nuffnang

Sunday, January 18, 2015

Kebanggaan Kita Hanyalah Pada telefon Bimbit, K-Pop, Rempit.....!

Anak tempatan lawan warga asing
Untuk sekian kalinya saya terus menaip perkataan 'warga asing' dalam ruangan ini. Kisah ini tidak ada kesudahannya sehingga kerajaan benar-benar tegas mengawal kemasukan pekerja asing sama ada yang memegang permit ataupun masuk secara haram.

Pendedahan beberapa media tempatan termasuk Utusan Malaysia berkenaan aktiviti rakyat asing merebut peluang ekonomi di negara ini dengan bekerja hampir di semua sektor dan berniaga, menunjukkan betapa orang kita hanya selesa dengan apa yang ada. Dapat lesen dan permit digadainya kepada warga asing. Sebab itulah banyak premis perniagaan di ibu kota dijaga atau sudah dimiliki oleh warga asing.

Kata A. Hadi dalam e-melnya kepada saya, penyakit ini bukan sahaja ‘hak eksklusif’ orang Melayu malah turut berjangkit kepada kaum lain. Buktinya warga asing mula menguasai perniagaan Chinatown di Jalan Petaling dan Plaza Low Yat dekat Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang selama ini diketahui umum sebagai kawasan peniaga Cina. Sudahlah begitu, para majikan pula kini begitu ketagih kepada buruh murah dari luar. Membiarkan perkembangan ini, A. Hadi percaya satu hari nanti anak-anak Melayu yang berkelulusan SPM pun mungkin sukar bersaing dengan pekerja asing di sektor perkilangan.

Jika dahulu, kedai-kedai 24 jam mengupah remaja tempatan sebagai juruwang sambilan atau tetap, kini bukan sahaja KK Mart malah 7 Eleven turut menggaji juruwang warga asing. Warga Nepal (Gurkha) pun sudah diambil bekerja dalam sektor perkhidmatan itu yang sebelum ini hanya dikhususkan bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Kalau kita ke restoran dan HOTEL, berpuluh-puluh warga Myanmar dan Bangladesh yang melayan dan menyajikan makanan ke meja kita. Mana perginya budak-budak lelaki dan perempuan tempatan yang berkelulusan sijil perhotelan? Adakah rakyat Malaysia terutamanya anak-anak Melayu begitu malas sehingga bukan sahaja tidak mahu bekerja di tapak pembinaan dan ladang kelapa sawit malah tidak mahu bekerja di tempat berhawa dingin? Tiada maknanya kerajaan berjaya mewujudkan banyak peluang pekerjaan jika rakyat kita tidak mendapat manfaat.

Apabila warga asing menguasai semua sektor pekerjaan maka tinggallah anak-anak Melayu menjadi mat rempit, kaki ragut dan mat dadah, mat ketum dan sebagainya. Berpesta dan bersuka-ria tanpa had siang malam, sedangkan warga asing bertungkus-lumus membangunkan negara kita. Mereka memang rajin bekerja dan berani merebut apa sahaja peluang di depan mata. Kata A. Hadi, jika beginilah keadaannya tidak mustahil pada tahun 2020 mereka pula jadi ‘tuan’ di negara kita ini manakala orang Melayu jadi kuli.

Thursday, January 15, 2015

Makna RM100 Kepada Orang Susah

DUIT RM100 mungkin tiada apa nilainya sangat kepada mereka yang sudah biasa menghirup kopi di Starbucks atau menonton wayang di panggung bertaraf premier class atau gold class. Mungkin juga tiada banyak maknanya kepada yang seringkali membawa keluarga bercuti keluar negara pada setiap musim cuti persekolahan, paling dekat pun Singapura.

Namun kepada yang sudah biasa hidup susah, RM100 walaupun nilainya tidak sebesar mana, ia boleh menjadi ‘penyam­bung hidup’.

Kelmarin, apabila sekolah sesi persekolahan tahun ini bermula, ramai dalam kalangan anak-anak sudah menerima bantuan persekolahan sebanyak RM100. Anak-anak ini girang membawa pulang duit itu. Bagi mereka yang masih kecil ini, RM100 sudah cukup besar. Tidak terkecuali anak bongsu saya. Dia menghantar gambarnya yang memegang dua keping wang RM50 melalui aplikasi WhatsApp selepas pulang dari sekolah kepada saya yang berada di pejabat.

