nuffnang

Sunday, October 28, 2018

Kedaulatan....Tahniah Singapura

Suhakam kesal dengan Singapura
KUALA LUMPUR 26 Okt. - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) amat kesal dengan keputusan kerajaan Singapura menjalankan hukuman mati terhadap seorang rakyat Malaysia yang telah didapati bersalah mengedar dadah di republik itu.

Pengerusinya, Tan Sri Razali Ismail berkata, sedangkan Kovenan Antarabangsa Hak Sivil dan Politik (ICCPR) menekankan hukuman mati hanya boleh dilaksanakan untuk kes jenayah yang amat serius dan kesalahan dadah tidak termasuk dalam takrifan berkenaan.

Katanya, ini seperti yang berulang kali dinyatakan Jawatankuasa Hak Asasi Manusia yang bertanggungjawab menginterpretasi kovenan berkenaan.

“Suhakam menyeru kerajaan Singapura untuk terus maju ke arah kesedaran yang lebih menyeluruh dalam mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memansuhkan hukuman mati.

“Sebagai sebuah negara maju yang mengiktiraf pencapaian kemajuan teknologi di mana ia memberikan peningkatan taraf hidup kepada Singapura dan rakyatnya, Suhakam mengulangi kekesalan kerana Singapura masih melaksanakan amalan lapuk yang bertentangan dengan hak kepada kehidupan serta norma peradaban yang progresif,” katanya salam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pelaksanaan hukuman mati ke atas warga Malaysia berkenaan, P. Prabu dilakukan hari ini selepas didapati bersalah sebelum ini mengedar dadah di Singapura.– http://www.utusan.com 

Saturday, October 27, 2018

Pentingnya Akta Hasutan

Isu Akta Hasutan kembali hangat diperkatakan setelah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir memberi jaminan bahawa akta tersebut akan dimansuhkan. Tidak seperti pendahulu beliau.

Setelah kerajaan bertukar tangan, usaha menghapuskan Akta Hasutan kembali hidup.

Terdapat tiga sebab utama mengapa rakyat wajib bangkit menentang tindakan kerajaan itu yang merugikan negara dan rakyat jelata.

*** Akta Hasutan penting untuk melindungi kontrak sosial yang dipersetujui sejak merdeka lagi. Secara ringkasnya, isi kandungan kontrak sosial ialah orang Melayu menerima imigran Cina dan India sebagai warganegara.

Imigran Cina dan India mengiktiraf Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan. Imigran Cina dan India juga mengiktiraf agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Imigran Cina dan India mengiktiraf hak istimewa orang Melayu dan imigiran Cina dan India mengiktiraf kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Justeru itu, akta ini amat diperlukan untuk mengajar mereka yang tiada sensitiviti terhadap isi kandungan kontrak sosial.

*** Akta Hasutan juga berfungsi untuk menangkis ancaman yang mungkin berlaku.

Tiada siapa boleh nafikan keganasan terancang boleh berlaku jika Akta Hasutan dimansuhkan. Akta ini juga berfungsi untuk mengekang ancaman yang boleh menjejaskan sosiopolitik di negara ini.

“Akta Hasutan adalah khusus untuk mengekang terjadinya sesuatu perkara yang dibimbangi mengganggu-gugat keharmonian dan kestabilan dalam masyarakat berbilang kaum, kedudukan Sultan, agama, dan sebagainya,” jelas bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam satu kenyataan.

Jelaslah bahawa Akta Hasutan amat penting sekali untuk mengekang sebarang ancaman yang membahayakan nyawa rakyat negara ini tanpa mengira agama atau pun bangsa.

*** Akta Hasutan sangat diperlukan untuk menjamin kestabilan, keamanan, dan keharmonian rakyat di negara ini.

Kita tidak boleh lari daripada hakikat bahawa Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang mempunyai perbezaan budaya dan agama.

Sesungguhnya akta ini amat diperlukan untuk menjamin kestabilan, keamanan, dan keharmonian yang kita rasai selama ini.

Intisarinya, Akta Hasutan 1948 perlu dipertahankan dengan apa cara sekali pun kerana akta ini secara khusus dapat melindungi kontrak sosial, mengekang ancaman, dan menjamin keamanan.

Oleh : Ikram Yusof

Wednesday, October 24, 2018

Rakyat Mencari Damai Di Hati

DAMAI semakin terbatas, harmoni semakin menipis, sementara keyakinan semakin terganggu. Sepotong kenyataan ringkas ini dirumus hasil dari tinjauan dan cakap-cakap umum yang kedengaran di sana sini sejak kebelakangan ini. Rata-rata rakyat Malaysia dikatakan sedang berada dalam suasana tercari-cari landasan kukuh bagi menyandarkan keyakinan bahawa usaha mensejahterakan penghidupan mereka giat tersusun, dan masa depan negara terus terjamin.

