Wednesday, June 2, 2021

Berenang Bengan 'Buaya' - Atlet Imbau Gangguan Seksual Jurulatih

Atlet renang dan ibu kepada tiga orang anak, Cindy Ong sebelum ini pernah tampil dalam laporan Harian Metro dengan bergambar bersama pingat-pingat yang dimenanginya.

Namun komen-komen berunsur lucah daripada pembaca yang memfokuskan kepada bentuk tubuh badan dan bukan kepada pencapaiannya, menyebabkan semangat atlet berusia 37 tahun itu luntur.

"Mereka tidak melihat kepada usaha, mereka tak lihat pencapaian. Ini sangat menyedihkan," katanya.

Bercakap kepada Malaysiakini, Ong menceritakan bagaimana dia menghadapi gangguan dan serangan seksual bertahun-tahun, termasuk daripada jurulatih kebangsaan ketika dia masih remaja.

Berasal dari Ipoh, Perak, bekas pemenang pingat emas pada tujuh temasya di Malaysia itu memulakan latihan ketika di sekolah menengah.

Apabila menyertai pertandingan di luar negara, Ong berkata dia ditemani beberapa jurulatih renang bagi pasukan kebangsaan.

Dalam salah satu kejadian ketika keluar negara, dia mendakwa seorang jurulatih menyentuh payudaranya.

Ong berkata dia masih ingat jurulatih tersebut masuk ke biliknya dan menyuruhnya melelapkan mata sebentar sebelum pertandingan.

Lelaki berkenaan kemudian duduk di sebelah dan mengusap badannya.

"Saya berbaring di atas katil, dia datang dan mengusap bahu saya. Kemudian, tangannya meliar ke sana sini ..." katanya.

Sebagai remaja, Ong berkata dia naif dan tidak pasti bagaimana untuk memberikan respons ketika itu.

Dia kemudian diberitahu dari seseorang bahawa individu yang sama melakukan serangan seksual terhadap sekurang-kurangnya 10 atlet.

Jurulatih beronani depan atlet
Seorang lagi bekas perenang yang enggan namanya disiarkan memberitahu Malaysiakini bahawa dia pernah melihat seorang jurulatih beronani di hadapan seorang perenang ketika perenang lelaki berkenaan berpura-pura tidur.

Kejadian itu, katanya, berlaku semasa pertandingan di Korea Selatan kira-kira dua dekad lalu.

"Pada masa itu, saya berjalan di tingkat bawah untuk mencarinya kerana saya ingin melihat rakaman video persembahan renang saya.

"Pintu tidak terkunci, jadi saya hanya ketuk dan masuk. Ketika itulah saya melihat dia terbaring di atas katil dan beronani menghadap perenang berkenaan.

"Saya fikir perenang itu sedang tidur. Tapi kemudian, saya dapat tahu daripada orang lain bahawa perenang itu takut dan pura-pura tertidur, ”tambahnya.

Selepas itu dia mendengar lebih banyak tuduhan terhadap jurulatih berkenaan, termasuk bagaimana dia menyentuh bahagian alat sulit perenang semasa latihan.

Tingkatkan kesedaran di kalangan atlet muda
Sementara itu, Ong berkata setelah menamatkan pengajian dalam bidang psikologi dan sosiologi di AS, dia teringat kejadian itu dan menyedari bahawa pelatih berkenaan adalah seorang pedofilia biseksual.

"Dia suka kanak-kanak," katanya sambil menambah ketika dia berusia 13 tahun, lelaki berkenaan memberitahunya, "Saya akan tunggu awak"

Ong berkata lelaki itu juga telah cuba mencabulnya ketika dia berusia 20-an.

"Pelaku pedofil biasanya melakukan pengantunan (groom) dan menunggu mangsanya. Apa yang dia lakukan kepada saya adalah hal yang sama seperti yang kita baca (mengenai pemangsa seperti itu)," tambahnya.

Ong berkata dia berkongsi pengalamannya untuk meningkatkan kesedaran di kalangan atlet muda dan bukannya kerana mahu individu berkenaan dihukum.

Dia menambah individu itu juga tidak lagi bersama pasukan kebangsaan, namun masih mengajar latihan renang.

Malaysiakini telah menghubungi Majlis Sukan Negara untuk mendapatkan komen.

Begitu juga, seorang perenang lelaki, yang tidak mahu disebutkan namanya, mengatakan dia juga ingin memberi kesedaran dan mencegah orang lain daripada menjadi mangsa.

Memandangkan atlet lelaki juga menjadi mangsa serangan seperti itu, atlet berkenaan teringat bagaimana ketika remaja seseorang menyentuhnya ketika di sedang mandi.

Dengan ketakutan, dia berlari dari bilik air tetapi tidak pernah beritahu sesiapa mengenai kejadian itu.

Atlet yang kini berusia 30an itu berkata atlet muda yang menghadapi situasi serupa tidak boleh berdiam diri dan perlu menceritakan kepada individu dewasa yang boleh dipercayai.

"Sekiranya ini berlaku, beritahu ibu bapa atau jurulatih kamu. Ketika saya masih muda, saya tidak pernah beritahu sesiapa pun. Saya tidak tahu bagaimana memberikan reaksi," tambahnya.

'Ahli politik tawarkan wang untuk seks'
Sementara itu Ong berkata dia terus menghadapi gangguan di media sosial dan gangguan seksual termasuk dari seorang ahli politik.

Setelah melahirkan anak ketiganya pada tahun 2017, dia meneruskan latihan dan bertanding dalam Kejuaraan Renang Dunia FINA ke-17 di Hungary.