Ini sudah masuk tahun keempat, bantuan RM100 itu diberikan. Tujuan utama bantuan RM100 ini adalah untuk me­ringankan beban ibu bapa dalam membuat persediaan anak ke sekolah pada awal tahun.

Pun begitu, sudah beberapa tahun berlalu, masih ramai yang memperlekehkan dengan mengatakan apa sangatlah yang dapat dibuat dengan duit RM100 itu? Ada yang lupa atau saja buat-buat lupa wujudnya bantuan tersebut. - Eh! ada ke? Lupalah. Kata seorang ahli dalam group WhatsApp yang tiba-tiba nombor telefon saya dimasukkan dalam group berkenaan.

Ahli-ahli group itu bersembang mengenai pemberian wang RM100 itu. “RM100 hendak beli apa? Tak kasi pun tak apalah,’’ kata dia lagi.

Mungkin yang berkata itu bergaji besar. Maka dia pun boleh bercakap besar. Atau mungkin juga sebenarnya dialah orangnya yang dalam diam akan beratur paling depan sekali apabila pihak sekolah meminta ibu bapa mengambil wang berkenaan. Kita bukan boleh percaya sangat cakap-cakap orang yang banyak ‘bunyi’ ini. Selalunya merekalah yang lebih.

Janganlah melihat kepada kemampuan diri sendiri. Hidup ini bukan sekadar untuk diri sendiri. Bukan semua orang hidup bernasib baik dan boleh menganggap RM100 itu tidak penting.

Bantuan untuk setiap seorang murid amat bermakna kepada ibu bapa yang berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi yang mempunyai ramai anak yang bersekolah.

Dengan kos sara hidup yang kian meningkat, sekurang-kurangnya ia dapat meringankan sedikit beban. Pengertian susah kini bukan hanya terhad kepada hidup yang bergelut dengan kemiskinan, tetapi juga kepada golongan yang punya banyak tanggungan lain dengan pendapatan yang sedikit.

Banyak cerita sedih di sebalik pemberian RM100 itu yang kita tidak tahu. sebab kita hidup penuh dengan bernasib baik.

Ini satu antaranya - Kata anak saya, kawan yang duduk di sebelahnya dalam kelas, mahu gunakan duit itu untuk membeli beras. Budak itu memberitahu, orang tuanya sudah berhabis duit untuk membeli kelengkapan sekolah adik-adiknya sampai makan pun terpaksa dicatu. Jika kita tidak punya perasaan belas, kita akan cakap pemberian RM100 itu sudah disalahguna.

Tetapi itulah kehidupan. Survival kehidupan masing-ma­sing berbeza. Ada yang kita nampak senang, tidak semestinya hidupnya senang. Dan yang kita nampak susah itu, selalunya sentiasa ringan tangan membantu dengan segala cara yang ada.

Contohnya, ada yang sanggup menunggang motosikal dari Kuala Lumpur ke Kelantan, Terengganu dan Pahang untuk membantu mangsa-mangsa banjir di sana. Mereka ini bukan punya banyak wang, tetapi atas dasar perikemanusiaan dan turut sama merasa kesengsaraan itu, mereka turun membantu walaupun tiada saudara-mara yang terlibat.

Maka, yang lebih mulianya, jika merasakan duit RM100 tersebut tidak memberi sebarang manfaat atau makna untuk anak-anak sendiri, adalah lebih baik ia disedekahkan kepada mereka yang memerlukan. Tidak payahlah membuat dosa bercakap besar. Pahala pun dapat

Oleh : Fauziah Arof

Wednesday, January 14, 2015

Lelaki atau Perempuan, Mana yang Lebih Mudah Cemburu?

Di dalam menjalani suatu hubungan pasti akan melibatkan pelbagai macam emosi jiwa, seperti cinta, amarah, kegembiraan atau bahkan rasa cemburu. Rasa cemburu merupakan rasa yang timbul kerana adanya kurang atau tidak sukanya seseorang kepada sesuatu perkara atau perasaan iri ketika orang lain mempunyai sesuatu perkara yang tidak boleh dia miliki.