Menjadi cabaran dalam kalangan mereka yang kurang bersetuju dengan sepotong kenyataan di atas untuk membuktikan apa yang tercatat itu adalah salah atau tidak tepat. Selebihnya pula terpulang pada jawapan atau penilaian jujur oleh setiap warga di negara ini.

Semuanya diasaskan pada suasana politik semasa. Bermula dari sini, dikaitkan pula dengan kuasa pemerintahan negara, lantaran politik itu adalah penentuan kuasa. Dengan mandat dan kuasa yang diberikan rakyat, pemerintah yang ada diharap dapat menggarap perancangan rapi bagi meringankan beban hidup rakyat, menentukan kelangsungan penyediaan kemudahan dan bantuan sewajarnya, menyegarkan aktiviti ekonomi dan perniagaan serta menentukan kuasa beli lebih berkuasa.

Ada pemerhati meramalkan, kuasa beli rakyat umum akan terus menyusut dan akan berada pada keadaan yang lebih cemas selewat-lewatnya menjelang Mac tahun depan.

Kata mereka, ekoran aktiviti ekonomi tidak berkembang, ramai yang hanya berbelanja dengan wang simpanan yang ada, tanpa banyak memperoleh pendapatan baharu. Kesan yang paling ketara dirasai adalah dalam kalangan mereka yang ditamatkan perkhidmatan di beberapa agensi kerajaan sebelum ini.

Sektor perniagaan yang kalau pun kelihatan sedikit rancak masa kini ialah kedai makan. Gaya perbelanjaan harian rakyat ternyata amat berhati-hati dan terlalu mengutamakan keperluan.

Di Kota Bharu misalnya, ada peniaga-peniaga di gedung-gedung utama memberitahu, perniagaan mereka merosot kira-kira 60 peratus sejak beberapa bulan lalu. Sementara di sana sini tergantung pula notis kedai-kedai ‘untuk disewa’ dan ‘untuk dijual’.

Barangkali ada asas-asas logik dalam kalangan yang meramalkan suasana politik negara akan ada sedikit perubahan menjelang penghujung tahun ini. Ada yang meletakkan andaian ini pada keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson serta pemilihan barisan kepemimpinan baharu dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR). Tunggu sajalah!

Secara tegasnya, rakyat umum, khususnya orang Melayu dan umat Islam mahukan suasana politik yang benar-benar dapat meredakan kebimbangan, ragu, sangsi dan keresahan agar hak-hak mereka tidak diganggu, dipersenda dan diprovokasikan. Demikian juga dengan Islam, mereka mahu agama suci itu terus terpelihara sebagaimana sepatutnya.

Umat Islam tidak berasa damai jika aktiviti-aktiviti yang ternyata bercanggah dengan ajaran Islam dibenar dan dihebohkan secara terbuka. Mereka senada dengan pandangan tokoh-tokoh Islam yang meminta pihak-pihak tertentu menghormati struktur asas negara yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Malaysia.

Tidak banyak pihak atau parti politik yang sebenarnya mampu tampil melegakan permintaan rakyat secara umum ini. Ada parti yang masih ‘demam’, ada parti ‘bernafas pendek’ lantaran bilangan kerusi Parlimen yang dimenangi tidak seberapa. Ada pula parti sekadar memenuhi saf tetapi kurang memberi impak apa-apa. Dan ada parti yang sukar menyembunyikan agenda yang kehadirannya hanya untuk memperjuangkan kepentingan kaum-kaum tertentu sahaja.

Apa yang penting ketika ini bukan nama atau lambang parti, tetapi lebih kepada suatu wadah untuk menghimpunkan ummah secara bersepadu dan bercagarkan ketulusan sebenar, sesuai dengan tuntutan agama. Perlu dianggap bahawa langkah ke arah ini bagaikan suatu jihad demi mengembalikan dan menegakkan maruah serta kedaulatan agama dan bangsa di bumi sendiri.

Rakyat mencari damai di hati. Mereka lebih mengharapkan ada berita-berita kejayaan misalnya tentang pelaksanaan projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11). Mereka mahu melihat prospek kemajuan ekonomi negara berkembang. Kadar pelaburan luar meningkat, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan baharu.