Gagal mendapatkan dana atau tajaan dari kerajaan, Ong merasakan bakatnya tidak dipandang di Malaysia dan dua tahun kemudian dia menyertai pasukan Singapura untuk bertanding dalam Kejuaraan Renang Dunia FINA ke-18 di Korea Selatan.

Dia memenangi lima pingat emas dan dua perak.

"Ketika saya memenangi lima pingat emas, saya membawa bendera Malaysia. Tetapi di skrin, di sebelah nama saya, tertera 'SIN' (untuk Singapura)," tambahnya.

Awal tahun ini, Ong berada di kedudukan nombor 1 dunia dalam kategori renang rama-rama wanita bagi umur 35-39 dengan catatan 26.71 saat dalam gaya bebas 50 meter.

Walaupun tidak begitu diiktiraf kerana pencapaiannya sukannya, seorang ahli politik Malaysia, bagaimanapun, mula menunjukkan minat kepada Ong.

Lelaki itu mula mengirimkan pesanan teks dan memuji tubuh badannya.

Lelaki itu juga bahkan menawarkan sejumlah wang bagi mendapatkan seks.

"Dia kata 'saya tahu awak jenis macam mana'. Dia kata saya menyiarkan (gambar saya) kerana saya mencari 'sesuatu'. Tidak, saya tidak mencari 'sesuatu'," tegasnya.

Ong berkata dia memadamkan mesej berkenaan dan menyekat ahli politik itu kerana merasa jijik.

Dia mendakwa bahawa kebanyakan atlet wanita mengalami situasi serupa, terutama dalam sukan gimnastik dan akuatik kerana pakaian mereka.

Pada 1990-an, bekas jurulatih pasukan kebangsaan C Ramanathan didakwa mencabul dua atlet junior.

Dia dijatuhi hukuman empat tahun penjara setelah disabit kesalahan.

Setelah melakukan rayuan, hukuman penjara dikurangkan dan dia dibebaskan pada tahun 2011.

Empat tahun lalu, bekas jurulatih terjun kebangsaan Huang Qiang didakwa merogol seorang atlet terjun.

Menurut China Press, seorang saksi memberi keterangan bahawa mangsa ragu-ragu sebelum melaporkan jenayah itu kerana takut pelaku itu akan menggunakan kedudukannya untuk menghancurkan kariernya.

Setelah bertahun-tahun perbicaraan, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Februari 2020 membebaskan dan melepaskan Huang dengan alasan bahawa keraguan munasabah berjaya dibuktikan terhadap tuduhan tersebut.

Menurut laporan, hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menyatakan, antara lain, bahawa mangsa gagal membuat laporan polis dan memeriksa kecederaannya dengan serta-merta dan pihak pembelaan berjaya membuktikan bahawa masa tidak mencukupi untuk pemerkosaan berlaku.

Ahli politik tambahkan lagi masalah
Selama bertahun-tahun, ahli politik juga membuat kenyataan tanpa henti mengenai atlet dan pakaian mereka.

Pada tahun 2015, atlet Farah Ann Abdul Hadi dikritik kerana pakaiannya ketika meraih pingat emas dalam Sukan SEA.

Pada masa itu, mufti Perak, Harussani Zakaria, mengatakan gimnastik bukan untuk wanita Islam manakala Ahli Parlimen Lumut, Mohamed Imran Abdul Hamid di parlimen mengatakan "pakaian seksi" atlet boleh mengundang zina.

Dua tahun lalu, exco Terengganu Wan Sukairi Wan Abdullah mendakwa aksio dalam gimnastik mendatangkan ghairah kepada kaum lelaki.

Kerajaan negeri Terengganu kemudian memperkenalkan garis panduan bagi pakaian sukan patuh Syariah.

Mengulas perkara itu, Ong berkata sukan antarabangsa adalah kompetitif dan pakaian sukan yang sesuai sangat penting untuk memastikan prestasi terbaik atlet.

Bagi sukan renang, katanya, reka bentuk dan bahan pakaian renang yang betul boleh memberikan kelebihan kepada atlet apabila berada di dalam air.

"Kami bahkan mencukur bulu kaki untuk kurangkan seretan, lelaki cukur alis mata mereka.

"Persaingan sengit. Anda boleh kalah 0.1 saat, kadangkala 0.01 saat.

"Saya tak rasa perenang akan fikir perkara pertama yang harus mereka lakukan setelah keluar dari kolam renang adalah menutup tubuh hanya kerana lelaki tak dapat kawal keinginan mereka," tambahnya.

Jangan normalkan gangguan seksual
Semasa wawancara, dia juga menyebut bahawa sesetengah media menolak untuk menerbitkan kisahnya kerana tiada laporan polis dibuat.

"Gangguan seksual lebih kerap berbanding satu atau dua kes khusus. Apa yang saya katakan bukanlah kejadian terpencil dan ia sering berlaku," katanya.

Ong juga berkata sukar bagi mangsa untuk "memberikan bukti" bahawa mereka disentuh atau dicabul.

Lebih-lebih lagi, jika pelaku itu adalah tokoh terkenal kerana mangsa bimbang terhadap keselamatan atau jadi mangsa balas dendam.

"Saya fikir masyarakat hampir menormalkan gangguan seksual.

"Ahli politik menerimanya, dan orang terus melakukannya. Tetapi itu seharusnya tidak menjadi kebiasaan dan ia bukan normal," tambahnya. - malaysiakini

No comments:

Post a Comment