Untuk masalah cemburu yang ada dalam suatu hubungan antara lelaki dan perempuan adalah kurangnya rasa suka si lelaki ataupun sang perempuan kepada suatu hal yang berkaitan pasangannya. Rasa cemburu terhadap pasangan masing-masing adalah hal yang wajar kerana perasaan yang suka atau tulus kepada pasangannya.

Lalu apakah kaum lelaki ataukah kaum perempuan yang lebih mudah diserang rasa cemburu? Beberapa orang menilai terkadang perempuan yang lebih dominan dengan rasa cemburu. Kebanyakan perempuan akan menunjukkannya jika dia sedang cemburu terhadap sesuatu perkara kepada pasangannya.

Para perempuan cenderung mempunyai rasa cemburu kerana mempunyai rasa sayang yang tulus atau sangat kepada pasangannya dan ke khawatiran yang berlebih serta adanya keinginan untuk mendapatkan perhatian lebih atau bahkan memonopoli pasangan lelakinya.

Terkadang adanya rasa takut akan pasangannya yang dekat dengan perempuan lain akan menimbulkan cemburu yang berlebihan kerana kebimbangan akan kehilangan atau putus hubungan. Kerana itu pihak lelaki, harus pintar-pintarnya menjelaskan bagaimana hubungannya dengan perempuan yang lain, yang kemungkinan besar adalah rakan-rakannya dan tetap menjaga kepercayaan yang diberikan pasangannya.

Dengan juga mengetahui batasan-batasan hubungan dalam berteman dengan lawan jenis agar pasangannya tidak selalu cemburu. Sebaliknya, sang perempuan pun harus mengerti dan tidak terlalu mengekang pasangannya. Berikanlah dia masa dan ruang untuk bergaul dengan rakan-rakannya.

Akan tetapi, banyak pula yang mengatakan justru banyak lelaki yang lebih kerap mengalami rasa cemburu berbanding para perempuan. Jika berbeza dari perempuan yang lebih sering menunjukkan rasa amarah atau cemburunya.

Hal itu berbeza dengan para lelaki, kerana para lelaki cenderung memendam apa yang mereka rasakan, agar tidak kelihatan inferior atau mengekang kekasihnya. Jadi, para lelaki cenderung akan kelihatan tabah dan tidak kelihatan lemah.

Mereka juga tidak akan menunjukkan sisi lemahnya yang bergantung kepada pasangannya atau tidak mau dibilang posesif dan menunjukkan mereka akan menunjukkan bahawa mereka boleh dipercayai.

Para lelaki pun juga akan merasakan cemburu apabila kekasihnya dekat atau akrab dengan lelaki yang lain, kerana mereka juga menyayangi kekasih mereka dan tidak mahu orang lain atau pihak ketiga merosakkan hubungan yang telah mereka bangun selama ini.

Kesimpulannya adalah para lelaki dan perempuan sama-sama boleh cemburu satu dengan yang lain. Hal ini wajar, kerana adanya rasa suka terhadap kedua belah pihak yang menunjukkan rasa sayang antara satu dengan yang lain. Jika rasa cemburu pasangan anda masih dalam taraf yang biasa-biasa saja, hal itu termasuk normal. Lain halnya, jika pasangan anda selalu mengawasi anda selama satu hari penuh, mengekang anda atau sangat disukainya kepada anda.

Sebaiknya anda mula melakukan perbincangan yang serius dan mencari akar permasalahan atau penyelesaian dari mengapa pasangan anda boleh berbuat seperti itu. Sehingga, dia mengurangkan kebiasannya tersebut. Demi keselesaan bersama serta kelanggenan hubungan anda.

Rasa cemburu terkadang bukan hanya kepada orang, tetapi juga kadang-kadang cemburu kepada hobi atau aktiviti pasangan kita yang kadang-kadang kita tidak suka. Untuk itu, anda juga perlu memulakan untuk mencari kegiatan yang positif agar fikiran anda boleh dialihkan dan fokus pada hal-hal yang lain. - Anonymous

Monday, January 12, 2015

Siapa Sebenarnya Rasis Atau Ekstremis?

Orang Melayu dan umat Islam sedang diadu-domba menerusi strategi rencam, terselaras dan sistematik yang digerakkan oleh pelbagai pihak beragenda jahat terhadap Malaysia. Gerakan ini dilaksanakan menerusi tohmahan kononnya beberapa organisasi pribumi, Melayu dan Islam di Malaysia adalah ekstremis dan rasis.