Hal-hal berkaitan memajukan taraf sosial dan ekonomi Melayu dan bumiputera perlu diteruskan, tanpa banyak alasan dan muslihat. Cerita-cerita mengenai pengurangan peruntukan untuk agensi-agensi seperti Mara atau badan berkanun kerajaan lain yang ‘sejiwa’ dengannya, diharap dapat dinafikan. Rakyat tidak mahu Malaysia senasib dengan beberapa negara tertentu di dunia yang mana terpaksa menghadapi kesukaran untuk memulih kembali suasana politik setelah dilanda perubahan.

Ada negara yang memakan masa sehingga berpuluh-puluh tahun untuk pulih manakala ada negara langsung tidak menemukan jalan keluar. Bagi sebuah perjuangan - jangan berhenti kerana penat, tetapi berhentilah setelah selesai!

Oleh: Datuk Sayuti Mukhtar

Tuesday, October 23, 2018

Mengutamakan Keselamatan Ekonomi Bumiputera

BUMIPUTERA yang telah menyaksikan keruntuhan Barisan Nasional (BN) dan kebangkitan kuasa Pakatan Harapan (PH) sebagai parti pemerintah menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kini berhadapan dilema sosioekonomi yang genting. Kegentingan ini dilatarbelakangkan oleh beberapa pendapat bahawa dasar sosioekonomi berasaskan kaum wajar dihapuskan kerana kononnya menghakis keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia.

Dilema ini juga digerhanai oleh semaraknya hedonisme dalam kalangan anak muda bumiputera, kemewahan warga korporatnya serta kisah rasuah dan penyalahgunaan kuasa bumiputera.

Kenapa jadi begini? Siapa perlu dipersalahkan? Bagaimana ia harus ditangani dan bilakah bumiputera dari semua parti politik boleh bergabung kekuatan untuk menghapuskan dilema ini?

Di manakah suara pendekar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam hal ini? Bagaimanakah intelektual bumiputera akan bertindak mengenainya? Apakah peranan sarjana bumiputera dari seluruh universiti awam dalam menanganinya? Dan apa peranan media perdana untuk menggerakkan agenda ke arah misi perjuangan ini?

Pokoknya, dasar affirmatif sosioekonomi bumiputera yang berpaksikan Dasar Ekonomi Baharu (DEB) mesti diberikan naratif baharu, perspektif baharu dan strategi baharu yang semuanya berpaksikan keselamatan ekonomi dan keselamatan nasional.

Dr. Rais Saniman, antara arkitek DEB yang masih bersama kita ketika menyampaikan intipati kajiannya pada 20 Ogos 2013, menegaskan keselamatan ekonomi bumiputera bergantung kepada kegagahan kuasa politik bumiputera.

Kajian ini juga mendapati, bukan bumiputera sentiasa bersatu untuk menggunakan kekuatan ekonominya bagi memperoleh dan mengukuhkan kuasa politiknya di Malaysia.

Beliau merumuskan, jika bumiputera gagal menyatukan tenaga, minda dan kekuatan politiknya untuk mempertahankan hak ekonominya menerusi fakta, data, perangkaan dan perundangan; sosioekonomi mereka mungkin dilanda penjajahan dalaman.

Jika begitu, kenapa kita membisu bila segelintir bukan bumiputera yang mendakwa sebagai pakar ekonomi, mengatakan dasar affirmatif bumiputera perlu dihapuskan?

Golongan ini perlu dibuka mindanya dan diberitahu majoriti bumiputera lebih daif daripada keturunan Cina dan India di Malaysia. Jabatan Perangkaan Kuala Lumpur (1958-1960) mencatatkan fakta pada 1957, keturunan Cina sudah menguasai ekonomi negara ini secara kukuh; sedangkan Melayu masih lemas dalam kancah kemiskinan.

Hwok-Aun Lee, dari Institute for Southeast Asian Studies di Singapura, menyatakan dalam analisisnya pada Mac 2017 bahawa pada 1957, kadar kemiskinan di negara ini ­melibatkan 70.5 peratus Melayu, 35.7 peratus India, dan 27.4 peratus Cina.

Kajian Dr. Yusof Saari daripada Universiti Putra Malaysia pada 2015 pula mencatatkan pada 1970, 66 peratus bumiputera masih miskin, berbanding 40 peratus India dan 28 peratus Cina.

Fakta ini menunjukkan bumiputera adalah warganegara kelas tiga. Hakikat ini harus membimbangkan semua pihak, termasuk keturunan Cina dan India.

Muthiah Alagappa, sarjana keselamatan Malaysia yang menempa nama di persada antarabangsa menulis dalam bukunya (1987) bahawa kesejahteraan ekonomi adalah antara faktor penentu yang penting kepada keselamatan nasional di negara membangun seperti Malaysia.

