Menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi adalah antara tiga teras dalam Pelan Strategik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2021-2025 yang dibangunkan bagi mengindustri dan melestarikan bahasa dan persuratan Melayu.
Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata pelan itu juga bertujuan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa negara dan bahasa ilmu.
“DBP menggalas tanggungjawab besar untuk memartabatkan Bahasa Melayu selaras Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan atas kesedaran ini pelan strategik ini dibangunkan.
“Bagi menjayakan pelan ini, komitmen, kesungguhan, kesepaduan, ketekunan dan kerjasama semua pihak khususnya pengurusan tertinggi dan warga kerja DBP amat diperlukan bagi mencapai sasaran ditetapkan,” katanya pada majlis Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-65 dan perasmian Pelan Strategik DBP 2021-2025 menerusi Facebook rasmi DBP hari ini.
Tambahnya, DBP telah mempelbagaikan pendekatan bagi mempromosikan kandungan pustaka warisan seperti pantun, peribahasa dan simpulan bahasa termasuklah melalui penggunaan platform digital sesuai dengan perkembangan semasa.
“Dari segi penerbitan, sudah tentu ada pasang surut… saya yakin DBP di landasan yang betul bagi menghadapi cabaran dunia digital dalam menghasilkan penerbitan berkualiti,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah DBP Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran berkata pandemik COVID-19 ini telah membuka ruang baharu cara bekerja di DBP dengan mendigitalkan kebanyakan program dan dilaksanakan secara dalam talian.
“Ini merupakan naratif baharu yang dibawa DBP bagaimana untuk kita kembangkan dan membina Bahasa Melayu menggunakan kaedah baharu, naratif baharu secara pendigitalan ini melibatkan cara kerja dan usaha DBP tanpa lupa usaha penerbitan konvensional yang akan terus DBP laksanakan.
“Pendigitalan ini salah satu usaha untuk memantapkan sistem penyampaiaan pada masa akan datang… ia perlukan warga DBP bergerak pantas, berfikir secara kreatif serta memahirkan diri dengan teknologi baharu untuk pastikan media baharu yang kita gunakan akan digunakan secara berkesan dan optimum,” katanya.
Pada sambutan hari ulang tahun kali ini, DBP memilih tema Aksara Nan Hidup Sepanjang Zaman bagi mengajak masyarakat memahami asas penubuhan agensi berkenaan serta fungsinya dalam konteks pembinaan dan pengembangan bahasa dan sastera kebangsaan sejak tahun 1956 sehingga kini. – Bernama
No comments:
Post a Comment