Di peringkat awal, usaha ini hanya dilakukan oleh sekumpulan parti alternatif tertentu dan pelbagai portal berita propembangkang.

Mulai akhir tahun 2014, gerakan ini turut didukung oleh sekumpulan 25 eminent persons Melayu dan Islam yang pernah memegang jawatan tinggi dalam kerajaan.

Mereka menyerang Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kerana kononnya mereka berpendirian liberal. Namun sebenarnya mereka jahil bahawa Perkasa mempertahankan kesucian Islam, keluhuran Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, dan kesejahteraan sosio-ekonomi pribumi selaku bangsa teras di Malaysia.

Lebih jelas lagi, mereka jahil mengenai matlamat perjuangan Perkasa yang mempertahankan hak-hak pribumi dalam Perlembagaan Persekutuan dan menghormati hak-hak komuniti lain dalam perlembagaan yang sama.

Sebagai Presiden Perkasa sejak 2008, saya kemukakan soalan-soalan berikut. Siapakah yang mendalangi gerakan di atas? Tidakkah disedari bahawa gerakan ini menjejaskan perpaduan, kesejahteraan, keselamatan dan survival Malaysia yang majmuk?

Kenapakah kumpulan eminent persons hanya menghentam organisasi Melayu? Adakah dalang kepada gerakan di atas adalah organisasi anti-Islam, pertubuhan anti-Melayu, pendukung liberalisme universal, kapitalis domestik yang cuba mewujudkan imperialisme ekonomi terhadap pribumi Malaysia, atau kuasa-kuasa asing yang mahu menegakkan neoimperialisme politik di Asia Tenggara di abad ke-21?

Soalan-soalan ini saya timbulkan kerana istilah-istilah seperti di atas pernah digunakan oleh orientalis Barat untuk memecah-belahkan kumpulan nasionalis Nusantara yang memperjuangkan kemerdekaan tanah airnya daripada penjajah Eropah di Asia Tenggara.

Mula 1990-an, istilah-istilah demokrasi liberal, hak-hak asasi manusia sejagat dan kesamarataan total pula digunakan oleh pihak Barat untuk mengharu-birukan beberapa negara membangun, termasuk di Asia Tenggara.

Tetapi, waima siapa dalangnya, strategi rencam di atas memang sedang disasarkan kepada Malaysia – keluhuran Perlembagaan Persekutuan dicabar, kesucian Islam dipersendakan, kedaulatan Raja-Raja Melayu diperlekehkan, hak ekonomi pribumi dipertikaikan, dan amalan politik perkongsian kuasa pimpinan Barisan Nasional (BN) cuba diharu-birukan.

Buktinya, wujudnya media yang tergamak mengiklankan hidangan babi panggang yang dikaitkan dengan amalan berbuka puasa di bulan Ramadan? Wujudnya eminent persons yang menyifatkan kuasa negeri untuk mengurus dan menegakkan undang-undang Islam sebagai mencanggahi Perlembagaan Persekutuan? Terdapat segelintir parti politik alternatif, menyokong kalimah “Allah” digunakan dalam Bible versi Bahasa Melayu. Adanya percubaan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 setelah mereka berjaya mempengaruhi BN untuk menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA?

Tetapi, walaupun fenomena di atas membahayakan Malaysia, pihak-pihak yang menggerakkannya pula menyifatkannya sebagai kelaziman akibat evolusi sosio-budaya, politik dan ekonomi.

Mereka beranggapan begitu supaya pemerintah Malaysia menitikberatkan kesamarataan, keadilan dan kesaksamaan mengikut piawaian universal, bukan berasaskan kemajmukan Malaysia yang dicipta oleh penjajah Inggeris.

Oleh itu mereka melaksanakan perang saraf dan strategi reversed psychology seperti mentohmah Perkasa sebagai ekstremis dan rasis. Tuntutan, tindakan dan kenyataan mereka yang mencanggahi status quo Perlembagaan Persekutuan pula digembar-gemburkan sebagai menepati prinsip hak-hak asasi manusia sejagat dan keadilan universal.