Dr. Mohammed Abdul Khalid, penasihat ekonomi Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan dalam bukunya (2014), ketidakseimbangan ekonomi adalah isu penting yang perlu diatasi kerana pelebaran jurangnya boleh mencetuskan huru-hara politik, ekonomi dan sosial.

Lantas, desaklah pakar ekonomi yang menyatakan dasar affirmatif bumiputera perlu dimansuhkan untuk menafikan hakikat ini.

Kalau perlu, pendekar NGO bumiputera buatlah laporan polis kerana kenyataan sepertinya mengancam perpaduan nasional.

Golongan di atas perlu diberikan pencerahan, kemajmukan di Malaysia adalah berteraskan bumiputera, rakyat majoriti yang tertindas sejak zaman penjajah British dan terus daif walaupun penjajah sudah bungkus tikar pada 1957.

Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri yang sentiasa berazam membela bumiputera jangan kita biarkan keseorangan kerana beliau sedang dikelilingi segolongan individu yang dalam kalbu­nya memusuhi dasar affirmatif bumiputera.

Generasi muda bumiputera juga mesti dilibatkan dalam misi ini kerana nasionalisme bumiputera sekarang adalah untuk menjamin keselamatan ekonomi dan keselamatan nasional, sedangkan misi pejuang terdahulu adalah untuk mencapai kemerdekaan.

Golongan bukan bumiputera pula mesti insaf, jangan selalu keluarkan provokasi dan usah gunakan kuasa politik mereka untuk menghakis apa jua dasar affirmatif bumiputera.

Oleh: Datuk Ruhanie Ahmad

Monday, October 22, 2018

Jambatan Bengkok Dan Segenting Kra

JIKA British membuat Jambatan Johor dan bukan Tambak Johor pada tahun 1923, tentunya Perdana Menteri dan mantan Perdana Menteri Malaysia tidak berada dalam keadaan yang serba salah.

Tun Dr Mahathir ketika menjadi PM telah memulakan asas pembinaan ‘jambatan bengkok’ (crooked bridge) tetapi asas itu tidak diteruskan oleh penggantinya, Datuk Seri Abdullah Badawi dan Datuk Sri Najib Tun Razak.

Seratus tahun dulu soal alam sekitar bukan suatu perkara yang diberikan perhatian seperti sekarang ini. Kenapa Tambak Johor dan bukan Jambatan Johor adalah berkisar di sekitar kos. Kerajaan British tidak mahu menanggung kos membuat jambatan kerana ia lebih mahal daripada membuat tambak.

Kalau jambatan, besi dan logam-logam lain dikatakan mahal harganya, sedangkan batu yang boleh dikeruk dari sebuah bukit di Johor Bahru dan Bukit Timah di Singapura untuk menambak Selat Tebrau adalah jauh lebih murah.

Kini, kita boleh menganggarkan begitu banyak sampah-sarap yang termendap sepanjang tambak itu, di kedua belah. Air dari Selat Melaka dan Laut China Selatan tersekat di situ. Tidak payah disebutkan betapa buruk pencemaran berlaku di situ begitu lama.

Salah satu badan perundangan terbaru ialah di EU atau Kesatuan Eropah yang mengandungi 28 buah negara. Menurut prinsip umum undang-undangnya, sebarang tindakan dalam sebarang bentuk yang mencemarkan udara dan air adalah ditegah.

Bila tegahan ini tidak dipedulikan, ia bertukar menjadi kesalahan jenayah. Justeru hukuman yang setimpal dalam kanun jenayah yang relevan akan dikuatkuasakan, tanpa mengira pihak yang didapati bersalah itu sebuah negara, firma, badan-badan tertentu atau individu.

Negara-negara di sebelah sini dunia mungkin boleh memperlekeh saja undang-undang begitu, tetapi sejarah dunia telah menunjukkan bahawa apa yang berlaku di Barat lambat laun akan sampai ke sini.

Akhir-akhir ini presiden dan perdana menteri beberapa buah negara di Afrika dan Eropah Timur dibawa ke pengadilan di Barat meskipun kesilapan mereka berlaku dalam sempadan negara masing-masing.

Negara-negara juga, terutama yang membangun, yang menutup mata dan telinga kepada realiti akan dikenakan hukuman diboikot atau ditahan daripada mendapat kemudahan perbankan dan ekonomi serta aliran kewangan. Seperti di Syria, Cuba, Yaman, Liberia dan Sudan, kehidupan rakyat akan terjejas.

Mungkin alasan bahawa Jambatan Bengkok itu dibuat dalam sempadan negara kita boleh diperkuatkan dengan alasan alam sekitar menurut undang-undang EU. Jika EU sudah merapikan ‘rumah’ sendiri, dan AS pula bersefahaman dengannya seperti yang boleh dijangkakan, maka soal pencemaran air dan udara akan menjadi sesuatu yang mudah ditangani. Senjata mencekik perdagangan dan ekonomi umumnya akan digunakan.

