat dengan jelas pada banyak hal selain polarisasi kaum.

PERJANJIAN ETNIK
Dengan tiadanya pergaulan bebas, ia pula mewujudkan keadaan tidak faham memahami cara hidup kaum lain yang kemudiannya membawa kepada suasana tidak percaya mempercayai sehinggalah masing-masing kaum saling mencurigai antara satu sama lain. Semua ini kerana sistem pendidikan kita tiada nilai penyatuan yang tinggi, malah ia tiada langsung nilai murni ini. Oleh itu, kita tidak boleh sesekali menyalahkan anak bangsa kita kerana gagal menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat dan negara, khususnya dari segi pemupukan perpaduan negara dan pendukungan identiti nasional.

Sebenarnya terdapat perbezaan pandangan tentang pendidikan pelbagai aliran yang wujud di peringkat sekolah rendah. Bagi yang menyokongnya, ia didakwa baik kerana murid dari usia tujuh sehingga 12 tahun sangat memerlukan pembinaan identiti etnik kukuh sebelum ke sekolah menengah yang hanya terdiri daripada satu aliran yang dihadiri pelbagai kaum. Mereka ini juga mempercayai identiti etnik kukuh itu akan melancarkan pergaulan antara kaum dan agama semasa di sekolah menengah. Ia dipercayai akan memupuk perpaduan negara yang sangat diperlukan itu.

Namun, ia meleset sama sekali seperti yang sangat tidak diyakini mereka yang menentang. Bagi mereka, mana mungkin ia boleh terjadi semudah itu apabila identiti etnik kukuh dipupuk dahulu sebelum disemai identiti nasional yang bersifat simbol dan proses sosiobudaya Melayu seperti yang dipersetuju bersama dalam Perjanjian Etnik menjelang kemerdekaan.

Sepatutnya sistem pendidikan negara menganjurkan jenis pendidikan yang merangkumkan anak bangsa belajar bersama-sama semenjak kecil lagi. Ini penting kerana anak yang sudah bersama-sama semasa kecil akan terus bersama-sama apabila dewasa nanti dan sehingga akhir hayat. Ini petua cukup mudah yang diangkat banyak sistem pendidikan di seluruh dunia, untuk melahirkan anak bangsa yang berkeupayaan menyumbang kepada kemakmuran sosial masyarakat dan negara.

Namun, petua semudah inipun tidak mampu kita fahami untuk dianjurkan sebagai unsur utama pada sistem pendidikan negara dalam konteks nilai penyatuan tinggi.

Dengan adanya pendidikan pelbagai aliran di peringkat sekolah rendah lagi, kita sebenarnya akan terus tidak berjaya melahirkan anak bangsa yang dapat menyumbang secara bermakna dalam bukan sahaja pemupukan, tetapi pelestarian perpaduan negara dan juga penjulangan identiti nasional.

Pendidikan di mana-mana jua tidak semata-mata menjurus kepada hasrat untuk memandaikan anak bangsa sahaja, ia juga bermatlamat untuk menyatukan anak bangsa walaupun dalam kalangan yang sama bangsa, apatah lagi yang tidak sebangsa seperti di negara ini. Oleh itu, untuk tujuan perpaduan negara erat lagi utuh, kita amat perlu meneliti semula sistem pendidikan negara yang langsung tidak mempunyai nilai penyatuan. Ini sama sekali tidak selari dengan FPK yang menjadi pegangan kita untuk memajukan bidang pendidikan di negara ini, lebih-lebih lagi dalam melahirkan anak bangsa yang berkemampuan menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran masyarakat dan negara. Untuk masa ini, ia tidak mampu sebab sistem pendidikan negara tidak tepat, lantas lemah dan tiada tanggungjawab ke arah itu.

Oleh: Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong

No comments:

Post a Comment