Fenomena di atas berbahaya kepada Malaysia. Ia berpotensi mencetuskan pertelingkahan kaum, konflik agama, keresahan budaya, pemberontakan ekonomi dan kekacauan politik; dan memudahkan campur tangan dalam politik dan lain-lain urusan domestik Malaysia.

Kelompok eminent persons serta puak liberal dan moderate inilah kelompok ekstremis dan rasis yang sebenar. Mereka bertopengkan pendirian sedemikian untuk menyembunyikan agenda ekstremis dan rasisnya daripada terdedah dan dikutuk oleh majoriti rakyat Malaysia.

Mereka tidak insaf bahawa gerakan mereka boleh menyebabkan BN hilang kuasa akibat kemerosotan sokongan bukan pribumi.

Kumpulan ini juga tidak sedar jika BN hilang kuasa, mudahlah kuasa-kuasa luar mencapai matlamat grand strategy mereka terhadap China, menerusi kekuasaan serta campur tangan dalam urusan domestik negara-negara strategik di Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Dengan ini, Perkasa akan terus memerangi kemunculan fenomena-fenomena di atas, biarpun ia turut didukung oleh kumpulan `eminent persons’. Perkasa tidak gentar. Hari ini Perkasa mempunyai ratusan ribu anggota berdaftar yang memiliki kad keahlian yang sah.

Ini bukti perjuangan Perkasa positif dan mempertahankan kepentingan rakyat dan negara. Oleh itu, Perkasa dianggotai golongan cerdik pandai, termasuk berkelulusan PhD, dan pernah menjadi eminent persons dalam kerajaan Malaysia, baik dalam jurusan pengurusan undang-undang, kepolisan dan ketenteraan.

Perkasa juga dianggotai kumpulan profesional pelbagai bidang dan didukung oleh generasi muda, termasuk berpendidikan di universiti terkenal di seberang laut.

Kini Perkasa merupakan antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berorganisasi dengan struktur terselaras, dan tidak rasis seperti klu-klax-klan di Amerika Syarikat (AS). Perkasa sentiasa berhemah dan tidak pernah terlibat dengan demonstrasi jalanan seperti perhimpunan BERSIH yang menendang terajang anggota polis, mencederakan pasukan Polis, dan memusnahkan aset polis.

Perkasa memperjuangkan perpaduan rakyat dan keselamatan negara. Perkasa menjadi tulang belakang penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera dan Konvensyen Perpaduan Nasional yang turut didukung oleh lain-lain NGO pribumi dan Islam Malaysia.

Perkasa bukan rasis. Sebaliknya pihak-pihak yang memusuhi pertubuhan inilah yang ekstremis dan rasis sebenar di Malaysia.

Oleh : Ibrahim Ali

Sunday, January 11, 2015

Penghinaan The Movie.....Amaran jee!

Lagi provokasi, penghinaan
Adalah tidak masuk akal bagi mana-mana individu dan pihak mendakwa atau mengaitkan Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) dengan penyebaran fahaman ekstrem. Apatah lagi menuduh fahaman itu disebarkan pada setiap hari Jumaat yang boleh ditafsir sebagai khutbah ketika solat Jumaat. Inilah pertama kali dalam sejarah ada dakwaan sedemikian terhadap Jakim. Awang hairan bagaimana peguam hak asasi, Eric Paulsen boleh membuat kenyataan fitnah dan berbau hasutan itu menerusi Twitter. 

Jika khutbah Jumaat yang dimaksudkan, beliau sudah melampau dan salah. Buatlah kajian, khutbah Jumaat yang disediakan oleh Jakim selama ini sentiasa menyeru umat Islam kepada kesederhanaan, perpaduan, saling menghormati sesama agama dan kaum serta nilai-nilai murni sejagat biarpun kerap menyentuh soal menjaga kesucian Islam dan akidah. 

Malah bagi beberapa sarjana Islam tempatan, khutbah Jakim dilihat agak 'lembut' dan adakalanya tidak reflektif kepada tekanan yang dihadapi oleh umat Islam. Lalu Awang tertanya-tanya apa motif Paulsen dan siapa di belakangnya? Apakah beliau mahu menguji sejauh mana reaksi umat Islam dengan provokasi berbahaya seperti itu? 