Suatu ketika dulu telah timbul ura-ura hendak mengorek sebuah terusan di Segenting Kra di Thailand. Takat yang paling tirus di situ ialah lebih kurang 30 kilometer dari tebing ke tebing antara Lautan Hindi dengan Laut China Selatan, jaraknya kira-kira 500 kilometer dari Alor Setar.

Kalau ia menjadi kenyataan, nescaya ia boleh menjejaskan Singapura sebagai sebuah pelaburan terbesar di Asia Tenggara. Sebuah terusan yang luasnya satu kilometer akan menampung dua buah kota di kedua belah tebing dengan segala kemudahan sebuah pelabuhan. Namun segalanya itu hanya tinggal andaian saja.

Kenapa ia pupus begitu saja adalah sesuatu yang meninggalkan tanda tanya besar hingga sekarang. Adakah ia atas nasihat dua kuasa besar dunia, AS dan Britain? Hakikatnya, Thailand bersahabat baik dengan AS dan ‘sepupunya’, Britain – yang menjadi pemerintah kolonial Singapura waktu itu.

Dengan mengambil kira faktor-faktor yang disebutkan di atas, pembikinan sebuah jambatan yang didukung bersama oleh Malaysia dan Singapura boleh membebaskan air mengalir di Selat Tebrau. Ia adalah satu langkah maju yang memandang ke hadapan dan bukan ke belakang. Dengan sendirinya soal kebersihan alam sekitar terselesai. Keraguan hidup berjiran menjadi kendur di sisi rakyat. Limpahannya akan meninggalkan kesan positif dalam aspek-aspek lain.

Oleh : Adam A Kadir

Sunday, October 21, 2018

Hapus Akta Hasutan 1948

Perlu Dapat Majlis Raja-Raja
KUALAU LMPUR 20 Okt. – Sebarang keputusan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 perlu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.

Akta itu yang dirangka bertujuan mengelak berlakunya pertelingkahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum khususnya melibatkan isu-isu sensitif malah tidak boleh dimansuhkan dengan hanya membawa dan membahaskannya di Parlimen.

Hal ini kerana berdasarkan Perkara 10 (4) dan Perkara 159 (5) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen tidak boleh meminda Akta Hasutan.ABDUL AZIZ

Perkara itu dijelaskan oleh Pengamal Undang-undang, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman ketika menyampaikan ucapan dalam forum tergempar kekalkan Akta Hasutan anjuran Biro Undang-undang dan Perlembagaan Negara Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan rasa terkejut apabila wujud gerakan mahu memansuhkan akta itu.

“Sebelum ma­suk Par­limen juga perlu ada persetujuan Majlis Raja-Raja,” kata beliau.

Yang turut hadir bekas Timbalan Menteri Penerangan, Tan Sri Mohd. Khalid Yunus; Presi­den Perkasa, Datuk Ibrahim Ali serta dua pengamal undang-undang, Adnan Seman dan Khairul Azam Abd. Aziz.

Abdul Aziz memberitahu, cadangan terbaharu itu bukan kali pertama akta tersebut mahu dimansuhkan dengan kerajaan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak juga pernah menyuarakannya.

“Tun Hanif (Omar) dan saya menghadap Majlis Raja-Raja Melayu dan memberi penjelasan, waktu itu Najib ada, Tan Sri Abdul Ghani Patail (bekas Peguam Negar) juga ada. Majlis Raja-Raja telah membuat keputusan supaya jangan dibatalkan Akta Hasutan,” jelas beliau.


Apa Takut Sangat Dengan Akta Hasutan?
KUALAU LMPUR 20 Okt. – Dua peguam mempersoalkan apa yang ditakutkan sangat kerajaan sehingga bercadang mahu memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Khairul Azam Abd. Aziz sehingga hari ini bingung me­ngapa wujud pihak tertentu yang mahukan akta yang bertujuan mencegah konflik antara pelbagai kaum di negara ini mahu dimansuhkan.

Katanya, kalau dilihat dari aspek hukuman, akta tersebut tidaklah begitu berat.

“Kesalahan pertama denda RM5,000, tetapi mengikut sejarah, yang paling tinggi pun dikenakan ialah RM2,000. Lepas itu baru hukuman penjara.

“Tidak berat sangat, jadi mengapa kacau? Hasutan sangat berbahaya lebih-lebih lagi apabila melibatkan isu sensitif berkaitan kaum, agama dan raja-raja Melayu. Kerana mulut boleh sebabkan negara kacau-bilau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Tergempar kekalkan Akta Hasutan anjuran Biro Undang-undang dan Perlembagaan Negara Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di sini, hari ini.

Seorang lagi peguam, Adnan Seman ragu-ragu dengan dakwaan kononnya Akta Hasutan menjadi batu penghalang kepada perpaduan di negara ini.

Sedangkan, kata beliau, akta tersebut yang sebenarnya ‘menjaga’ perpaduan.

“Perlu ada akta untuk me­ngawal selia keharmonian bagi memastikan keamanan negara terjamin,” jelas beliau.

Sumber : utusan malaysia

Saturday, October 20, 2018

'Mimpi Sudah Terhenti'

KETIKA kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) rakyat dihidangkan dengan janji-janji manifesto Pakatan Harapan yang cukup mengasyikkan. Ia termasuklah pelaksanaan tol
percuma di semua lebuh raya.

Tetapi kelmarin seorang menteri sudah menyatakan terpulang kepada rakyat sama ada mahu berhenti bermimpi atau tidak bagi menikmati perkara tersebut, apa yang pasti kerajaan sudah membuat keputusan tidak akan melaksanakan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol sehingga kewangan negara stabil dan dipulihkan sampai satu tahap yang sihat.

Sudah pasti rakyat tidak ada lagi pilihan, mahu tidak mahu, mereka terpaksa akur dengan keputusan kerajaan itu, tetapi hakikatnya sejak Pakatan Harapan memerintah negara selepas menumbangkan Barisan Nasional (BN), rakyat sudah lama berhenti bermimpi. Apabila satu demi satu yang tertera dalam manifesto pakatan tersebut tidak ditunaikan atas pelbagai alasan, maka fahamlah rakyat rupa-rupanya apa yang diharapkan benar-benar sekadar satu mimpi.

Justeru tidak perlu kita berkata, terpulang kepada rakyat mahu berhenti bermimpi atau tidak kerana mereka sebenarnya sudah lama berada di alam nyata sejak lima bulan lalu.

Barulah mereka sedar rupa-rupanya mereka bermimpi apabila mahu kerajaan yang baharu mempunyai barisan Kabinet berwibawa selepas melihat telatah menteri-menteri yang ada antaranya masih berperangai seperti kebudak-budakan serta teraba-raba bagaimana mahu menyesuaikan kedudukan sebagai menteri.

Lanjutan daripada sikap menteri itu, barulah rakyat memahami mereka bermimpi apabila mengharapkan media tidak akan disalahkan apabila menteri tersalah cakap atau terlepas cakap.

Mimpi paling ngeri ialah dalam kalangan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang sebahagian besar anak muda apabila hutang-hutang dengan perbadanan itu tidak dihapuskan. Sedangkan sebahagian besar mereka ketika PRU-14 lalu berbondong-bondong pulang ke kampung masing-masing bagi memenuhi impian menjatuhkan kerajaan sedia ada tanpa mengetahui sebenarnya mereka sedang dihidangkan dengan mimpi-mimpi indah.

Bagi golongan berpendapatan rendah, tiada lagi bantuan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka apabila ia tidak lagi dilaksanakan dan kini mereka hanya bermimpi untuk mendapat bantuan seumpama itu. Justeru berhentilah mereka daripada bermimpi perkara tersebut.

Selain itu mimpi yang turut terhenti dan terkubur ialah untuk melihat kerajaan baharu menumpukan perhatian kepada masalah rakyat khususnya mengurangkan kos sara hidup, maklumlah berdegar-degar sebelum pilihan raya, pemimpin-pemimpin pakatan mencanangkan harga akan turut jika SST dilaksanakan semula bagi menggantikan GST.

Tetapi realitinya, tumpuan pemerintah baharu lebih kepada menyalah dan mendedahkan keburukan kerajaan terdahulu, seolah-olah tidak ada secebis pun kebaikan dilakukan kerajaan BN kepada rakyat.

Begitu juga dalam soal mengurangkan pengangguran, setakat ini mimpi sahajalah untuk melihat lebih banyak peluang pekerjaan diterokai sebaliknya yang sering kita baca ialah ribuan orang kehilangan pekerjaan termasuklah dalam kalangan kakitangan agensi kerajaan yang diisytiharkan tidak relevan dan ditubuhkan atas dasar politik.

Turut menjadi perhatian bagaimana satu ketika dahulu UMNO dikecam habis-habisan kerana amalan politik wang, sehubungan itu rakyat berharap (bermimpi) untuk melihat komponen dalam Pakatan Harapan yang digambarkan berintegriti tinggi dan amat membenci rasuah tidak melakukan kesilapan tersebut.