Maka tiada sebab untuk Paulsen menggesa kerajaan menangani Jakim berhubung dakwaannya itu. Jakim bukan organisasi militan seperti Boko Haram di Nigeria, yang mengganas lagi semalam. Sebaliknya yang sepatutnya ditangani segera ialah diri beliau. Kalau di Singapura, tidak perlu tunggu esok hari, pihak berkuasa sepantas unit tindakan khas bergegas mencari individu seperti itu sebaik-baik sahaja kenyataan hasutan terdedah kepada umum. 

Pada Awang, kenyataannya itu sendiri sudah ekstrem atau melampau yang datang daripada pemikiran ekstremisme. Ini satu lagi penghinaan ke atas Islam di negara ini, yang tidak boleh diterima sama sekali. Bagi mengelakkan sebarang kemudaratan, sememangnya beliau perlu disiasat oleh polis di samping tampil memohon maaf secara terbuka. 

Awang berharap Paulsen tidak terlepas dan mesti mengambil tanggungjawab terhadap kenyataannya itu. Beliau seharusnya faham tentang sensiviti agama dan mengambil pengajaran dalam banyak insiden termasuk yang terbaharu di Paris. Awang berpegang kepada keyakinan semua bentuk keganasan perlu dikutuk dan ekstremisme pula ditolak. Namun provokasi yang keterlaluan terutama menghina agama boleh mengundang tindak balas yang akhirnya boleh juga bertukar menjadi keganasan. Tolong jangan undang dan percikkan keganasan di negara yang aman dan harmoni ini.

Oleh  : Awang Selamat

Saturday, January 10, 2015

Cameron Highlands The Movie

Warga asing tidak akan ada di Cameron Highlands, jika tiada orang menggaji atau mengupah mereka....
Pulihkan `Sakit' Cameron Highlands
APABILA akhbar ini pada Khamis lalu mendedahkan tindakan pendatang asing terus meneroka tanah secara haram pada Khamis lalu, ia bukanlah satu kejutan. Sebaliknya tidak salah kalau kita menganggap apa yang didedahkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) itu sekadar satu pemberitahuan.

Ini memandangkan, keadaan itu sememangnya sudah dijangkakan sejak operasi membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) yang membanjiri tanah tinggi itu dilancarkan baru-baru ini.

Apa yang berlaku bukan salah MKN, malah penulis menghargai komitmen agensi itu untuk meneruskan Ops Gading bagi ‘membersihkan’ Cameron Highlands sama ada daripada masalah PATI mahupun penerokaan tanah haram.

Tetapi persoalannya, apakah segala-galanya mahu bergantung kepada agensi-agensi pusat untuk menangani masalah di Cameron Highlands? Bagaimana dengan agensi penguat kuasa dan jabatan kerajaan di tanah tinggi tersebut? Apakah mereka benar-benar tidak tahu taktik terbaharu pendatang asing berkenaan?

Penulis diberitahu, sejak minggu lalu pendatang-pendatang asing kembali berniaga di pasar-pasar malam dan gerai-gerai buah-buahan, dalam kata mudah, mereka beroperasi seperti biasa apabila tiada lagi operasi oleh agensi-agensi Pusat.

Ia membuktikan pendatang asing ini yang mungkin ada antara mereka tidak memiliki permit tidak pernah berasa gentar dengan pihak berkuasa yang bertugas di Cameron Highlands. Sebab itulah mereka boleh berniaga seperti biasa atau terus meneroka tanah secara haram.

Mungkin mereka ‘sudah biasa’ dengan pegawai dan anggota agensi penguat kuasa yang ada, justeru perasaan gentar itu sudah semakin terhakis. Oleh itu adalah wajar, ketika MKN melancarkan Ops Gading, kepimpinan agensi penguat kuasa memikirkan untuk menghantar pegawai dan anggota baharu untuk bertugas di tanah tinggi tersebut.

Pegawai dan anggota atau kakitangan yang sudah lama bertugas di situ dipindahkan ke kawasan lain dan digantikan de­ngan orang baharu. Penulis percaya melalui tindakan ber­kenaan apatah lagi dengan komitmen yang dinyatakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menempatkan pegawai di Cameron Highlands sebarang persepsi buruk masyarakat terhadap agensi penguat kuasa dapat dihapuskan.