Namun selagi lagi ia sekadar mimpi yang terhenti apabila dalam pemimpin kanan PKR sendiri mendedahkan berlakunya politik wang dalam pemilihan parti itu yang sedang berlangsung.

Membaca komen-komen dalam laman sosial ternyata perasaan kecewa rakyat kepada kerajaan semakin meningkat terutamanya kelompok yang mengundi Pakatan Harapan dalam PRU-14 lalu, namun buat masa ini mereka hanya boleh bermimpi untuk mengubah kerajaan sekali lagi kerana pilihan raya diadakan lima tahun sekali.

Bagaimanapun rakyat boleh membina impian baharu apabila kerajaan berjanji untuk mengembalikan maruah Malaysia yang dikatakan dirosakkan kerajaan terdahulu melalui pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Dewan Rakyat, kelmarin.

Laporan kajian itu merangkumi 6 tonggak utama - mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam, memperkukuh pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat, menuju ke arah pembangunan wilayah seimbang, memperkasa modal insan, mempertingkat kemampanan alam sekitar melalui pertumbuhan hijau dan memperkukuh pertumbuhan ekonomi.

Sebenarnya kita percaya ia boleh dicapai dengan sokongan rakyat dan pada pendapat penulis, rakyat pun tidak akan keberatan bersatu menjayakannya demi kesejahteraan mereka, tetapi apa yang diharapkan semua kepemimpinan kerajaan khususnya anggota Kabinet memberi tumpuan kepada usaha melaksanakan enam tonggak tersebut, bukan terus membuang masa dengan politik balas dendam dan tuding jari bagi menutup kelemahan atau kegagalan sendiri.Cukuplah lima bulan pendekatan seumpama itu dilakukan, kini masa untuk bekerja membangunkan negara kerana bukankah kita mahu menjadi harimau yang kembali mengaum? Oleh itu jangan biarkan ia menjadi satu lagi mimpi kepada rakyat.

Monday, October 15, 2018

Banyak Isu Tidak Berjawab

DR. Mujahid Yusof buat hal lagi. Satu lagi isu meletup! Rakyat mengeluarkan pelbagai pendapat. Ada yang menyokong dan ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan.

Walaupun beliau telah menerangkan bahawa kenyataan yang dikeluarkan telah disalahertikan. Pada pandangan rakyat bahawa walau apa pun alasan diberikan Mujahid, ramai tetap bertanggapan itulah niat sebenar beliau.

Rata-rata ulama dan rakyat mengecam pandangan yang tersirat walaupun tidak diterangkan dengan jelas. Mufti Pahang menegaskan bahawa Mujahid tiada hak menyentuh hal ehwal penguatkuasaan agama yang terletak di bawah kuasa sultan dan begitu juga hal-hal bersangkutan dengan Melayu.

Namun begitu Mujahid masih tidak memahaminya atau pun sudah ikut telunjuk pihak tertentu? Walaupun Mujahid menafikan dan menjelaskan bahawa kenyataannya telah diputarbelitkan pihak media tetapi Perdana Menteri faham dan menyokong kenyataan beliau. Perdana Menteri telah memberi pendapat yang selari dengan Mujahid.

Apa lagi alasan yang mahu diberikan oleh menteri berkenaan. Perkara ini menjadi panas setelah banyak media menterjemahan secara jelas apa yang diperkatakan. Kalau tidak silap kenapa semua media melaporkan perkara yang sama?

Untuk renungan menteri berkenaan walaupun kita mempunyai pelajaran yang tinggi dan mungkin orang lain sukar mencapainya, tidak bermakna semua pendapat kita boleh diterima pakai.

Satu kesilapan yang menteri berkenaan tidak nampak ketika beliau menjadi pembangkang dahulu setiap pendapat atau laporan yang dikeluarkan walaupun fakta benar dan diberi penjelasan, namun pembangkang ketika itu terus memberi andaian, pandangan dan mengambarkan bahawa semua yang dibuat oleh kerajaan ketika itu tidak betul, rasuah dan pelbagai fitnah dikeluarkan.

Malah dijadikan mainan dan ejekan penyokong tegar dan atas pagar. Dalam media sosial menjadi sarang ejekan dan hinaan. Adakah beliau masih ingat?

Maka setelah menjadi kerajaan kini giliran penyokong terdahulu menyerang pula.

Ini kerana banyak janji tidak ditunaikan. Hendak hapus tol tidak boleh tetapi cuba beri potongan. Begitu juga PTPTN.

Nilai ringgit telah merudum. Harga barang tidak turun, malah bertambah mahal.

Menteri Kewangan ketika ini mungkin sedang berehat sebentar dan terlalu sibuk. Begitu juga menteri-menteri lain.

Masalah rakyat tidak diberi keutamaan. Adakah perkara begini akan berterusan tanpa penyelesaian? Ini belum Bajet 2019 dibentangkan lagi.

Menteri Kewangan sudah beritahu tiada gula-gula untuk rakyat. Begitu juga kes pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih jadi tanda tanya? Kerajaan tidak menjelaskan permasalahan undang-undang yang masih menjadi persoalan pembebasan Anwar.

Mahkamah perlu membuat keputusan dalam perkara ini.

Maka banyaklah perkara menjadi persoalan dalam kalangan rakyat dan akan berlarutan pada hari-hari yang mendatang dan tiada penyelesaian.

Rakyat harus bersuara dan menentang perkara-pekara yang menyentuh agama Islam dan kepentingan Melayu.

Jangan biarkan tangan gaib memperkudakan pihak ini. Bangkitlah.

Oleh : Zulkas

Wednesday, October 3, 2018

‘Lupa’ Bahasa Melayu Selepas PRU?

SEGALA urusan rasmi kerajaan bermula dari pihak berkuasa tempatan (PBT) mesti dalam bahasa kebangsaan. Adakah munasabah di Amerika Syarikat (AS) misalnya mengeluarkan notis rasmi lengkap kepala surat dalam bahasa Mandarin?

Timbul persoalan, adakah selepas 9 Mei lalu, tiba-tiba masyarakat Cina hilang ingatan sehingga tidak fasih bahasa kebangsaan? Bagaimana selepas 61 tahun diberi taraf kewarganegaraan, masih tidak fasih bahasa Melayu? Bagaimana selepas 200 tahun nenek-moyang mereka berhijrah ke Tanah Melayu masih tidak boleh menguasai bahasa Melayu?

Lahir di Malaysia, adakah tidak bergaul dengan bangsa lain? Atau sekolah vernakular punca masalah? Sekadar tidak fasih atau memang benci penggunaan bahasa kebangsaan?

Mengapa seorang ahli majlis PBT, seorang Exco negeri dan seorang lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) cuba mewajarkan versi notis rasmi ‘bahasa China’, ‘bahasa Hong Kong’, ‘bahasa Taiwan’, ‘bahasa Singapura’ atau ‘bahasa Amerika’ lengkap dengan kepala surat itu? Sejak bila lampiran surat rasmi kerajaan tempatan perlu disertakan terjemahan bahasa Cina dan bahasa Inggeris? Mengapa tidak disertakan bahasa Tamil atau Jawa dan Bugis yang komposisi besar di Johor? Sama sahaja seperti apa dilakukan dan alasan diberi Menteri Kewangan dahulu.

Tidak perlu membela tindakan cauvinis dan rasis membelakangi semangat Perkara 152 Perlembagaan Negara. Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini memegang semangat ‘Sayangi Malaysiaku’, bukan ‘Sayangi Chinaku’, ‘Sayangi Hong Kongku’, ‘Sayangi Taiwanku’ atau ‘Sayangi Singapuraku’. Maka, saya kemukakan cadangan berikut:

1. Lucutkan jawatan Ahli Majlis terbabit. Gantikan dengan wakil orang Cina yang lebih tinggi mutu penguasaan bahasa kebangsaannya.

2. Lucutkan jawatan Exco dan ADUN terlibat yang terang lagi bersuluh cuba menegakkan benang basah.

3. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mesti berbuat sesuatu. Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam syarahan di DBP pun mengesyorkan kelas bahasa Melayu untuk ahli Parlimen. Kita tidak mahu dengar perbahasan bahasa ‘apek’ Pasar Pudu, kita juga mahu ahli Parlimen guna bahasa kebangsaan tinggi, bukan taraf maki-hamun.

DBP dengan kerjasama ahli akademik dan persatuan penulis perlu mengemukakan pelan kursus pengajaran dan penilaian bahasa Melayu untuk setiap warganegara.

Tidak lulus tahap minimum disusuli ‘pelan pemulihan’. Jika teruk tahap bahasa kebangsaan, dilarang menjadi ahli majlis mahupun bertanding dalam pilihan raya.

Jika tahap minimum pun tidak lulus, kerajaan baharu PH perlu guna mekanisme perundangan melucutkan taraf kewarganegaraan kerana ini bukti kelompok itu tidak setia kepada tanah air kita.

Biar semua anak Malaysia dididik di bawah satu bumbung dan galakkan mereka bergaul menggunakan bahasa kebangsaan. Terbukti sekolah vernakular gagal lahirkan anak muda yang fasih bahasa kebangsaan sendiri.

Oleh : Arif Atan