Bagaimanapun buat masa ini tumpuan harus diberikan untuk membanteras kehadiran PATI habis-habisan di Cameron Highlands. Mereka tidak boleh dibiarkan bermaharajalela seolah-olah ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang hanya kerana bijak menyembunyikan diri apabila serbuan dilakukan oleh pihak berkuasa.

Tindakan tegas juga perlu diambil ke atas warga asing yang melanggar permit. Dalam usaha ini, operasi seterusnya tidak harus dilakukan di pinggir-pinggir jalan sahaja, sebaliknya Ops Gading harus meredah setiap penjuru tanah tinggi itu termasuklah di kawasan kebun-kebun sayur.

Penyertaan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam operasi itu harus dimanfaatkan semaksimum mungkin untuk melakukan gerakan memburu warga asing yang bersembunyi khususnya di kawasan kebun dan hutan.

Selain itu, kita juga berharap janganlah operasi yang dilakukan hanya menumpukan kepada warga asing sahaja. Majikan-majikan juga harus diburu. Warga asing tidak akan ada di Cameron Highlands, jika tiada orang menggaji atau mengupah mereka. Setakat ini kita belum lihat ada majikan yang ditahan secara beramai-ramai.

Justeru individu yang bertindak sebagai majikan mereka perlu dibawa ke muka pengadilan. Percayalah, selagi wujud puak-puak seumpama ini selagi itulah masalah PATI tidak akan dapat dihapuskan walau sebanyak manapun operasi dijalankan.

Apa pun adalah diharapkan Cameron Highlands benar-benar dibersihkan, diselamatkan dan dipulihkan. Bersihkanlah tanah tinggi itu daripada kebanjiran warga asing, selamatkan ia daripada bencana dan pulihkan ia kembali daripada segala ‘penyakit’ yang melumurinya.

Cameron Highlands sedang ‘sakit’ akibat daripada perbu­at­an manusia rakus yang bersekongkol dengan manusia tamak untuk hidup senang dengan cara melakukan kerja-kerja haram termasuk meneroka tanah dan ‘makan duit haram’.

Oleh : Zul Bakar

Sunday, January 4, 2015

Tandas Terbuka Di Gold Coast Memalukan

Tandas terbuka di Gold Coast, Queensland  di Australia dikritik
Tandas terbuka di Gold Coast, Queensland di Australia dikritik penduduk sebagai buruk dan memalukan.
SYDNEY – Perkhidmatan tandas terbuka yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Gold Coast dikritik oleh penduduk tempatan sebagai memalukan.

Laman web Oddity Central melaporkan, majlis perbandaran tersebut menyediakan tandas mudah alih itu ekoran lelaki-lelaki mabuk sering membuang air kecil di me­rata-rata tempat terutama di premis perniagaan dan lorong-lorong kecil sehingga menimbulkan suasana tidak menyenangkan di kawasan peranginan berkenaan.

Menurut ahli majlis perban­daran, Lex Bell, tandas itu merupakan satu-satunya cara untuk mengatasi masalah pembuangan air kecil di lokasi awam di Cavill Mall dan Orchid Avenue di Suerfer’s Paradise, tenggara Queensland.

“Pihak berkuasa tidak mempunyai tenaga kerja yang cukup untuk menangkap mereka yang membuang air kecil di merata-rata tempat, selain tidak mempu­nyai bidang kuasa untuk menahan mereka,’’ katanya.

Justeru, pada 19 Disember lalu, majlis perbandaran berkenaan membina dua blok tandas yang direka untuk digunakan oleh tiga lelaki pada satu-satu masa.

Sejak itu, majlis perbandaran menerima pelbagai kritikan daripada penduduk tempatan Gold Coast.
Sumber : utusan

Saturday, January 3, 2015

Apa lagi Orang Orang Ini Mahu...?

Cina Paling Susah?
AKHBAR China Press bertarikh 25 Disember 2014 menyiarkan artikel yang mendakwa orang Cina ialah kaum yang paling susah di Malaysia.

Artikel bertajuk ‘Orang Cinalah peminta sedekah sebenar, malah lebih teruk daripada orang cacat’ ditulis oleh Lim Fang dan disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C21.

Ia memetik kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan orang Melayu telah menjadi peminta sedekah politik apabila mengharapkan undi bukan Melayu bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan.

Dr. Mahathir memilih taktik menggelar Melayu sebagai peminta sedekah bagi membuatkan kaum itu merasa terancam dan seterusnya sedar mengenai perlunya kembali menyokong UMNO.
Kenyataan itu juga mungkin berpunca kerana bekas Perdana Menteri merasa marah dan berdendam kerana kaum Cina tidak mengundi Barisan Nasional (BN) walaupun pelbagai bantuan telah diberikan kepada mereka.

Orang Cina boleh diibaratkan seperti pengemis yang bersikap sinis.

Realiti politik di Malaysia, menurut penulis, orang Cina­lah yang sebenarnya menjadi pengemis. Kaum itu juga boleh diibaratkan seperti orang cacat apabila banyak masalah kaum itu tidak diselesaikan oleh kerajaan BN yang dipimpin oleh UMNO.

Antaranya, permohonan tanah tapak sekolah dan pembinaan bangunan sekolah Cina, kekurangan guru, mendapat wang subsidi yang sedikit, kuota pendidikan di universiti yang terhad dan pengiktirafan sijil sekolah mene­ngah Cina yang tiada keputusan. Seperti pengemis kelaparan, orang Cina terus menerus meminta walaupun tidak dilayan.

Sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang `berat sebelah’ dilaksanakan, peluang perniagaan orang Cina semakin dikikis. Seperti individu yang kakinya telah dipatahkan, mereka menjadi cacat sehingga tidak mampu bergerak. Bagaimanapun, tongkat diberikan kepada kaum lain.

Walaupun setelah lebih 40 tahun diberikan tongkat, ada pihak mendakwa kuota 30 peratus bumiputera dalam ekonomi negara belum mencapai sasaran dan perlu diteruskan.

Ini menyebabkan orang Cina yang asalnya seorang pengemis dan kini bertukar menjadi orang cacat, memandang ke kiri dan ke kanan mengharapkan orang dalam UMNO sedar akan nasib mereka.

Jika tidak dapat diberikan nasi, bagilah air bekas kuah bubur pun tidak apa kepada orang Cina.

Sekiranya nasib mereka masih lagi tidak dibela, orang Cina terpaksa berkeras hati untuk menyerahkan undi kepada pembangkang bagi melepaskan geram dan memberi pengajaran kepada BN serta UMNO.

Sumber : isu-isu akhbar cina

Thursday, January 1, 2015

Satu Kampung Pelupa

BOGOTA - Sebuah kampung di kawasan pergunungan Antioqua, barat laut Colombia, menjadi tumpuan pelancong kerana keindahan semula jadinya.

Namun, apa yang tidak diketahui, Kampung Yarumal sebenarnya menyimpan ‘rahsia’ yang lebih besar kerana menempatkan populasi pesakit Alzheimer paling ramai di dunia.

Menurut laman web berita pelik Oddity Central, hampir semua penduduknya mengalami masalah nyanyuk walaupun pada usia muda dan penyakit itu dilapor diwarisi sejak turun temurun.

Laporan menyatakan, masalah itu berlaku disebabkan amalan perkahwinan sesama ahli keluarga atau saudara-mara yang diamalkan sejak 300 tahun lalu dalam kalangan penduduk Kampung Yarumal.

Kebanyakan penduduk di kampung itu mengalami pelbagai tahap Alzheimer disebabkan toksik protein yang memusnahkan sel-sel otak sehingga menyebabkan seseorang itu menjadi pelupa.

Simptom tersebut mula dikesan ketika usia pesakit masih muda sebelum mencapai usia 40 tahun.

Seorang wanita bernama Cuartas, 82, yang sihat berkata, pada usianya itu, dia terpaksa menjaga tiga anaknya yang menghidap Alzheimer iaitu Dario, 55, Maria, 51, dan Oderis, 51.

“Saya sangat sedih melihat anak-anak saya menghidap Alzheimer. Ini adalah penyakit paling seksa di dunia,” ujar Cuartas.

Walaupun berusaha merawat penyakit yang dialami secara turun temurun, tetapi kemajuan sains perubatan yang ada di pasaran hari ini tidak mampu mengubati penghidap penyakit tersebut.

Bagaimanapun saintis cuba mencari jalan untuk merawat penyakit itu dan Kampung Yarumal dipilih menjadi lokasi pertama sebagai rawatan pemulihan. 

Sumber : utusan